Tuesday, January 22, 2013

Cikgu Rania 2 (Siri 28): Akukah yang bersalah?

UMMAR Qayyum tidur nyenyak seperti bayi. Sudah lebih sejam tidurnya tidak terganggu. Selepas menelan beberapa biji pil yang diberikan doktor tadi, dia betul-betul jendera. Rania membiarkan sahaja Ummar Qayyum lena walaupun hatinya meronta-ronta mahu berbicara dan memohon kemaafan pada suami tercinta. Sesekali Rania memicit-micit kepalanya yang terasa pening-pening lalat.
Kesan kemalangankah? Soalnya sendiri tetapi tidak dilayan sangat. Doktor sudah mengatakan bahawa dia sihat dan tidak mengalami apa-apa masalah kesan daripada kemalangan tersebut. Kalau ada pun hanyalah disebabkan rasa terkejut. Cuma Ummar Qayyum sahaja yang terpaksa ditahan di wad kerana luka dan kecederaan di kepala. Namun hasil pemeriksaan mendapati bahawa secara keseluruhannya Ummar Qayyum berada dalam kondisi yang stabil.

Luka-luka yang dialaminya hanyalah luka luaran sahaja dan dia perlu berada di hospital untuk pemantauan bagi memastikan bahawa dia benar-benar sihat sebelum dibenarkan keluar.

“Betul ke Ren okey ni?” bisik Puan Sri Zalia perlahan supaya tidak mengganggu tidur Ummar Qayyum.

Dia was-was mahu meninggalkan anaknya bersendirian menjaga Ummar Qayyum. Tan Sri Razlan yang duduk di sebelah Rais di penjuru bilik memerhatikan sahaja gelagat si isteri.

“Ren okey mama. Mama jangan bimbang. Doktor pun kata Ren okey tadi kan!” tegas Rania.

“Memanglah doktor kata begitu tapi Ren kan terlibat juga dalam kemalangan. Ren pun perlu rehat!” tekan Puan Sri Zalia.

“Biarlah Ren temankan Qayyum. Duduk kat rumah pun buat apa? Buat dia risau ingatkan Qayyum. Baik Ren kat sini.” Tan Sri Razlan memberi pandangan. Dia sudah pun berdiri di sebelah Puan Sri Zalia.

“Betul kata ayah. Ren nak temankan Abang Qayyum kat sini.” Rania tidak berganjak daripada keputusannya.

Mendengar kata Tan Sri Razlan, Puan Sri Zalia terpaksa akur. Dia memberi isyarat pada Rais ajak beredar.

“Kalau begitu, mama dengan ayah balik dulu,” ujar Puan Sri Zalia akhirnya. Tangan kedua-dua orang tuanya disalami. Rais usap kepala di adik.

“Jaga diri tahu!”

“Kereta macam mana abang?” tanya Rania pula.

“Tak payah bimbang. Abang uruskan semua termasuk insurans. Beritahu Abang Qay-yum kalau dia jaga nanti, “ pesan Rais sebelum pintu bilik mewah di hospital swasta yang menempatkan Ummar Qayyum dikatup.

Sunyi memenuhi ruang kamar yang dingin itu sebaik sahaja ahli keluarganya beredar. Rania mengusap lembut muka suaminya. Terdapat kesan darah kering pada balutan putih yang mengelilingi sebahagian daripada kepala Ummar Qayyum yang berbalut. Lengan Ummar Qayyum juga luka terkena serpihan cermin tingkap yang pecah. Kaki kanan Ummar Qayyum juga mengalami luka-luka kecil.

Rania perhatikan wajah suaminya yang pucat tetapi tenang. Dia rasa bersalah. Kerana hendak menjemput aku, Ummar Qayyum ditimpa kemalangan! Hatinya berdetik demikian sungguhpun sehingga setakat ini tiada siapa pun yang menyalahkannya.
Dengusan lembut dari rongga mulut dan hidung Ummar Qayyum memecah hening di bilik yang hanya menempatkan mereka berdua. Sesekali Rania meletakkan kepalanya di atas katil di sisi tubuh Ummar Qayyum. Dia berasa tenang tapi seketika kemudian, diangkat kepala dan ditenung wajah Ummar Qayyum.

