Tuesday, January 15, 2013

Cikgu Rania 2 (Siri 27): Seandainya Kutahu!

 Oleh Samsiah Mohd Nor

RANIA mengenakan blaus warna merah darah ikan yang dikenakan dengan seluar panjang berwarna hitam. Tudungnya pula bercorak abstrak gabungan warna putih merah dan hitam. Beg tangan kulit berjenama Miu Miu bewarna kelabu sudah disilangkan ke tubuhnya.
“Ren nak ke mana ni?” tanya Puan Sri Zalia kehairanan.

Sejak akhir-akhir ini Rania makin sering keluar sendirian. Tadi pun Ummar Qayyum keluar berseorangan. Rania tidak ikut sekali kerana katanya penat. Alih-alih Rania juga hendak keluar. Apa sudah jadi?

“Nak keluar jumpa kawan.” Rania capai kunci kereta.

“Kawan yang mana?” tanya Puan Sri Zalia lagi.

Makcik Rohaya pun nampak terpinga-pinga. Cuma Murni yang senyum penuh makna di luar penjuru ruang tamu kedua.

“Er...kawan Ren lah.”

“Tadi kata tak ikut Qayyum sebab penat. Ini boleh pula keluar,” tempelak ibunya.

Rasa tidak senang hati mulai menerjah tasik hati Puan Sri Zalia.

“Ada hal penting mama.” Tangan ibunya segera disalami dan belum sempat ibunya bertanya lanjut, Rania sudah pun turun tangga menuju ke keretanya.

“Dah beritahu Qayyum?” Jerit Puan Sri Zalia tapi anak itu pura-pura tidak mendengar.

Puan Sri Zalia memandang cuma kereta Rania yang bergerak agak laju meninggalkan halaman rumah.

“Apa masalah si Rania ni? Qayyum keluar sendiri. Dia keluar sendiri.” Sejalur resah bermukim di wajah Puan Sri Zalia. Dia perasan anak menantunya agak dingin dan sepi sesama mereka.

Pasangan itu sudah tidak mesra seperti dulu lagi. Ingatkan perkara-perkara kecil yang berlaku dalam rumah tangga yang masih muda itu berlalu begitu saja bak angin tapi salah anggapannya. Nampak gayanya hubungan dingin antara Rania dengan Qayyum masih berlarutan. Dia bimbang kalau-kalau kudis kecil akhirnya membusung atau menjadi seperti api dalam sekam. Di luar tak kelihatan tapi makan dalam.

“Alah biasalah Puan Sri, orang baru melangkah ke dunia baru. Err apa orang kata, dalam proses mengenali.” Makcik Rohaya tergelak kecil sesudah mengungkapkan kalimah itu.

Puan Sri Zalia mengeluh penat. Dia menekan-nekan dadanya yang berasa ketat tiba-tiba. Tapak tangannya ditopang pada dinding tepi beranda. Dia seakan-akan memerlukan sesuatu untuk menahan tubuhnya.

“Puan Sri jangan fikir sangat tentang anak-anak. Pandailah mereka menyelesaikan masalah mereka,” nasihat Makcik Rohaya seraya memaut tubuh Puan Sri Zalia masuk ke dalam rumah. Dia sedar air muka majikannya itu sudah berubah rona.

“Si Rania ni lain sikit budaknya. Hendak ikut kepala dia saja, entah apa lagi yang dia tak puas hati tu,” ujar Puan Sri Zalia sebaik sahaja dia duduk di kerusi. Segelas air suam disuakan oleh Makcik Rohaya yang baru datang dari dapur. Makcik Rohaya sengaja duduk dan berbual-bual dengannya untuk mengelakkan tuan rumah itu tertekan. Jangan sampai Puan Sri Zalia masuk hospital sekali lagi!

“Puan Sri, nanti pandai-pandailah Qayyum pujuk isterinya tu...” Makcik Rohaya cuba mendamaikan jiwa Puan Sri Zalia yang tetap berkocak mengenangkan fi’il Rania nan seorang.

