Tuesday, December 11, 2012

Cikgu Rania 2: Dia yang tertewas

JARI-JEMARI Rania yang runcing mengurut-urut lembut lengan kanan Makcik Rohaya. Minyak urut berangin cap Tok Ayah disapu lagi di sekitar lengan yang berurat-urat itu. Lengan Makcik Rohaya yang sengal-sengal sejak malam tadi beransur pulih bila digosok dengan minyak urut berwarna kuning cair itu.
“Bagus minyak ni,” puji Makcik Rohaya.

Dia membaca maklumat yang terdapat pada bekas pembungkus botol minyak urut.
“Minyak dari Terengganu. Bagus sungguh!”

“Bukan saja minyak yang bagus, tengok siapa yang urut.” Sengih Rania mencuit hati Makcik Rohaya.

“Ya Ren memang pandai serba-serbi. Pandai urut, pandai belajar, pandai memasak, pandai cari suami, pandai jaga diri..”

“Dah dah dah, cukup, biar Ren pula menambah. Yang mak cik tu pula ada hati nak pindah konon. Tengok ni, kat rumah ni kalau mak cik salah urat, sengal-sengal badan, ada Ren tau! Ren boleh tolong urut sikit-sikit. Kalau duduk kampung nanti siapa nak buat?” Bebelan Rania terhadap Makcik Rohaya bersambung balik pada pagi Ahad yang bercuaca indah itu. Sebelum ini dia membebel juga tapi berhenti sekejap dek kesibukan dengan pelbagai urusan. Keluhan Makcik Rohaya terdengar lagi. Sudah beribu-ribu kali Makcik Rohaya mengeluh begitu.

Rania melunjurkan kakinya yang berasa kebas dan kali ini tangan tua Makcik Rohaya pula yang memicit betisnya. Mereka duduk bersantai di pondok depan mengadap laman yang berumput. Puan Sri Zalia pula sedang asyik membelai bunga-bunga ros yang mekar di taman mini belakang. Leka betul dia. Itulah hobinya sejak dulu. Kini, hobinya itu semakin menjadi-jadi lebih-lebih lagi dengan kesibukan Tan Sri Razlan. Suaminya itu bukan sahaja sibuk dengan urusan kerja tetapi juga sibuk menguruskan hal Zara Aliya.

Gasaklah dia! Fikir Puan Sri Zalia. Dengan topi kembang di kepala, asyik benar dia memotong ranting-ranting pokok bunga ros yang berselirat.

“Ingat, kalau mak cik sebut lagi nak pergi dan tinggalkan Ren, Ren juga akan tinggalkan rumah ni. Abang Qayyum pun dah ajak Ren pindah. Dia balik dari Sweden nanti, terus Ren ajak pindah, habis cerita!” Kata-kata Rania menyentap hati Makcik Rohaya.

Seperti memberi kata dua kepadanya! Ini sudah masuk kali ketiga Rania menghalangnya. Selepas majlis perkahwinan di Kampung Daun Pisang, dia ditahan oleh Rania atas alasan macam-macam. Kebetulan, kelahiran anak Murni yang diberi nama Fahmi membuatkan Puan Sri Zalia kelam-kabut sedikit, jadi Makcik Rohaya setuju. Kemudian dirayu-rayu Rania lagi apabila Ummar Qayyum kembali semula ke Sweden.

“Janganlah ugut mak cik sampai macam tu.” Renungan Makcik Rohaya menusuk hatinya.

Kegelisahan bertakung di rongga hati orang tua yang nampak benar sukar membuat keputusan. Dibuang mati emak diluah mati ayah . Wajahnya berkerut.

“Ren tak main-main. Mak cik keluar hari ni, esok Ren ikut. Mak cik tak percaya, mak cik tengoklah...” Daripada duduk Rania sudah berdiri. Dia membalik-balikkan tubuhnya yang berasa lenguh.

Keresahan Makcik Rohaya kian ketara. Rania retus beberapa kuntum bunga kesidang lalu diselitkan di sanggul rambut tua Makcik Rohaya. Tangan Rania dipegang dan diusap-usap lembut oleh Makcik Rohaya.

