Tuesday, December 4, 2012

Cikgu Rania 2 (Siri 21): Selagi ada rindu buatnya!

MEMANG meriah dan mewah. Itulah rumusan yang dapat dibuat terhadap majlis resepsi perkahwinan Rania dan Ummar Qayyum yang diadakan di sebuah hotel ternama di pinggir ibu kota.
Semua ahli keluarga Tan Sri Razlan berkumpul termasuk Ridwan dan Rindu sekeluarga kecuali Zara Aliya. Mengikut perancangan Tan Sri Razlan, masa itulah dia mahu memperkenalkan Zara Aliya kepada keluarganya tetapi Zara Aliya menarik diri atas alasan mahu ke luar negara. Walaupun agak terkilan, Tan Sri Razlan membiarkan anak itu membuat keputusan sendiri.

“Eloklah dia tak ada. Kalau tidak, mood mama takkan sebaik ini,” komen Puan Sri Zalia pada Rania apabila perihal Zara Aliya disentuh Rania.

“Mama ni, tak baik macam tu tau. Kasihan dia. Dahlah dia tak ada siapa-siapa kecuali ayah, mama anggap macam tu pula.”

“Ren jangan lupa. Ayah tipu mama tau.” Jelingan Puan Sri Zalia bagai bersulam putik-putik dendam.

“Ayah yang tipu bukan Zara.” Pembetulan yang dibuat oleh Rania membuatkan ibunya terdiam sejenak.

“Dah, dah tak hendak cakap tentang dia lagi.”

“Mama...dia tetap anak ayah walaupun mama cuba nak nafikan.”

“Tiba-tiba saja muncul, entah dari mana-mana.” Bebelan Puan Sri Zalia tidak menjadi kudis buta buat Rania.

“Apa pula macam tu! Dah sah sah dia anak ayah.”

“Inilah perangai Ren dari dulu sampai sekarang. Mudah sangat percaya dan simpati pada orang.”

“Tak salah kan mama? Manalah tahu, Zara duduk dengan mama, mama akan sayang pada dia...Ren pula dah kahwin. Nanti kena ikut suami....”

“Tak ada maknanya. Anak orang tetap anak orang.”

“Siapa kata? Tengok Murni, dulu mama tak suka, sekarang bukan main lagi sayangnya mama pada dia,” sindir Rania.

Terkedu Puan Sri Zalia dek terkena di batang hidung sendiri. Walaupun dia memang marah dengan suami, berdetik juga rasa di hati ingin mengenali anak tirinya itu. Ke manalah budak itu pergi? Fikirnya sambil melayan tetamu yang tidak henti-henti bertandang. Senyumnya tidak lekang di bibir. Begitu juga dengan Tan Sri Razlan walaupun jauh di sudut hati dia berasa terkilan kerana Zara Aliya tidak ada berada bersama mereka, tapi dia tetap gembira kerana majlis resepsi perkahwinan Rania dan Ummar Qayyum berjalan lancar seperti yang dirancang.

Ramai orang-orang kenamaan dan penting dalam kalangan rakan sejawatan Tan Sri Razlan turut memeriahkan majlis. Mereka diperkenalkan kepada pasangan pengantin yang nampak begitu anggun dengan busana ciptaan pereka terkenal tanah air.
Rania yang sudah kepenatan memaniskan muka menyalami tetamu yang hadir. Namun senyum manisnya berubah kelat tatkala Puan Wan Sharwin yang pernah ada ‘sejarah’ dengannya menyalami dan ucap tahniah padanya. Dia yang sudah rimas menjadi ‘raja sehari’ makin ketara bosannya apabila perempuan yang pandai berlakon itu menambah-nambah cerita silam yang telah pun dikuburkannya.

“Saya dah kenal anak Tan Sri ni lama dulu. Dia pernah ajar anak saya pun. Anak saya Elly pun ingat Cikgu Ren ni,” ujar Puan Wan Sharwin seolah-olah dia begitu rapat dengan Rania.

Rania buat muka penat dan bosan.

“Macam mana sekolah baru?” sambungnya lagi.

“Biasa saja,” sahut Rania malas melayan.

“Yalah kan !Mana-mana sekolah sama sahaja. Er...Elly sekarang sambung belajar di UIA dalam bidang perundangan. Dia nak jadi lawyer,” ceritanya lagi dengan bangga.