“Yalah kak. Harap-harap masalah mereka tidak berpanjangan, maklumlah darah tengah manis. Silap hari bulan macam-macam perkara boleh berlaku.”

“Eh, jangan fikir bukan-bukan Puan Sri...,” potong Makcik Rohaya.

Pembantu rumah nan setia itu sengaja bercerita yang lunak-lunak tentang Rania dan Ummar Qayyum untuk menyedapkan rasa hati Puan Sri Zalia. Muka Puan Sri Zalia ceria seketika namun air mukanya kembali keruh apabila disapa Ummar Qayyum yang kembali semula ke rumah selepas dua jam Rania pergi.

“Dia ke mana? Saya call banyak kali tapi dia tak angkat,” terang Ummar Qayyum.

“Dia kata nak jumpa kawan.”

“Kawan yang mana?”

Puan Sri Zalia tidak dapat menjawabnya. Kerana dilanda kerisauan, Ummar Qayyum terus-menerus menghubungi Rania tapi tetap hampa. Akhirnya dia duduk di sebelah ibu mertuanya.

“Kurang-kurangnya dia cakaplah dia hendak ke mana. Dia diam begini buat kita risau,” keluh Ummar Qayyum.

Tindakan Rania tidak disenangi. Perangai Rania yang ada masanya kebudak-budakan merimaskannya.

“Tak sempat mama nak tanya, dia dah masuk kereta.” Puan Sri Zalia memberi alasan.

Makcik Rohaya menuangkan Nescafe panas ke cawan lalu dihulurkan penuh hormat pada Ummar Qayyum. Ummar Qayyum capai seraya mengucapkan terima kasih. Alangkah bagusnya kalau Rania yang melayan aku! Hatinya berdetik. Ini tidak! Makcik Rohaya pula yang menunggu di rumah. Dia hilang entah ke mana! Telefon tidak berangkat. Marah sangatkah Ren pada aku sehingga langsung tidak menjawab panggilan? Dia hilang fokus mengenangkan Rania.

Laporan kewangan yang perlu disediakan untuk dibentangkan pada ahli Lembaga Pengarah Syarikat keesokan harinya jadi terbantut. Tumpuannya hilang. Dia masuk bilik dan bermenung pula di sisi jendela. Nombor telefon Rania ditekan lagi! Entah untuk kali yang ke berapa.

“Jawablah Ren,” pujukan Ros Ilyani kedengaran lagi namun tidak membawa apa-apa erti kepadanya.

Telefon bimbitnya berdering sejak dari tadi. Sudah berpuluh-puluh panggilan dari Ummar Qayyum tapi satu pun tidak dijawabnya. Dia buat keras kepala. Ros Ilyani pegang bahu Rania. Bermacam-macam cara dilakukan untuk memujuk tapi Rania tetap dengan pendiriannya. Dia buat muka ketat dan langsung tidak mengendahkan nasihat Ros Ilyani.

“Jawablah. Tak baik Ren buat macam tu! Beritahu padanya yang Ren ada kat sini. Dia risau tu,” nasihat Ros Ilyani.

“Kan Ren dah kata Ren tak nak jawab, maknanya Ren tak naklah!”

Akhirnya Rania matikan telefon bimbitnya. Senyap terus telefon bimbit itu. Kemudian dia lemparkan pandangan pada pokok-pokok jambu yang rendang-rendang tapi lebat berbuah di sekeliling rumah Ros llyani. Dia sampai di rumah kampung yang sejuk di kaki bukit itu sejak tadi. Sengaja dia membawa diri ke situ kerana geram dengan Ummar Qayyum. Di sisinya ada seplastik buah jambu yang besar-besar dan seplastik kecil buah anggur yang telah pun dikutip dan dimasukkan oleh Halim ke dalam beg untuk dibawa pulang oleh Rania nanti.

“Ren dah lupa mama Ren sakit jantung sebab stres? Suka mama Ren stres lagi sekali?” Ugut Ros Ilyani.