Berulang-ulang kali dia berbuat demikian tanpa rasa jemu.

Beberapa buah majalah yang dibawa oleh ibunya tadi masih berada di dalam beg kertas. Dia tidak berminat untuk menyentuh apatah lagi membacanya. Dia mahu Ummar Qayyum segera sembuh dan pulang ke rumah secepat mungkin. Pintu kamar yang menempatkan Ummar Qayyum diketuk dari luar. Terkuak dari luar sebelum sempat dia menghampirinya untuk dibuka. Muncul Nenek Ninda bersama Bakhtiar sekeluarga. Bingkas Rania menyalami tangan ibu mentuanya. Nenek Ninda hanya bercakap sepatah dua kata sahaja dengannya, selebihnya dia banyak berbual dengan isteri Bakhtiar.

Ashraf Danial yang kebetulan pulang bercuti berdiri di sisi katil Ummar Qayyum. Tapi dia tidak semesra seperti dahulu dengannya. Rania perasan sesuatu yang pelik. Mereka sekeluarga begitu dingin dengannya. Kenapa? Atau barangkali situasi Ummar Qayyum menyebabkan mereka sedih dan tidak berminat berbual mesra?

Semasa meminta diri untuk pulang, Rania perasan mereka tetap dingin. Sewaktu tangannya menyalami tangan Nenek Ninda, perempuan itu tidak memandang pun padanya. Tetapi apabila keluarga Bakhtiar sudah bergerak agak jauh darinya, Nenek Ninda pusing kembali menghampirinya.

“Jaga Qayyum baik-baik.” Wajah Nenek Ninda tidak menampakkan kemesraan.

Rania yang masih terpinga-pinga mengangguk cuma. Hatinya berkata-kata sendirian menyedari kedinginan sikap ibu Ummar Qayyum.

“Duduk berumah tangga ni, kena bertolak ansur. Jangan nak suruh suami ikut rentak kita saja. Nasib baik cedera Ummar Qayyum tak serius sangat.” Kata-kata penuh bermakna singgah di telinga Rania lagi.

Berdesing telinga Rania mendengar ungkapan akhir daripada Nenek Ninda sebelum pergi. Rania tercegat memandang tubuh wanita yang berlenggang pergi. Kenapa mak cakap macam itu pada aku? Dia menyalahkan akukah atas kemalangan yang
menimpa Ummar Qayyum? Fikir Rania yang masih tepinga-pinga dan terkejut memamah sindiran pedas Nenek Ninda. Rania termenung di sisi katil Ummar Qayyum. Dia masih tidak percaya Nenek Ninda sanggup melontarkan kata-kata sedemikian padanya. Mengapa mak kata begitu pada aku?

Apa yang mak dengar? Siapa yang mengacum pada emak? Salah akukah apabila kemalangan ini berlaku? Soalnya lagi tidak mengerti.

“Memang salah dia nenek. Memang salah dia,” hasut Murni sesungguh hati di telefon.

Dia terdengar Rais bercerita kepada Puan Sri Zalia tentang kemalangan yang menimpa Ummar Qayyum dan Rania. Panas hatinya mendapat tahu kecederaan yang dialami oleh Ummar Qayyum semasa pulang menjemput Rania. Rania pula sihat sejahtera dan tidak mengalami apa-apa kecederaan.

“Tapi nenek tengok tadi dia jaga Qayyum baik saja.”

“Memanglah sebab dia rasa bersalah buat Abang Qayyum accident. Abang Qayyum macam mana nenek?” Murni pritahin benar akan keadaan Ummar Qayyum.

“Dia tidur tadi. Kami pun tak kejutkan dia tengok dia lena sangat. Kesan ubat agaknya.”

“Kasihan Abang Qayyum, dia stres tu!” rintih Murni.

“Apa yang berlaku sebenarnya Murni. Nenek tak berapa fahamlah!”

“Ya Allah nenek. Kak Murni dah cakap pada nenek tadi. Semuanya gara-gara Kak Ren tu!”