“Mana boleh Ren buat macam tu. Sampai hati Ren nak tinggalkan mama Ren tu?”
tanya Makcik Rohaya seraya menjuihkan mulutnya pada Puan Sri Zalia yang masih terbongkok-bongkok di taman mini.

“Mak cik pula sampai hati nak tinggalkan Ren? Nak balik kampung nak duduk seorang?”

“Itu mama Ren. Mak cik ni siapa? Masakan boleh disamakan. Mak cik orang gaji di rumah ni!” Perempuan tua itu mulai sebak.

“Mak cik....” Rania menjerit kecil seraya memeluk pembantu rumah yang sudah dianggap macam keluarga sendiri. Hiba hatinya mendengar ungkapan tersebut.
Jarang sekali Makcik Rohaya berkelakuan aneh sedemikian. Air mata Makcik Rohaya yang menitis disapu lembut oleh Rania.

“Kenapa mak cik cakap macam tu? Tak baik. Kami sayang mak cik dan tak pernah anggap mak cik macam tu.”

“Kamu anak beranak orang baik-baik, kalau tidak masakan berbelas-belas tahun mak cik duduk di sini.”

“Habis tu kenapa mak cik cakap macam tu? Ada siapa-siapa yang kata mak cik orang gaji di sini?” cungkil Rania.

Makcik Rohaya serba salah. Dia menelan air liur. Rahsia yang berlaku antara dirinya dengan Murni tidak ada siapa yang tahu hingga saat ini. Segan pula hendak memberitahu Rania apa yang berlaku kerana sebelum dia dicaci Murni, dialah yang terlebih dahulu suka menyindir dan memerli Murni. Mengenangkan itu, Makcik Rohaya mendiamkan diri.

“Siapa cakap pada mak cik macam tu? Beritahu Ren? Murni?” serkap Rania.
Terlintas juga di hatinya mungkin Murni ada berkata sesuatu kepada Makcik Rohaya sehingga menyebabkan Makcik Rohaya berkecil hati. Tetapi mustahil kerana selama berada di rumah itu, Makcik Rohaya yang selalu mengenakan Murni. Makcik Rohaya menggeleng.

“Kalau bukan Murni, tak payahlah mak cik nak ambil kisah, kami semua sayangkan mak cik. Kami anggap mak cik macam keluarga sejak dulu. Jadi, mak cik kena duduk di sini sampai bila-bila. Mak cik tak boleh ke mana-mana tau,” Rania memaksa.

Makcik Rohaya mengeluh dalam.

“Lagipun sekarang mak cik dah jadi nenek, nenek Fahim!” pipi tua Makcik Rohaya dicium Rania.

Mendengar itu, dari hiba, muka Makcik Rohaya berubah rona. Juih Makcik Rohaya kian panjang. Hingga saat itu, dia tidak suka mendengar nama Murni atau apa-apa sahaja tentang perempuan itu. Dia meluat pada budak kampung yang tidak sedar diri itu. Tidak ada siapa pun yang tahu bahawa kerana perempuan bernama Murni itulah dia mahu keluar dari rumah yang sudah dihuni berbelas-belas tahun itu. Kata-kata nista yang diucapkan Murni masih terngiang-ngiang lantas menusuk hati tuanya.

Marahkan Murni, anak Murni pun tak dipandangnya. Banyak alasan yang diberi supaya dia tidak perlu menjaga Murni dan anaknya. Bidan kampung dipanggil oleh Puan Sri Zalia untuk menguruskan Murni manakala anak Murni pula diupah pengasuh dari pusat asuhan berdekatan untuk menjaganya di rumah bermula jam 8 pagi hingga 7 malam. Pada waktu malam, Murni terpaksa menjaga anaknya sendiri.

Dia sering mendengar anak Murni menangis pada waktu malam. Jarang sekali bayi itu dapat tidur nyenyak. Kembung perut, lapar atau tidak selesa barangkali, fikirnya. Padan muka kau Murni! Jagalah anak kau sendiri! Getus Makcik Rohaya.
Kemudian, direnung pula wajah Rania yang putih dan bersih sesuci dan sebersih hatinya. Daripada panas hati, jadi sejuk serta-merta bagai api disiram air hujan.