“Ren nak ajar dia sikit,” sahut Rania perlahan. Ada nada bersalah pada suara kerasnya itu.

“Ren nak ajar apa? Kak Ros tak nampak apa-apa kesalahan pun yang Qayyum buat,” kata Ros Ilyani.

“Itu kata kakak tapi saya rasa Qayyum bersalah,” sampuk Halim. “Ada isteri kat rumah tapi menyibuk nak tolong orang lain.”

“Mungkin ada kecemasan. Ummi tak ada orang lain nak minta tolong barangkali. Lagipun bukan Qayyum tak ajak Ren ikut sekali, Ren yang tak mahu ikut.” Ros Ilyani sangat yakin Ummar Qayyum mempunyai alasan yang konkrit untuk membantu anak Ummi Kalthum.

“Tapi yang dia rahsiakan kisah cinta dia dengan Ummi Kalthum dulu apa hal? Kalau saya berada di tempat Ren pun saya marah,” tambah Halim lagi. Air suam di dalam gelas Rania yang tinggal separuh ditambah oleh Halim.

“Nasib baik kau faham perasaan aku Halim.” Rania menghargai pengertian yang ditunjukkan oleh Halim. Di rumahnya tidak ada siapa yang mahu memahami perasaannya. Ibu asyik memenangkan Ummar Qayyum manakala Rais pula beranggapan dirinya suka membesar-besarkan perkara kecil.

“Kau ni boleh tak jangan jadi batu api?” marah Ros Ilyani.

“Apa pula? Sebagai lelaki saya rasa tindakan Ummar Qayyum tu tak gentleman langsung. Dah merahsiakan hal dia dengan Ummi satu hal, lepas tu pergi tolong pula hantar anak orang tu! Fikir logiklah kak!” tempelak Halim lagi.

“Kau tak terfikir ke yang Qayyum mungkin ada alasan kukuh untuk buat semua tu?”

“Alasan apanya?” jeling Halim.

“Payah cakap dengan kamu ni,” herdik Ros Ilyani. “Duduk sana! Menyibuk campur hal orang perempuan ni apa pasal?”

Dimarahi oleh kakaknya, Halim menghala ke kebun anggurnya. Bangga menyelinap di sanubarinya setiap kali melihat buah-buah anggur yang bergayut-gayutan di tangkai. Tercapai juga hajat hatinya supaya buah anggur sulung itu dirasa manisnya oleh Rania. Dari jauh, dia memandang Rania yang berwajah bersahaja.

Ah Ren! Salah akukah bila kau dilanda kemelut begini? Berkata Halim sendiri. Datang pula rasa menyesal kerana membatalkan perkahwinannya dengan Rania pada saat-saat akhir dulu. Bodohnya aku! Sepatutnya aku kahwin saja dengan Ren walaupun dia tidak cintakan aku! Manalah tahu lama-lama berputik juga cintanya pada aku seperti mana buah anggur ini. Siapa sangka pokok anggur juga
akhirnya boleh berbuah di bumi Malaysia? Dan siapa sangka Rania juga mungkin boleh jatuh cinta pada aku satu hari? Bodohnya aku! Tidak henti-henti Halim mengutuk diri sendiri. Dia tetap memandang Rania dari celah batas-batas pohon anggur yang ditanam berjajaran.

“Cemburu Ren tengok kehidupan Kak Ros dan Halim di sini. Bahagia walaupun tanpa pasangan.” Rintihan Rania berterusan.

“Kebahagiaan itu bersifat umum. Ren tak boleh ukur macam tu. Kita kena reda dengan kehidupan yang telah Allah atur untuk kita, barulah kita bahagia!” Ros Ilyani capai ranting-ranting kecil yang berselirat di laman rumah.

“Kak Ros ni memang berhati mulia sebab itulah agaknya Abang Rais tak dapat lupakan Kak Ros sampai sekarang.” Rania pecahkan rahsia.

“Apa Ren merepek ni?” Ros Ilyani patah-patahkan pula ranting tersebut lalu dinyalakan api.

