Tuesday, July 31, 2012

Cikgu Rania 2 (Siri 4): Sedetik Lebih

“KENAPA ni? Macam nampak hantu saja?” tanya Puan Sri Zalia.
Rania menarik nafas lega. Nasib baik kelibat ayahnya bersama perempuan muda itu sudah hilang daripada pandangan. Kalau tidak, Rania tidak dapat membayangkan apa yang bakal berlaku.

“Err mama, Ren nak keluar kejap ya.” Rania sudah bangkit walaupun tubuhnya rasa lemah letai. Tenaganya bagai disedut.

“Nak ke mana?” Dahi Puan Sri Zalia berkerut.


“Mama lambat lagikan? Ren nak pergi tandas,” ujarnya dan bergegas keluar kedai.

Dari jarak 10 meter, Rania nampak ayah dan perempuan muda itu masih berjalan dan bergandingan menghala ke arah hadapan. Rania mengekori mereka tapi sekerat jalan, kakinya sudah tidak mampu dilangkah lagi.

Rania tersandar di dinding sebuah kedai menjual telefon bimbit. Dia berasa hampa dan sangat kecewa. Mengapa semua berlaku serentak begini? Masalah dengan Abang Rais masih belum selesai datang pula ayah membawa mendung di langit yang sememangnya tidak cerah.

Ayah! Kenapa ayah buat macam ni? Kasihan mama! Air matanya hampir menitis melihat situasi itu. Kenapa ayah bohong pada mama? Bohongi Ren? Ayah kata ayah out-station. Siapa perempuan itu ayah? Isteri muda ayah? Atau perempuan...?
Ayah! Rania menahan perasaan tapi air matanya sukar sekali diempang. Jatuh berguguran.

Disekanya perlahan. Beberapa orang remaja perempuan yang melintasinya berbisik-bisik sesama sendiri. Rania melihat papan tanda dan mencari arah menuju tandas. Dia terus membasuh mukanya sebaik masuk ke tandas. Dia bertenang seketika sebelum keluar. Di pintu masuk, sekali lagi dia terkedu. Perempuan yang bersama ayahnya sebentar tadi berdiri di hadapannya dengan lagak sombong.

Hati Rania bergetar dan bercampur aduk. Ada rasa marah bercampur sedih.
Hidungnya kembang kempis.

Perempuan muda itu memandangnya sinis.

“Excuse me.” Kening perempuan muda itu terangkat. Baunya harum semerbak. Dia marah kerana laluannya untuk masuk ke tandas dihalangi Rania.

“Maaf,” Rania berengsot ke tepi. Bibirnya diketap menahan rasa marah. Rania berasa seperti hendak muntah walaupun wangi bau perempuan itu mampu menggoncang iman mana-mana lelaki.

Semasa kakinya melangkah keluar, Rania terpaksa berhati-hati. Dia takut terserempak dengan ayahnya yang barangkali sedang menunggu perempuan itu di luar tandas. Dari perkarangan pintu tandas, dia nampak ayah sedang duduk dan bermesej. Kepala ayahnya menunduk. Cepat-cepat dia beredar dan menuju ke kedai tempat ibu membeli-belah.

“Ayah baru hantar mesej. Dia balik malam ni. Jom kita balik. Nanti boleh masak dan makan sama-sama ayah,” kata ibu dengan senyum riang sebaik saja Rania sampai.

Putih mata Rania tatap wajah ibu.

“Eh, kenapa Ren? Muka basah ni!”

“Ren, er basuh muka. Ngantuklah mama.”

“Ada ke tengah berjalan mengantuk!” Bebel ibunya sambil menyain keratan resit yang dihulur oleh juruwang.

Kad kredit yang baru dipulangkan oleh juruwang dimasukkan ke dalam dompet.
Rania capai dua beg kertas besar yang berisi beg-beg tangan yang baru dibeli Puan Sri Zalia.

“Ingat nak pergi rumah Datin Latifah, tak jadi! Tak mengapalah banyak lagi masa.” Puan Sri Zalia bercakap sendiri. Rania menghubungi Pak Mud suruh dia menunggu di tempat mereka diturunkan tadi.

Sepanjang perjalanan, Rania tidak banyak bercakap. Dia lebih suka memandang ke luar tingkap. Dia diganggu peristiwa yang disaksikan tadi. Puan Sri Zalia pula tak cukup mulut bercerita itu ini. Pak Mud yang memandu kereta sesekali menjeling pada Rania. Wajah anak gadis itu ketara kelat dan rusuh.

