Wednesday, October 10, 2012

Cikgu Rania Siri 14: Tenggelamkan aku dalam cintanya!

Oleh Samsiah Mohd Nor
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
RUMAH besar dan mewah Tan Sri Razlan kembali sunyi selepas semua anak dan cucu-cucu yang tinggal berjauhan kembali ke tempat masing-masing. Redwan meneruskan perjuangan misi kemanusiaannya. Kali ini dia bersama kumpulannya ke Palestin membantu umat Islam yang dikejami di sana. Iskandar sekeluarga pula sudah balik ke Melbourne.
Cuma Ummar Qayyum yang masih berada di Malaysia, namun dalam masa seminggu lagi dia juga akan berangkat pulang ke Sweden. Banyak perkara yang dibincangkan tentang perkahwinan mereka baru-baru ini. Seperti yang disepakati, bulan Februari menjadi pilihan kedua-dua keluarga untuk sebuah penyatuan setelah mengambil kira pelbagai faktor.

Rania berasa lega kerana segala urusan berjalan lancar. Dalam masa dua bulan dari sekarang, sekali lagi keluarga besar mereka akan berkumpul untuk meraikan perkahwinannya dengan Ummar Qayyum. Akan berjumpa lagi dia dengan sanak-saudaranya yang kebanyakannya tinggal di merata tempat di bumi Allah ini.

Terkenang Rania pada anak-anak saudaranya, Seth dan Isabela yang membuat ragam di KLIA tempoh hari. Mereka berat hati hendak pulang ke Australia. Anak-anak buahnya itu berlilit di sekeliling tubuhnya dan enggan bergerak tatkala diajak Rindu menuruni tangga bergerak. Di pintu imigresen, sekali lagi anak-anak itu memandang sayu pada mereka sekeluarga sehingga emaknya tersedu. Sedu emak berpanjangan pula. Dari hari keberangkatan anak menantu dan cucu tempoh hari sehingga sekarang, sedu emak belum bernoktah.

Di hadapannya sekarang, emak berwajah gundah. Tidak riang an riuh seperti biasa. Sudah makan banyak hari keadaan emaknya begitu. Kenapa dengan mama ini?
Rania bermonolog sendiri. Sejak pulang dari Pulau Langkawi, Rania perasan perwatakan ibunya mulai berubah. Dia tidak berapa ceria dan banyak duduk bersendirian.

Sepanjang cuti persekolahan hujung tahun yang sedang dilalui sekarang, ibu lebih suka menyepikan diri. Selalunya ibu akan merancang macam-macam program untuk mereka tetapi tidak kali ini.

Apa masalah mama? Terdetik lagi di hati Rania seraya menjeling sekilas pada ibu yang ketara sedang melamun. Namun, diketepikan dulu perihal ibunya apabila deringan telefon daripada Ummar Qayyum mengejutkannya.

“I ada kat depan ni,” suara Ummar Qayyum romantis sekali.

Rania memaklumi ibunya tentang kedatangan Ummar Qayyum sebelum bergegas menyambutnya.

“Cantiknya tunang I!” bisik Ummar Qayyum jujur. Dia terpesona sebaik sahaja melihat Rania yang berbaju kebaya warna merah jambu.

“Mengada-ngada you ni!”

“Sumpah! You cantik sangat berkebaya. Lepas ini bila jumpa I pakai kebaya ya!”
sambungnya lagi seraya beriringan dengan Rania menghala ke ruang tamu tempat Puan Sri Zalia menunggu.

Bersama Puan Sri Zalia, ada Rais dan Murni. Rais duduk di sebelah ibunya manakala Murni duduk di kerusi yang agak berjarak dengan Puan Sri Zalia.

Seperti biasa kedatangan Ummar Qayyum disambut mesra oleh Puan Sri Zalia. Ceria sikit wajah wanita itu apabila perbincangan mereka beralih pada perkahwinan yang akan dilangsungkan nanti.

“Kerja Qayyum di Sweden macam mana lepas kahwin nanti?” tanya Puan Sri Zalia. Risau juga kalau-kalau Rania mahu dibawa Ummar Qayyum berhijrah ke Sweden.

Cukuplah Rindu dan Redwan sahaja yang berkelana ke luar negara. Biarlah Rania bersamanya di bumi tercinta ini.

