Wednesday, November 21, 2012

Cikgu Rania 2 (Siri 19): Senandung Ceritera Semalam

BULAN madu dan percutian yang ringkas tetapi membahagiakan. Itu yang boleh disimpulkan oleh Rania. Dua hari sahaja dia menemani Ummar Qayyum berada di Stockholm, Sweden untuk menyelesaikan tugas-tugas dan menyerahkannya pula kepada Malek, orang kepercayaannya.
Setelah itu bermula bulan madu mereka. Dari Sweden, mereka berkembara ke Denmark, Jerman, terus ke Austria. Seminggu di empat negara tersebut, mereka menuju ke Itali dan kemudiannya bergerak ke Switzerland. Dari Switzerland mereka menaiki kereta api laju menuju Paris. Akhirnya mereka tersadai kepenatan di sebuah hotel di tengah kota Paris.

“Penatnya,” ulas Rania seraya menghempaskan tubuh yang kelelahan di atas tilam.

“Kaki dah tak sakit?” tanya Ummar Qayyum penuh kasih sayang. Sejak semalam Rania berjalan terhencot-hencot.

“Lenguh lagi, mahunya tidak, asyik berjalan tak berhenti...”

“Rugilah kalau datang ke Eropah tapi tak jalan-jalan. Tapi banyak lagi tempat yang belum sempat kita singgah. Tahun depan kita pergi London dengan Ireland ya?” usul Ummar Qayyum.

“Alah, yang ni pun dah seronok. Dah cukup dah!” sahut Rania.

Dia membungkus tubuhnya dengan gebar melawan dingin yang menyengat. Ummar Qayyum duduk di birai katil.

“Abang urutkan kaki ya,” pelawa Ummar Qayyum.

Pantas saja kaki Rania di bawah selimut tebal disentuh lalu diurut lembut oleh Ummar Qayyum. Dapat dirasakan betis Rania tegang dek banyak berjalan. Sewaktu Ummar Qayyum menekan bahagian tengah betisnya, Rania menjerit kesakitan.

“I am sorry, I am sorry.” Segera Ummar Qayyum melarikan jari jemarinya dan menggosok pula kaki kiri Rania.

“Tak hendak urut dah! Sakit,” Rania menjeling manja.

Mendengar itu, Ummar Qayyum berhenti mengurut. Dia masak air dan membancuh dua kole koko panas. Rania bergerak ke jendela dan melihat bangunan-bangunan yang unik dengan pelbagai kenderaan bertali arus di jalan raya. Pemandangan dari luar bilik hotel di Paris tidak jauh bezanya dengan pemandangan di kota-kota sekitar Eropah yang telah disinggahi mereka. Koko panas yang dihulur kepadanya dihirup perlahan.

“Macam tak percaya saja. Dulu Ren pernah ke sini bercuti dengan keluarga tapi tak seseronok sekarang,” akui Rania.

“Memanglah tak seronok, dulu sejuk-sejuk macam ni tak ada siapa nak peluk!” usik Ummar Qayyum seraya memeluk Rania dari belakang. Rania tergelak kecil.

Mukanya yang putih melepak menjadi seperti mawar merah jambu dek kesejukan melampau cuaca di Eropah.

“Sayang, terima kasih kerana jadi isteri abang!” bisik Ummar Qayyum di telinga Rania.

Pelukan Ummar Qayyum makin kemas melingkari tubuh Rania yang berbungkus rapi dengan baju sejuk. Rania membiarkan sahaja Ummar Qayyum menghangatkan tubuhnya.
Rania beralih ke katil. Ummar Qayyum setia mengekori isteri yang baru dinikahi.
Dia duduk di sebelah Rania. Komputer riba jenama Apple milik Ummar Qayyum yang terletak di atas meja di sisi katil dicapai Rania. Dua hari lepas, Ummar Qayyum memuat naik gambar-gambar yang diambil sepanjang percutian mereka ke dalam akaun facebooknya.

“Tengok komen Abang Rais, bukan main lagi dia menyakat kita,” cuitnya pada Ummar Qayyum.

Sebaik membaca komen Rais, suaminya tergelak kecil.

“Mama pun dah tumpang semangkuk,” kata Rania apabila ahli keluarga mulai memberikan pelbagai komen.