“Ren ni, mama macam cakap seorang,” tegur Puan Sri Zalia kerana ada antara soalan yang diajukan ibunya tidak dijawab.

“Ya ma, apa ma?” Rania bersuara lemah. Dia sebenarnya menahan perasaan. Sukar sekali untuk dikuis bayangan ayah dan perempuan muda yang sombong dan berlagak tadi.

“Mama beli dua-dua,” cerita Puan Sri Zalia dengan riang. “Barulah menepati selera mama. Yang ayah beli tu mama rasa tak sesuai. Bentuknya macam orang muda. Ren ambillah.”

“Ren tak nak mama. Mama simpan saja. Esok-esok bolehlah bagi pada Kak Rindu atau siapa-siapa saja.” Fikiran Rania bercelaru.

“Ren ni bila nak bergaya? Mama teringin nak tengok anak mama bergaya. Mesti nampak elegan.”

Pak Mud tersenyum mendengar komen Puan Sri Zalia. Rania tak payah buat itu semua. Dia ada gaya tersendiri yang tak perlu dibantu dengan barang-barang berjenama atau kosmetik. Dirinya yang unik dan tersendiri itulah yang menjadi aset paling berharga pada Rania.

“Sediakan bahan-bahan yang perlu. Balik saya masak. Tan Sri makan malam di rumah malam ni,” Puan Sri Zalia bercakap pada mak cik Rohaya menerusi telefon.

Sampai di rumah, Puan Sri Zalia ke dapur memberi arahan selanjutnya pada mak cik Rohaya. Seperti biasa dia akan bersolat di bilik bawah. Melihat Rania memanjat anak tangga, Puan Sri Zalia menegur.

“Nak masak dengan mama tak?” Kebiasaannya kalau Tan Sri Razlan makan malam di rumah, Rania dan ibunya yang sibuk memasak dibantu mak cik Rohaya tapi malam itu hilang mood Rania. Kekal bebayang di ruangan matanya ialah apa yang dilihat di Pavilion tadi.

“Ren nak prepare untuk sekolah esok,” dalih Rania.

“Hmm, mama masak dengan mak cik. Karang turun makan tau,” pesan Puan Sri Zalia.

Rania membuka laptopnya. Di laman Facebooknya ada beberapa mesej terbaru.
Daripada Halim dan FF. Halim asyik bertanya bila dia akan datang ke ladang jambunya manakala FF pula tidak habis-habis mengiriminya kata-kata bermadah yang ada tikanya sukar juga untuk ditafsir Rania. Siapa FF ni? Takkan Farhan kot! Detik hatinya.

Walaupun sekarang Farhan jarang menghubunginya tapi sesekali dia tetap menghantar mesej kepada Rania. Selain bertanya khabar, Farhan ajak keluar dan makan-makan. Sekalipun tidak pernah dilayan oleh Rania.

Baik aku layan budak-budak khas kat sekolah. Lagi banyak faedah, Rania buka diari dan lihat aktiviti sekolah pada minggu esok. Ada satu minit mesyuarat yang belum disiapkan. Sebagai setiausaha jawatankuasa Pusat Sumber Sekolah, itu tugas baru yang disandang menggantikan tempat Puan Suzita yang berpindah ke negeri Terengganu mengikut suami. Teringat pula abangnya Rais, dia cuba menghubungi abangnya itu tapi tetap tidak dijawab. Selalunya kalau ayah ada, mereka sekeluarga akan makan malam bersama dan Rais akan pulang kalau dia tiada di rumah sekalipun. Kalau marahkan mama, tak payahlah dengan aku sekali dia nak cari pasal, bebel Rania. Geram sungguh dengan sikap Rais yang ada tikanya sukar dibawa berbincang.

Selesai solat Maghrib, Rania turun dengan wajah lesu. Tan Sri Razlan sedang berbual dengan Puan Sri Zalia di meja makan. Sepatah soalan ditanya ayahnya dijawab sepatah juga. Wajahnya keruh. Dia tidak bersemangat langsung. Apa yang dia nampak siang tadi mengganggu benak dan membunuh perasaannya untuk berbual mesra dengan ayah seperti biasa. Dia tidak tergamak hendak memandang wajah ayah. Dia mendengar saja semasa ibu bercerita tentang Rais dan Murni kepada ayah. Seperti biasa ayah mendengar sebelum membuat satu rumusan.

