Saturday, September 29, 2012

Dah nak siap..tapi tak siap siap...


tapak dah siap rolled dgn crusher run..patutnya hari Rabu lepas dah buat CBR test..tapi pagi tu hujan..so tunda jadi Hari Isnin, 1 Oktober ni. Mudah-mudahan dipermudahkan Allah untuk segala-galanya.

Dah nak hujung-hujung ni banyak aje benda yang tak siap...siap 1 kerja...bertambah lagi 2 kerja kat belakang..yang nak kena repair lah...yang nak kena ubah lah...macam macam ade....

mesin yanag warna oren tu roller compactor 8 tan dan yang warna biru kat belakang tu namanya backpusher...tp selalau orang panggil traktor je...
 






SUBHANALLAH….ALANGKAH MENAKJUBKAN SEL2 YNAG ADA DALAM BADAN MANUSIA….

fwd emel tahun 2009

Gambar-gambar berikut telah dirakam menggunakan mikroskop elektron pengimbas (SEM). Saiz mikro organ-organ badan manusia telah diperbesarkan sebanyak lebih kurang 250 000 kali ganda. 

Telur/Ovum dengan sel korona

Sperma di atas telur / ovum

Sel kanser paru-paru

Sel darah merah

Sel bulu-bulu halus dalam telinga

Saraf perasa pada lidah

Neuron Purkinje (lapisan pada otak)

Plak Gigi

Hujung rambut yang pecah

Embrio manusia (kelihatan masih ada sisa sperma)

Embrio manusia berusia 6 hari (warna keperangan)

Alveoli Pada Paru-paru   
Vilus pada usus kecil

Salur darah dalam saraf optik

Friday, September 28, 2012

I got double red line again :D

Rasanya...bagi kaum kaum isteri...mmg sgt familiar dengan makna double line ni...alhamdulillah...
 
 

Jadual ni merupakan kalkulator online mengira jangkaan tarikh bersalin..koi copy paste dari http://pama.karangkraf.com/# 
masuk ajer tarikh 1st day kali terakhir datang bulan...pastu tekan kira....ruttt..truuurtttt...kuar cenggini...pastu setiap minggu kita boleh klik dan baca perkembangan bayi mengikut minggu.


Koi harap koi dikurniakan kesihatan yang stabil sepanjang sembilan bulan akan datang ni...Insyaallah...

 


Tuesday, September 25, 2012

Cikgu Rania 2 (Siri 12): Bulan di Balik Awan

Oleh Samsiah Mohd Nor

“LAIN kali mak cik kena pastikan lantai tak basah masa Murni ada di dapur.” Teguran Rais mengejutkan Mak Cik Rohaya. Terkebil-kebil orang tua itu walaupun teguran Rais berlapik dan lembut. Ketika itu Rania sedang mengambil sebuah bekas berisi air suam untuk dibawa naik ke bilik pasangan suami isteri itu. Rindu bersama anak-anak pun ada di dapur. Mereka sedang menikmati sarapan pagi. Puan Sri Zalia yang kebetulan masuk ke dapur terdengar pula kata-kata Rais itu. Nipis telinganya.
“Heh, budak itu jatuh tak ada kena mengena dengan lantai basah. Orang lain beribu-ribu kali masuk keluar dapur tak jatuh pun!” herdik Puan Sri Zalia, tapi terkedu seketika tatkala melihat muka cucu-cucunya terkebil-kebil memandang ke arahnya.

Segera dihampiri mereka dan dicium di pipi. Rindu segera mengalihkan perhatian anak-anak kepada topik lain. Puan Sri Zalia mengerling berisyarat pada Mak Cik Rohaya yang masih tercegat di tepi pintu dapur basah. Rais terus pergi sebaik dileter ibunya.

“Abang Ridhwan dengan Abang Is mana Kak Rindu?” tanya Rania sengaja untuk menjernihkan situasi kusut yang melanda pada pagi yang hening itu.

“Dia orang berdua pergi ke driving range, pukul bola,” sahut Puan Sri Zalia dengan muka yang masih masam.

Hangat benar hatinya apabila Rais menyalahkan Mak Cik Rohaya dek Murni. Sejak bila pula dia dah pandai membela perempuan tak tahu diuntung itu? Getus Puan Sri Zalia seraya duduk menyertai cucu-cucunya bersarapan pagi. Mak Cik Rohaya dipanggil lalu diajak bersarapan sekali.