Aku sayang sangat budak ni. Sejak dia sunti lagi aku mengasuhnya, masakan kerana budak tak tahu asal-usul itu, Rania hendak aku tinggalkan? Buatlah dia juga pergi dari rumah ini, sunyi sepilah rumah mewah ini. Yang ada hanya Rania dan Rais suami isteri dengan bayi yang baru lahir. Hubungan Tan Sri dengan Puan Sri pun tidak lagi semesra dahulu walaupun mereka masih berkomunikasi.
Bermaharajalela pula si Murni itu kelak. Entah apa pula yang boleh dia lakukan kalau sudah beraja di mata, bersultan di hati, fikir Makcik Rohaya dengan perasaan gerun.

“Mak cik tak jadi pergi, mak cik akan jaga Ren tapi Ren mesti janji cepat mengandung tahu,” janji Makcik Rohaya dua hari selepas itu. Kali ini Makcik Rohaya pula bersyarat. Gembira bukan kepalang Rania mendengarnya. Segera pula dia berkongsi berita gembira itu dengan Puan Sri Zalia.

“Alhamdulillah, bolehlah mak cik tolong tengok-tengokkan anak Murni,” harap Puan Sri Zalia.

Rania diam sahaja. Bukan dia tidak perasan Makcik Rohaya kurang kisah tentang Murni dan anaknya cuma dia malas hendak memanjangkan cerita itu. Yang penting Makcik Rohaya mahu terus tinggal bersama mereka. Terpulang pada Makcik Rohaya hendak tengokkan anak Murni atau tidak. Dia tidak kisah. Dia pun sedang sibuk membina rumah tangga. Banyak yang hendak dipelajari sebagai seorang isteri. Ke dapur hendak juga dijengah. Kerana itulah dia seronok apabila Makcik Rohaya akan terus tinggal bersama mereka.

Bebanan tugas di sekolah pula makin banyak dipikul. Dengan wujudnya sistem baru iaitu PBS (Pentaksiran Berasaskan Sekolah) untuk menilai murid-murid, kerja guru makin bertimbun. Kerana itu dia perlu bijak membahagikan masa. Nasib baik Ummar Qayyum juga sedang sibuk dengan tugasnya di Sweden, kuranglah sikit peranannya sebagai isteri. Kalau tidak, mana masa nak siapkan kerja sekolah, menyemak buku latihan murid-murid, belajar memasak, melayan suami.

Ah! Rindu pula pada Ummar Qayyum, fikir Rania seraya mencapai longgokan buku karangan murid tingkatan lima Perwira yang belum disemak. Minggu depan dia akan dicerap oleh Puan Salsiah Harun. Oleh itu, buku-buku latihan murid perlu ditanda sebelum diserahkan kepada Ketua Panitia untuk tindakan selanjutnya.
Senak dadanya semasa buku karangan milik Shahir Fikri mahu ditanda. Bukan sahaja karangan jenis ucapan yang diarahkan tidak dibuat malah beberapa karangan lain yang sebelum itu juga tidak dilengkapkan walaupun telah berulang kali diberi peringatan. Budak itu memang suka mencabarnya. Nama murid itu memang terkenal dalam kalangan guru-guru yang mengajarnya. Malas, baran dan bermasalah disiplin. Esok, Shahir Fikri perlu dipanggil dan ditanya, fikir Rania.

“Saya dah cakap, saya tak suka karangan,” budak lelaki berwajah cengkung dengan pipi berjerawat itu menjawab soalan Rania.

“Suka tak suka awak kena buat. Kan cikgu dah pesan berkali-kali. Tak lulus karangan, kebarangkalian awak gagal BM tinggi. Gagal BM, awak gagal SPM.”

Mukanya masam mencuka.

“Buatlah ya,” pujuk Rania. Suaranya lembut. Shahir Fikri mengerling ke kiri kanan memberi isyarat bosan. “Esok cikgu nak tengok ya,” sambung Rania lagi.
Esoknya, sebaik sahaja masuk ke kelas 5 Perwira, kelibat Shahir Fikri tidak ada di tempatnya.