“Lain kali awak tanya dulu Rais apa masalah yang dihadapi Murni. Mana tahu Murni memang perlukan pertolongan kita.”

Puan Sri Zalia diam.

“Ren dah telefon Abang Rais ajak balik makan malam bersama-sama?” Puan Sri Zalia mengalihkan tumpuan pada Rania.

“Tadi Ren telefon, abang tak jawab.”

Sambil menyuap nasi, Rania curi-curi pandang pada ayahnya. Sukar untuk mempercayai apa yang dilihat kalau bukan matanya sendiri jadi saksi. Sejak bila ayah ada hubungan sulit di luar? Pandainya ayah menyimpan rahsia!

“Bila lagi ayah out-station?” tanya Rania tiba-tiba.

“Eh Ren, ayah baru balik. Kenapa tanya ayah soalan macam tu?” Marah Puan Sri Zalia. Tak jadi masuk nasi yang sudah pun sampai di birai mulut.

Tan Sri Razlan tersenyum saja. Sedikit pun dia tidak menyangka soalan Rania itu merupakan soalan yang sinis dan mahu memerangkapnya.

“Nak kirim apa-apa pada ayah ke?”

“Errr nak minta tolong ayah ambilkan pamphlet kat hotel-hotel yang ayah pergi kat luar negara tu. Ren nak kumpul. Boleh jadi bahan bantu mengajar dalam kelas. Ren nampak budak-budak sekarang lemah membaca arahan berdasarkan bahan rangsangan.”

“Ren boleh cari kat Internet, semua ada,” sampuk Puan Sri Zalia.

“Kalau bahan yang dari luar negara, excited sikit budak-budak ni ayah.”

“Yalah, nanti ayah ambil kalau ayah pergi lagi,” janji ayahnya.

Rania naik semula ke bilik sebaik sahaja dia selesai makan. Dia mengerling ayah dan ibunya yang beriringan menuju ke ruang depan. Rania buntu memikirkan macam-macam masalah yang melanda keluarga. Masalah Rais belum selesai, kali ini ayah pula buat hal. Kenangkan pula Ummar Qayyum yang sunyi seribu bahasa. Ah!

Lelaki di sekelilingku semua bermasalah, detik hatinya. Dalam seminggu dua kebelakangan itu, hatinya yang rusuh itu sukar benar terubat. Ke sekolah pun, Rania kurang bercakap. Nasib baik sekolah sibuk dengan pelbagai ujian dan peperiksaan akhir tahun. Petang sudah tidak ada aktiviti kokurikulum, jadi banyak masa dihabiskan di rumah. Akhir-akhir ini dia suka duduk-duduk di pondok di sudut laman rumah dan memerhatikan pokok-pokok yang lebat berbunga.
Pokok-pokok itu dijaga rapi oleh tukang kebun. Ada pohon kesidang, bunga ros pelbagai warna, bunga melur dan macam-macam lagi.

“Mama, sesekali mama ikutlah ayah kalau ayah out-station,” nasihat Rania semasa Puan Sri Zalia menyainginya di pondok.

“Malaslah mama. Kalau ayah sibuk bermesyuarat, berseminar, mama tinggal seorang kat hotel,” sahut Puan Sri Zalia seraya mencapai cekodok udang yang baru dihidang oleh mak cik Rohaya.

“Mama pergilah jalan-jalan. Buat apa ikut kalau memerap kat dalam hotel.”

“Ya betul Puan Sri. Ikutlah Tan Sri keluar negara,” sampuk mak cik Rohaya.

Rania agak terkejut mendengar usul mak cik Rohaya. Mak cik Rohaya tahu ke?
Detik hati Rania.

“Bukan tak hendak. Malas jalan seorang. Lainlah kalau Ren ikut sekali.”

“Kalau saya jadi Puan Sri, saya ikut,” tambah mak cik Rohaya sebelum pergi.

Terkulat-kulat Rania mendengarnya. Mak cik Rohaya ni macam nak sampaikan sesuatu sahaja, fikir Rania lagi. “Ren kan mengajar. Macam mana nak ikut mama.”

“Berhenti saja mengajar. Buka business. Apa business yang Ren nak buat? Cakap saja pada mama. Kalau dah kerja sendiri, senanglah nak bercuti ke mana-mana dengan mama.”