“Apa masalah mereka?”

“Kak Ren lah puncanya. Dia ni memang mengada-ngada sejak dulu. Akhir-akhir ni dia lagi banyak buat ragam. Asyik merajuk tak tentu arah. Sikit-sikit merajuk, silap sikit merajuk. Kan Murni dah cakap, kerana nak memujuk dan menjemput dialah, Abang Qayyum accident.” Galak sungguh Murni bercerita. Tak bertapis-tapis. Kebelakangan ini kerap benar dia menghubungi Nenek Ninda menggunakan telefon bimbitnya.

Sebaik sahaja dia mendapat berita tentang kemalangan yang menimpa Ummar Qayyum, pantas tangannya menghubungi Nenek Ninda. Sepintas lalu diceritakan kemelut yang menimpa rumah tangga Rania pada Nenek Ninda.

“Nenek tak tahu pula mereka ada masalah. Ingatkan bahagia, maklumlah berbulan madu sampai ke Paris, London...”

“Semua tu lakonan Kak Ren, nenek. Nak tunjuk konon dia bahagia raya, padahal Murni tahulah apa sebenarnya yang berlaku. Murni serumah dengan mereka. Kasihan Abang Qayyum nenek. Asyik nak ikut telunjuk Kak Ren. Nak kena jaga hati Kak Ren lagi.”

“Sampai begitu sekali?”

“Yalah sebab Kak Ren tu cemburu sangat. Masa reunion Abang Qayyum dengan kawan-kawannya pun dia cemburu kat kekasih lama Abang Qayyum. Pendek kata Abang Qayyum nak bergerak sejengkal pun susah,” tambah Murni lagi.

Cerita itu tidak bernoktah pada hari kemalangan sahaja bahkan berlarutan sehingga detik itu. Macam-macam cerita dalam rumah Tan Sri Razlan disampaikan pada Nenek Ninda.

Di rumah megah itu, di kala semua penghuni rumah keluar untuk menjemput Ummar Qayyum pulang setelah dibenarkan keluar wad, dia bergayut dan terus bercerita pada orang tua yang tidak tahu kisah hujung pangkal itu. Yang ada di rumah itu di kala itu hanyalah dia, Fahim dan Makcik Rohaya sahaja. Makcik Rohaya pula duduk di dapur. Sibuk memasak sebab malam nanti, seluruh keluarga akan berkumpul untuk makan malam bersama-sama. Tan Sri Razlan pun turut serta dan mahu seluruh keluarga berkumpul meraikan kepulangan Ummar Qayyum setelah tiga malam di hospital.

“Kasihan Qayyum...,” keluhan Nenek Ninda kedengaran berat sekali.

“Memang kasihan. Kadangkala Murni rasa macam nak menangis tengokkan Abang Qayyum...”

“Si Qayyum tu pula memang jenis mengalah, ikut sangat kerenah bininya itu. Tengoklah, sejak berkahwin jarang balik jumpa nenek.” Rintihan Nenek Ninda menyeronokkan Murni.

Dia makin sedap mencucuk jarum ke lubang telinga Nenek Ninda. Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan.

“Abang Qayyum nak jumpa nenek, Kak Ren tu yang tak bagi. Dia buat alasan selalu sibuk dengan kerja sekolah. Lagipun dia pernah beritahu pada Murni dia tak suka sangat berada dengan keluarga nenek.”

“Dia cakap macam tu pada Murni?” Terkejut Nenek Ninda mendengarnya.

“Ah, macam-macam dia cakap nenek. Tak larat telinga Murni nak mendengar tapi Murni tahan saja mengenangkan Murni menumpang keluarga mereka.”

Nenek Ninda terdiam. Betulkah apa yang dikata Murni ini? Nampak si Rania tu macam baik saja tapi kalau betul kata Murni, memang silap besar Ummar Qayyum ni! Fikir Nenek Ninda lagi.

“Kamu di rumah tu macam mana Murni? Baik ke Ren dengan keluarganya melayan kamu?”

“Nek, sebenarnya Murni nak jumpa nenek. Murni nak mengadu sesuatu pada nenek.”