“Yalah puan. Kirim salam pada dia dan cakap jadilah peguam yang hebat dan beretika. Jangan jadi ‘loyar’ buruk seperti yang pernah dia buat kat sekolah dulu,” sahut Rania yang sudah sampai ke puncak kebosanan.

Tanpa rasa bersalah, dia meminta diri dengan cara hormat seraya menarik tangan Ummar Qayyum menghala ke arah teman-teman gurunya.

“Kenapa sayang cakap macam tu? It’s rude you know!” komen Ummar Qayyum yang berasakan bahawa tindakan Rania agak keterlaluan lebih-lebih lagi ditujukan pada tetamu yang datang meraikan majlis mereka.

“I have reason for that.”

“Sayang. Apa sahaja alasan yang you ada, dia kan tetamu. Tetamu kita kena hormat.”

“Ada Ren kisah? Siapa suruh dia merepek-repek. Ren ada sejarah pahit dengan dia. Nampak muka dia, luka lama Ren berdarah kembali.”

Ummar Qayyum diam sahaja walaupun dia tidak bersetuju dengan tindakan Rania.
Berdendamkah Rania? Semakin mengenali Rania, semakin banyak perwatakan Rania yang dia tahu. Orangnya baik hati dan penuh simpati tetapi dia boleh buat sesuatu yang di luar dugaan. Itulah Rania! Kalau tidak, masakan dia boleh putuskan ikatan dengan aku suatu waktu dulu sehingga aku tega membawa diri ke Sweden. Syukur, Allah temukan kami kembali. Aku harap aku akan lebih mengenalimu Ren! Kata Ummar Qayyum sendiri.

Ummar Qayyum memerhatikan pula cara Rania melayan teman-teman sekolah. Kali ini dia peramah dan sangat merendah diri semasa dipuji. Jauh bezanya semasa dia berhadapan dengan Puan Wan Sharwin sebentar tadi. Very unpredictable! Fikir Ummar Qayyum sendiri.

Seminggu selepas itu, majlis perkahwinan berlangsung pula di Kampung Daun Pisang atas kehendak ibu Ummar Qayyum. Rania lebih teruja berada di kampung berbanding di ibu kota. Dia suka melihat suasana kampung dengan segala persiapan dilakukan secara bergotong-royong oleh penduduk-penduduk setempat.
Ada dalam kalangan sanak-saudara Ummar Qayyum yang turut serta membantu. Tak kurang juga yang hanya berlepak di ruang tamu rumah induk tersebut sambil menonton televisyen.

Ashraf Daniel nampaknya lebih betah berada di kampung berbanding sepupu-sepupunya yang lain. Tidak hairanlah kerana sebelum kembali ke pangkuan keluarganya, Ashraf Daniel pernah duduk dengan Ummar Qayyum dan selalu pulang menjengah Nenek Ninda di kampung. Laman depan rumah Nenek Ninda dipenuhi oleh orang-orang kampung yang datang membantu. Ada yang datang membawa kelapa, gula, sayur-sayuran dan macam-macam lagi. Mereka memasak beramai-ramai selepas dua ekor lembu ditumbang dan dilapah sendiri oleh penduduk kampung.

Seperiuk besar sup tulang bukan sahaja dinikmati oleh penduduk-penduduk kampung yang datang membantu bahkan juga seluruh keluarga dapat merasa. Mereka berbual-bual mesra sambil melakukan pelbagai kerja. Silaturahim antara mereka berlangsung begitu erat. Cara orang kampung berkomunikasi dengan loghat yang tersendiri membuatkan Rania terkenang pengalamannya mengajar di Sabah dulu. Apa khabar anak-anak muridku dulu? Ajid, Ansari, Bolong dan Maya? Maya yang paling diingati. Sesekali dia sempat berbalas mesej dengan mereka menerusi laman sosial. Namun, belakangan ini, kesibukan membataskannya dengan aktiviti tersebut.

Beberapa khemah berwarna putih yang didirikan di laman rumah kampung milik Nenek Ninda sudah menggamit para tetamu. Dua buah khemah untuk memasak dan menghidang dijarakkan sedikit dengan khemah makan. Pelaminnya pula sangat ringkas dan dipacak tidak jauh dari tempat tetamu menjamu selera.