“Mama ni, dah melencong ke lain pula,” bebel Rania.

Puan Sri Zalia minta diri masuk ke dalam sebaik sahaja dia nampak kelibat Tan Sri Razlan baru turun dari tingkat atas. Rania renung ayahnya dari jauh.
Bagaimana mahu memujuk hati yang sedang bernanah ini? Rania hampiri pokok bunga kesidang yang memanjat pondok di penjuru pagar. Dipetik beberapa kuntum lalu disuakan ke hidung. Telefonnya bergetar. Nama Rais tertera di skrin. Cepat sahaja Rania mengangkat.

“Assalamualaikum abang. Abang kat mana? Kenapa dah lama tak balik?” tanya Rania bertalu-talu.

“Waalaikumusalam. Abang okey saja.”

“Kenapa tak angkat masa Ren call? Ayah ada kat rumah. Kenapa tak balik? Tadi ayah tanyakan abang.”

Terdengar keluhan Rais. Masih segar di ingatan Rais sikap dingin ibunya pada Murni. Kerana merajuk dan marahkan ibu, dia malas menjawab panggilan telefon dari keluarganya.

“Mak mana?” tanya Rais lama kemudian.

“Ada dengan ayah kat dalam rumah. Abang Rais baliklah.”

“Kalau abang balik, boleh mak terima Murni sekali?” Duga Rais.

“Abang, Murni tu siapa? Mama siapa? Abang dah lupa apa yang Murni buat pada Ren. Dulu, abang yang marah sangat dengan dia tapi sekarang abang sanggup bergaduh dengan mama sebab Murni?” tanya Rania balik. Rais macam main tarik-tarik tali lagaknya.

“Yang lepas tu lepaslah Ren. Lagipun Murni sekarang tengah susah. Mama pun satu, berdendam pada budak macam Murni.”

“Kenapa tiba-tiba abang ambil berat tentang Murni? Ada apa-apa ke abang dengan dia?” Rania naik darah juga mendengar Rais mengata ibunya. Sesekali Rania intai ayah dan mama dari jarak jauh. Dia tidak mahu mama mendengar perbualannya dengan Rais. Sudah tentu ibunya akan berkecil hati kalau terdengar kata-kata Rais.

“Mana ada! Abang tolong dia ikhlas sebab dia tengah susah. Abang kenangkan juga dia tu adik angkat Qayyum.”

“Betul abang tak ada apa-apa dengan dia?”

“Betullah.”

“Okeylah kalau itu kata abang. Jangan lupa Kak Ros tau, dulu abang dah terlepas Kak Ros. Jangan pula terlepas sekali lagi, “ Rania mengingatkan Rais.

“Abang tahu. Tak payah Ren nak bebelkan abang. Cukuplah mak seorang.”

“Murni ada dengan abang ke tu?”

“Tak ada. Dia ada kat kondominium abang. Dia duduk kat situ sementara waktu.”

“Abang letakkan dia di situ?” Terkejut Rania mendengarnya. “Kalau mama tahu mesti mama marah.”

“Rumah abang. Kenapa mama nak marah?” lantang Rais menegakkan haknya.

Sakit hati Rania mendengarnya tapi dipendamkan sahaja sebab tidak mahu perang antara Rais dengan keluarga berlarutan.

“Habis abang duduk kat mana?” Risau Rania mendengarnya. “Baik-baik bang, nanti tak pasal-pasal kena...” Rania matikan ayatnya di situ.

“Taklah. Abang duduk dengan kawan abang. Abang pergi hantar makanan saja,”
jelas Rais.

“Abang nak balik tak?”

“Abang nak tengok respon mama. Ren pujuklah mama,” pujuk Rais.

“Apa masalah Murni tu bang?”

“Kalau mama bagi Murni duduk kat rumah kita, baru abang cerita.”

Rania terdiam sejenak. Besar sangatkah masalah Murni sampai bersungguh-sungguh Rais mahu membantu? Rais terus memujuk. Hati Rania yang marah jadi sejuk sedikit apabila Rais melembutkan nada percakapannya.

“Nanti Ren tanya mama baik-baik. Tadi, ayah pun tegur mama,” cerita Rania.

“Ren saja tempat abang menaruh harapan sekarang ni. Tolong tau!”

“Ya lah, ya lah...”