“Oh ya Ren, confirm ya dua minggu lagi kita ke Pulau Langkawi! Abang Is dah booking bilik tau. Kita ambil Berjaya Vacation!” kata Rindu tiba-tiba.

“Jadilah ya?” tanya Rania balik.

“Jadi. Abang Iskandar teruja sangat nak ke pulau legenda itu. Dah hampir lima tahun dia tidak ke sana. Dia yang beriya-iya,” cerita Rindu lagi.

“Mama ikut?” tanya Rania lembut pada ibunya.

“Tengoklah macam mana,” sahut ibunya. Mak Cik Rohaya masih berwajah sedih.
Tidak berani Rania menegur kerana khuatir Mak Cik Rohaya akan bertambah sayu hatinya.

“Nanti kita scuba diving ya sayang,” kata Rindu pada anak-anak.

Kedua-dua budak yang ceria itu melompat-lompat bila mendengar percutian di tepi laut.

“Macamlah dekat Australia tak ada pantai,” usik Rania.

“Hujan emas di negeri orang, mana sama hujan batu di negeri sendiri,” bantah Rindu pula.

Tidak dinafikan bahawa selama dia mengikut Iskandar merantau ke negara orang, rindunya pada keluarga dan tanah air tidak pernah padam. Ingin sekali dia pulang dan menetap di Malaysia dan bersama-sama keluarga, tapi setiap kali pandangan itu diutarakan pada Iskandar, suaminya itu menyuruhnya bersabar.
Rindu akur. Demi suami dan anak-anak, aku rela berkorban, detik hatinya.

“Ren naik atas dulu ya,” kata Rania.

Rindu tersedar daripada lamunannya. Rania sudah membimbit bekas berisi air.
Sempat pula Rania mengerling ke arah muka ibunya yang masih keruh.

“Hendak marahkan mak cik kenapa, tak bersebab langsung! Geram betul aku!”
Rungutan Puan Sri Zalia masih terdengar di telinga Rania sewaktu dia sudah melepasi ambang ruangan dapur. Rania tahu emaknya sangat sayangkan Mak Cik Rohaya. Sudah tentu pedih hatinya mendengar kata-kata Rais itu. Ah! Abang Rais pun satu. Kenapa perlu membesar-besarkan perkara kecil itu? Risau pula apabila mengenangkan keadaan yang sebelum ini nampak makin baik tiba-tiba tegang gara-gara Murni jatuh.

Harap-harap tak berlarutanlah! Doa Rania. Di dalam bilik, Murni terbaring dengan muka pucat.

Rais pula bertenggek di birai katil. Rania letakkan bekas berisi air suam di atas meja sisi di sebelah katil. Dia duduk di sebelah Rais. Hanya mereka berdua yang ada bersamanya. Melihat Murni seperti kehausan, Rania tuang air suam ke dalam gelas di atas meja sebelah Murni lalu diunjukkan pada Murni.

“Terima kasih kak,” kata Murni. Dia minum seteguk sahaja. Kemudian dia cuba mendudukkan dirinya. Bahagian belakang tubuhnya berasa berat sikit. Dia membetulkan kedudukan tubuhnya, tetapi ada sedikit rasa sengal di bahagian tulang punggung. Rais tolong sendal belakang Murni dengan bantal.

“Okey?” tanya Rais untuk memastikan Murni berada dalam keadaan yang selesa.

Murni angguk. Dia rasa dihargai. Bagus juga aku jatuh. Baru nampak Rais ambil berat, kalau tidak aku ini macam tak wujud saja! Murni berkata-kata sendiri.

“Murni nak makan apa-apa tak? Tadi makan pun tak menentu,” tanya Rania prihatin.

“Tak apa Kak Ren. Murni tak rasa lapar pun.”

“Masih terkejut tu,” sampuk pula Rais.

“Lambat pula Mak Cik Piah ni,” kata Rania seraya ditoleh jam di lengan.