“Ringkas dan tanpa protokol. Senang kita nak layan kawan-kawan,” bisik Rania.

“Inilah yang emak hendak sangat. Suasana kampung,” bisik Ummar Qayyum di telinga Rania.

Semasa perkahwinan abang-abangnya dulu, emak berputih mata dan sekadar merungut kerana hajat hati hendak mengadakan majlis di laman tapak rumah tidak kesampaian. Kedua-duanya mahu majlis mereka dibuat di Kuala Lumpur untuk memudahkan tetamu yang tinggal sekitar ibu kota datang. Kali ini hajat ibunya tercapai juga.

“I like,” sahut Rania.

Teruja kerana suasana perkahwinan yang bercirikan kampung itu memudahkan pergerakannya.

“Kita tak payah jadi patung yang tegak kat pelamin lama-lama macam kat hotel hari tu. Kali ni kita boleh jalan-jalan dan sembang-sembang sesuka hati,” kata Rania seraya meraikan sekumpulan wanita warga emas yang datang berkumpulan.

“Ni menantu saya.” Dengan bangganya, Nenek Ninda memperkenalkan Rania pada teman-teman sekampung. Kembang kempis hidung Ummar Qayyum mendengar orang-orang kampung memuji-muji kecantikan isterinya. Dia tumpang bahagia melihat gelagat
ibunya yang seronok bercerita sambil bergurau-senda dengan penduduk-penduduk kampung.

Berbeza dengan ibu bapa Rania dan sebahagian kaum keluarga abang-abangnya yang hanya bertenggek di beranda rumah ibunya yang besar dan luas itu. Yang lain pula, lebih selesa berehat di dalam ruang tamu yang lapang sambil menonton televisyen. Tiba-tiba Ummar Qayyum terpandangkan kelibat Murni yang terkedek-kedek hendak turun tangga dibantu oleh Ashraf Daniel. Segera dialihkan pandangannya. Sejak insiden Murni memegang tangannya di rumah ibunya itu, pandangannya terhadap Murni telah berubah. Dia jadi tidak suka pada Murni dan sangat berharap agar mereka tidak duduk sebumbung dengan perempuan itu di rumah ibu bapa Rania.

Malangnya, hingga ke hari ini, Rania masih belum berbincang dengan Puan Sri Zalia tentang cadangannya untuk tinggal berasingan. Ummar Qayyum menyaingi Rania duduk di kerusi bawah khemah. Di tepi khemah, ada beberapa buah periuk besar tempat penduduk kampung memasak sejak petang semalam malah ada lagi dapur
kayu yang masih berasap.

“Banyak persamaan kampung ni dengan Kampung Rimba di Janda Baik,” komen Rania.

“Dah namanya kampung!”

“Kampung Rimba kampung nostalgia. Tempat Ren pernah berkubang dengan Kak Ros, Abang Rais dan Halim zaman kami remaja dulu,” tekan Rania.

Kenangan itu menjentik tangkai hatinya. Dalam keriuhan majlis di tengah kampung yang hijau dan damai itu, Rania mencari kelibat Kak Ros dan Halim.

Semasa majlis resepsi di Kuala Lumpur mereka tidak dapat hadir tapi mereka berjanji akan datang di majlis yang diadakan di Kampung Daun Pisang. Sudah agak lama dia tidak bertemu dengan sahabat-sahabat sejati itu. Seingat Rania, semenjak dia bernikah dan bergelar isteri, berita daripada Kak Ros dan Halim langsung tidak didengari. Kali terakhir berjumpa semasa majlis akad nikah itulah.

“Tak nampak Kak Ros dengan Halim,” ujar Rania. Suaranya kendur.

Ummar Qayyum memandang sekeliling, cuba meninjau kelibat kedua-dua beradik itu tapi tidak kelihatan.

“Belum datang lagi agaknya!” sahut Ummar Qayyum mahu menyedapkan hati Rania tapi sehingga majlis hampir tamat, kelibat mereka berdua tetap tidak kelihatan tetapi yang muncul ialah tetamu yang tidak disangka-sangka oleh Ummar Qayyum.
Ummi Kalthum bersama Faheem!

Mereka yang baru tiba tersenyum di laman.

