Tuesday, November 6, 2012

Cikgu Rania 2 (Siri 18): Sekuntum mawar hitam!

Oleh Samsiah Mohd Nor
     
HIBA hati Puan Sri Zalia masih bersisa biarpun sudah hampir seminggu Rania bersama Ummar Qayyum berangkat ke luar negara. Sejak hari keberangkatan anak bongsu kesayangannya bersama suami, hidupnya berasa begitu sunyi dan sepi.
Ditambah pula dengan hubungan dingin antara dirinya dengan suami menambahkan lagi keluh-kesahnya. Dia juga teringat beberapa episod cerita tentang suaminya yang disampaikan beberapa kenalan dan juga Rania. Suami yang selama ini disangka setia rupa-rupanya telah sekian lama beristeri muda. Bagaimana hatinya tak pedih?

Dasar penipu! Puan Sri Zalia mendengus sendirian. Sakit hatinya bukan kepalang kalau dikenang-kenang, tetapi teringat pula pesanan Rania agar dia pasrah, sejuk sekejap perut. Lama kemudian rasa marah itu datang balik. Aduh! Pada siapa hendak mengadu dan berkongsi rasa? Hendak bercerita panjang lebar pada Makcik Rohaya, sejauh mana sangatlah fahamnya wanita itu. Yang faham benar masalahnya ialah Rania.

“Ren, cepatlah balik,” keluhnya sendiri.

Dia duduk termenung di tepi jendela. Di tangannya sentiasa ada telefon. Hari itu sahaja, sudah dua kali dia menghubungi Rania. Kalau ikutkan hati setiap masa dia mahu bercakap dengan Rania, tapi memikirkan anaknya itu sedang berbulan madu, ditahankan hati dan perasaannya.

“Puan Sri nak makan apa-apa, boleh saya masakkan,” Makcik Rohaya yang mengerti perasaan tuan rumahnya berbasi-basi menegur. Dia perasan akan perubahan sikap Puan Sri Zalia akhir-akhir ini.

Dia juga tahu masalah yang menimpa Puan Sri Zalia. Dalam usia emas begitu, sepatutnya tuan rumahnya sibuk memikirkan soal menimang cucu, tapi masalah lain pula yang datang. Ah...nasib manusia manakan sama. Itu semua takdir yang ditetapkan oleh Allah SWT.

“Akak masaklah apa-apa, saya makan saja.”

“Masalahnya Puan Sri tak makan, saya perasan. Risau saya kalau-kalau Puan Sri jatuh sakit nanti.”

“Balik Ren nanti, berseleralah saya,” sahut Puan Sri Zalia.

Pemandangan luar ditatapnya. Seperti biasa ternampak olehnya kelibat Murni yang terbongkok-bongkok meneliti bunga, ros berwarna-warni yang mekar berkembangan. Sudah seminggu lebih dia memerhatikan gelagat Murni walaupun sebelum ini dia perasan Murni memang suka bermain-main di taman bunga ros miliknya itu. Tapi kebelakangan ini dia jadi asyik melihat telatah Murni.

Sesekali telapak tangan Murni mengusap perutnya yang mulai memboyot. Sesekali jari jemari Murni menjentik sesuatu di kelopak bunga, ros tersebut. Hatinya tersentuh sama seperti semalam dan seperti hari-hari sebelum itu.

Kasihan Murni! Hatinya berdetik lagi seperti hari-hari yang berlalu. Budak itu aku sisihkan padahal dia menantu aku dan duduk menumpang di rumah ini. Teringat pula dia akan cerita daripada Nenek Ninda tentang kebaikan Murni semasa Murni duduk bersamanya. Kata Nenek Ninda, Murni seorang yang penyayang, rajin di dapur dan pandai mengambil hati. Murnilah yang menguruskan makan minum Nenek Ninda semasa anak Nenek Ninda sibuk dengan kehidupan di kota. Murnilah yang menemankannya dan memang hasrat Nenek Ninda untuk menyatukan Murni dengan Ummar Qayyum.

Tapi apakan daya, hati Ummar Qayyum ada pada Rania dan takdir Allah menentukan jodoh Rania dengan Ummar Qayyum. Patah hati menyebabkan Murni merosakkan hubungan Rania dengan Ummar Qayyum, tetapi jodoh yang kuat menemukan kembali Rania dan Ummar Qayyum.

“Begitu kehendak Tuhan. Siapalah kita untuk menghalang. Bukan salah Murni pun kalau Rania dengan Ummar Qayyum berpisah dulu. Tapi sekarang jodoh menemukan mereka kembali!”

