Tuesday, September 17, 2013

Cikgu Rania 2 (Siri 46): Secangkir rindu di awangan!

Oleh Samsiah Mohd Nor
"Begitulah yang Makcik Ninda sampaikan," Puan Sri Zalia mengakhiri cerita. Segala apa yang diceritakan oleh Nenek Ninda tentang Murni sudah pun disampaikan pada Rania dan seluruh ahli keluarga termasuk Makcik Rohaya.
Ros Ilyani terkejut mendengar kisah Murni sampai terduduk seraya beristighfar sedang Rais bersama Tan Sri Razlan diam sahaja. Resmi orang lelaki begitulah.
Apa-apa sahaja berita yang diterima, mereka tenang menerimanya. Rania yang paling tersentap mendapat perkhabaran tersebut tapi dia berlagak tenang.

Sungguhpun perasaan bersalahnya pada Ummar Qayyum datang menunda-nunda bagai ombak di musim tengkujuh namun bahang egonya tetap membara malah tidak sejuk meskipun disimbah dengan setelaga air perigi.

"Sekarang Ren dah sedar kan! Masalah antara Ren dengan Qayyum berpunca daripada anasir luar. Bukan salah kalian berdua, jadi cepat-cepatlah berbaik!" pujuk Ros Ilyani seraya memaut bahu adik ipar kesayangannya.

Rania membatukan diri. Senyum tidak, menyahut pun tidak. Dia buat muka tiada perasaan padahal di dalam hati, hanya Tuhan yang tahu.

"Tengok tu!" jeling Puan Sri Zalia. Suaranya tinggi sedikit.

"Bagilah masa pada Ren puan. Dia pun tertekan juga!" bela Makcik Rohaya.

"Saya tahu. Semua orang tertekan. Saya pun tertekan kehilangan cucu..." balas Puan Sri Zalia balik.

"Bahaya juga Makcik Ninda duduk dengan Murni tu mama," sampuk Ros Ilyani sengaja untuk tidak memanaskan situasi antara Puan Sri Zalia dengan Rania. Jauh di sudut hati Ros Ilyani turut berasa bimbang akan keselamatan Nenek Ninda.

"Mak dah pesan pada Makcik Ninda suruh bawa balik Murni ke sini. Kita di sini ramai, bolehlah tolong tengok-tengokkan dia," suara Puan Sri Zalia kendur balik.

"Kalau nak bawa dia balik ke sini semula, kena berhati-hatilah..." sampuk Makcik Rohaya selamba.

Dia kurang senang dengan idea membawa balik 'ular' itu ke rumah.

"Murni bermasalah. Kita kena tolong dia kak!" ujar Puan Sri Zalia yang kekal tebal dengan sifat kemanusiaan.

"Dia bukan bermasalah. Dia sakit jiwa. Gilakan suami orang! Puan hantar saja dia ke hospital bahagia!" saran Makcik Rohaya.

"Dia tak ada saudara-mara dekat-dekat sini. Kitalah saudara-maranya."

"Puan ni baik sangat! Jangan sampai sokong bawa rebah. Orang dulu-dulu selalu beringat jerat tak pernah lupa pelanduk."

Rania gelisah dengan situasi tersebut. Hatinya runsing. Akhir-akhir ini dia tidak tidak suka suasana bingit dan bising begitu. Dia mahu tenang.

"Ren naik dulu," ujar Rania tiba-tiba. Dia berasa mahu bersendirian.

Tiba-tiba juga dia teringatkan Ummar Qayyum.

"Ingat pesan Kak Ros ya Ren!" bisik Ros Ilyani sebelum Rania membawa dirinya ke kamar.

Rania tidak lupa qasidah kakak iparnya yang selalu menyuruhnya berlemah-lembut dan bertolak-ansur dengan suami. Semasa Rahah datang menziarahinya tempoh hari, teman baiknya itu juga berpesan yang serupa. Malah serangkai ayat yang dinasihatkan Rahah selalu menyapa hatinya.

