Tuesday, February 5, 2013

Cikgu Rania 2 (Siri 30): Di Sebalik Jendela Hati

“Kau mengandung Ren!” Mata Rahah berkaca-kaca. Menjadi orang pertama mengetahui tentang kandungan Rania merupakan sesuatu yang amat menggembirakannya.

Rania masih di mandala tidak percaya. Benarkah aku mengandung? Oh Tuhan! Benarkah Kau telah mengurniakan rezeki pada aku di saat-saat genting sebegini?

“Dah dua bulan! Macam mana kau terlepas pandang Ren? Hai, kau ni Ren! Kau tak perasan ke kau tak period agak lama?” Rahah menduganya. Seketika kemudian nama Rania dipanggil di kaunter.

“Nurse panggil nama kau tu!” Lengan Rania dikuis Rahah. Rania masih lagi terkebil-kebil tapi segera bangun menuju ke kaunter. Jururawat bertugas memberi penerangan padanya. Beberapa peket pil turut dibekalkan.

“Bawa kad ni sekali kalau datang lain kali,” ujar jururawat yang berurusan
di kaunter hadapan.

“Kau ni kenapa Ren? Aku nampak kau macam di awang-awangan saja,” tegur Rahah yang memandu kereta menuju ke arah sekolah.

Dia sengaja menawarkan diri menemani Rania untuk berjumpa doktor tengah hari tadi tatkala melihat Rania tidak sihat dan lesu.

“Aku terkejut dan masih tak percaya,” akui Rania.

Keluhan Rahah terde–ngar. “Kau ni pelik betul. Dahlah tak excited dengan berita macam tu, mengan– dung pun tak perasan.”

“Entahlah Rahah. Ba­nyak sangat urusan sampai aku tak perasan aku me­ngandung dua bulan. Aku masih tak percaya.”

“Percayalah. Kau tak nampak muka doktor tadi masa beritahu kau? Dia lagi excited daripada kau. Siap tanya kenapa husband tak datang. Kau ni pun satu Ren, ada ke peristiwa-peristiwa bersejarah macam ni kau sorok-sorok pula dari Qayyum.” Rahah terus memberikan pelbagai komen.

“Mana aku sorok. Aku tak pasti. Petang semalam aku rasa lain macam. Tekak mual-mual, rasa loya. Aku ingat angin.”

“Sakit sakit pun, pergi sekolah juga! Sekarang macam mana? Mual lagi?” Leteran Rahah berpanjangan.

“Masih tapi tak seteruk petang semalam.”

“Qayyum tak perasan ke?” tanya Rahah lagi.

Berubah air muka Rania tapi langsung tidak disedari Rahah kerana dia lebih memfokuskan pada pemanduannya. Sampai di pekarangan sekolah, Rahah memarkir keretanya di sebelah kereta Rania.

“Kau balik berehat tahu dan jangan lupa surprise husband kacak kau tu! Mesti dia gembira dan geram. Geram sebab kau tak pergi klinik dengan dia!” usik Rahah yang tidak tahu cerita hujung pangkal.

Rania senyum cuma. Kalau orang lain bahagia benar menerima berita seumpama itu, mengapa dia berasa kosong? Tidak dia mengerti akan perasaan yang melandanya saat itu. Adakah ini kerana pembawakan bayi seperti yang selalu disebut orang?

Dan fe’el aku yang pelik-pelik sebelum ini juga petanda daripada pembawakan bayi inikah?” fikir Rania dalam perjalanan pulang. Sewaktu keretanya memasuki kawasan rumah, dia nampak sebuah kereta Honda Accord diparkir di tepi laman.

“Kereta siapa?” Monolog–nya sendiri.

Mak cik Rohaya menyambutnya di pintu utama dan sempat membisikkan padanya tentang kedatangan kawan Ummar Qayyum yang bernama Ummi Kalthum.

“Murni yang duduk me­layan dari tadi. Lagak macam tuan rumah,” juih Mak cik Rohaya.

“Mama mana?”

“Keluar dengan Datin Rafeah.”

Di ruang tamu, Rania disapa mesra oleh dua orang kanak-kanak kecil iaitu anak-anak kembar Ummi Kalthum. Ummi Kalthum bangkit lalu menyalami Rania.

“Dah lama sampai?” Rania berbasi-basi.