Kali ini kata-kata Nenek Ninda terngiang-ngiang dan melekat di telinga Puan Sri Zalia. Rania pun pernah berkata demikian. Kalau mereka boleh akur, mengapa aku tidak? Soal Puan Sri Zalia lagi. Dia masih memandang perlakuan Murni dari balik jendela.

Adakah takdir yang aku terima ini balasan Tuhan pada aku kerana tidak reda dan tidak pasrah dengan takdir dan ketentuan Tuhan terhadap Rais? Aku marah sangat bila Rais mahu mengahwini Murni. Sekarang bagaimana? Marahkah aku dengan nasib aku ini? Kerana keliru dia bertanya pada Makcik Rohaya. Terkejut pembantu rumahnya itu mendengar soalan yang ditanyakan.

“Jangan dikesali pada takdir Puan Sri. Apa yang berlaku pada Puan Sri itu tidak ada kena mengena dengan Murni.”

“Saya tak kata saya kesal. Saya cuma marah pada diri sendiri. Dulu, saya hina hina Murni, tapi sekarang Allah balas pula pada saya,” rintih Puan Sri Zalia.

“Murni tu lain kisahnya Puan Sri.”

“Saya rasa macam, saya...saya mendapat balasan daripada Allah atas sikap saya pada Murni dulu.”

“Puan Sri tak payah rasa macam tu,” Makcik Rohaya kurang bersetuju dengan pandangan Puan Sri Zalia.

“Ren selalu ingatkan saya supaya berpada-pada dalam menghadapi sesuatu. Banyak yang Ren pesan pada saya. Ren suruh saya belajar menerima takdir dan menerima Murni dengan baik, tapi...” Puan Sri Zalia tidak mampu meneruskan kata-katanya.
Dia rasa insaf mendadak.

“Ya, apa yang Ren kata ada betulnya, tapi tak perlu Puan Sri salahkan diri sendiri sampai begitu sekali.”

“Tapi, saya tetap keras hati, tak mahu terima.” Puan Sri Zalia tundukkan muka. Dia muhasabah diri seketika.

Melihat Puan Sri Zalia sebak sendiri, Makcik Rohaya berkalih tubuh. Bila sudah tenang, Puan Sri Zalia kembali memerhatikan Murni. Ralit sungguh dia memerhati tanpa menyedari Rais sudah pun berdiri di sisinya.

“Mama pandang apa?” Sapaan Rais mengejutkan Puan Sri Zalia.

“Oh, er...tak ada apa-apa.”

“Mama ni okey ke?” Rais perasan ada sesuatu yang cuba dirahsiakan oleh emaknya.

“Barang-barang persediaan baby, Rais dah beli belum?” tanya Puan Sri Zalia sengaja mengubah topik perbincangan.

Rais terkejut mendengar soalan yang tidak disangka-sangka. Berkerut dahi Rais seketika. Rais menggelengkan kepala. Di luar jendela, Rais nampak Murni di sisi pokok bunga ros kesayangan emaknya. Dia pandang ibunya semula.

“Bila nak beli?” tanya Puan Sri Zalia lagi.

Rais mati kutu. Tidak pernah ada di bayangannya untuk membeli-belah barangan keperluan bayi dalam masa terdekat ini. Lagipun dia memang tidak tahu apa-apa dan menunggu kalau-kalau Murni mahu mengajaknya, tetapi sehingga ke hari itu, mulut Murni tidak pernah berbunyi.

“Entahlah mama, Murni pun tak cakap apa-apa.”

“Kalau begitu, lepas Zuhur karang, kita keluar bertiga beli barang baby ya,”
kata emaknya dengan wajah yang bersahaja.

Rais masih tergamam sedang emaknya sudah pun beredar dari situ. Betulkah apa yang didengar? Selama ini emaknya tidak pernah mahu ambil tahu tentang Murni apatah lagi hendak menyusahkan diri dengan anak yang dikandung Murni, tapi kali ini fi’il emaknya berubah. Kebajikan Murni dan bayinya tiba-tiba mendapat tempat di hati emak. Malah semasa hendak menaiki kereta, emaknya menyuruh Murni duduk di kerusi hadapan bersebelahan Rais. Semasa turun kereta pula, emak menyuruh Rais berhati-hati menurunkan dan menjaga Murni. Barang-barang keperluan bayi seperti katil, pakaian dan sebagainya dibeli oleh Puan Sri Zalia. Dia berbelanja besar untuk anak Murni.