"Kau ada juga suami Ren - tempat bermanja, merajuk dan teman bergaduh. Aku ni? Entah bila agaknya nak dikurniakan oleh Allah seorang suami. Bersyukurlah kau dikurniakan seorang suami macam Ummar Qayyum. Jagalah dia baik-baik sebab syurga kau di telapak kakinya. Sekarang, hantar mesej pada suami kau, minta maaf! Habis cerita!"

Keluhan Rania terdengar. Tangannya sudah mencapai telefon bimbit tapi hatinya ragu-ragu. Jari-jemarinya hanya berlegar-legar di sekeliling telefon bimbit. Kalau berat jari-jemarinya untuk menaip ayat tersebut, berat lagi hatinya untuk meminta maaf. Kenapa aku jadi begini? Matanya dipejamkan!

Nantilah Ummar Qayyum! Tunggulah sehingga aku benar-benar bersedia! Ujarnya sendiri.

Ummar Qayyum hampa. Rindunya pada si isteri kian menggunung tapi rindu itu tertahan. Rindu itu tidak terlerai. Rindu itu kekal dan sarat bermukim di sukma dan sesekali dia berasa senak di dada dek kerinduan itu. Sudahlah wajah isteri yang dirindui tidak dapat ditatap. Hanya gambar-gambar sahaja yang dapat dilihat.

Lalu dia berharap agar dapat membaca khabar isteri di telefon bimbit atau di Facebook tapi sekali lagi dia kecewa. Berita dari Rania tiada. Rania tidak mengirim perkhabaran padanya. Juga, sudah agak lama Rania tidak menulis apa-apa status di Facebooknya. Paling terakhir Rania menulis sebuah sajak. Itu pun sudah agak lama dulu. Kemudian profil Facebooknya tidak dikemas kini.

Sibuk sangatkah isteriku? Atau kau memang tidak mahu bercerita apa-apa? Sengaja kau mendiamkan diri supaya khabar kau tidak ku ketahui? Ummar Qayyum termenung hampa. Kerana hampa, dia membaca status teman-teman rapat di Facebook. Ada mesej peribadi daripada Murni untuknya. Catatannya ringkas.


Salam abang yang dirindui.

Semoga abang sentiasa sihat dan sejahtera hendaknya. Murni ada sesuatu untuk diberitahu pada abang. Abang bacalah e-mel kiriman Murni ya! Penting!

Salam kasih di kejauhan
Murni



Ummar Qayyum lantas membuka akaun e-melnya. Dengan rasa ingin tahu, dia membaca e-mel kiriman Murni.


Salam buat abang yang dirindui.

Murni tidak mahu berceloteh panjang. Murni hanya mahu memaklumi abang bahawa ikatan antara Murni dengan Abang Rais akan berakhir tidak lama lagi. Murni telah nyatakan pada Abang Rais keinginan Murni. Murni sedar sejak dulu lagi tiada setitis pun rasa cinta Murni pada Abang Rais. Yang ada hanyalah rasa kasih seorang adik terhadap abang dan rasa terhutang budi atas pengorbanan yang telah Abang Rais lakukan pada Murni.

Abang yang dikasihi,

Yang Murni mahu katakan ialah sejak dulu hanya abang saja yang Murni dambakan. Cinta dan kasih sayang Murni pada abang tidak pernah padam malah semakin mendalam saban hari. Kini perasaan cinta itu semakin membuak-buak sejak abang dan Kak Ren berpisah. Jauh di sudut hati, Murni yakin bahawa kita memang ditakdirkan untuk bersama. Abang dengan Kak Ren sudah pun membawa haluan masing-masing dan begitu juga Murni dengan Abang Rais.

Murni bersama Fahmi telah tinggalkan rumah Puan Sri Zalia. Murni sekarang berada di kampung bersama Nenek Ninda. Murni berasa aman bersama Nenek Ninda di kampung. Murni terkenang saat-saat kita bertiga di desa nan permai itu. Murni sedang mengimpikan kehidupan yang pernah kita lalui dulu.

Abang yang dicintai,

Dengan penjelasan ini, Murni harap abang mengerti. Tiada apa yang lebih membahagiakan Murni selain berada bersama abang. Kini, Murni lebih yakin bahawa tiada apa yang dapat memisahkan kita. Cinta kita akan bersatu sedikit masa lagi.