“Mama call tadi cerita apa?” tanya Ummar Qayyum. Dia sedar setiap hari paling kurang sekali, Puan Sri Zalia akan hubungi Rania.

“Biasalah mama. Tapi cerita yang best ialah hubungan mama dengan Murni bertambah rapat,” ujar Rania riang sekali.

Ummar Qayyum mendengus perlahan. Entah mengapa, setiap kali nama Murni disebut, dia berasa sangat tidak selesa. Jauh di sudut hati, dia tidak senang dengan Murni lebih-lebih lagi memikirkan bahawa dia dan Murni akan tinggal sebumbung di rumah ibu bapa Rania.

“Sayang, apa kata kita tinggal kat rumah sendiri bila abang balik ke Malaysia nanti,” usul Ummar Qayyum tiba-tiba.

“Ren tak kisah, tapi mesti mama tak bagi. Lagipun sekolah Ren kan tak berapa jauh dari rumah mama.”

“Abang mengerti tapi abang...” Ummar Qayyum diam sejenak. Perlukah memberitahu Rania tentang Murni?

“Kenapa bang?”

Ummar Qayyum ragu-ragu untuk menjelaskan kedudukan yang sebenarnya. Memikirkan Rania akan berfikir sesuatu yang pelik, Ummar Qayyum menukar haluan cerita.

“Esok malam dah nak balik. Malam ni kita jalan-jalan tengok Eiffel Tower - destinasi terakhir percutian kita,” bisik Ummar Qayyum di telinganya lagi.

“Yes, tak sabar nak makan gulai tempoyak ikan patin,” balas Rania pula.

“La, ingat Ren nak cakap tak sabar nak tengok Eiffel Tower pada waktu malam.”

Rania tersenyum mesra. Dia mahu juga tengok Eiffel Tower pada masa kini tapi keinginan mahu pulang ke tanah air lagi menyala-nyala. Waktu dia ke Paris beberapa tahun lampau, keadaannya sudah tidak serupa. Tapi apalah ertinya Paris berbanding Malaysia yang permai dan aman. Aku hanya boleh tinggal di Malaysia untuk jangka masa panjang dan tidak di luar negara, detik hatinya sendiri.

Tidak betah aku tinggal di Paris, Itali, London, Switzerland atau mana-mana tempat pun. Sekadar menjadi pelancong tidak menjadi hal tetapi tidak menjadi warga di negara empat musim ini. Manakan sama Malaysia dengan mana-mana benua di dunia ini. Di Malaysia, aku boleh berkaki ayam sesuka hati di dalam rumah walaupun pada musim tengkujuh sebab sejuknya tidak seperti ini.

“Larat ke nak berjalan tengok Eiffel Tower ni?” usik Ummar Qayyum.

“Larat. Ren kan cikgu. Cikgu sentiasa naik turun tangga. Entah-entah abang yang tak larat,” sahut Rania tidak mengaku kalah.

Malamnya mereka turun dan menjelajah deretan kedai yang terletak tidak jauh dari bilik hotel mencari kedai makanan halal. Sebuah kedai makanan halal milik warga Pakistan mereka masuki. Ummar Qayyum memesan dua biji kebab kambing.

“Kasihan abang, nanti lepas balik Malaysia, abang balik semula ke Sweden,”
Rania mengunyah daging kebab yang sudah dipotong kecil-kecil oleh Ummar Qayyum.

Dalam premis mini itu, hanya ada enam buah meja sahaja dengan pelbagai saiz.
Mereka duduk di meja bulat berkerusi dua mengadap laluan pejalan kaki.

“Tak lama. Dua minggu abang di Malaysia. Lepas tu dua minggu saja abang berada di Sweden. Kemudian kita akan menetap di Malaysia. Sesekali abang kena datang ke sini, Ren kena ikut abang tau.”

“Ok.”

“Makan banyak-banyak, kita nak jalan lagi ni,” pesan Ummar Qayyum.

Sungguhpun cuaca malam begitu dingin, namun situasi itu tidak menghalang warga Paris keluar berjalan-jalan. Malah, Rania yakin di perkarangan Eiffel Tower nanti, mesti ramai orang memenuhinya sama ada warga tempatan atau pelancong luar seperti mereka. Rania sudah berhenti makan. Dia kini sedang menikmati kopi panas.