“Lama juga tapi jangan risau Murni ada layan kami!” senyuman Ummi kalthum berladun. Dia nampak bergaya dengan blaus corak jalur hitam putih yang dipadankan dengan kain panjang yang agak ketat. Selendang berjurai yang dihiaskan dengan rantai bermanik menambahkan lagi keanggunannya.

“Ren nak air apa?” Mak cik Rohaya mencelah.

“Ren nak air suam saja mak cik,” sahut Rania dan berbual sepatah dua kata dengan tetamu yang berkunjung untuk menziarahi Ummar Qayyum.

“Masa Qayyum kat hospital, I tak sempat tengok,” ujar Ummi Kalthum ramah.

“I dah sihat Ummi. Esok lusa dah nak masuk pejabat,” sahut Ummar Qayyum.

Oh! Begitukah? Kenapa dengan aku Ummar Qayyum tak maklumkan yang dia sudah berhasrat hendak ke pejabat?

“Nampak you jalan pun macam belum stabil,” komen Ummi Kalthum.

Rania jauh hati. Sesekali dia mengerling Ummar Qayyum yang kelihatan begitu senang menerima kunjungan daripada teman lama.

“Memang pun Kak Ummi. Murni dah cakap abang kena rehat lagi kat rumah tapi abang ni degil, sibuk nak kerja,” sampuk pula Murni.

“Tengok, ramai orang sayang dan ambil berat tentang you Qayyum. Beruntunglah you.”

Ummar Qayyum tergelak kecil.

Buat kali kedua Rania terkebil-kebil. Apa sudah jadi? Kenapa dua perempuan ini lebih mengetahui tentang situasi Ummar Qayyum daripada aku? Ummar Qayyum pun satu. Dengan aku, Ummar Qayyum seperti orang asing tapi dengan Murni dia nampak mesra dan boleh bergurau. Dengan Ummi Kalthum anak beranak pun bukan main mesra lagi.

Rania makin penat dan bosan kerana tidak pandai menyesuaikan diri sewaktu mereka semua berterusan berbual bersama-sama. Dia hanya mendengar perbualan orang bertiga itu. Rania teguk air suam yang dibawa oleh Makcik Rohaya. Si kembar Ummi Kalthum pula leka dengan bayi yang berada dalam dodoian Murni.
Gelak kecil Murni sesekali singgah di telinganya apabila si kembar mengusik si bayi kecil.

“Suka baby ya!” tegur Ummar Qayyum.

“Mereka ni memanglah suka sangat baby,” akui Ummi Kalthum.

“You tak nak tambah anak lagi ke Ummi?” tanya Ummar Qayyum.

“Eh...tanya kita pula! I yang patut tanya you,” perli Ummi Kalthum.

Ummar Qayyum endah tak endah sahaja dengan gurauan Ummi Kalthum. Rania bertambah kecil hati. Tidakkah kau sedar Ummar Qayyum bahawa aku sedang mengandungkan anak kita? Kata hati kecil Rania. Tiba-tiba mualnya datang kembali. Merasakan Ummar Qayyum dan Murni mampu melayan tetamu yang hadir, Rania minta diri untuk naik ke bilik.

“Tak apa Ren. You pun baru balik sekolah. Masih penat,” ujar Ummi Kalthum ramah.

Rania mengerling pada Ummar Qayyum. Lelaki itu asyik melihat kerenah si kembar yang tidak lekang daripada Fahim.

Rania bawa dirinya sendiri. Dia masuk ke bilik air dan bersolat Asar. Lama dia berdoa di sejadah. Seketika kemudian, pintu biliknya diketuk.

Qayyumkah? Hatinya berbunga tiba-tiba tetapi yang muncul di ambang pintu kamarnya ialah Makcik Rohaya.

“Boleh mak cik masuk?”

Rania angguk. Dia melucutkan telekung lalu menghampiri Makcik Rohaya yang duduk di birai katil. Sekurang-kurangnya ada juga Mak cik Rohaya yang sudi menjengahnya kalau bukan Ummar Qayyum.

“Kenapa Ren tak duduk bilik bawah? Qayyum kan ada kat bawah?”

“Kenapa mak cik tanya macam tu?”

“Er...sebab mak cik rasa tak berapa manislah Ren duduk kat atas sedangkan Qayyum ada di bawah,” nasihat Makcik Rohaya.