Pulanglah segera abang sebab Murni setia menanti abang di sini. Jaga diri abang baik-baik di rantau orang.

Sekian dahulu buat kali ini,
Kekasihmu nan jauh,
Murni.



Berdiri tegak bulu roma Ummar Qayyum sehabis membaca e-mel kiriman Murni. Dia terkaku seketika bagaikan tidak percaya dengan apa yang dibaca.

Apa yang merasuk Murni sampai sebegitu jauh impiannya? Apa yang selama ini Murni bayangkan? Ya Allah! Beberapa kali Ummar Qayyum mengusap mukanya. Kerana diburu pelbagai rasa terkejut, akhirnya Ummar Qayyum berwuduk dan bersolat serta berdoa pada yang Esa.

Selesai bersolat, dia duduk termenung. Kemudian dia berwuduk dan bersolat kembali. Akhirnya dia teringat pada ibunya di kampung.

Barangkali emak boleh bantu! Detik hatinya dan segera saja dia menelefon ibunya.

Nenek Ninda terkejut semasa melihat nama Ummar Qayyum tertera di skrin semasa dia sedang duduk-duduk dengan Murni di beranda depan. Kerana khuatir perbualannya akan didengari oleh Murni, Nenek Ninda pura-pura tidak mendengar suara orang di telefon.

"Siapa telefon nenek?" tanya Murni.

"Bakhtiar," bohong Nenek Ninda. "Tak berapa dengar...putus-putus..."

"Yalah, abang Bakhtiar kan ada di Amerika," sahut Murni pula.

"Kejap ya Bakhtiar. Mak tak berapa dengar..." Nenek Ninda terus berlakon.

Perlahan-lahan dia bergerak meninggalkan beranda lalu menyelinap masuk ke kamarnya lantas mengunci pintu bilik dari dalam.

"Hah Qayyum, baguslah kamu telefon mak," Nenek Ninda melepaskan rasa lega.
"Kenapa mak sebut nama Bakhtiar?" tanya Ummar Qayyum.

Dia dapat merasakan ada sesuatu yang pelik turut berlaku di kampung.

"Murni ada kat sini."

"Jadi?"

"Panjang ceritanya," kata Nenek Ninda tercungap-cungap.

"Saya dah agak dah masa mak menyebut saya sebagai Bakhtiar tadi."

"Mak takut Qayyum. Pelik betul perangai Murni sekarang," luah hati Nenek Ninda. Getaran suara ibunya membayangkan perasaan gerun ibunya saat itu.

"Dia hantar e-mel pada saya. Sebab tu saya telefon emak."

"Dia kata apa?"

"Entahlah emak, saya pun tak faham apa masalah Murni."

"Mesti serupa dengan apa yang dia bagi tahu pada emak. Mak risau ni. Mak rasa dia mengalami tekanan perasaan."

"Dia cakap apa pada emak?" tanya Ummar Qayyum.

Nenek Ninda bercerita seringkas mungkin tentang apa yang berlaku.

Suaranya diperlahankan sedang matanya liar memandang ke pintu bilik takut kalau-kalau Murni mengintip.

"Lebih kurang dengan apa yang dia tulis pada saya. Tak senang duduk saya dibuatnya. Akhirnya saya telefon mak."

"Murni ni dah lain macam. Seolah-olah dia berada dalam dunia dia sendiri." Nenek Ninda menggosok-gosok dadanya. Dia berasa ngeri yang tak pernah dirasakan selama ini. Masa pencuri bermaharajalalela di kampung pun, hatinya tidak segusar itu.

"Mak balik KL mak. Duduk saja dengan pembantu di rumah Bakhtiar. Lagi selamat," usul Ummar Qayyum.

"Mak mentua kamu pun cakap macam tu. Mak kena berhenti dulu takut Murni syak. Kau jaga diri ya Qayyum."

"Mak tu jaga diri."

Nenek Ninda mententeramkan dirinya beberapa minit. Tenang saja, dia menuju ke pintu bilik dan membukanya. Murni tercegat dengan muka masam mencuka. Berderau darah Nenek Ninda dek terkejut.