Dari luar restoran, masuk seorang wanita bertudung dengan dua orang anak perempuan kecil. Perempuan bertudung itu mendudukkan dua orang kanak-kanak perempuan itu di kerusi di meja sebelah. Kemudian dia terus menuju ke kaunter untuk memesan makanan tanpa memandang siapa-siapa.

Seorang daripada budak perempuan itu terpandang Ummar Qayyum dari sisi lalu berbisik pada yang seorang lagi. Kerana sedang leka membaca peta untuk ke Eiffel Tower, Ummar Qayyum tidak menyedari gelagat si comel itu. Rania mencuit lengan Ummar Qayyum. Dia menunjukkan gelagat kedua-dua orang budak kecil yang memakai kot trench berwarna hitam itu kepada Ummar Qayyum.

Terkejut besar Ummar Qayyum tatkala terpandangkan dua orang si comel yang sudah pun menghadiahkan senyuman padanya. Kemudian kedua-duanya berlari ke arah wanita bertudung yang sedang beratur menunggu pesanan.

“Siapa tu? Abang kenal ke?” tanya Rania agak terkejut.

“Kenal. Anak-anak kawan lama abang. Beberapa bulan dulu jumpa dia di Ireland, sekarang ada di Paris pula,” terang Ummar Qayyum.

Sekilas itu, terdengar nama Qayyum dipanggil. Rania bersama Ummar Qayyum memandang serentak. Perempuan itu berbalas senyuman dengan Ummar Qayyum seraya menunjukkan isyarat tunggu sementara dia membayar harga makanan. Budak-budak perempuan itu sudahpun mendekati Ummar Qayyum dan berbicara dalam bahasa Inggeris.

“They are twins. Abang masih ingat nama mereka Batrisya dan Anastasia tapi tak tahu yang mana satu,” jelas Ummar Qayyum.

Rania terpesona melihat keletah si kembar berdua sewaktu memperkenalkan diri masing-masing. Ummar Qayyum berdiri tatkala ibu si kembar itu menghampiri mereka. Dia membantu menatang dulang lalu diletakkan di meja bersebelahan.

“Tak sangka jumpa you kat sini Qayyum.” ujar perempuan itu dengan senyum menawan. Redup mata wanita itu merenung Ummar Qayyum.

“I pun terkejut tengok anak-anak you tadi,” akui Ummar Qayyum pula.

“If you don’t mind, can we join you guys,” tanya perempuan itu dengan senyuman keibuannya.

“Sure.” Dengan senang hati, Ummar Qayyum bangkit lalu merapatkan meja mereka.
Perempuan itu duduk di tepi Ummar Qayyum dan mengadap Rania manakala kedua-dua anaknya duduk di kerusi yang sebaris dengannya. Buat seketika Rania hanya menjadi pemerhati.

Air mukanya berubah apabila menyedari sepasang mata milik perempuan berwajah keibuan itu ketara beberapa kali mencuri tatap wajah Ummar Qayyum. Siapa perempuan ini? Hatinya berdetik.

“Ummi, I kenalkan. This is my wife Rania,” ujar Ummar Qayyum apabila mereka sudah pun duduk dengan selesa di tempat masing-masing.

“Rasa macam dah kenal...” sahut Ummi Kalthum dalam nada gurauan tapi tidak diambil endah oleh Ummar Qayyum mahupun Rania. Kedua-dua mereka bersalaman.

“...dan ini Ummi Kalthum, kawan lama abang masa kami belajar di Sydney dulu.
Yang ni dah berkenalankan? Anastasia dan Batrisya” rujuk Ummar Qayyum pada kembar itu.

“Tak sangka you masih ingat nama anak-anak I ya Qayyum.” Ummi Kalthum agak terkesima.

Senyumnya meleret. Ummar Qayyum sekadar angkat kening. Kembar berdua itu menjamu selera setelah diarahkan oleh ibu mereka supaya tertib mengadap makanan.

“Buat apa kat sini Ummi? Melancong atau ikut Lokman?” tanya Ummar Qayyum sambil pandang sekeliling mencari-cari kelibat Lokman Hakim kalau-kalau lelaki itu ada di sekitar tersebut.

“Melancong,” sahut Ummi Kalthum dengan suara perlahan.

