Tuesday, September 25, 2012

Cikgu Rania 2 (Siri 12): Bulan di Balik Awan

Oleh Samsiah Mohd Nor

“LAIN kali mak cik kena pastikan lantai tak basah masa Murni ada di dapur.” Teguran Rais mengejutkan Mak Cik Rohaya. Terkebil-kebil orang tua itu walaupun teguran Rais berlapik dan lembut. Ketika itu Rania sedang mengambil sebuah bekas berisi air suam untuk dibawa naik ke bilik pasangan suami isteri itu. Rindu bersama anak-anak pun ada di dapur. Mereka sedang menikmati sarapan pagi. Puan Sri Zalia yang kebetulan masuk ke dapur terdengar pula kata-kata Rais itu. Nipis telinganya.
“Heh, budak itu jatuh tak ada kena mengena dengan lantai basah. Orang lain beribu-ribu kali masuk keluar dapur tak jatuh pun!” herdik Puan Sri Zalia, tapi terkedu seketika tatkala melihat muka cucu-cucunya terkebil-kebil memandang ke arahnya.

Segera dihampiri mereka dan dicium di pipi. Rindu segera mengalihkan perhatian anak-anak kepada topik lain. Puan Sri Zalia mengerling berisyarat pada Mak Cik Rohaya yang masih tercegat di tepi pintu dapur basah. Rais terus pergi sebaik dileter ibunya.

“Abang Ridhwan dengan Abang Is mana Kak Rindu?” tanya Rania sengaja untuk menjernihkan situasi kusut yang melanda pada pagi yang hening itu.

“Dia orang berdua pergi ke driving range, pukul bola,” sahut Puan Sri Zalia dengan muka yang masih masam.

Hangat benar hatinya apabila Rais menyalahkan Mak Cik Rohaya dek Murni. Sejak bila pula dia dah pandai membela perempuan tak tahu diuntung itu? Getus Puan Sri Zalia seraya duduk menyertai cucu-cucunya bersarapan pagi. Mak Cik Rohaya dipanggil lalu diajak bersarapan sekali.

“Oh ya Ren, confirm ya dua minggu lagi kita ke Pulau Langkawi! Abang Is dah booking bilik tau. Kita ambil Berjaya Vacation!” kata Rindu tiba-tiba.

“Jadilah ya?” tanya Rania balik.

“Jadi. Abang Iskandar teruja sangat nak ke pulau legenda itu. Dah hampir lima tahun dia tidak ke sana. Dia yang beriya-iya,” cerita Rindu lagi.

“Mama ikut?” tanya Rania lembut pada ibunya.

“Tengoklah macam mana,” sahut ibunya. Mak Cik Rohaya masih berwajah sedih.
Tidak berani Rania menegur kerana khuatir Mak Cik Rohaya akan bertambah sayu hatinya.

“Nanti kita scuba diving ya sayang,” kata Rindu pada anak-anak.

Kedua-dua budak yang ceria itu melompat-lompat bila mendengar percutian di tepi laut.

“Macamlah dekat Australia tak ada pantai,” usik Rania.

“Hujan emas di negeri orang, mana sama hujan batu di negeri sendiri,” bantah Rindu pula.

Tidak dinafikan bahawa selama dia mengikut Iskandar merantau ke negara orang, rindunya pada keluarga dan tanah air tidak pernah padam. Ingin sekali dia pulang dan menetap di Malaysia dan bersama-sama keluarga, tapi setiap kali pandangan itu diutarakan pada Iskandar, suaminya itu menyuruhnya bersabar.
Rindu akur. Demi suami dan anak-anak, aku rela berkorban, detik hatinya.

“Ren naik atas dulu ya,” kata Rania.

Rindu tersedar daripada lamunannya. Rania sudah membimbit bekas berisi air.
Sempat pula Rania mengerling ke arah muka ibunya yang masih keruh.

“Hendak marahkan mak cik kenapa, tak bersebab langsung! Geram betul aku!”
Rungutan Puan Sri Zalia masih terdengar di telinga Rania sewaktu dia sudah melepasi ambang ruangan dapur. Rania tahu emaknya sangat sayangkan Mak Cik Rohaya. Sudah tentu pedih hatinya mendengar kata-kata Rais itu. Ah! Abang Rais pun satu. Kenapa perlu membesar-besarkan perkara kecil itu? Risau pula apabila mengenangkan keadaan yang sebelum ini nampak makin baik tiba-tiba tegang gara-gara Murni jatuh.