Dia bangkit dari duduk dan mundar-mandir di bilik pengantin. Diintai dari jendela di bilik tersebut, tapi kereta yang dipandu Pak Mud untuk menjemput Mak Cik Piah tukang urut belum kelihatan. Rumah Mak Cik Piah bukannya jauh, di Kampung Datok Abu Bakar Baginda saja, tapi mengapa belum sampai? Fikir Rania.
Sambil menunggu Mak Cik Piah, Rania memerhatikan bilik pengantin yang dihias juruhias berpengalaman. Bilik itu asalnya bilik Rais. Ringkas dan tidak banyak perabot, tetapi diubahsuai dengan begitu cantik setelah jadi bilik pengantin.
Dihias indah semata-mata untuk meraikan pengantin berdua. Kini Murni berpindah ke bilik tersebut dan bilik tetamu yang menempatkan Murni sebelum bernikah dengan Rais didiami oleh Abang Ridhwan. Rania mengubungi Pak Mud.

“Dah nak sampai Ren,” sahut Pak Mud.

“Kenapa lambat?”

“Tadi ada orang berurut kat rumah Mak Cik Piah,” terang Pak Mud.

“Baik Pak Mud. Hati-hati memandu ya,” pesan Rania.

“Dah nak sampai?” tanya Rais.

Rania angguk. Lega rasanya mengetahui bahawa Mak Cik Piah akan sampai sekejap lagi. Memang Rania bimbangkan keselamatan bayi Murni dan ibu muda itu. Sengaja dihubungi tukang urut yang selalu mengurut ibunya untuk tengokkan Murni.
Walaupun secara kasar Murni tidak cedera, tapi Rania tetap mahu Mak Cik Piah tengokkan Murni. Rania masih mundar-mandir di dalam bilik yang masih bersisa aura pengantin itu. Tiba-tiba matanya tertangkap sebuah tilam bujang bergulung di tepi almari pakaian yang agak tersorok.

Kenapa tilam ini ada di sini? Bisik Rania sendiri. Dia mengerling Rais yang membaca majalah di tepi katil. Abang Rais tidur di bawah ke? Kalau betul kenapa Abang Rais tidur di bawah? Abang Rais tidak dapat menerima Murnikah? Kalau begitu, mengapa dia kahwin dengan Murni? Pelik! Fikiran Rania bertali arus, tetapi terbang lamunannya apabila terdengar suara orang memberi salam di luar bilik.

Mak Cik Piah muncul bersama Mak Cik Rohaya.

“Hah, sampai pun,” sapa Rania dengan riang.

Mak Cik Piah diperkenalkan pada Murni. Terkejut juga mak cik urut itu apabila mengetahui Rais sudah bernikah sekali lagi dan nampak dia terkilan kerana tidak diundang.

“Alah, majlis kecil saja Mak Piah. Pengantin lamalah katakan,” Rania berjenaka.

Mak Cik Piah senyum kecil. Murni ditinggalkan dengan Mak Cik Piah. Rania pimpin tangan Mak Cik Rohaya turun ke bawah. Kemudian dia masuk ke dapur bersama Mak Cik Rohaya.

“Mama mana mak cik?”

“Kat luar tu, main dengan cucu-cucunya.”

“Mak cik dah okey dah?” tanya Rania. Baru dia berani bertanya bila melihat wajah Mak Cik Rohaya lebih berjiwa daripada tadi.

“Okey tak okey, telan sajalah,” rintih Mak Cik Rohaya. Wajah tuanya masih membendung hiris-hiris luka dek teguran Rais tadi. Sedikit pun dia tidak menyangka Rais sanggup menegurnya kerana perempuan tersebut. Tak masuk akal betul!

“Alah, mak cik jangan cakap macam tu, sedih Ren tau.”

“Mahu mak cik tak sedih. Kena marah dengan Rais sebab budak perempuan tu.”

“Abang Rais tak marah, dia tegur saja.”

“Tapi mak cik kecil hati Ren. Mama Ren pun sedih dengar Rais tegur macam tu.”

“Memang Abang Rais tak patut tegur pun. Tapi mungkin Abang Rais risaukan bayi dalam kandungan Murni tu. Susah-susah dia selamatkan bayi tu, alih-alih kalau berlaku apa-apa, macam sia-sia saja kan!” pujuk Rania lagi.