“Mengadu apa?”

“Murni tak boleh cerita kat telefon. Err nenek nak balik kampung tak?”

“Kenapa Murni?”

“Kalau nenek nak balik kampung, Murni nak ikut. Murni nak bawa Fahim sekali.”

“Kamu ni lain macam saja Murni.”

“Ya Murni memang ada masalah besar.”

“Kamu nak balik berdua dengan Fahim saja? Rais macam mana? Dia bagi ke kamu balik kampung dengan nenek?”

“Dia tak kisahkan Murni pun nek!”

Terperanjat Nenek Ninda mendengar kata-kata Murni. “Apa maksud kata-kata Murni ni?”

“Itu sebab Murni nak jumpa nenek.”

“Hujung minggu ni, nenek nak balik kampung. Nak duduk dua minggu kat sana dengan Acap. Kamu nak ikut?”

“Murni nak ikut nenek,” rengek Murni.

“Kalau nak ikut. Kamu bersiaplah pagi Sabtu. Nenek suruh Acap singgah ambil kamu,” pesan Nenek Ninda.

Gembira bukan kepalang Murni mendengarnya. Dia dodoikan Fahim yang menggeliat di atas katil. Apabila Fahim sudah bangkit, digantikan lampin pakai buang dan dibawa Fahim turun ke bawah melihat Makcik Rohaya yang sedang leka memasak.

“Makcik masak apa?” soalnya lembut sengaja hendak menduga perempuan yang sejak dahulu tidak pernah menyukainya.

Makcik Rohaya tidak mempedulikan Murni.

“Makcik ni, orang tanya tak jawab pun!” Murni pura-pura merajuk. “Fahim tengoklah nenek tua ni sombong tak bertempat,” sindirnya dan pergi.

Makcik Rohaya menjuih menyampah. Tak sedar diuntung si kaduk naik junjung ini! Tak tahu ke yang awak tu hendak dimadukan? Memang padan dengan muka kau Murni! Getus Makcik Rohaya.

“Boleh mak cik masakkan bubur air untuk Fahim?” Laungan Murni singgah di telinga Makcik Rohaya.

Sungguhpun menyampah, ditanak juga bubur air dalam periuk kecil. Malam itu seluruh keluarga berkumpul. Rania memapah Ummar Qayyum keluar dari bilik tetamu di tingkat bawah menuju ke ruangan makan. Sementara keadaan Ummar Qayyum sedemikian, Puan Sri Zalia telah berpesan supaya suami isteri itu menggunakan bilik tetamu di tingkat bawah untuk kesenangan Ummar Qayyum bergerak. Ummar Qayyum nampak tidak berapa sihat dan jalannya terhinjut-hinjut.

“Abang makan banyak-banyak ya supaya abang cepat sembuh. Kat hospital Ren tengok abang tak berselera langsung.” Rania suapkan Ummar Qayyum makan.

Senang hati Puan Sri Zalia melihatkan perkembangan positif antara anak menantu. Ada hikmah di sebalik musibah yang melanda ini, fikirnya.

“Ren ambil cuti sampai bila?” tanya ibunya.

“Esok Ren kena kerja. Ren dah cuti dua hari. Nanti Ren ambil cuti rehat lagi. Nak ambil serentak tak boleh mama.”

“Tak apalah, mama dengan Makcik Rohaya pun ada boleh tengok-tengokkan Qayyum.”

“Ren nak ambil terus pun tak apa, nanti ayah uruskan...”

“Tak mengapa ayah! Ren ikut saja prosedur yang ada...,” bantah Rania.

Dia tidak suka ayahnya menggunakan kuasa yang ada untuk mengubah undang-undang sesuka hati.

“Macam mana dengan kes budak yang biadap dengan Ren tu? Dah dibuang sekolah?” tanya Tan Sri Razlan. Rania tatap muka ayahnya sedetik.

“Ayah tahu?” Rania kehairanan.

“Takkan ayah tak tahu!”

“Siapa yang laporkan pada ayah?”

“Tak payahlah Ren ambil tahu.”