Harap-harap tak berlarutanlah! Doa Rania. Di dalam bilik, Murni terbaring dengan muka pucat.

Rais pula bertenggek di birai katil. Rania letakkan bekas berisi air suam di atas meja sisi di sebelah katil. Dia duduk di sebelah Rais. Hanya mereka berdua yang ada bersamanya. Melihat Murni seperti kehausan, Rania tuang air suam ke dalam gelas di atas meja sebelah Murni lalu diunjukkan pada Murni.

“Terima kasih kak,” kata Murni. Dia minum seteguk sahaja. Kemudian dia cuba mendudukkan dirinya. Bahagian belakang tubuhnya berasa berat sikit. Dia membetulkan kedudukan tubuhnya, tetapi ada sedikit rasa sengal di bahagian tulang punggung. Rais tolong sendal belakang Murni dengan bantal.

“Okey?” tanya Rais untuk memastikan Murni berada dalam keadaan yang selesa.

Murni angguk. Dia rasa dihargai. Bagus juga aku jatuh. Baru nampak Rais ambil berat, kalau tidak aku ini macam tak wujud saja! Murni berkata-kata sendiri.

“Murni nak makan apa-apa tak? Tadi makan pun tak menentu,” tanya Rania prihatin.

“Tak apa Kak Ren. Murni tak rasa lapar pun.”

“Masih terkejut tu,” sampuk pula Rais.

“Lambat pula Mak Cik Piah ni,” kata Rania seraya ditoleh jam di lengan.

Dia bangkit dari duduk dan mundar-mandir di bilik pengantin. Diintai dari jendela di bilik tersebut, tapi kereta yang dipandu Pak Mud untuk menjemput Mak Cik Piah tukang urut belum kelihatan. Rumah Mak Cik Piah bukannya jauh, di Kampung Datok Abu Bakar Baginda saja, tapi mengapa belum sampai? Fikir Rania.
Sambil menunggu Mak Cik Piah, Rania memerhatikan bilik pengantin yang dihias juruhias berpengalaman. Bilik itu asalnya bilik Rais. Ringkas dan tidak banyak perabot, tetapi diubahsuai dengan begitu cantik setelah jadi bilik pengantin.
Dihias indah semata-mata untuk meraikan pengantin berdua. Kini Murni berpindah ke bilik tersebut dan bilik tetamu yang menempatkan Murni sebelum bernikah dengan Rais didiami oleh Abang Ridhwan. Rania mengubungi Pak Mud.

“Dah nak sampai Ren,” sahut Pak Mud.

“Kenapa lambat?”

“Tadi ada orang berurut kat rumah Mak Cik Piah,” terang Pak Mud.

“Baik Pak Mud. Hati-hati memandu ya,” pesan Rania.

“Dah nak sampai?” tanya Rais.

Rania angguk. Lega rasanya mengetahui bahawa Mak Cik Piah akan sampai sekejap lagi. Memang Rania bimbangkan keselamatan bayi Murni dan ibu muda itu. Sengaja dihubungi tukang urut yang selalu mengurut ibunya untuk tengokkan Murni.
Walaupun secara kasar Murni tidak cedera, tapi Rania tetap mahu Mak Cik Piah tengokkan Murni. Rania masih mundar-mandir di dalam bilik yang masih bersisa aura pengantin itu. Tiba-tiba matanya tertangkap sebuah tilam bujang bergulung di tepi almari pakaian yang agak tersorok.

Kenapa tilam ini ada di sini? Bisik Rania sendiri. Dia mengerling Rais yang membaca majalah di tepi katil. Abang Rais tidur di bawah ke? Kalau betul kenapa Abang Rais tidur di bawah? Abang Rais tidak dapat menerima Murnikah? Kalau begitu, mengapa dia kahwin dengan Murni? Pelik! Fikiran Rania bertali arus, tetapi terbang lamunannya apabila terdengar suara orang memberi salam di luar bilik.

Mak Cik Piah muncul bersama Mak Cik Rohaya.

“Hah, sampai pun,” sapa Rania dengan riang.

Mak Cik Piah diperkenalkan pada Murni. Terkejut juga mak cik urut itu apabila mengetahui Rais sudah bernikah sekali lagi dan nampak dia terkilan kerana tidak diundang.