Dia juga membelanjakan sejumlah wang yang banyak untuk membeli pakaian mengandung dan makanan tambahan berjenama mahal untuk Murni supaya Murni dan kandungannya sihat. Selepas membeli-belah, Puan Sri Zalia mengajak mereka makan di restoran Pizza Hut pula.

“Murni minta apa saja yang Murni nak. Selalunya orang mengandung suka mengidam,” kata Puan Sri Zalia. Ketara dia ikhlas melayan Murni.

“Awak nak makan apa?” tanya Rais kepada Murni pula.

Dia sudah pun memesan hidangan set yang mengandungi piza bersaiz besar, sup cendawan dan satu jag air.

“Murni tak boleh minum air gas. Tak elok untuk baby. Minta Milo untuk Murni.”
Puan Sri Zalia pula yang membuat keputusan untuk Murni. Kerana masih terkejut Murni angguk sahaja. Dia meminta diri untuk masuk ke bilik air. Murni berasa tekaknya mual semacam. Mual kerana masih ada sisa-sisa alahan atau terkejut dengan layanan yang diberikan oleh emak mertuanya, dia tidak pasti.

Tetapi di dalam bilik air yang terdapat cermin kecil, Murni menatap wajahnya seketika. Dia bercakap dengan cermin di hadapannya. Apa yang berlaku? Kenapa tiba-tiba ‘mem’ besar di rumah ini berubah? Murni mengurut-urut tekaknya yang masih berasa mual. Beberapa kali dia berkumur untuk menghilangkan rasa melekit di kerongkong tapi rasa itu tetap berbekas. Walaupun agak terkejut, jauh di sudut hati dia meluat dan loya dengan perubahan tingkah laku perempuan berlagak itu.

Atau adakah kerana malang yang baru menimpanya? Pandangan Murni berubah sinis.
Sebab sudah tahu diri dimadukan baru mahu berbuat baik pada aku? Sekarang baru tahu langit itu tinggi atau rendah. Hari semalam kau di atas, tapi jangan sangka kau di atas selamanya. Esok barangkali kau yang tergolek dan aku pula berada di atas. Padan dengan muka kau! Jangan haraplah aku akan telan sahaja segala penghinaan yang pernah kau berikan pada aku begitu saja. Jangan harap!
Tunggu sajalah kau anak beranak! Murni menggetap bibirnya.

Murni keluar dari tandas setelah membasuh mukanya. Dia berasa sedikit kesegaran. Sebaik duduk menyaingi mereka, Puan Sri Zalia pun bercerita macam-macam. Selain memaklumkan mereka tentang majlis resepsi Rania Qayyum yang akan diadakan di hotel lima bintang, dia juga memberitahu bahawa Nenek Ninda tetap menginginkan majlis sederhana anak lelaki bongsunya itu diadakan di kampung.
Berubah air muka Murni sedetik.

Ah! Kampung Daun Pisang, kampung penuh nostalgia indah antara aku dengan Abang Qayyum. Kenapa Nenek Ninda hendak mencemarkan memori indah aku dengan Abang Qayyum dengan persandingan mereka di sana? Aku tak suka! Aku benci! Kampung indah itu milik aku dengan Abang Qayyum, getus Murni.

“Kenapa Murni?” soal Puan Sri Zalia melihat muka Murni masam mencuka.

“Er... Murni rasa loya loya,” sahut Murni. Dia tidak mahu gelodak hatinya dibaca oleh perempuan itu.

“Makan cepat. Kita balik. Murni boleh rehat. Kalau Murni tak ada mood, biar mama dengan Rais saja yang fikirkan konsep bilik baby nanti.”

Murni berasa bagai hendak termuntah mendengar Puan Sri Zalia membahasakan dirinya sebagai ‘mama’. Memang betul-betul buang tabiat orang tua ni! Cerca Murni di dalam hatinya. Dia duduk dan makan perlahan-lahan. Sabar pula orang berdua itu menunggunya sehingga dia selesai makan sekeping piza. Tersekat seleranya tatkala makan sambil dipandangi oleh dua beranak itu padahal piza memang menjadi kegemarannya sejak dulu.

Sampai di rumah, Murni tidak dibenarkan mengangkat apa-apa barangan bayi yang baru dibeli. Rais, Pak Mud dan Makcik Rohaya yang dikerah mengangkatnya. Puan Sri Zalia kelihatan gembira berbuat baik terhadap Murni sehingga menimbulkan kehairanan pada seisi rumah lebih-lebih lagi Makcik Rohaya.

“Kena sampuk dengan apa Puan Sri kita tu Pak Mud?” tanya Makcik Rohaya yang masih tidak percaya dengan apa yang dilihat.