“Itulah, dulu masa jumpa kat Ireland, I ingat you kata dah nak balik Malaysia.
Tinggal Lokman seorang buat PhD kat sana. Alih-alih muncul kat sini,” ujar Ummar Qayyum.

Air kopi panas dihirupnya. Terasa hangat di kerongkong.

“Memang I dah balik Malaysia pun. I duduk di Serdang. Sekarang bawa anak-anak bercuti. Lokman yang suruh datang. Lepas tu, dia pula yang sibuk. Cadangnya nak bawa anak-anak ke Disneyland. Esok baru Lokman datang.”

“Lokman Lokman, tak habis-habis dengan belajarnya,” rungut Ummar Qayyum.

“You pun satu, kahwin tak jemput kami pun,” kata Ummi Kalthum. Ada nada rajuk pada nada ayatnya. Dia menjeling sekilas pada Rania.

“Kami nikah dulu, majlis kemudian, nanti I undang. You tahu dari mana I dah kahwin? Facebook?” Ummar Qayyum bertanya.

“Bukan dari facebook. I dapat tahu dari seseorang. Ceritanya agak lawak.
Mula-mula I ingat you kahwin dengan Murni,” ujar Ummi Kalthum selamba. Dia tertawa kecil sebelum menyambung kembali, “...rupa-rupanya tak jadi juga,” tawanya bersambung tanpa menyedari bahawa ungkapannya itu menyentuh hati Rania.

Rania berasa tubuhnya menggigil dari dalam. Ngilu tangkai jantungnya. Perempuan ini menyebut nama Murni. Siapa perempuan ini sebenarnya? Banyak juga yang dia tahu tentang silam Ummar Qayyum. Dadanya gementar tiba-tiba namun getaran yang melanda merudum apabila lengan sasa Ummar Qayyum memaut bahunya.

“I tak pernah ada apa-apa ikatan dengan Murni, Ummi. Murni pada I macam adik I sendiri. I terhutang budi padanya sebab dia jaga mak I. Semua yang berlaku dulu-dulu tu salah faham. I dah jelaskan pada you semua tu kan?” Ummar Qayyum terpaksa berterus-terang.

Dia tidak mahu Rania yang mendengar salah faham pula. Terlihat kejujuran pada mata Ummar Qayyum. Lapang raga Rania. Dia yakin ada peristiwa yang berlaku antara mereka berdua sebelum dia muncul dalam hidup Ummar Qayyum.

“Maaf kalau I terlepas cakap,” kata Ummi Kalthum.

“Rania, yang I nikahi ini ialah isteri I untuk selama-lamanya, Insya-Allah,”
dengan tegas Ummar Qayyum mengungkap demikian. Makin kuat lengannya memaut tubuh Rania.

Ummi Kalthum terkedu sejenak. Namun dia bijak menyembunyikan perasaannya dengan senyum keibuannya. Rania berasa tenteram mendadak. Dia bangga mendengar pengakuan daripada mulut Ummar Qayyum walaupun hakikatnya apa yang dijelaskan oleh suaminya itu hanya secalit sahaja daripada kisah mereka. Kemudian jari-jemari Rania digenggam erat oleh Ummar Qayyum. Kerana berada di bumi orang putih, Rania membiarkan sahaja perlakuan Ummar Qayyum itu.

“By the way, pernikahan kami, you tahu dari siapa?” tanya Ummar Qayyum balik.
Perkataan ‘seseorang’ yang disebut oleh Ummi Kalthum tadi menyebabkan rasa ingin tahunya membuak.

“Rania kenal dengan Faheem kan?” tanya Ummi Kalthum di luar dugaan.

Rania terkebil-kebil. “Faheem? Faheem mana?”

“Secret admirer you lah. Tak ingat?” Ummi Kalthum pecah rahsia. Sambil itu dia menjeling pada Ummar Qayyum.

“Secret admirer?” terlopong Rania mendengarnya.

“Barangkali you tak tahu pun kan!” serkap Ummi Kalthum lagi.

Rania menggeleng. Dia mati idea. Memang langsung dia tidak ingat lelaki bernama Faheem itu. Kerana itu panjang lopongnya!

“Janganlah terkejut macam tu sekali. I pun baru tahu. Faheem tu lah yang beritahu I yang you dah bernikah. Lagi buat I terkejut bila you bernikah dengan Qayyum ni ha!”