Ranting-ranting kecil mudah saja dimamah api. Longgokan sampah di tepi pokok nangka dijunamkan ke dalam api. Berkeriut bunyi daun kering dijilat api yang menyala.

“Selain nak mengadu tentang masalah Ren, Ren juga nak berkongsi cerita dengan Kak Ros tentang Abang Rais,” ujar Rania tenang.

“Duduklah kat sini Kak Ros. Susah Ren nak bercerita bila Kak Ros pergi mari macam tu!” arah Rania pada Ros Ilyani. Mendengar itu Ros Ilyani lalu duduk bersebelahnya. Lalu Rania pun membuka kisah perihal Rais dan Murni. Terlopong Ros Ilyani mendengarnya.

“Takkanlah sampai macam tu!” komen Ros Ilyani.

“Betul! Kak Ros ni dahlah baik hati, bendul pula! Kalau bermadu dengan Murni, Ren rasa mesti aman damai hubungan Kak Ros dengan Murni.”

“Jangan mengarutlah Ren.” Muka Ros Ilyani masam-masam manis. Halim datang semula menyaingi mereka. Ditanyakan oleh Rania pada Halim tentang hal itu. Halim terkebil-kebil.

“Rais nak kahwin dengan Kak Ros? Biar betul Ren?” Halim seakan tidak percaya.

“Ya...” Rania angguk bermakna.

“Bermadu!” Kali ini Halim tersenyum sumbing.

“Kau jangan buat muka macam tu!” ugut Ros Ilyani.

“Apa pula! Tapi rela ke akak bermadu? Pahit bermadu ni walaupun namanya madu yang manis!” Halim sengaja menyakat Ros Ilyani.

“Jangan menyibuk boleh?” Ros Ilyani berasa terhina dengan gurauan Halim. Muka sepuluh sen Halim jelek dipandangnya.

“Errr, sebenarnya saya tumpang gembira.” Halim ubah persepsi tentang poligami bila melihat wajah kelat Ros llyani.

“Mengada-ngada! Kau ingat akak tak tahu!”

“Akak ni, bergurau sikit pun tak boleh. Nak melenting saja.”

“Gurauan kau itu menyakitkan hati orang. Pergilah... tengok-tengokkan si Tarmizi tu. Pergi bungkus buah-buah anggur tu, ada juga faedahnya daripada menyibuk kat sini. Biar kakak dengan Ren saja berbual pasal hal orang perempuan ni,” halau Ros Ilyani.

Kerana malu, Halim terpaksa angkat punggung.

“Ren, kalau kau nak tanam pokok anggur kat rumah kau, kau cakap saja kat aku. Nanti aku tolong tanamkan,” kata Halim sebelum meninggalkan mereka berdua.

Dia menyaingi Tarmizi dengan meninjau beberapa batas pokok anggur yang sedang galak berbuah.

“Kak Ros marahkan Halim macam budak-budak. Kasihan dia!” Belas pula Rania melihatkan keadaan Halim. Tua-tua begitu masih kena marah.

“Memang patut kena marah pun. Daripada Ren kasihankan dia, baik Ren fikirkan Qayyum tu.”

“Hah, jangan ubah topik,” potong Rania seraya memutar kembali cerita tentang Rais tadi.

Ros Ilyani termenung sejenak setelah cerita Rania difahami semuanya. Tidak pernah terlintas di hatinya bahawa Rais mempunyai rancangan sedemikian. Jauh renungannya apabila ditanyakan Rania tentang pandangannya terhadap isi hati Rais.

“Rais suruh Ren tanyakan Kak Ros ke?”

“Taklah. Ren tak bincang apa-apa pun. Mama yang beritahu pada Ren. Sampai mama kena serangan jantung dek terkejut bila dengar Rais nak ceraikan Murni.”

“Kak Ros pun terkejut. Takkan Rais nak buat macam tu. Tergamak ke dia?”

“Tu yang mama cakap. Mama tak kisah kalau Rais nak kahwin dengan Kak Ros tapi mama tak bagi Rais ceraikan Murni.”