“Mana Shahir?” tanya Rania lalu menghampiri kumpulan murid lelaki yang duduk sekelompok.

Hanya ada sebelas orang sahaja murid lelaki di dalam kelas tersebut. Dua puluh lima orang lagi terdiri daripada murid perempuan. Kawan-kawannya yang duduk sebelah menyebelah saling memandang.

“Dia keluar cikgu,” kata Nor Azmi.

“Keluar ke mana?”

“Jumpa cikgu.”

“Cikgu mana?”

“Cikgu tanyalah dia nanti,” sahut Aiman Saleh lepas tangan.

Rania tidak bertanya lagi. Dia bergerak ke depan kelas dan mulai mengajar.
Sedang leka mengajar, tiba-tiba bunyi deringan telefon bergema. Rania menoleh ke arah murid-muridnya.

“Bunyi apa tu? Telefon kan?” Rania mahu mendapatkan kepastian. Semua murid memandang padanya. Deringan bunyi telefon masih kedengaran. Rania mengikut arah bunyi deringan tersebut.

Datangnya dari arah kelompok murid-murid lelaki. Seketika kemudian bunyi itu berhenti tetapi beberapa saat selepas itu deringan itu terdengar kembali.

“Telefon siapa tu? Tolong bagi saya,” arah Rania.

Masing-masing mendiamkan diri. Murid-murid lelaki membatukan diri manakala murid-murid perempuan mulai berbisik sesama sendiri.

“Siapa punya telefon tu?” tnya Rania lagi. Mukanya sudah masam. Pengajaran dan pembelajarannya sudah terganggu.

“Kamu tahu kan, salah membawa telefon bimbit ke sekolah,” ujarnya lagi lalu mengarahkan Aiman Saleh mencari arah bunyi telefon bimbit tersebut. Daripada sebuah beg galas berwarna hitam, Aiman Saleh keluarkan sebuah telefon bimbit.
Diserahkan telefon tersebut kepada Rania.

“Awak punya?” tanya Rania.

“Bukan. Shahir punya,” jawab Aiman Saleh.

Telefon bimbit itu diletakkan di atas meja guru dan Rania kembali mengajar.
Lima belas minit kemudian, Shahir Fikri masuk tanpa memberi salam. Dia duduk di kerusi lalu dibisikkan sesuatu oleh Aiman Saleh. Wajahnya yang masam menjadi bengis tiba-tiba.

“Pulangkan balik telefon aku,” ujarnya tiba-tiba.

Suaranya tinggi. Dia sudah berdiri. Rania terkejut bukan kepalang disergah begitu. Pengajaran dan pembelajaran terhenti tiba-tiba. Murid-murid perempuan memandang pada Shahir Fikri yang kelihatan tegang. Nafasnya turun naik. Mereka sama terkejut melihat tindakan kurang ajar rakan sekelas.

“Saya ambil telefon awak sebab alat itu mengganggu pengajaran saya dalam kelas.
Boleh awak duduk dan bertenang?” arah Rania kekal berhemah.

“Aku nak telefon aku balik,” herdiknya tanpa segan-silu.

“Saya akan pulangkan tapi bukan sekarang.”

“Aku tak kacau kau, kau jangan kacau harta benda aku. Bagi balik telefon aku,” tengking Shahir Fikri tiba-tiba.

Kelas jadi sunyi-sepi. Semua tergamam dengan tindakan biadap seorang murid terhadap guru. Aiman Saleh yang cuba meredakan keadaan tegang Shahir Fikri turut ditepis. Shahir Fikri bergerak ke depan lalu menendang beberapa kerusi yang mengganggu laluannya. Dicapai sebuah kerusi lalu dicampak ke lantai.
Keadaan jadi bertambah huru-hara. Rania menyabarkan dirinya. Ikutkan hati, mahu sahaja dilempang murid yang biadap dan tidak beretika itu tetapi mengenangkan situasi yang mencemaskan itu, dia mendiamkan diri. Banyak yang menerjah fikirannya saat itu. Dia risau akan keselamatan murid-murid lain. Bimbang juga kalau-kalau murid yang sedang naik angin itu mencampakkan kerusi ke arah murid-murid lain yang kaku tidak bergerak. Justeru dijadikan diri sebagai benteng. Kalau Shahir Fikri semakin ganas, dia sanggup jadi mangsa asalkan murid-murid selamat.