“Alah, majlis kecil saja Mak Piah. Pengantin lamalah katakan,” Rania berjenaka.

Mak Cik Piah senyum kecil. Murni ditinggalkan dengan Mak Cik Piah. Rania pimpin tangan Mak Cik Rohaya turun ke bawah. Kemudian dia masuk ke dapur bersama Mak Cik Rohaya.

“Mama mana mak cik?”

“Kat luar tu, main dengan cucu-cucunya.”

“Mak cik dah okey dah?” tanya Rania. Baru dia berani bertanya bila melihat wajah Mak Cik Rohaya lebih berjiwa daripada tadi.

“Okey tak okey, telan sajalah,” rintih Mak Cik Rohaya. Wajah tuanya masih membendung hiris-hiris luka dek teguran Rais tadi. Sedikit pun dia tidak menyangka Rais sanggup menegurnya kerana perempuan tersebut. Tak masuk akal betul!

“Alah, mak cik jangan cakap macam tu, sedih Ren tau.”

“Mahu mak cik tak sedih. Kena marah dengan Rais sebab budak perempuan tu.”

“Abang Rais tak marah, dia tegur saja.”

“Tapi mak cik kecil hati Ren. Mama Ren pun sedih dengar Rais tegur macam tu.”

“Memang Abang Rais tak patut tegur pun. Tapi mungkin Abang Rais risaukan bayi dalam kandungan Murni tu. Susah-susah dia selamatkan bayi tu, alih-alih kalau berlaku apa-apa, macam sia-sia saja kan!” pujuk Rania lagi.

“Masalahnya, dia tu yang gopoh-gapah. Buat kerja tak tentu arah, menyibuk kat dapur belakang tu siapa suruh. Semua ada kat depan. Mak cik dah siapkan!”
rungut Mak Cik Rohaya. Menyampah benar kalau dikenang-kenang perangai si Murni itu.

“Dia kan mengandung mak cik, biasalah kalut tu!”

“Orang lain pun mengandung juga. Tak ada apa-apanya. Ren tak payah bimbangkan dia.”

“Takut bayi dalam kandungan tu.”

“Insya-Allah tak ada apa-apa. Kalau ada yang tak kena, Murni tu tak boleh bangun langsung. Tadi elok saja mak cik tengok dia jalan walaupun hinjut-hinjut,” tekan Mak Cik Rohaya.

Ternyata apa yang dikata Mak Cik Rohaya tepat sekali. Mak Cik Piah yang baru selesai mengurut Murni memaklumkan Murni dan kandungannya berada dalam keadaan selamat. Semasa Mak Cik Piah masuk ke bilik air, Makcik Rohaya sempat berbisik pada Rania.

“Kan mak cik dah kata tak ada apa-apa! Tak pasal pasal mak cik kena tegur dengan Rais,” ungkit Mak Cik Rohaya.

“H’ah kan! Alhamdulillah, semua sihat. Nanti Ren marah Abang Rais balik.”
Usikan Rania mengukirkan senyum di bibir Makcik Rohaya.

“Mak cik nak urut juga?” tanya Rania.

“Eh mak cik tak hendaklah Ren.”

“Boleh tak mak cik masakkan bubur air untuk Murni?” tanya Rania tertib.

Mak Cik Rohaya merenung muka bersih Rania. “Kalau mak cik masak, mak cik masak sebab Ren tau.”

“Eh salah tu, mak cik masak sebab Allah...” Rania membuat pembetulan.

Mak Cik Rohaya tersenyum kecil. Lapang dada Rania melihat Mak Cik Rohaya ceria kembali. Syukur pada-Mu Tuhan atas limpah kurnia yang Kau beri.

“Ren nak tanyakan mama kalau-kalau mama nak berurut juga.” Rania ke beranda hadapan menyaingi ibu dan keluarga Rindu.

“Boleh juga. Tapi biar Mak Cik Piah rehat sekejap,” sahut Puan Sri Zalia.

“Nanti Ren beritahu mak cik.”

“Budak tu macam mana?” tanya Puan Sri Zalia dengan muka sombongnya.

“Alhamdulillah, tak ada apa-apa. Semua okey.”

“Saja mengada-ngada.”

“Mama, yang dah lepas tu lepaslah, tak baik mama layan Murni macam tu,” Rindu tiba-tiba menegur ibunya.