“Kalau boleh Ren tak mahu ayah campur tangan,” pesan Rania. Tan Sri Razlan terdiam.

“Kes itu serius Ren...”

“Ren pohon pada ayah biar pihak sekolah yang selesaikan boleh?” Tajam renungan Rania pada ayahnya. Persoalan itu mati di situ apabila Ummar Qayyum berdehem. Memahami situasi makan malam yang perlukan ketenangan, persoalan itu bernoktah di situ.

Tan Sri Razlan berbual topik perniagaan dengan menantunya. Murni memerhatikan sahaja gerak geri Ummar Qayyum. Dia perasan Ummar Qayyum tidak banyak bercakap dan bergurau-senda seperti biasa. Makan malam keluarga itu kelihatan dingin meskipun lauk-pauk penuh di atas meja. Rais juga kurang berbual.

Kehidupan orang dalam rumah ini ibarat retak menunggu belah. Semuanya bermasalah. Bermula dengan dinginnya hubungan antara Tan Sri Razlan dengan Puan Sri Zalia, sekarang melarat pula pada Ummar Qayyum dengan Rania. Elok sangatlah tu! Aku tak kisah kalau ikatan antara aku dengan Rais berantakan, asal saja seisi rumah ini tidak harmoni! Biar semua merasa. Akan aku tambahkan lagi keserabutan dalam rumah ini! Tekad Murni sambil menjamu selera.

Tiba masa yang sesuai, dia menyatakan hasrat hatinya hendak pulang ke Kampung Daun Pisang pada Puan Sri Zalia. Puan Sri Zalia terkejut. Pohon-pohon bunga ros yang sedang dibajainya itu diketepikan seketika. Topi kebun yang dipakai meleweh lalu ditolak dengan lengan.

“Nak balik kampung Nenek Ninda? Kenapa?” tanya Puan Sri Zalia penuh prihatin.

“Murni... Murni rasa Murni perlukan ketenangan.”

Wajah sayu Murni dipandang hiba oleh Puan Sri Zalia. Berkecil hatikah Murni? Malam tadi dia bersama suami serta Rais berbincang tentang hasrat hati Rais untuk menyunting Ros Ilyani. Terdengar dek Murnikah perbincangan mereka tiga beranak?

Fikir Puan Sri Zalia mendadak.

“Murni tersinggungkah?” tanya Puan Sri Zalia tiba-tiba.

“Tersinggung?” tanya Murni tidak mengerti.

“Mungkin Murni terdengar perbualan kami malam tadi...er...tentang hasrat hati Rais untuk meminang Ros Ilyani,” terang Puan Sri Zalia yang menyangka Murni terdengar akan hal tersebut.

Murni pura-pura merintih.

“Mama tahu walaupun Murni rela tapi Murni berat hati untuk dimadu kan?” Keprihatinan Puan Sri Zalia membuatkan Murni lagi bijak berlakon.

“Murni sedar Murni siapa di sini mama. Murni dikutip oleh Abang Rais. Murni kena tahu diri. Murni kena akur dengan takdir Murni tapi Murni tak tahu pula yang hati Murni tak seperti yang Murni sangkakan!”

“Murni tak rela?”

“Murni tak berhak untuk berkata rela atau tidak mama. Murni bernasib baik sebab Abang Rais sudi bernikah dengan Murni dan menerima Fahim seadanya tapi Murni minta ruang untuk diri Murni. Murni takkan halang niat Abang Rais malah Murni akan izinkan.”

Puan Sri Zalia terduduk di rumput. Belas kasihannya pada Murni datang menimpa-nimpa. Dia sedar sangat kedudukan Murni sekarang. Dia kasihankan Murni tapi apakan daya dirinya. Dia tahu Murni kecewa dan amat terluka.

Aku sendiri pun terluka bila mengetahui aku dimadukan walaupun madu aku telah mati, inikan pula Murni yang masih muda dan mengenali Ros Ilyani. Ah! Kehidupan ini sesuatu yang sangat misteri, fikirnya.

“Beginilah Murni. Kalau Murni nak balik kampung, baliklah. Nanti mama suruh Abang Rais hantar.”