“Kena sampuk apanya? Baguslah tu. Puan Sri buat perkara baik,” sahut Pak Mud.
Barang-barang keperluan bayi diangkut keluar dari bonet kereta.

“Beria-ia dia berbelanja untuk anak si perempuan tu, terkejut saya,” akui Makcik Rohaya.

“Rezeki bayi tu. Dalam kereta tadi, saya dengar Puan Sri telefon pereka dalaman untuk hias bilik bayi dalam bilik Rais.”

“Amboi, amboi, jadi kaduk naik junjung perempuan tu nanti,” sindir Makcik Rohaya.

Sambil itu dia turut membawa barang-barang yang baru dibeli naik ke bilik Rais. Sekali lagi dia terkejut melihat barang-barang Murni yang dibeli oleh Puan Sri Zalia. Pakaian mengandung yang cantik-cantik dilihat bergantungan di dalam almari Murni. Baju-baju bayi serta peralatan untuk kegunaan bayi disusun cantik di penjuru bilik. Semuanya baru dibeli. Murni tiada di dalam bilik.
Makcik Rohaya berasa tidak sedap hati melihat perkembangan terbaru tersebut.

“Buat baik berpada-pada Puan Sri. Tengok tu, apa yang Puan Sri dah beli untuk dia,” bisik Makcik Rohaya seraya mengerling ke arah bilik air.

Dia sedar Murni berada dalam bilik air. Kerana itu dia bercakap seperti berbisik. Keluhan Puan Sri menyebabkan Makcik Rohaya bimbang. Terlepas cakapkah aku?

“Selama ini saya berbuat tak baik pada Murni. Agaknya kerana itulah Allah membalasnya pada saya kak.”

“Cukup cukuplah Puan Sri dengan rasa bersalah tu,” jelas Makcik Rohaya.

Dia kurang senang mendengar kata-kata Puan Sri Zalia. Berulang-ulang kali Puan Sri Zalia mengungkit hal yang sama sehingga dia berasa rimas.

“Saya nak tebus kembali kesalahan saya pada Murni.”

“Tak salah kalau Puan Sri nak berbuat baik pada dia, tapi berpada-padalah.
Dimanjakan berlebih-lebihan nanti lain pula jadinya,” Makcik Rohaya memberi peringatan.

“Apa maksud akak?”

“Akak tak cemburu Puan Sri nak berbuat baik pada dia, tapi saya rasa cara Puan Sri ni akan membuatkan dia lupa diri. Err, yalah, macam kaduk naik junjung.”

Baru Puan Sri Zalia hendak menjawab, Murni keluar dari bilik air. Makcik Rohaya menjeling sekilas seraya menyambung kerja mengemas.

“Esok pereka dalaman akan datang nak hias ruang belah sana buat bilik baby, nanti Murni bincanglah dengan Rais ya nak konsep macam mana,” suara Puan Sri Zalia manis sungguh.

Makcik Rohaya menggelengkan kepalanya. Dia malas hendak bercakap lagi.
Biarlah! Orang tengah kemaruk mencari pahala, detik Makcik Rohaya dan terus pergi bila kerjanya sudah selesai. Sebelum turun, Puan Sri Zalia sempat menasihati Rais supaya menjaga Murni baik-baik.

“Lepas ni Rais temankan Murni turun makan bersama-sama. Kita makan sekeluarga.
Kalau Rais kerja, mama temankan,” ucapnya lagi sebelum pergi dan tinggalkan mereka berdua.

Murni tersadai kepenatan di birai katil. Rais pula membersihkan diri lalu mengajak Murni berjemaah bersama-sama sebaik sahaja azan Maghrib berkumandang.

“Saya penat. Awak solat dulu,” dalih Murni seraya menggosok-gosok lembut perutnya.

Tanpa membantah, Rais bersolat sendirian. Selesai solat, Murni masih lagi berbaring di atas katil. Kali ketiga diarah bersolat, barulah Murni bangun dengan dengusan. Selesai solat, Murni duduk di atas sofa dua dudukan. Dia mengerling Rais yang masih berkopiah. Sebuah buku agama dibaca Rais.

“Boleh saya tanyakan awak sesuatu?” tanya Murni perlahan.

“Hmmm...” Tanpa angkat muka Rais berkata.

“Sebenarnya dah lama soalan ini saya nak tanya pada awak.”

“Saya dengar. Tanyalah,” sahut Rais acuh tak acuh.