Selama berada di rumah ibunya, telinganya tak berhenti-henti mendengar ibu mencemuh Murni. Sungguhpun dia tahu kesalahan yang Murni lakukan, tetapi dia berpegang kepada hakikat bahawa manusia sentiasa berbuat kesalahan. Orang yang berbuat salah tidak harus terus dihukum, tetapi perlu dibimbing untuk kembali ke pangkal jalan. Menerima Murni berkahwin dengan Rais merupakan perkara mulia yang dilakukan oleh keluarganya, tetapi berterusan mencemuh Murni akan mengurangkan pahala yang sudah pun diperoleh sebelum ini.

Puan Sri Zalia terdiam. Dia memerhatikan cucu-cucunya yang bermain bola di laman berumput yang luas dan bersih.

“Ya mama. Terimalah Murni dengan ikhlas. Dia dah kahwin pun dengan Rais. Dah jadi keluarga kita.”

“Mama tak pernah anggap dia keluarga kita. Dia nak duduk di sini duduklah, tapi beritahu pada dia pandai-pandailah dia bawa diri dia tu,” Puan Sri Zalia bangkit meninggalkan kedua-dua orang anak perempuannya termangu memandangi sesama sendiri.

“Ren duduk dengan mama, selalu selalulah muhasabah mama supaya terima apa yang Tuhan telah takdirkan,” nasihat Rindu kepada adiknya.

Sekonyong-konyong Rania teringatkan peristiwa dia ternampak ayahnya bersama perempuan muda di Pavilion. Kalau suatu hari mama mendapat tahu tentang hal itu, bagaimanakah penerimaan mama? Mampukah mama menerimanya? Bagaimana mama akan menerimanya? Rania yakin mama tidak akan mampu menerimanya. Perihal situasi Rais dan Murni yang begini pun, sukar untuk mama terima, apatah lagi kes ayah dengan perempuan muda yang entah siapa-siapa itu!

Perlukah aku berkongsi rahsia ini dengan Kak Rindu? Puas berfikir buruk baiknya, akhirnya Rania mengambil keputusan bercerita pada Rindu tentang ayah mereka. Terperanjat besar Rindu mendengarnya sampai dia terdiam seketika.
Matanya tidak berkedip sedang mulutnya ternganga sedetik.

“Betul ke ayah yang Ren nampak?” tanya Rindu untuk dapatkan kepastian.

“Memang ayah kak. Nasib baik mama tak nampak,” Rania melahirkan kekesalannya.
Lapang rasa dadanya yang tersengkak selama ini sebaik sahaja dia berkongsi cerita dengan kakaknya.

“Ren ada beritahu siapa-siapa? Abang Rais ke?”

Rania gelengkan kepala.

“Banyak sangat masalah yang melanda keluarga kita akhir-akhir ni kak. Ren tak sampai hati nak cerita lebih-lebih lagi pada Abang Rais,” adu Rania.

“Kasihan adik kakak.” Rindu peluk Rania. Belas sungguh dia kepada Rania.
Seorang diri dia menghadapi masalah yang melanda keluarga.

“Lain kali ceritalah pada kakak. Apa guna ada kakak, tapi tak boleh berkongsi masalah.”

“Entahlah kak. Ada satu ketika tu Ren menangis seorang kat pondok tu,” Rania kenang kisah yang berlaku dulu. “Menangis kenang macam-macam masalah, tiba-tiba Qayyum muncul. Dia balik Malaysia tak beritahu Ren. Tiba-tiba saja ada!” Ceria wajah Rania menggamit senyum di wajah Rindu.

“Romantiknya!”

“Memang romantik. Macam cerita Hindustankan? Ren rasa cinta Ren makin mekar pada Qayyum bermula pada detik itu. Macam terbang semua masalah yang melanda Ren bila tiba-tiba Qayyum datang.”

“Kakak happy sangat untuk Ren. Jangan lepaskan Qayyum lagi tau,” pesan Rindu.

“Never!”

“Mama cerita pada kakak, dulu Ren dengan Qayyum terputus hubungan sebab Murni.”

Rania angguk. “Tapi bukan salah Murni bila Ren nak putuskan hubungan tu.”

“Well, we have to stop Ren. Tengok budak-budak tu dah comot berguling-guling kat rumput tu. Kakak nak mandikan dia orang.”

Rania tergelak-gelak tengok anak-anak saudaranya yang sengaja menggolek-golekkan tubuh di atas rumput. Nampak comel sangat bila mereka berbuat demikian.