"Murni, terkejut nenek." Suara Nenek Ninda terketar-ketar.

Untuk menghilangkan debarannya, dia melangkah ke ruang tamu tempat Fahmi sedang bergolek di atas tilam kecil sambil bermain sendirian.

"Terkejut kenapa? Kenapa nenek takut-takut? Nenek buat salah?"

Bertubi-tubi soalan Murni halakan. Dia setia mengekor di belakang Nenek Ninda.

"Heh taklah. Nenek nak takut apa? Nenek tak buat salah pun," sanggah Nenek Ninda lagi. Dia duduk di atas permaidani lama bersebelahan Fahmi.

"Nenek cakap dengan siapa tadi? Kenapa bercakap dalam bilik?" tujah Murni penuh curiga.

"Dengan Bakhtiar. Saja nenek cakap dalam bilik sebab tak nak kacau Fahmi tengah tidur."

"Bila Fahmi tidur?" soal Murni lagi.

"Tadi dia tidurkan?" Nenek Ninda memberanikan diri.

Dia tidak mahu Murni mendominasi keadaan itu. Murni mendengus. Wajahnya masam.

"Kalau Qayyum telefon nenek, nenek kena bagi tahu Qayyum supaya bersiap-sedia untuk kahwin dengan Murni bila balik nanti tau! Nenek kena tolong Murni. Qayyum kena cerai dengan Ren dan kahwin dengan Murni. Qayyum mesti akan dengar cakap nenek," Murni seakan mengugut.

"Murni, Murni cakap apa ni?"

"Murni cakap seriuslah." Mata Murni tajam merenung Nenek Ninda.

"Murni, Murni tak sihat ni. Apa kata kita balik ke Kuala Lumpur?" pujuk Nenek Ninda.

"Nak buat apa balik sana? Tempat kita di sini. Tempat nenek, Murni dan Abang Qayyum," tegas Murni.

Kemudian matanya beralih pula pada Fahmi. Matanya yang mulanya penuh berbunga dengan harapan tiba-tiba berubah rona. Dia melihat satu wajah baru di muka Fahmi. Muka seseorang yang sangat dibencinya. Tubuh Fahmi diangkat. Muka Fahmi direnung dalam-dalam.

Makin ketara wajah seseorang yang tidak mahu diingat bertakhta di situ.

"Hissh, kenapa muka budak ni jadi macam ni?" suara Murni tiba-tiba berubah jadi bengis. Tubuh kecil Fahmi digoncang-goncang. Si kecil itu menangis.

"Eh Murni, jangan buat macam tu! Kasihan Fahmi," tegur Nenek Ninda tapi tubuh kecil itu terus dikocok. Tanpa berfikir panjang, Nenek Ninda terus merampas Fahmi daripada pegangan Murni.

"Apa buat macam tu!" sergah Nenek Ninda. Tubuh Fahmi kemas dalam pelukan Nenek Ninda.

"Bagi sini...bagi sini..." suara Murni jadi kasar.

"Murni ni penat. Tak apa, biar nenek jaga Fahmi ya." Pujukan Nenek Ninda termakan pula dek Murni. Melihat Murni tenang saja, dibawanya si kecil itu ke kamarnya.

"Astaghfirullahalazim, dah tak waras ke si Murni ni?" Nenek Ninda beristighfar sebaik sahaja punggungnya dilabuhkan ke atas katil.

Jantung Nenek Ninda berdegup tiga kali lebih laju daripada biasa.

copy paste from
http://www.hmetro.com.my/articles/CikguRania2_Siri46__Secangkirrindudiawangan_/Article/

0 comments:

Sale! Sale! Sale!

Dapatkan pelbagai barangan di Seri Sekijang Blogshop...
Legging kanak-kanak, Cawan Giacomo, Handmade Chocolate, Homelife, kitchen wallpaper, cartoon cutlery, kitchen tools, Gift Box, Serving tray, Fridge magnet preloved item

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

I will follow youuu....

busuk.org

apesal traffic??