“Apa tujuan awak berkahwin dengan saya sebenarnya? Saya nak tahu jawapan yang ikhlas daripada awak,” tanya Murni tiba-tiba.

Sudah lama soalan itu terpendam di jiwa raga Murni. Disimpan berbulan-bulan di dalam hati kenangkan dia terpaksa menumpang di situ. Ditelan segala caci cerca oleh Puan Sri Zalia padanya kerana dia berbadan dua dan tiada arah hendak dituju. Tapi jauh di sudut hati, dia mahu tahu kenapa Rais mengahwininya kalau dirinya diperlakukan seperti patung bernyawa. Rais tidak pernah menyentuhnya apatah lagi melayannya sebagai isteri yang sah. Dia mahu tahu!

“Perlu ke bincang hal itu?”

“Memang perlu.”

“Saya ingat awak bersyukur bila saya berkahwin dengan awak,” tukas Rais tanpa memandang pun muka Murni.

Kembang kempis hidung Murni mendengar jawapan Rais. Dia menahan perasaan.
Hinanya rasa diri disindir sedemikian. Selama ini disangkanya ada sekelumit perasaan sayang Rais padanya, tapi ternyata menyimpang sangkanya.

“Kenapa awak marah Makcik Rohaya masa saya jatuh dulu?” Murni bertanya tegas.

Rais angkat mukanya. Matanya merenung tajam ke arah Murni sehingga Murni berasa gerun dibuatnya.

“Saya tak mahu kesihatan bayi yang tak berdosa itu terjejas. Cukuplah apa yang awak dah buat padanya.” Jawapan yang diberikan oleh Rais mengejutkan Murni.

“Dah, tak payah awak tanya tanya lagi soalan apa-apa. Jaga kesihatan awak dan bayi itu baik-baik.”

“Lepas bayi lahir, awak nak ceraikan saya?” tanya Murni berani.

Dia mahu tahu untung nasibnya di rumah itu. Kerana itu digagahkan diri bersoal jawab dengan Rais.

“Apa kena dengan awak ni? Kan mak saya dah layan awak dengan baik. Awak tak tahu berterima kasih?”

“Atau awak nak hantar saya dengan bayi ini ke rumah kebajikan masyarakat?” Air mata Murni sudah mulai bergenang.

“Kalau awak hendak sangat ke sana saya hantarkan, tapi bayi itu biar emak saya jaga.”

“Kenapa awak kahwin dengan saya kalau begini cara layanan awak pada saya?”

Rais bangkit dari duduknya dan menghampiri Murni. Sudah banyak yang dikorbankan dalam hidupnya demi kandungan Murni. Kalau tidak kerana terserempak dengan Murni di klinik sakit puan, memang bukan begini takdir hidup yang terpaksa diredahnya kini. Kalau tidak kerana tersua dengan Murni di klinik tersebut, kemungkinan besar bayi dalam kandungan Murni itu sudah lama berkubur.
Murni lupakah segala yang pernah berlaku dalam hidupnya dulu? Murni lupakah pada peristiwa mereka ditangkap oleh pegawai dari pejabat agama dulu?

“Awak tak ingat awak hampir nak gugurkan kandungan awak tu dulu? Awak tak ingat peristiwa saya dan awak ditangkap di kondo saya? Awak dah lupa?”

Perlahan-lahan kepala Murni tertunduk. Hinanya rasa diri disoal dengan soalan-soalan yang sangat mengaibkan dirinya. Dia tidak sanggup angkat muka buat seketika. Ah, memang sejak awal hingga azali, tidak akan ada tempat untuk aku di rumah ini. Tidak akan ada!

Rais sudah keluar dari kamar. Tinggal dia bersendirian. Digagahkan dirinya bangkit dan dia menyidaikan dirinya di jendela yang mengadap arah tepi.
Terlihat olehnya kuntum mawar di bawah remang cahaya lampu. Warnanya tidak seindah siang tadi. Mawar berwarna-warni sudah berubah warna menjadi kelam dan hitam.

Seperti akukah mawar itu? Sekuntum mawar hitam di celahan warna pelangi? Air mata Murni berembesan keluar membasahi pipi.

 http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/CikguRania2_Siri18__Sekuntummawarhitam_/Article/index_html

0 comments:

Sale! Sale! Sale!

Dapatkan pelbagai barangan di Seri Sekijang Blogshop...
Legging kanak-kanak, Cawan Giacomo, Handmade Chocolate, Homelife, kitchen wallpaper, cartoon cutlery, kitchen tools, Gift Box, Serving tray, Fridge magnet preloved item

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

I will follow youuu....

babab.net

apesal traffic??