“Masalahnya, dia tu yang gopoh-gapah. Buat kerja tak tentu arah, menyibuk kat dapur belakang tu siapa suruh. Semua ada kat depan. Mak cik dah siapkan!”
rungut Mak Cik Rohaya. Menyampah benar kalau dikenang-kenang perangai si Murni itu.

“Dia kan mengandung mak cik, biasalah kalut tu!”

“Orang lain pun mengandung juga. Tak ada apa-apanya. Ren tak payah bimbangkan dia.”

“Takut bayi dalam kandungan tu.”

“Insya-Allah tak ada apa-apa. Kalau ada yang tak kena, Murni tu tak boleh bangun langsung. Tadi elok saja mak cik tengok dia jalan walaupun hinjut-hinjut,” tekan Mak Cik Rohaya.

Ternyata apa yang dikata Mak Cik Rohaya tepat sekali. Mak Cik Piah yang baru selesai mengurut Murni memaklumkan Murni dan kandungannya berada dalam keadaan selamat. Semasa Mak Cik Piah masuk ke bilik air, Makcik Rohaya sempat berbisik pada Rania.

“Kan mak cik dah kata tak ada apa-apa! Tak pasal pasal mak cik kena tegur dengan Rais,” ungkit Mak Cik Rohaya.

“H’ah kan! Alhamdulillah, semua sihat. Nanti Ren marah Abang Rais balik.”
Usikan Rania mengukirkan senyum di bibir Makcik Rohaya.

“Mak cik nak urut juga?” tanya Rania.

“Eh mak cik tak hendaklah Ren.”

“Boleh tak mak cik masakkan bubur air untuk Murni?” tanya Rania tertib.

Mak Cik Rohaya merenung muka bersih Rania. “Kalau mak cik masak, mak cik masak sebab Ren tau.”

“Eh salah tu, mak cik masak sebab Allah...” Rania membuat pembetulan.

Mak Cik Rohaya tersenyum kecil. Lapang dada Rania melihat Mak Cik Rohaya ceria kembali. Syukur pada-Mu Tuhan atas limpah kurnia yang Kau beri.

“Ren nak tanyakan mama kalau-kalau mama nak berurut juga.” Rania ke beranda hadapan menyaingi ibu dan keluarga Rindu.

“Boleh juga. Tapi biar Mak Cik Piah rehat sekejap,” sahut Puan Sri Zalia.

“Nanti Ren beritahu mak cik.”

“Budak tu macam mana?” tanya Puan Sri Zalia dengan muka sombongnya.

“Alhamdulillah, tak ada apa-apa. Semua okey.”

“Saja mengada-ngada.”

“Mama, yang dah lepas tu lepaslah, tak baik mama layan Murni macam tu,” Rindu tiba-tiba menegur ibunya.

Selama berada di rumah ibunya, telinganya tak berhenti-henti mendengar ibu mencemuh Murni. Sungguhpun dia tahu kesalahan yang Murni lakukan, tetapi dia berpegang kepada hakikat bahawa manusia sentiasa berbuat kesalahan. Orang yang berbuat salah tidak harus terus dihukum, tetapi perlu dibimbing untuk kembali ke pangkal jalan. Menerima Murni berkahwin dengan Rais merupakan perkara mulia yang dilakukan oleh keluarganya, tetapi berterusan mencemuh Murni akan mengurangkan pahala yang sudah pun diperoleh sebelum ini.

Puan Sri Zalia terdiam. Dia memerhatikan cucu-cucunya yang bermain bola di laman berumput yang luas dan bersih.

“Ya mama. Terimalah Murni dengan ikhlas. Dia dah kahwin pun dengan Rais. Dah jadi keluarga kita.”

“Mama tak pernah anggap dia keluarga kita. Dia nak duduk di sini duduklah, tapi beritahu pada dia pandai-pandailah dia bawa diri dia tu,” Puan Sri Zalia bangkit meninggalkan kedua-dua orang anak perempuannya termangu memandangi sesama sendiri.

“Ren duduk dengan mama, selalu selalulah muhasabah mama supaya terima apa yang Tuhan telah takdirkan,” nasihat Rindu kepada adiknya.