Keadaan semakin riuh-rendah. Shahir Fikri terus beraksi. Sambil bergerak laju, dia terus menendang beberapa kerusi dan menjerit-jerit seraya melemparkan kata-kata kesat kepada Rania. Sambil beristighfar, Rania memerhatikan saja gelagat murid yang kerasukan itu. Tiba-tiba muncul Fakhrul Aziz, murid dari kelas Lima Laksamana di ambang pintu. Murid yang berwajah tenang itu cuba memujuk Shahir Fikri tetapi dia ditumbuk di muka. Terpisat-pisat Fakhrul seketika.

Kesabaran Rania kian menipis. Ringan sahaja tangannya mahu melayang ke muka Shahir Fikri tapi segera disanggah Fakhrul Aziz. Di luar kelas, murid-murid menjadi penonton drama realiti. Beberapa orang murid dan pengawas yang cuba meredakan keadaan Shahir Fikri turut ditempik. Shahir Fikri bergerak ke kelas sebelah lalu menengking pula beberapa guru yang kebetulan sedang memandang ke arahnya.

Akhirnya, dia kembali semula ke kelas setelah amukan amarahnya dilepaskan. Rania masih di tepi pintu memaut tiang kesabaran semasa keadaan mulai tenang. Di anak tangga teratas, Rania tersuluh kelibat Encik Salman, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid yang sedang berlari-lari anak menuju ke tingkat empat. Murid-murid sudah pun bersurai - barangkali kerana menyedari kehadiran Encik Salman.

Shahir Fikri duduk di tempatnya semula. Nafasnya tercungap-cungap seperti lembu yang baru disembelih. Beberapa orang murid perempuan mengesat air mata.
Kesedihan melanda mengenangkan kata-kata kesat yang dilemparkan oleh rakan sekelas kepada Cikgu Rania.

Rania masih tergamam di muka pintu. Dia tidak berganjak sungguhpun dia sedar Encik Salman ada di luar kelas. Dari celahan tingkap, Encik Salman berhenti dan memandang tepat ke muka Shahir Fikri. Sungguhpun tenang tapi wajahnya tegas. Kemudian, dia bergerak ke pintu belakang dan sekali lagi dia berdiri tegak. Dua tangannya mengilas di belakang. Kelas masih sepi.

“Shahir, ikut saya ke pejabat. Sekarang,” ujarnya dan terus pergi.

Rania tidak mampu mengungkapkan apa-apa kata lagi. Sepuluh minit kemudian, loceng berbunyi dan dia pergi tanpa menunggu murid-murid mengucapkan terima kasih. Sepanjang jalan menuju ke bilik guru, dia berasa kosong yang teramat sangat. Rasa tidak percaya masih menghantuinya. Bagaimana seorang murid tega mengucapkan kata-kata kesat kepada guru yang memberi ilmu? Begitukah adab seorang murid? Allah melihat dan mendengar semua. Tidak takutkah dia pada kemurkaan Allah?

Astaghfirullahalazim! Rania beristighfar. Beberapa orang guru melahirkan rasa simpati kepada Rania. Perasaan marah dan geram mereka pada Shahir Fikri tidak terbendung.

“Dia memang bermasalah sejak dulu. Kenapa masih disimpan? Sepatutnya dah lama dibuang,” komen Puan Khairiah, guru Sains yang pernah mengajar Shahir Fikri.

“Kesalahannya banyak do’oh lalu. Dohlah bawok telefon, masuk lambak, ponteng kelah. Paling teruk biadap terhadap guru,” sampuk Puan Che Marhaini dalam loghat daerah.

Bukan main bersemangat guru yang berasal dari Kelantan itu apabila berhujah.
Beberapa orang guru yang mendengar tersenyum simpul kerana gelihati melihat gelagatnya yang tak ubah seperti ahli politik. Bila bercakap seluruh anggota badannya berfungsi. Dia memang pandai berlawak.