“Tapi kita ada banyak masa untuk bercerita nanti bila kita bersantai di Langkawi.” Rindu ingatkan Rania.

“Okey, okey,” janji Rania.

Di bilik ibunya di bawah, Mak Cik Piah sedang mengurut dan berbual dengan ibunya. Rania panjat tangga menuju ke bilik Murni. Murni sendirian. Wajah Murni kelihatan merah dan berseri selepas diurut. Sebaik sahaja Rais muncul, Rania memberitahu keadaan Murni kepadanya. Rais menarik nafas lega.

“Lepas ni awak jaga diri baik-baik tau. Nak apa-apa cakap saja dengan mak cik.
Jangan buat sendiri,” pesan Rais.

“Nenek Ninda kata ibu mengandung kena aktif, baru senang nak melahirkan,” Murni membuat pembetulan.

“Memang pun. Bila kita aktif, baby senang keluar nanti,” sampuk pula Rania.

Rais mati kutu. Dia memang tidak tahu menahu tentang tata cara ibu mengandung.
Yang dia risaukan ialah keselamatan Murni dan bayi tersebut.

“Kalau macam tu hati-hatilah,” Rais mengalah. “Nanti bila Ren mengandung, bolehlah Ren belajar dari pengalaman Murni.”

“Ren lambat lagilah abang,” potong Rania.

“Lambat apanya. Hujung tahun dah tinggal berapa bulan lagi. Semalam abang skype dengan Qayyum dia kata mungkin dia akan balik lagi.”

“La, dia skype dengan abang. Dengan Ren tak pula.”

“Habis Ren sibuk memanjang.”

“Memanglah sibuk. Abang tak nampak ke kertas periksa bertimbun dalam bilik Ren tu. Tapi kalau dia nak skype dengan Ren, cakap sajalah,” Rania menjeling.
Merajuk pun ada juga.

Rais tertawa tampan. Rania bahagia melihat Rais yang mulai ceria. Ada hikmahnya Murni jatuh. Nampak sangat Rais prihatin terhadap keselamatan Murni dan bayinya. Tapi bagaimana pula perasaan Rais terhadap Murni? Tilam yang bergulung itu apa tandanya?

“Kalau awak nak apa-apa, awak call saya atau Ren ya?” kata Rais sebelum keluar dari kamar.

Ringan mulut Rania hendak bertanyakan Murni tentang tilam yang dia lihat, tetapi dibatalkan niatnya apabila melihat Murni berbaring.

“Nak tidur ya?”

“Penat lepas berurut. Mak cik tu kata lepas dua jam baru boleh mandi.”

“Murni berehatlah ya!” Rania tinggalkan Murni sendirian.

Sungguhpun matanya mengantuk, Murni tidak dapat melelapkan mata. Dia berasa bahagia kerana layanan Rais padanya mulai berubah. Dia lebih prihatin dan selalu menasihati Murni supaya berhati-hati untuk keselamatan bayi yang dikandung. Tapi ketara, di mata Rais hanya belas yang bertakhta, tapi
tidak kasih. Murni ingat masa dia ditempatkan di kondominium Rais di Bukit Mulia. Rais lebih peramah dan prihatin, tapi peristiwa tangkap khalwat mereka telah merubah pandangan Rais padanya.

Ada hikmahnya aku jatuh. Rais lebih prihatin dan penuh perhatian terhadapku.
Tapi apa kesudahan hidup aku ini? Kekalkah di sini atau apa akan berlaku padaku sesudah bayi ini lahir? Bagaimana pula Ummar Qayyum? Sehingga ke hari ini perasaanku pada Abang Qayyum tak pernah berubah. Kerana kau Ren, semua yang aku rencanakan berantakan!

Perlukah aku menerima takdir ini atau perlukah aku mengubahnya? Murni hanyut dibuai persoalan demi persoalan. Perutnya diraba perlahan. Tengoklah macam mana situasi hidup aku Rania! Tengoklah!

Bersambung.

0 comments:

Sale! Sale! Sale!

Dapatkan pelbagai barangan di Seri Sekijang Blogshop...
Legging kanak-kanak, Cawan Giacomo, Handmade Chocolate, Homelife, kitchen wallpaper, cartoon cutlery, kitchen tools, Gift Box, Serving tray, Fridge magnet preloved item

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

I will follow youuu....

babab.net

apesal traffic??