“Saya dah selesaikan semua operasi syarikat. Sistem dan pengurusan semua dalam kawalan. Nanti Malek akan teruskan di sana.”

“Maknanya Qayyum tak akan menetap di sana?”

“Saya di sini. Malek akan ambil alih tugas saya di sana.”

“Malek di mana sekarang?”

“Malek dah sebulan di sana. Sengaja saya biarkan dia untuk kendalikan operasi tanpa saya,” ujar Ummar Qayyum.

“Bagus, bagus! Senanglah nanti dah ada orang kepercayaan. Qayyum tak balik ke sana lagi?” tanya Puan Sri Zalia penuh minat.

“Sesekali saja saya akan ke sana tapi kalau pergi saya nak bawa Ren sekali.”

Nampak seperti dia berseloroh tapi wajah lelaki itu serius. Rania tersenyum dengan usikan Ummar Qayyum tapi air muka Murni berubah kelat mendengar cadangan Ummar Qayyum. Sakit telinganya mendengar rancangan Ummar Qayyum hendak membawa Rania makan angin di Eropah. Semasa melihat anak beranak itu riuh bercerita, dia bangkit dan menuju ke arah belakang. Makcik Rohaya tidak kelihatan.
Perempuan berbadan dua itu menyusur dapur basah lantas terus ke taman mini.

Dia berjauh hati dengan nasib diri. Dia hampa dan kecewa. Keluhan dilepaskan.
Dia tidak tahu sampai bila dia harus berdepan dengan bebanan perasaan yang sedemikian. Perasaan cintanya pada Ummar Qayyum tak pernah hilang. Pada masa yang sama patah hatinya dengan sikap dingin Ummar Qayyum. Walaupun kini Rais sudah tidak sedingin dahulu dan makin memberi perhatian padanya sejak kandungannya kian membesar tapi apalah ertinya? Ummar Qayyum kelak akan bernikah dengan Rania.

Bagaimana dengan aku? Sanggupkah aku melihat mereka bermesra-mesraan di hadapanku? Fikiran Murni terus menerawang. Sedang dia melayang-layang begitu, terdengar pula suara orang tertawa dan kesukaan. Suara Rania dan Ummar Qayyum. Lagi sakit hatinya.

Pokok-pokok bunga ros yang ditanam berjajaran di tepi pagar dihampiri.
Ditumpukan perhatian pada aneka bunga yang berkembang mekar. Ada pelbagai warna - merah, kuning, putih dan merah jambu. Lebat sekali bunganya. Bunga-bunga yang kembang mekar itu dijadikan terapi untuk membunuh sehiris perasaan kosong yang selalu sangat bertandang.

Baik aku tengok kembang-kembang mewangi ini, tenang sikit, tak menyakitkan hati! Duduk dengan mereka buat sakit jiwa saja! Orang kayalah katakan!
Pokok-pokok itu segar dan lebat berbunga kerana Makcik Rohaya rajin menjaga.
Selalu Murni nampak Makcik Rohaya menyiram pokok-pokok bunga ros itu dengan air beras. Pokok-pokok bunga ros itu paling disukai oleh Puan Sri Zalia. Setiap pagi sebelum bersarapan, Puan Sri Zalia akan melihat-lihat pokok-pokok bunga ros kesayangannya.

Hari ini kau asyik mencium harum mawar-mawar nan indah Rania, esok kau rasalah duri tajam mawar ini pula! Suara dendam bergema di bibir Murni. Entah mengapa dia tidak pernah suka pada Rania. Walaupun kau berubah jadi bidadari pun, aku tetap akan benci kau Rania! Murni patahkan seranting bunga ros lalu dimasukkan dalam kocek bajunya. Dia masuk semula ke rumah melalui pintu belakang. Di ruang tamu Rais sudah tiada. Yang ada Puan Sri Zalia bersama Rania dan Ummar Qayyum.

Puan Sri Zalia mengerling sekilas pada Murni menyedari ibu muda itu lewat di belakangnya. Ummar Qayyum langsung tidak memandang kepadanya.

“Murni tak minum sekali?” tegur Rania ramah.

Murni sekadar menggeleng. Rania kembali memberi perhatian pada topik perbincangan mereka.

“Alhamdulillah Tuhan permudahkan semua urusan, tak lama lagi dah tu.” Puan Sri Zalia menzahirkan rasa syukur pada Allah.