“Ren lebih selesa duduk bilik lama Ren ni.”

“Mak cik bukannya nak sibuk menjaga tepi kain orang tapi...err...” Ucapan Makcik Rohaya tersekat-sekat.

“Apa maksud mak cik?”

“Rasa mak ciklah, bila Ren duduk di atas, Ren beri peluang pada orang lain untuk rapat dengan Ummar Qayyum.”

“Maksud mak cik, Murni?”

Makcik Rohaya angguk. Rania bangkit lalu menuju ke jendela yang tertutup. Fikirannya makin bercelaru mendengar penerangan Mak cik Rohaya. Tidak salahlah apa yang aku fikirkan selama ini. Mak cik Rohaya pun perasan. Rania meraba-raba perutnya. Hiba datang lagi.

“Mak cik minta maaf kalau apa yang mak cik sebutkan tadi buat Ren sedih.”

Mak cik Rohaya sudah berdiri di sisi Rania. “Mak cik...er..bukan bertujuan hendak menghasut cuma mak cik nak ingatkan sahaja sebelum nasi menjadi bubur.”

“Terima kasih mak cik.” Bahu Mak cik Rohaya dipaut Rania. Hati Rania berdebar-debar. Sejauh itukah kebimbangan Mak cik Rohaya terhadap apa yang diperhatikan? Apa yang Makcik Rohaya nampak yang barangkali aku terlepas pandang? Ringan mulutnya hendak bertanya tapi berat pula hati hendak mengadu rasa.

“Ren sihat?” Pertanyaan Makcik Rohaya membuatkan Rania menjadi sebak dengan tidak semena-mena. Spontan, dia lentukkan kepalanya di dada Mak cik Rohaya.

“Apa yang mengganggu Ren? Mak cik lihat akhir-akhir ni Ren macam tak sihat saja. Banyak berdiam diri. Tak ceria, kenapa?”

Rania diam cuma. Perlukah aku bercerita pada Mak cik Rohaya?

“Ren masih bermasalah dengan Qayyum?” serkap Mak cik Rohaya.

Rania hela nafas panjang. Dia sendiri buntu. Apa masalah aku sebenarnya? Mualnya datang kembali. Bergegas dia masuk ke bilik air dan keluar semula sejenak selepas itu.

“Ren mengandung ke?” tanya Mak cik Rohaya de­ngan air muka berkerut.

Rania ambil masa untuk berfikir dan mententeramkan hatinya terlebih dahulu. Selepas itu barulah dia menyampaikan berita tentang kandungannya yang sudah masuk dua bulan itu kepada Makcik Rohaya. Mak cik Rohaya peluk Rania sesungguh hati.

“Gembiranya mak cik. Mama dah tahu?”

“Tak ada siapa-siapa yang tahu. Mak cik saja yang tahu.”

“Hisss...kena beritahu mama dengan Qayyum cepat-cepat...”

“Tak payahlah beritahu Qayyum mak cik.”

Terkejut Mak cik Rohaya mendengarnya. “Ren, kenapa macam tu?”

“Dia tak kisah pun,” sahut Rania hiba.

“Kenapa Ren cakap macam tu? Qayyum tu sayang sangat pada Ren, mesti dia gembira kalau dapat tahu ni.”

“Ren tak nak dia tahu,” tegas Rania dengan suara keras. “Biar Ren seorang saja yang tahu.”

“Ren...”

“Mak cik baru tadi cakap pada Ren tentang mesranya hubungan Qayyum dengan Murni. Dulu dengan Ummi Kalthum, hah! Dua-dua perempuan tu ada kat bawah.
Biarlah dia layan puas-puas...”

Seluruh rasa hati yang selama ini dipendam sendirian terhambur tidak semena-mena. Terkejut Mak cik Rohaya mendengarnya.

“Masih belum terlambat untuk Ren dengan Qayyum betulkan keadaan tu...” pujuk Mak cik Rohaya yang ternyata terkejut dengan tindakan Rania.

Dia tidak pernah me­nyangka bahawa selama ini Rania menjeruk perasaan sehingga sejauh itu.

“Ren kecewa dengan Qayyum...” Rania tercebik.

“Ren ni emosi dek pembawakan budak.”

“Mungkin betul kata mak cik tapi bagaimana de–ngan Qayyum? Dia...dia...”
Tersengkak kata-kata itu di kerongkongnya.