Rania makin tidak mengerti. “Faheem mana?” ulangnya lagi.

“Faheem tu senior you masa di UPM - tapi dia student engineering. Lepas tu, dia sambung Master dan buat PhD kat New York. Sekarang dah balik Malaysia pun.”

Rania tepuk dahinya dengan tidak semena-mena. “Abang Faheem engin???”

“Yes! Faheem tu sepupu I. Dia selalu bercerita pada I tentang you sejak dulu.
Kecil saja dunia ni kan? Akhirnya Rania yang pernah rapat dengan Faheem, sepupu I tu kahwin dengan Qayyum yang juga pernah jadi kawan rapat I,” cerita Ummi Kalthum tanpa selindung.

Penjelasan Ummi Kalthum memang benar-benar mengejutkan Rania. Faheem sepupu Ummi Kalthum? Semua orang yang dia kenal nampak gayanya dikenali oleh Ummi Kalthum. Tadi Murni dan kini Faheem.

“Faheem yang mana? Did I miss something?” Lama kemudian baru Ummar Qayyum mencelah.

Dia juga hilang arah kerana memberi ruang pada Ummi Kalthum dan Rania bercerita. Jauh di sudut hati, dia terkejut kerana Ummi Kalthum banyak mengetahui tentang macam-macam perkara. Baru dia perasan akan kata-kata Ummi Kalthum tadi bahawa dia rasa seperti sudah kenal Rania.

“You tak kenal! Not our batch Qayyum. Tapi cousin I, Faheem ni kenal sangat dengan Rania,” tekan Ummi Kalthum lagi.

“Abang Faheem di mana sekarang?”

“Balik semula ke UPM. Dah jadi Dr Faheem sekarang. Lecturer engineering.”

“I dah lama putus hubungan dengan dia,” akui Rania sejujurnya.

“Mana pula, Faheem kata dia masih berhubungan dengan you.”

Berkerut muka Rania. Ummar Qayyum juga nampak terpinga-pinga. “Maksud you?”

“Kat Facebook. You selalu berbalas-balas mesej dengan dia.”

Ternganga mulut Rania. Tanpa sedar, dia gelak kecil. “Siapa?” Rania benar-benar teruja kali ini.

“FF...” jawab Ummi Kalthum selamba sahaja.

Berderai tawa Rania. “Oh, selama ini FF tu Abang Faheem? Kenapa dia tak kenalkan diri? Ya Allah! Abang Faheem! Abang Faheem!” Wajah Rania berubah seketika. Dia berfikir sejenak.

“Entah-entah Abdullah Faheem yang mama pernah sebut-sebut tu orang yang sama,” serkap Rania pula.

“Dia anak Datuk Farouk. Emaknya Datin Rafeah,” kata Ummi Kalthum dengan yakin.

“Ya Allah, betullah tu, anak auntie Rafeah,” akui Rania seraya menggeleng-gelengkan kepalanya. “Pi mai pi mai tang tu juga....” Itu kesimpulan yang Rania buat.

“Orangnya sangat humble dan handsome pula tu, single lagi!” Usikan Ummi Kalthum untuk frasa terakhir menjentik hati Ummar Qayyum. Apa maksud Ummi Kalthum berkata begitu? FF? Macam biasa dengar saja nama FF ni! Getus hati Ummar Qayyum. Tak perlu lama untuk dia mengimbas kembali identiti FF.

“FF yang hantar mesej bahasa sastera yang bunga-bunga tu ke Ren?” tanya Ummar Qayyum mendadak.

“Hah yang tulah, tu sebab Ren tak perasankan dia. Dia kan orang sains tapi bahasanya kalah orang sastera.” Pujian Rania menyentap jantung hati Ummar Qayyum. Rania pula ketara gembira tatkala menyebut nama Faheem.

“Tak apa, nanti kita balik Malaysia, kita buat reunion sesama kita,” usulan Ummi Kalthum menyentap hati Ummar Qayyum. Sambil itu dia melayani kerenah anak-anak kembarnya yang sudah habis makan.

“You balik Malaysia bila?” tanya Ummi Kalthum pada Ummar Qayyum.

“Esok.” jawab Ummar Qayyum.