“Eh, lama juga nak tunggu bulan dua auntie.” Jelingan Ummar Qayyum penuh bermakna. Dari tadi ada sesuatu yang mahu disampaikan tapi dia mencari masa yang sesuai.

“Apa yang lamanya? Pejam celik pejam pejam celik dah bulan dua,” sampuk Rania.

“Lama juga nak tunggu Februari tahun depan. Kalau ikutkan I, I nak nikah dulu sekarang ni. Boleh bawa you terus ke Sweden.” Kata-kata Ummar Qayyum membuatkan Rania tersentak.

“Agak-agaklah kalau nak bergurau,” tegur Rania yang masih berfikir Ummar Qayyum hendak menyakatnya.

“I tak gurau Ren. Auntie, saya serius. Saya nak nikah dengan Ren dulu,” ujar Ummar Qayyum tiba-tiba.

Sejak malam tadi, rancangan itulah yang bergendang-gendang di fikirannya. Malah sudah dibincang dengan keluarganya sebelum ini. Tiada bantahan daripada pihak keluarganya. Justeru, dia sudah tekad menyampaikan rancangannya kepada Rania dan keluarga Rania secepat mungkin. Kini, terpulang kepada Rania dan keluarganya untuk menentukan - setuju atau tidak. Tapi jauh di sudut hati dia sangat berharap agar Rania bersetuju. Ummar Qayyum turut membentangkan pelan awal mereka sebelum itu. Terkebil-kebil Rania mendengarnya.

“Maksud Qayyum macam mana?” Puan Sri Zalia menggaru kepala. Dia kurang faham.

“Nikah dulu, majlis kemudian. Sebenarnya, saya dah pun berbincang dengan emak dan abang Bakhtiar. Mereka setuju kalau saya nikah sekarang. Langsungkan bulan Februari.”

Penjelasan Ummar Qayyum membuatkan kedua-dua beranak itu diam sejenak. Mereka berpandangan seketika.

“Hissh kamu ni Qayyum, dah nak jadi macam cerita si Murni pula,” tiba-tiba Puan Sri Zalia bersuara sinis. Kemudian dia mendongak memandang ke arah tangga dengan jelingan tersirat.

Rania sedar ibunya menyindir Murni. Nasib baik Murni tiada di situ. Kalau tidak sudah tentu dia berkecil hati. Namun, itulah alasan yang digunakan oleh Puan Sri Zalia kepada Makcik Piah tukang urut semasa mengurut Murni dulu. Kononnya, Murni dan Rais bernikah enam bulan lebih awal sebelum majlis perkahwinan berlangsung. Kalau tidak beralasan demikian, terbongkarlah rahsia Murni.

“Mama, tak payahlah ungkit ungkit cerita yang lepas. Sekarang kita bincang hal lain,” tegur Rania apabila ibunya meleretkan cerita Murni.

“Mama nak ingatkan saja,” tukasnya dan seketika kemudian merenung tajam pada Ummar Qayyum. “Kamu serius ke Qayyum?”

Ummar Qayyum angguk.

“Kenapa tak cakap pada auntie awal-awal rancangan Qayyum macam tu?”

Air kopi dalam cawan dihirup Puan Sri Zalia.

“Masa di Langkawi hari tu macam nak cakap tapi...!” Ummar Qayyum tergelak kecil. Dia tidak punya jawapan yang mantap untuk soalan Puan Sri Zalia itu.

“Ren setuju?” potong wanita itu. Kali ini wajah anak gadisnya pula dilahap.

“Eh mama ni, apa pula? Dah kata bulan dua, bulan dualah,” sanggah Rania.

“Mama tanya saja. Cuti sekolah berbaki lagi ni. Kalau betul-betul nak nikah dulu, mama tak kisah.”

Terkejut Rania mendengar kata-kata ibunya. Semudah itu ibu menerima pandangan Ummar Qayyum. Setahunya ibu seorang yang mementingkan kesempurnaan. Segalanya harus teratur dan dirancang rapi. Sehingga ke hari ini tak pernah ibu buat kerja saat-saat akhir. Tapi lain pula kali ini.

“Macam mana Ren? You setuju?” tanya Ummar Qayyum sekali lagi. Dia teruja mahu mendengar jawapan positif daripada Rania.