“Dia apa Ren?” Berdebar-debar Mak cik Rohaya me­nunggu jawapan Rania.

“Ren rasa Qayyum tak bahagia dengan Ren.”

“Apa yang Ren merepek ni?”

“Ren dapat rasakannya mak cik. Ren dapat rasa.”

“Ren silap. Qayyum sayang Ren.”

“Betul kata Murni dulu. Tak ada siapa boleh me–nyayangi Qayyum seperti mana dia. Dulu Ren ingat Ummi Kalthum tapi akhir-akhir ni Ren baru sedar bahawa Murni sebenarnya lebih bertakhta di hati Ummar Qayyum,”

“Ren silap, mak cik tak percaya.”

“Hati Ren percaya dengan apa yang Ren rasa.”

“Ren kena berterus-terang dengan Qayyum. Ren jangan main-main dengan bisikan syaitan yang nak rosakkan mahligai yang baru saja kamu berdua bina,” nasihat Makcik Rohaya setulus hati.

Ketakutan Mak cik Rohaya ternyata luar biasa. Dia bimbang Rania akan bertindak bodoh akibat percaya dengan apa yang dirasakannya. Bukan dia tidak kenal akan anak majikannya yang seorang itu.

“Mak cik tengok sajalah, selama Ren balik sejak tadi. Ada Qayyum datang bertanya khabar pada Ren? Masa Ren muntah-muntah sebelum ni, ada dia kisah?” adu Rania.

“Dia pun tak berapa sihat. Kan dia baru saja nak sembuh dari kemalangan hari tu!”

“Itu kata mak cik. Tadi dia cakap kat orang berdua tu dia dah sihat dan dah nak pergi kerja,” tempelak Rania. Terdiam Makcik Rohaya dibuatnya.

“Apa-apa hal Ren mesti bawa berbincang dengan Qayyum. Jangan fikir yang bukan-bukan.”

Nasihat Mak cik Rohaya berterusan. Termakan dengan nasihat Mak cik Rohaya, Rania menggagahkan diri dan mengajak Ummar Qayyum berbincang tentang hal mereka. Dan kerana tidak mahu makan hati, diluahkan perasaan hati pada Ummar Qayyum. Pada apa yang dirasa dan apa yang dilihat. Dia tidak mahu berteka-teki di sebalik tabir lagi. Dia mahu bersemuka dan bersoal jawab dengan Ummar Qayyum.

“Apa masalah Ren sebenarnya?” tanya Ummar Qayyum balik.

“Apa maksud abang masalah Ren? Ini bukan masalah Ren seorang. Ini masalah kita!” tekan Rania.

Tiba-tiba sahaja dia berasa sebak.

“Apa masalah kita?”

“Abang tak nampak masalah yang melanda kita?”

“Yang abang nampak Ren menjauhi diri dari abang,” luahnya.

“Ren jauhi abang?”

“Bawa diri sampai ke Janda Baik,” ungkit Ummar Qayyum.

“Hal itu dah lepas bang. Yang Ren maksudkan akhir-akhir ni. Sejak abang accident, Ren perasan abang berubah. Abang tak macam abang yang Ren kenal dulu.”

“Maksud Ren abang yang berubah?”

“Takkan abang tak boleh fikir sendiri.”

“Fikir apa?” Ummar Qayyum tidak mengerti.

“Pleaselah abang. Janganlah abang buat-buat tak tahu! Ren perasan dan sedar abang berubah sejak accident. Abang dingin pada Ren. Abang tak layan Ren.”

“Oh, abang tak layan Ren?” sinis nada suara Ummar Qayyum.

Berdesing telinga Rania menerimanya. Dari hiba, dia jadi marah. Hidung Rania sudah kembang kempis menahan sakit hati kerana berasakan Ummar Qayyum mempermainkannya.

“Atau mungkin abang salahkan Ren atas kemalangan yang menimpa kita? Sama alasan seperti yang emak abang buat pada Ren. Menyindir dan marahkan Ren sebab abang accident?”

“Kenapa Ren sabitkan emak abang pula?”

“Mama pun perasan cara emak abang layan Ren. Yalah, siapa Ren ni di mata emak abang kan? Bukan menantu pilihan seperti mana Murni.”