“I seminggu lagi. Nanti kita jumpa. I contact Faheem okey,” ujar Ummi Kalthum pada Rania.

Mereka minta diri suku jam selepas itu. Ummi Kalthum disalami Rania manakala kedua-dua si kecil itu dicium dan dipeluknya.

“Nanti jumpa di Malaysia okey,” kata Rania pada kedua-dua si kecil itu sebelum pergi.

“Siapa Ummi tu sebenarnya abang?” tanya Rania sebaik sahaja mereka keluar dari restoran Pakistan.

“Kawan lama abang.”

“Kawan lama biasa atau kekasih?” giat Rania.

Dia dapat rasakan bahawa antara Ummar Qayyum dengan Ummi Kalthum ada hubungan serius sebelum ini. Ummar Qayyum terdiam. Bagaimana mahu jelaskan? Kalau dikatakan bahawa Ummi Kalthum pernah menjadi kekasihnya, melarat pula soalan yang akan ditanya Rania nanti. Kecilnya dunia. Banyak-banyak tempat, tempat yang aku pergi pula terserempak dengan Ummi Kalthum.

“Banyak nostalgia muncul bila jumpa kawan lama kan?” ujar Rania bila soalan yang ditanya tidak dijawab Ummar Qayyum. Mereka berjalan kaki di sepanjang jalan menuju ke perkarangan Eiffel Tower.

“Hmmm.”

“Dia pernah jadi kekasih abangkan?”

“Kenapa sayang kata macam tu?”

“Satu - sebab abang tak jawab soalan Ren. Kalau dia kawan biasa mesti cepat saja abang jawabkan? Kedua - tentang Murni pun dia tahu. Ren rasa hanya dengan orang yang rapat sahaja abang akan bercerita begitu kan?”

“Smart girl,” puji Ummar Qayyum.

Sejuk kian mencengkam. Udara dingin Paris masih mampu menembusi baju sejuk berlapis yang dipakainya.

“Abang peluk sayang,” Ummar Qayyum menarik tubuh Rania sambil beriringan dengannya melewati gerai-gerai yang menjual banyak cenderamata tempatan.

“Well, sebab dia pernah jadi kekasih abang, can you tell me more about Ummi,”
pinta Rania manja. Cuaca makin sejuk.

“Nak tahu buat apa? Lets bygone be bygone.”

“Kalau abang rahsiakan, Ren akan tanya Ummi sendiri nanti bila kita jumpa kat Malaysia.”

Kerana Eiffel Tower sudah ada di hadapan mata, persoalan itu mati begitu sahaja. Kini, mereka sudah pun berdiri di dataran Champ de Mars menyaksikan bangunan yang tinggi menjulang dengan cahaya lampu kuning yang bergemerlapan.
Seperti pelancong lain, mereka juga bergambar di sekitar Eiffel Tower. Sesekali Ummar Qayyum meminta orang awam mengambil gambar mereka.

“Nanti boleh masukkan dalam FB, biar mama komen lagi,” ujar Rania.

Kali ini Ummar Qayyum hanya senyum sekilas. Entah mengapa hati Ummar Qayyum tidak seseronok seperti sebelum ini. Mengapa Ummi Kalthum mesti muncul semula pada saat-saat dia sedang bersama Rania? Mengapa dia muncul dan membawa bersama-samanya pelbagai cerita? Cerita tentang Murni, Faheem dan entah apa lagi yang akan diheret Ummi Kalthum kelak.

Ummi! Ummi!


 copy paste dari...
http://www.hmetro.com.my/articles/CikguRania2_Siri19__SenandungCeriteraSemalam/Article

2 comments:

Aju Mohit said... [Reply]

rajinnya ko baca novel ye yan, aku nak mntk tolong ko klik button G+1 di entry iphone 5 gadget impian di first entry di blog aku boleh? tq ye yan

ketikketok said... [Reply]

".. to love is to care, to care we must share..."
get some and feel awesome at I AM GORGEOUS

Sale! Sale! Sale!

Dapatkan pelbagai barangan di Seri Sekijang Blogshop...
Legging kanak-kanak, Cawan Giacomo, Handmade Chocolate, Homelife, kitchen wallpaper, cartoon cutlery, kitchen tools, Gift Box, Serving tray, Fridge magnet preloved item

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

I will follow youuu....

babab.net

apesal traffic??