“Mana sempat Qayyum. Banyak urusan sebelum nikah ni. Macam Abang Rais hari tu, macam-macam kena buat. Isi borang. Kita kena pergi kursus perkahwinan dulu, kena ambil darah dan banyak lagi.”

“Kalau you kata setuju Ren, semuanya akan jadi mudah. Tahulah I macam mana nak uruskan hal hal tersebut,” yakin benar Ummar Qayyum.

Rania pandang ibunya mohon nasihat. Dia sudah mulai ragu-ragu dengan dirinya.

“Mama serahkan pada Ren. Ini masa depan Ren. Ren buatlah keputusan. Mama nak sembahyang Asar dulu. Kamu berdua bincanglah baik-baik.” Kalimah daripada ibunya memang benar-benar memeranjatkan Rania.

“Seminggu sebelum balik ke Sweden lebih pada cukup untuk I uruskan semua. Just say yes Ren!” Rayuan Ummar Qayyum yang tiba-tiba itu membuatkan Rania sesak nafas.

Sungguh benarkah Ummar Qayyum ini? Hati Rania berlagu lagi.

“Ren, please! I nak balik Sweden dengan you. I tak nak balik seorang. Balik dengan I ya Ren. Temankan I di sana. Please!” Syahdunya ungkapan yang terletus daripada mulut Ummar Qayyum membuatkan Rania lemas. Semudah itu?

Rania tatap muka Ummar Qayyum. Dia temui kejujuran di mata lelaki itu. Matanya bersinar penuh impian. Dia nampak harapan yang menggunung. Kesungguhannya membukit. Kalau aku kata tidak, sudah tentu hancur berkecai hatinya. Entah kuasa dari mana dia tidak tahu tapi dia dapat menerima permintaan Ummar Qayyum.
Dia rasa damai mendengar kalimah yang terluncur dari mulut Ummar Qayyum.

Sebuah anggukan daripada Rania menyebabkan tubuh Ummar Qayyum seperti melayang di udara. Dia seperti terbang di awangan. Dia tenggelam dalam lautan cinta.

“You setuju?” Dengan suara bergetar Ummar Qayyum bertanya. Dia inginkan kepastian.

“I setuju!” suara Rania perlahan, nyaris tidak kedengaran tapi Ummar Qayyum dapat membacanya. Dia menghela nafas syukur. Benarkah apa yang aku dengar? Yang aku lihat? Rania bersetuju. Ya Allah, terima kasih atas rahmat yang Kau kurniakan. Terima kasih Tuhan. Hatinya bernyanyi riang.

Berita gembira itu cepat sahaja sampai ke pengetahuan Puan Sri Zalia. Hampir menitik air mata wanita itu apabila Rania membisikkan keputusan itu di telinganya. Manusia merancang tapi Allah yang lebih mengetahui! Bisiknya sendiri.

“Mama nak call ayah sekarang juga,” ujarnya tapi dia terduduk sejenak.

Baru dia teringat bahawa dia bermasalah dengan suaminya. Dia teringat sesuatu yang memedihkan raganya. Semasa di Pulau Langkawi dulu, Datin Latifah menghubunginya lalu menyampaikan sesuatu tentang suaminya. Perlukah aku tunjuk perasaan atau tenggelamkan dahulu masalahku dengan suami demi Rania? Tidak lama masa yang diperlukan untuk membuat keputusan.

Ah Rania, kau buat mama terlupa masalah mama. Bahagialah kau nak! Puan Sri Zalia sapu air matanya yang bergenang. Kerana kau, mama telan semuanya! Terus didail nombor Tan Sri Razlan.

“Abang setuju. Elok sangat perkara yang baik dipercepat dan dipermudah.” Komen positif daripada suami membuatkan Puan Sri Zalia sebak. Hilang seketika perasaan sedihnya pada suami. Dia terduduk di kerusi. Dia menahan hati seketika.

“Ayah pun setuju,” maklumnya pada Rania sewaktu anak gadis itu menghampirinya.

“Alhamdulillah!” Rania raup mukanya.

Matanya terpejam seketika. Ummar Qayyum menikmati saat-saat indah itu dengan debar yang sukar dimengerti. Senyap-senyap, dia turut menghubungi ahli keluarganya dan memaklumi berita terkini. Nenek Ninda memanjatkan rasa syukur mendapat berita tersebut. Selain adik-beradiknya, Ummar Qayyum tidak lupa menghubungi Ashraf Daniel. Sebaik sahaja mendengar berita itu, Ashraf Daniel menjerit kesukaan.