Rais matikan telefon. Rania termenung seketika. Apa masalah Murni ini? Banyak sangat yang mengambil berat. Dah buat dajal pada aku pun Abang Rais masih sudi menolong. Hatinya hambar tak semena-mena. Untungnya Murni. Ramai yang sayang padanya. Dulu Nenek Ninda, lepas itu Ummar Qayyum. Bila Ummar Qayyum berhijrah ke luar negara, Abang Rais pula yang ambil alih.

Rusuh jiwanya kenangkan macam-macam hal. Hal ayah, Rais dan tidak terkecuali Ummar Qayyum. Bosan duduk, dia menyiram pokok-pokok bunga. Hilang sedikit tekanan bila bermain dengan air. Namun wajah Ummar Qayyum asyik mengganggunya. “Blahlah kau Qayyum,” rintihnya sambil terus dipancut air ke pokok-pokok yang sudah basah kuyup.

Datang pula wajah ayah seiring dengan bayangan perempuan muda yang angkuh dan sombong itu. Silih berganti dengan wajah Ummar Qayyum. Rindukah aku pada Ummar Qayyum? Detiknya sendiri. Atau aku cuba mendustai hati? Seminggu ini dia memang memendam perasaan. Kesannya meruntun di jiwa. Dia berasa sebak yang menggila.
Datang lagi wajah Ummar Qayyum.

Di mana kau Qayyum! Pulanglah! Rintihnya sendiri. Dia sudah keliru. Air matanya yang sudah bergenang, meluncur bertitis-titis dengan tidak semena-mena. Dia tidak pasti esak kecil itu untuk apa. Sedihkan ayah atau rindukan Ummar Qayyum? Adakah aku membohongi diriku selama ini? Qayyum!! Tiba-tiba hidungnya bagai terbau haruman yang sering dipakai Ummar Qayyum. Dadanya rasa ketat.

Sederas air pancutan yang dihala ke pokok-pokok bunga, sederas itu jugalah air matanya mengalir di pipi. Dia tersedu-sedu. Begitu asyik melayan perasaan sampai tidak disedari ada seseorang yang menghampirinya dari sisi. Lelaki yang berdiri tidak jauh darinya melihat air mata Rania yang mengalir tanpa henti.

Rania, kenapa datangku disambut dengan air mata? Wajah lelaki itu berkerut.
Hiba hatinya. Tiba-tiba Rania menoleh ke arahnya. Terngaga mulut anak gadis itu seketika. Dia tidak percaya dengan apa yang dilihat. Sungguhkah? Segera diseka air matanya yang mengalir.

“Assalamualaikum,” lelaki itu menegur.

Rania tergamam. Tangannya masih memegang getah yang memancut air. Tidak dipedulikan Rania. Tubuhnya kaku.

Qayyum! Bergetar jantungnya. Lelaki kacak itu sedang berdiri tidak jauh darinya. Seketika kemudian dia bergerak menghampiri Rania dan berdiri betul-betul di hadapannya. Rania mendongakkan mukanya.

Qayyum...kau datang! Air mata Rania menitis laju. Dibiarkan sahaja. Dia tidak malu. Biarlah Ummar Qayyum tahu. Rania memejamkan matanya sedetik. Dia rasa bahagia yang teramat sangat. Ummar Qayyum muncul di saat dia sangat memerlukan.
Terima kasih Tuhan!

“Kenapa nangis ni? “ Sapu tangan diseluk daripada saku seluarnya. Dengan lembut, Ummar Qayyum menyeka air mata Rania.

Rania tidak mampu berkata-kata.

“I ingat you gembira menerima kepulangan I dan nak peluk I,” usiknya dengan suara garau yang menggetarkan perasaan. Rania berdebar-debar.

Sedetik lebih mata mereka bertautan!

http://www.hmetro.com.my/articles/CikguRania2_Siri4__SedetikLebih/Article/

2 comments:

LydSunshine said... [Reply]

Ni novel tulisan aok ke ?

Nafisa81 said... [Reply]

@LydSunshinetaklah...ni novel dlm surat kabar metro. copy paste je dr metro online

Sale! Sale! Sale!

Dapatkan pelbagai barangan di Seri Sekijang Blogshop...
Legging kanak-kanak, Cawan Giacomo, Handmade Chocolate, Homelife, kitchen wallpaper, cartoon cutlery, kitchen tools, Gift Box, Serving tray, Fridge magnet preloved item

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

I will follow youuu....

busuk.org

apesal traffic??