Sekonyong-konyong Rania teringatkan peristiwa dia ternampak ayahnya bersama perempuan muda di Pavilion. Kalau suatu hari mama mendapat tahu tentang hal itu, bagaimanakah penerimaan mama? Mampukah mama menerimanya? Bagaimana mama akan menerimanya? Rania yakin mama tidak akan mampu menerimanya. Perihal situasi Rais dan Murni yang begini pun, sukar untuk mama terima, apatah lagi kes ayah dengan perempuan muda yang entah siapa-siapa itu!

Perlukah aku berkongsi rahsia ini dengan Kak Rindu? Puas berfikir buruk baiknya, akhirnya Rania mengambil keputusan bercerita pada Rindu tentang ayah mereka. Terperanjat besar Rindu mendengarnya sampai dia terdiam seketika.
Matanya tidak berkedip sedang mulutnya ternganga sedetik.

“Betul ke ayah yang Ren nampak?” tanya Rindu untuk dapatkan kepastian.

“Memang ayah kak. Nasib baik mama tak nampak,” Rania melahirkan kekesalannya.
Lapang rasa dadanya yang tersengkak selama ini sebaik sahaja dia berkongsi cerita dengan kakaknya.

“Ren ada beritahu siapa-siapa? Abang Rais ke?”

Rania gelengkan kepala.

“Banyak sangat masalah yang melanda keluarga kita akhir-akhir ni kak. Ren tak sampai hati nak cerita lebih-lebih lagi pada Abang Rais,” adu Rania.

“Kasihan adik kakak.” Rindu peluk Rania. Belas sungguh dia kepada Rania.
Seorang diri dia menghadapi masalah yang melanda keluarga.

“Lain kali ceritalah pada kakak. Apa guna ada kakak, tapi tak boleh berkongsi masalah.”

“Entahlah kak. Ada satu ketika tu Ren menangis seorang kat pondok tu,” Rania kenang kisah yang berlaku dulu. “Menangis kenang macam-macam masalah, tiba-tiba Qayyum muncul. Dia balik Malaysia tak beritahu Ren. Tiba-tiba saja ada!” Ceria wajah Rania menggamit senyum di wajah Rindu.

“Romantiknya!”

“Memang romantik. Macam cerita Hindustankan? Ren rasa cinta Ren makin mekar pada Qayyum bermula pada detik itu. Macam terbang semua masalah yang melanda Ren bila tiba-tiba Qayyum datang.”

“Kakak happy sangat untuk Ren. Jangan lepaskan Qayyum lagi tau,” pesan Rindu.

“Never!”

“Mama cerita pada kakak, dulu Ren dengan Qayyum terputus hubungan sebab Murni.”

Rania angguk. “Tapi bukan salah Murni bila Ren nak putuskan hubungan tu.”

“Well, we have to stop Ren. Tengok budak-budak tu dah comot berguling-guling kat rumput tu. Kakak nak mandikan dia orang.”

Rania tergelak-gelak tengok anak-anak saudaranya yang sengaja menggolek-golekkan tubuh di atas rumput. Nampak comel sangat bila mereka berbuat demikian.

“Tapi kita ada banyak masa untuk bercerita nanti bila kita bersantai di Langkawi.” Rindu ingatkan Rania.

“Okey, okey,” janji Rania.

Di bilik ibunya di bawah, Mak Cik Piah sedang mengurut dan berbual dengan ibunya. Rania panjat tangga menuju ke bilik Murni. Murni sendirian. Wajah Murni kelihatan merah dan berseri selepas diurut. Sebaik sahaja Rais muncul, Rania memberitahu keadaan Murni kepadanya. Rais menarik nafas lega.

“Lepas ni awak jaga diri baik-baik tau. Nak apa-apa cakap saja dengan mak cik.
Jangan buat sendiri,” pesan Rais.

“Nenek Ninda kata ibu mengandung kena aktif, baru senang nak melahirkan,” Murni membuat pembetulan.

“Memang pun. Bila kita aktif, baby senang keluar nanti,” sampuk pula Rania.

Rais mati kutu. Dia memang tidak tahu menahu tentang tata cara ibu mengandung.
Yang dia risaukan ialah keselamatan Murni dan bayi tersebut.

“Kalau macam tu hati-hatilah,” Rais mengalah. “Nanti bila Ren mengandung, bolehlah Ren belajar dari pengalaman Murni.”

“Ren lambat lagilah abang,” potong Rania.