“Bestnya Pak Ucu! Macam mimpi. Nanti Acap nak masukkan dalam FB. Mesti kawan-kawan Acap ramai yang nak datang.”

“Jangan dulu Acap. Ini majlis nikah saja. Kami buat simple sangat. Bulan Februari baru buat majlis. Masa tu Acap panggil semua kawan pun tak jadi hal!”

“Nikah tak sama dengan kahwin ke?” Soalan Ashraf Daniel membuatkan Ummar Qayyum tertawa besar.

“Nantilah Pak Ucu jelaskan. Sementara waktu jangan masuk FB dulu ya!” pesan Ummar Qayyum.

Talian telefon dimatikan. Rania menunggu penjelasan Ummar Qayyum yang masih dengan sisa tawanya.

“Kenapa?”

“I call Acap. Lawak betul anak saudara I ni. Oh ya! Dia kata nak masukkan dalam FB tentang berita pernikahan kita. I tak bagi dulu,” jelas Ummar Qayyum.

“Eh jangan dulu. Segan I,” tukas Rania.

“Mama nak call Abang Redwan dengan Kak Rindu.” Puan Sri Zalia mencuit Rania.

Makcik Rohaya yang baru mendengar khabar bahagia itu bergegas memeluk Rania.
Diciumnya pipi Rania bertalu-talu. Di telefon suara Rindu riuh rendah sebaik sahaja mendapat perkhabaran tersebut. Puan Sri Zalia menggeleng-gelengkan kepala mengenangkan gelagat anak-anak.

“Mama, Rindu nak balik. Rindu nak ada kat situ. Rindu nak buat macam-macam untuk adik. Rindu nak pilih baju nikah adik. Rindu nak ada kat sana,” jerit Rindu.

Dia tersangat gembira mendengar berita di luar duga.

“Iskandar ikut juga?” tanya Puan Sri Zalia.

“Tak kisahlah abang Is ada atau tidak. Rindu tetap akan balik. Mama, Rindu happy sangat untuk adik.” Rindu sudah sebak di seberang sana.

“Hah baliklah. Redwan pun nak balik juga. Mak happy ni. Gembira sangat-sangat.
Balik cepat.”

Puan Sri Zalia peluk Rania yang setia di sebelahnya. “Seronok pula buat kerja kelam-kabut begini.” Dalam tawa Puan Sri Zalia menangis. “Mama rasa ini saat paling indah. Best juga ya buat keputusan last minute macam ni.”

Rania peluk ibunya sesungguh hati. Dia berasa sangat gembira. Tidak pernah dirasakan kegembiraan seumpama itu sepanjang hidupnya.

Di anak tangga, Rais berdiri kehairanan. Dia melihat sesuatu yang agak luar biasa berlaku. Apa ceritanya? Soalnya sendiri. Dia bergegas menuruni anak tangga. Rania masih berpelukan dengan ibunya. Wajah Ummar Qayyum berseri-seri manakala senyum di bibir Makcik Rohaya tak pernah lekang.

“Ada apa ni? Kenapa semua orang nampak excited?” tanya Rais tidak sabar.

“Berita baik Rais,” Makcik Rohaya pula yang menjawab.

“Apa?”

“Qayyum dengan Ren akan bernikah dalam masa terdekat ni!” terang Makcik Rohaya.

Rais tumpang gembira. Dia berjabat tangan dengan Ummar Qayyum. Mereka berpelukan. Murni yang kebetulan terpinga-pinga di anak tangga terkejut besar mendengarnya. Hatinya rabak mendengar berita itu. Jiwanya berkecai seumpama kaca jatuh terhempas ke batu.

1 comments:

Miss Mirror a.k.a Sam said... [Reply]

Apa khabar Pn Nafisa?. Tak mabuk2 ke di awal pregnant ni?.

Sale! Sale! Sale!

Dapatkan pelbagai barangan di Seri Sekijang Blogshop...
Legging kanak-kanak, Cawan Giacomo, Handmade Chocolate, Homelife, kitchen wallpaper, cartoon cutlery, kitchen tools, Gift Box, Serving tray, Fridge magnet preloved item

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

I will follow youuu....

babab.net

apesal traffic??