“Kasihan Murni.”

“Memang kasihan Kak Ros. Murni dah banyak berubah sejak kahwin dengan Rais. Dia sabar sangat walaupun mama sindir macam-macam. Akhirnya mama terbuka hati menerima Murni, itupun selepas dapat tahu ayah ada anak dengan arwah isteri keduanya!”

“Macam-macam berlaku dalam eluarga Ren kan?”

“Ada hikmahnya Kak Ros.”

“Tapi, ada sesuatu yang Kak Ros nak nasihatkan Ren.”

“Apa dia kak?”

“Terus terang Kak Ros nak cakap bahawa perselisihan faham antara Ren dengan Qayyum cuma perkara kecil sangat. Tak payah Ren nak besar-besarkan.”

“Maksud Kak Ros, Ren yang salah?”

“Bukan masalah Ren salah atau Qayyum betul tapi bagi Kak Ros, perkara tu tak sepatutnya jadi seperti ini. Ren tak boleh tinggalkan rumah tanpa beritahu mama apatah lagi Qayyum. Dia kan suami Ren,” nasihat Ros Ilyani seikhlas hati.

“Jadi Kak Ros macam mana?” tanya Rania tiba-tiba.

“Macam mana apa?” Ros Ilyani kurang faham.

“Setuju tak dengan rancangan Rais?” Rania sengaja memusingkan cerita supaya kisahnya dengan Ummar Qayyum terbantut.

Panjang dengusan Ros Ilyani. Rania berasa geli hati pula melihat Ros Ilyani tidak mampu menjawab soalan cepu emas itu. Dapat diduga apa jawapan Ros Ilyani. Kuat perasaan Ros Ilyani pada Abang Rais rupanya, fikir Rania. Dia teringat perbincangan ringkas antara dirinya, ibu dengan Murni apabila cadangan itu diusulkan. Murni pasrah sahaja apabila usul itu dibawa kepadanya. Betul juga kata mama. Daripada Murni diceraikan lebih baik bermadu.

“Fikirkan tentang anak Murni tu. Kalau Murni ambil, mampukah Murni jaga dan kalau ditinggalkan pada kami, sanggupkah Murni?” Itu kata-kata emaknya yang masih segar di ingatan Rania.

Akhirnya Murni akur dan bersetuju sahaja. Belas benar bila Rania kenangkan Murni. Begitulah nasib menumpang kasih lelaki! Seperti aku jugakah bila menumpang cinta Qayyum? Atau mungkin benarkah kata Abang Rais bahawa aku keras kepala?

“Macam mana Kak Ros?” ulang Rania sekali lagi.

“Kak Ros boleh setuju tapi dengan satu syarat.”

“Apa dia?” Rania menggoncang-goncangkan tubuh Ros Ilyani.

“Ren telefon Qayyum dan beritahu pada dia Ren ada di sini,” Ros Ilyani bersyarat.

Belum sempat Rania menyahut, sebuah kereta kelihatan bergerak perlahan-lahan menuju ke arah kediaman dua beradik itu.

“La...Qayyum!” rungut Rania. “Kak Ros beritahu dia ke?”

“Taklah, mana ada.”

“Mana dia tahu?”

“Mana Kak Ros tahu! Instinct kot!” teka Ros Ilyani. “Alang-alang Qayyum dah sampai, berbaik-baiklah. Tak payah bergaduh lagi,” pesan Ros Ilyani.

Halim bersama Ros Ilyani menyambut mesra kedatangan Ummar Qayyum. Bersama Ummar Qayyum ada Rais sekali.

“Kat sini rupanya menyorok!” Leter Rais seraya duduk di beranda di bawah pokok.

Ummar Qayyum segera merapati Rania. Rais menyibukkan diri berbual dengan Halim dan Ros Ilyani untuk memberi peluang kepada Ummar Qayyum memujuk Rania. Entah mengapa, hati Ros Ilyani berasa bergetar setiap kali matanya bertentang dengan mata Rais. Sudah lama perasaan sedemikian terpendam. Tiba-tiba sahaja perasaan yang disembunyikan selama ini muncul kembali.