“Abang penat Ren! Penat untuk bertekak tentang perkara remeh-temeh begini!” Ummar Qayyum mendengus.

“Kalau dengan Ren, itulah alasan abang. Penat! Penat! Kalau dengan Ummi Kalthum, dengan Murni, boleh pula abang layan sampai Subuh macam hari tu! Dengan perempuan berdua tu tak tahu penat pula!” tempelak Rania.

Tahap amarahnya sudah tidak terbendung. Dia berasa sudah lama dia bersabar dan dia tidak mahu memendam perasaan lagi.

“Apa yang Ren cakapkan ni? Kenapa Ren nak marahkan kawan dan adik abang?”

Rania mencebik. “Adik? Macam tu ke seorang adik melayan suami orang?”

“Dulu Ren cemburukan Ummi Kalthum. Belum habis cemburu Ren pada Ummi Kalthum, sekarang melarat pada Murni pula. Apa ni Ren?”

“Tengok abang! Abang masih salahkan Ren dalam semua hal. Nampak macam Ren yang bersalah. Selama ni, Ren pendam sahaja apa yang Ren nampak. Ren perhatikan abang dengan Murni. Sejak Murni balik dari kampung, Ren perasan abang dengan dia bukan main mesra lagi. Dengan Ren, abang diam dan kelu. Nak bercakap pun abang sukat perkataan yang nak keluar dari mulut abang. Tengok masa Ummi datang. Ren rasa macam Murni tu isteri abang dan bukan Ren.”

“Astaghfirullahalazim....apa yang Ren repekkan ni?”

“Betullah kata Murni lama dulu. Hati abang tak akan pernah berganjak untuk dia dan hanya dia yang kenal abang. Hari ini abang dah buktikan kebenaran kata-kata Murni. Tahniah abang!”

“Ren kena belajar rasional. Sepatutnya Ren berterima kasih dan bersyukur sebab Murni ada dan tolong tengok-tengokkan abang masa Ren ke sekolah!”

Menggelegak dada Rania mendengar ungkapan Ummar Qayyum. Kurang ajar! Dia diam sejenak. Dia sedang mententeramkan jiwa raganya yang berkocak macam lava gunung berapi yang sedang menunggu masa untuk meletup. Kalau dia berkata-kata, dia bimbang entah apa yang bakal meluncur keluar dari lidahnya yang serasa kian nipis. Bila hatinya mulai tenang balik, dia berpaling pada Ummar Qayyum dan berkata:

“Kalau dah begitu ungkapan abang, kenapa dulu abang tak kahwin saja dengan Murni?”

Ummar Qayyum tinggalkan Rania di kamar bawah bersendirian. Dia menghilangkan diri. Rania diam sejenak. Dia melepaskan rasa geramnya dengan berselimut di bawah gebar. Jantungnya berdegup kencang. Apa sudah jadi pada rumah tangga kami? Aku ingatkan persengketaan kami berakhir selepas dia menjemput aku dari Janda Baik dulu tapi meleset sekali dugaanku. Rania bangkit kerana rusuh. Dia memanjat anak tangga dan menuju ke kamarnya di bilik atas. Di atas tilam empuknya dia cuba mententeramkan diri. Dadanya berombak-ombak. Lama kemudian, dia bergerak ke jendela.

Berderau jantungnya melihat Ummar Qayyum sedang bersantai di laman berumput hijau. Bersamanya ada Murni dan Fahim.

Masih salahkah aku kalau aku berfikiran bahawa antara mereka ada satu ikatan halus yang telah terjalin sejak dulu dan hingga kini ikatan itu tidak pernah hilang?

Di sebalik langsir yang kaku, Rania masih berdiri dengan hati yang remuk redam. Melihat Ummar Qayyum mengangkat lalu mengagah-agah si kecil itu, Rania meraba-raba perutnya. Luka hatinya kian menjadi-jadi!


http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/CikguRania2_Siri30__DiSebalikJendelaHati/Article/index_html

0 comments:

Sale! Sale! Sale!

Dapatkan pelbagai barangan di Seri Sekijang Blogshop...
Legging kanak-kanak, Cawan Giacomo, Handmade Chocolate, Homelife, kitchen wallpaper, cartoon cutlery, kitchen tools, Gift Box, Serving tray, Fridge magnet preloved item

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

I will follow youuu....

busuk.org

apesal traffic??