“Tak payah mama. Murni tak nak ganggu Abang Rais. Dia pun sibuk nak uruskan macam-macam menjelang pernikahannya.”

“Habis Murni nak balik macam mana?”

“Murni dah bincang dengan Nenek Ninda. Nanti Acap akan jemput Murni kat sini. Nenek Ninda dengan Acap dah macam keluarga pada Murni,” kata Murni.

“Murni nak beritahu pada Nenek Ninda tentang situasi Murni? Tentang hasrat Rais nak kahwin dengan Ros Ilyani?” tanya Puan Sri Zalia.

“Kalau Murni tak beritahu pun lama-lama Nenek Ninda akan ketahuan juga.”

Puan Sri Zalia serba salah. Apa pula tanggapan Kak Ninda pada aku? Murni ni dah macam cucu padanya. Segan pula aku kalau Kak Ninda tahu tentang Murni dan Rais. Hal Qayyum dengan Rania pun masih belum selesai. Puan Sri Zalia perasan Nenek Ninda agak dingin dengannya semasa berjumpa di hospital swasta semasa melawat Ummar Qayyum. Mungkinkah dia dapat tahu kemelut yang melanda Ummar Qayyum dengan Rania? Marahkah dia pada Rania kalau diketahui gara-gara kerenah Rania,
Ummar Qayyum kemalangan? Ah...Rania! Rania!

Dia semakin risau mengenangkan hal anak-anak. Cuba diusir perasaan tidak tenteram itu, bimbang akan menjejaskan kesihatannya tapi sesekali perasaan cemas dan risau itu sering mengusiknya. Dek bimbang, dia mengadu pada Nenek Ninda tentang kerisauannya sewaktu Nenek Ninda berkunjung ke rumah semasa hendak menjemput Murni.

“Kita sebagai orang tua, kenalah nasihat-nasihatkan anak-anak. Jangan dimanjakan sangat anak-anak ni. Kelak kita juga yang susah.” Madah Nenek Ninda bersulam sindiran membuatkan Puan Sri Zalia terdiam. Tapi dia menerima teguran itu dengan dada terbuka.

“Yalah kak, nanti saya nasihatkan anak-anak mana yang patut.”

“Ren cuti lama ke?” tanya Nenek Ninda pada Rania pula.

“Esok Ren dah nak balik sekolah mak.”

“Qayyum macam mana?”

“Saya dengan Kak Rohaya ada. Kami boleh tengok-tengokkan Qayyum...”

“Sebaik-baiknya isterilah...” tempelak Nenek Ninda lagi.

Rania menundukkan mukanya. Ini sudah kali kedua ibu mertuanya menyindirnya.

“Bila balik sini nanti Murni tolong tengok-tengokkan Abang Qayyum tu...” Pesan Nenek Ninda pada Murni. Terpana Rania dibuatnya.

Sehinggalah Nenek Ninda bersama Asraf Daniel dan Murni meminta diri untuk pergi, Rania masih lagi di awang-awangan. Dia tidak mengerti mengapa Nenek Ninda asyik menyindirnya.

“Mama perasan kata-kata mak pada Ren tadi?” Rania mengadu pada ibunya.

Puan Sri Zalia angguk perlahan.

“Mak marahkan Ren ke sebab Abang Qayyum accident?”

“Entahlah Ren, mama pun tak tahu tapi mama perasan emak mertua kamu dingin dengan mama.”

Sebuah keluhan terlepas juga dari Rania. Maknanya tak salahlah aku berasa sedemikian sebab mama pun sama! Salah akukah? Ulangnya lagi entah untuk kali ke berapa.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/CikguRania2_Siri28__Akukahyangbersalah_//Article/index_html

0 comments:

Sale! Sale! Sale!

Dapatkan pelbagai barangan di Seri Sekijang Blogshop...
Legging kanak-kanak, Cawan Giacomo, Handmade Chocolate, Homelife, kitchen wallpaper, cartoon cutlery, kitchen tools, Gift Box, Serving tray, Fridge magnet preloved item

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

I will follow youuu....

babab.net

apesal traffic??