Anak-anak kembar Ummi Kathum tidak ada bersama mereka. Tetamu dihampiri oleh pasangan pengantin. Rania tersenyum lebar apabila disapa oleh Faheem. Timbul sejalur rasa malu apabila dia teringat kata-kata Ummi Kalthum tentang Faheem.
Faheem tu your secret admirer! Terngiang-ngiang ungkapan Ummi Kalthum detik itu.

“Apa khabar Rania?” sapa Faheem dengan sopan sekali. Mata redupnya merenung lembut ke arah gadis yang pernah mencuri hatinya semasa mereka di UPM dulu.

“Ni I nak kenalkan, Ummar Qayyum...,” celah Ummi Kalthum selepas Rania menjawab sapaan Faheem. Tangan yang dihulur Ummar Qayyum disambut segera oleh Faheem.

“Tahniah!” sepatah kata dihulur Faheem pada Ummar Qayyum.

Mereka berdua dijemput makan masakan orang kampung. Ummi Kalthum berbual-bual dengan Ummar Qayyum sambil makan manakala Rania pula seronok melihat cara Faheem menjamu selera. Faheem menambah dua kali sambil memuji-muji keenakan masakan desa. Kedamaian desa turut menarik perhatiannya.

“Abang yakin Rania mesti suka duduk di sini kan,” ujar Faheem.

Ummar Qayyum mulai rasa semacam tatkala telinganya beberapa kali mendengar Faheem membahasakan dirinya sebagai ‘abang’ kepada Rania.

“Macam mana Abang Faheem tahu?” tanya Rania pula.

“Abang pun suka suasana desa seperti ini. Dulu-dulu selalu juga abang usha Rania. Rania kan suka ikut program-program kedesaan.”

Rania tergelak kecil mendengar perkataan ‘usha’ dari mulut Faheen. Perkataan itu selalu digunakan oleh budak-budak lelaki di sekolah.

“Ingat abang tak mengikuti perkembangan Rania dengan Ros Ilyani? Abang pun tahu Rania selalu pergi ke kampung Ros Ilyani di Janda Baik tu kan?”

Pengakuan Faheem benar-benar memeranjatkan Rania. Sejauh itu dia mengetahui perkembangan aku? Minatnya pun sama dengan aku. Patutlah setiap ayat-ayat yang ditulis di facebook sarat dengan kalimah dan ungkapan berfalsafah. Rania terkenang ayat Faheem yang berbunyi, “Rinduku senantiasa basah buatmu dan aku selalu mengintaimu di balik purnama malam tapi barangkali kau tidak pernah tahu kewujudanku.”

Oh! Barangkali benarlah seperti ayat yang diungkapnya. Aku tidak pernah tahu kewujudannya. Macam mana aku hendak tahu kalau dia berselindung di sebalik cahaya purnama, fikir Rania.

“Apa cerita kakak angkat Rania tu?” tanya Faheem seterusnya.

“Alhamdulillah Kak Ros baik. Patutnya dia datang majlis ni tapi tak muncul pula.” Wajah Rania berelung resah. Tadi, hampir-hampir dia menghubungi telefon bimbit Ros Ilyani tetapi ditangguhkan sebab ramai tetamu. Ummar Qayyum semakin tidak selesa melihat situasi mesra antara Rania dengan Faheem. Ternyata situasi yang dilihat itu mengocak jiwa raga dan ego lelakinya. Tumpuannya pada bicara Ummi Kalthum pun mulai tenggelam timbul kerana dia lebih terdesak mahu mengikuti perbualan dua teman yang terpisah lama itu.

“Yang you cerita tentang Halim tu siapa Faheem?” Celah Ummi Kalthum pula.
Makin terkebil-kebil Ummar Qayyum dibuatnya. Banyak benar tentang hal ehwal Rania yang diketahui oleh orang berdua ini, fikir Ummar Qayyum sendiri.

Faheem menjeling kepada Rania. Dia membasuh mulut dan tangan dan membiarkan Ummi Kalthum menunggu jawapan daripadanya.

“Makan lagi Faheem,” pelawa Ummar Qayyum saja-saja.

Faheem capai tapai yang dibungkus dengan daun getah manakala Ummar Qayyum ambil jag yang berisi teh panas di meja sebelah. Empat gelas diletakkan atas meja seraya dituangkan teh panas ke dalam gelas.