“Kita fikir bila kita bagi peluang, dia akan berubah,” Encik Yusuf merasionalkan keadaan.

“Mana nak tahu dia lagi hebat sekarang.” Ada nada kesal pada bicaranya.

“Cikgu Yusuf memang slow motion sokmo!” potong Che Marhaini.

Rania hanya mendengar komen-komen para guru. Dia tidak berminat untuk menyampuk. Seperti tadi, dia masih tetap kosong. Masih terkejut dan sukar mempercayai peristiwa yang menimpanya. Sejarah berulangkah? Dia teringat kisah lama di sekolah sebelum ini. Setandan kelapa, mesti ada kelapa komeng!

Kalau ini ujian-Mu untuk menduga aku Ya Allah, aku terima dengan reda, kata hatinya semasa memandu pulang ke rumah.

Qayyum, luluh hatinya bila teringatkan suami yang jauh. Bagusnya kalau abang ada! Rintihnya tatkala keretanya berhenti di pagar rumah. Pintu pagar automatik sedia terbuka.

Rania memarkir keretanya di ruang parkir khas. Dia melangkah longlai menuju ke pintu utama dengan hati yang cukup sebal. Loceng dibunyikan. Makcik Rohaya tersenyum menyambutnya di ambang pintu. Tiada sesiapa di ruang tamu utama.
Makcik Rohaya bergegas pula ke dapur. Rania mendengar bunyi sesuatu ditumis.
Bau gulai patin masak tempoyak menusuk hidungnya. Dia bergerak ke dapur.

Kenapa Makcik Rohaya masak ikan patin tempoyak? Membuatkan ingatanku pada Qayyum makin menjadi-jadi!

“Kenapa Ren?” tanya Makcik Rohaya sebaik sahaja terpandangkan wajah sugul Rania.

Rania duduk di kerusi di meja makan di bahagian dapur basah. Dihidangkan segelas air kosong lalu disuakan pada anak majikannya.

“Mama mana, mak cik?” tanyanya pula tanpa menjawab soalan yang ditanya. Air diteguk oleh Rania.

“Mama ada kat bilik Ren,” sahut Makcik Rohaya. Berkerut dahi Rania.

“Mama buat apa dalam bilik Ren?”

“Entahlah, pergilah...” ujar Makcik Rohaya.

Sisa-sisa tenaga yang tinggal, Rania kerah untuk mendaki anak tangga menuju ke kamar tidurnya. Dia membuka tombol pintu kamar lalu terus masuk ke dalam.
Kelibat ibunya tidak ditemukan tetapi di dalam kamar mandi, dia terdengar bunyi jirusan air.

Jendela kamarnya terbuka membawa masuk angin petang menyapu muka. Rania hampiri jendela. Bau rumput yang baru dipotong menyegarkan mindanya. Dia suka bau itu. Dia bertenggek di birai jendela. Ingatan pada suami makin terasa.
Terkenang akan memori indah bersama Ummar Qayyum semasa mereka bersantai di tepi jendela semasa bercuti di hotel di Paris tempoh bulan.

Tubuhnya tiba-tiba diraih dari arah belakang. Rania terkejut.

“Sayang...” sebuah kucupan hinggap di telinganya. Berderau darah Rania.
Dipalingkan tubuh.

Ummar Qayyum sedang tersenyum. Mata mereka bertemu. Dengan tidak semena-mena direbahkan kepalanya di dada bidang Ummar Qayyum. Tanpa diduga, di dada itu, tangisannya bergema!



copy paste dari...

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/CikguRania2_Diayangtertewas/Article/index_html

0 comments:

Sale! Sale! Sale!

Dapatkan pelbagai barangan di Seri Sekijang Blogshop...
Legging kanak-kanak, Cawan Giacomo, Handmade Chocolate, Homelife, kitchen wallpaper, cartoon cutlery, kitchen tools, Gift Box, Serving tray, Fridge magnet preloved item

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

I will follow youuu....

busuk.org

apesal traffic??