“Ros macam mana?” tanya Rais tiba-tiba sahaja.

Kelu pula lidahnya untuk menjawab namun sebaik sahaja melihat muka Halim yang seakan mengejek, segera sahaja Ros Ilyani mengawal perasaan. Dia pura-pura selamba tetapi air mukanya berubah-ubah. Sehinggalah para tetamu meminta diri untuk pulang, Ros Ilyani masih lagi berperang dengan perasaan. Dia hanya mampu melambai lesu pada Rais yang memandu kereta Rania. Rania pula menaiki kereta Ummar Qayyum.

“Nanti jumpa lagi ya Kak Ros,” jerit Rania yang mulai ceria.

Kereta telah pun bergerak meninggalkan laman rumah Ros Ilyani.

“Lain kali jangan buat lagi tau!” pesan Ummar Qayyum lembut.

Telapak tangan Rania kejap dalam genggamannya. Dia bahagia kerana akhirnya mudah saja memujuk Rania. Barangkali ada pesanan dan nasihat daripada Ros Ilyani yang menyejukkan hati Rania.

“Tak nak janji.”

“Tengok tu! Abang tak sukalah kita gaduh-gaduh! Abang balik ke Malaysia lama-lama macam ni, tapi kita gaduh-gaduh, rugi tau!”

“Dah tahu macam tu janganlah buat pasal.”

“Dah, dah, kita tak usah cakap pasal tu lagi. Apa cerita dengan Kak Ros sekerat hari di sini?” tanya Ummar Qayyum mesra.

Berceritalah Rania tentang penerimaan Ros Ilyani terhadap cadangan Puan Sri Zalia.

“Dia setuju?” tanya Ummar Qayyum seakan tidak percaya.

“Ren pun terkejut. Selama ni, Kak Ros pendam perasaan rupanya tapi Ren tabik pada Kak Ros. Dia langsung tak tunjukkan yang dia frust bila Rais kahwin dengan Murni.”

“Mulia hati Kak Ros,” puji Ummar Qayyum.

“Pukul anak sindir menantu ya?” ujar Rania yang berasa seperti Ummar Qayyum menyindir.

“Laa...apa pula? Abang memuji Kak Ros,” terang Ummar Qayyum.

Rania beristighfar. Dia sedar akhir-akhir ini dia suka merajuk dan gemar mencari pasal. Tenang rasa hati bila emosi dapat dibentengi.

Perjalanan pulang menjadi indah apabila gurau-senda membumbui perbualan mereka.

Dari jauh, Ummar Qayyum perasan sebuah Proton Satria berwarna biru yang dipandu laju tidak berhenti apabila tiba di selekoh simpang tiga. Dia sudah dapat menduga apa yang bakal berlaku kalau dia lambat bertindak. Justeru, dia menekan minyak dengan harapan keretanya tidak dihentam oleh pemandu yang tidak beretika itu. Malangnya, pemandu yang sedang leka bertelefon itu sudah hilang arah. Pemandu muda itu panik lalu kereta Ummar Qayyum dihentamnya dari sisi.

“Ya Allah!” Rania menjerit dek terkejut mendengar bunyi dentuman yang kuat.

Dia berasa pening-pening lalat seketika kerana kepalanya terhantuk pada tingkap. Seketika dia berpaling ke sebelah. Ummar Qayyum sudah terkulai! Darah pekat mengalir dari kepala Ummar Qayyum. Rania menggigil.

sumber: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/CikguRania2_Siri27__SeandainyaKutahu_//Article/index_html

0 comments:

Sale! Sale! Sale!

Dapatkan pelbagai barangan di Seri Sekijang Blogshop...
Legging kanak-kanak, Cawan Giacomo, Handmade Chocolate, Homelife, kitchen wallpaper, cartoon cutlery, kitchen tools, Gift Box, Serving tray, Fridge magnet preloved item

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

I will follow youuu....

babab.net

apesal traffic??