“Seronok kan buat majlis kahwin kat kampung. Kita boleh santai-santai macam ni,” kata Rania sambil memandang sekeliling.

Tetamu yang tinggal sebahagian besarnya ialah sanak-saudara dan beberapa orang penduduk kampung yang sedang berkemas dan membasuh pinggan mangkuk berserta
periuk belanga. Di beranda, ahli keluarganya sudah tidak kelihatan. Barangkali mereka berehat di ruang dalam sementara menunggu waktu untuk kembali ke Kuala Lumpur.

“Makanan macam ni tak jumpa tempat lain.” Faheem merujuk tapai yang unik cara pembungkusannya. Sekali suap tapai manis larut dalam mulut Faheem.

“Halim siapa Faheem?” ulang Ummi Kalthum apabila soalan yang ditanya tidak berjawab.

“Dia ni, semua nak tanya kat sini.” Sengaja Faheem menyindir Ummi kalthum.

Melihat Ummar Qayyum meneguk teh tarik panas, Faheem pun turut serta.

“Yalah, you tahu Qayyum, sepanjang jalan, macam-macam dia cerita kat I. I pun tentulah teruja nak tahu kan!” Ummi Kalthum mempertahankan dirinya. Rania sabar menanti. Seperti Ummar Qayyum, dia juga mahu mendengar cerita daripada Faheem.
Apa lagi yang Faheem tahu?

“Halim tu adik Ros Ilyani. Kakak angkat Rania ni,” sahut Faheem sesudah teh panas dihirupnya. Tekaknya rasa kesat kesan tapai dengan teh panas.

“Datang tengok orang kahwin tapi cerita berbagai-bagai pula!” leter Ummi Kalthum.

“Tak ada masalah, dah tak ada tetamu lagi dah! Lagipun dah kali ketiga kami naik pelamin,” kata Rania.

“Hah, tu dia! Jadi tak ada salahnya bercerita pasal masa lalu kecuali Qayyum atau Rania marah. But I don’t think so! Kan Rania?” duga Faheem.

“Menarik cerita Abang Faheem sebenarnya. Ren tak pernah tahu ada cerita-cerita sebegini di sebalik tabir kehidupan Ren. Ingat hidup Ren masa dulu-dulu hambar rupa-rupanya ada banyak kisah!”

Rania tersenyum kecil. Dia tidak pernah menyangka bahawa kehidupan zaman remajanya disuluh oleh Faheem. Ummar Qayyum menelan air liur. Sejalur perasaan aneh datang dan melingkari hatinya. Dadanya berombak perlahan sedang hatinya mulai berdegup tanpa rentak. Kenapa semua ini datang mendadak? Dulu, masalah Murni dan masalah Murni masih belum berkesudahan. Sekarang Ummi Kalthum. Bukan
sahaja dia tetapi datangnya Ummi Kalthum bersama Faheem. Faheem! Siapa lelaki ini yang tiba-tiba muncul seperti angin. Barangkali dia angin yang sepoi-sepoi bahasa pada Rania tapi pada aku, dia angin sejuk yang boleh mencucuk sampai ke tulang hitam.

Di beranda, suasana yang aman dan tenteram menjadi kalut tiba-tiba. Rania menoleh ke arah sekumpulan wanita warga emas yang bergegas mendaki anak tangga.
Kemudian, Ashraf Daniel pula kelam-kabut turun dari beranda dan menuju ke arah mereka.

“Kenapa Acap?” tanya Ummar Qayyum.

“Kak Murni sakit perut. Nak bersalin kot!” sahutnya.

“Laa, masa ni pula!” Ummar Qayyum pandang Rania.

“You dah nak jadi Pak Ucu,” usik Rania dengan senyum nakalnya. Malang sekali, senyum tidak bermukim di wajah Ummar Qayyum.


copy paste dari
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/CikguRania2_Siri21__Selagiadarindubuatnya_/Article/index_html

0 comments:

Sale! Sale! Sale!

Dapatkan pelbagai barangan di Seri Sekijang Blogshop...
Legging kanak-kanak, Cawan Giacomo, Handmade Chocolate, Homelife, kitchen wallpaper, cartoon cutlery, kitchen tools, Gift Box, Serving tray, Fridge magnet preloved item

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

I will follow youuu....

babab.net

apesal traffic??