“Lambat apanya. Hujung tahun dah tinggal berapa bulan lagi. Semalam abang skype dengan Qayyum dia kata mungkin dia akan balik lagi.”

“La, dia skype dengan abang. Dengan Ren tak pula.”

“Habis Ren sibuk memanjang.”

“Memanglah sibuk. Abang tak nampak ke kertas periksa bertimbun dalam bilik Ren tu. Tapi kalau dia nak skype dengan Ren, cakap sajalah,” Rania menjeling.
Merajuk pun ada juga.

Rais tertawa tampan. Rania bahagia melihat Rais yang mulai ceria. Ada hikmahnya Murni jatuh. Nampak sangat Rais prihatin terhadap keselamatan Murni dan bayinya. Tapi bagaimana pula perasaan Rais terhadap Murni? Tilam yang bergulung itu apa tandanya?

“Kalau awak nak apa-apa, awak call saya atau Ren ya?” kata Rais sebelum keluar dari kamar.

Ringan mulut Rania hendak bertanyakan Murni tentang tilam yang dia lihat, tetapi dibatalkan niatnya apabila melihat Murni berbaring.

“Nak tidur ya?”

“Penat lepas berurut. Mak cik tu kata lepas dua jam baru boleh mandi.”

“Murni berehatlah ya!” Rania tinggalkan Murni sendirian.

Sungguhpun matanya mengantuk, Murni tidak dapat melelapkan mata. Dia berasa bahagia kerana layanan Rais padanya mulai berubah. Dia lebih prihatin dan selalu menasihati Murni supaya berhati-hati untuk keselamatan bayi yang dikandung. Tapi ketara, di mata Rais hanya belas yang bertakhta, tapi
tidak kasih. Murni ingat masa dia ditempatkan di kondominium Rais di Bukit Mulia. Rais lebih peramah dan prihatin, tapi peristiwa tangkap khalwat mereka telah merubah pandangan Rais padanya.

Ada hikmahnya aku jatuh. Rais lebih prihatin dan penuh perhatian terhadapku.
Tapi apa kesudahan hidup aku ini? Kekalkah di sini atau apa akan berlaku padaku sesudah bayi ini lahir? Bagaimana pula Ummar Qayyum? Sehingga ke hari ini perasaanku pada Abang Qayyum tak pernah berubah. Kerana kau Ren, semua yang aku rencanakan berantakan!

Perlukah aku menerima takdir ini atau perlukah aku mengubahnya? Murni hanyut dibuai persoalan demi persoalan. Perutnya diraba perlahan. Tengoklah macam mana situasi hidup aku Rania! Tengoklah!

Bersambung.

Thursday, September 20, 2012

Luahan hati : Untuk orang 'kejut' sahaja...

Sekarang ni kepala tengah berserabut sebab semua projek ni nak disiapkan secepat yang di luar jangkaan fikiran..hahaa...boleh ker...masalahnya kalau ade duit boleh jer....sekarang ni masalahnya takde duit....payment belum masuk lagi...nak rolling dah takde sumber...semua modal yang ada dah habis buat pusing2 dah...kerja dah siap..payment mak datuk aiiii...lambatnyer...so sesiapa yg nak buat kerja dengan dioarang ni...hehehe....pastikan anda mempunyai modal 5 kali ganda harga projek...sebab ini developer sama ini kontraktor utama ada sikit sifat haloba + lembab buat kerja + terhegeh-hegeh buat kerja + satu pekerja kena cover terlalu byk projek sebab nak save cost+ bos yang tak tahu apa-apa... Untung nak besar..kerja nak sikit. carik pekerja semua yg fresh...

kadang-kadang koi geram sebab sebagai kontraktor utama they'll kelihatan sangat rilek tak buat apa-apa. semua kemusykilan terhadap technical matters semua sub-con kena settle sendiri...Pastu diorang setakat jadi tukang Faks memo. arahan arkitek. arahan engineer..laa...tu je ker kerja korang....Sub con yang dilantik kena coordinate sesama sendiri..langsung tak pernah arrange coordination meeting. kita sendiri sendiri jumpa sub-sub yang lain tu, bincang macam mana nak jalan kerja. Kalau dah macam tu..patutnya bagila ;profit & attendance' kat koi sebab selama ni koli yg byk arrange dekat tapak

Terasa terbeban sangat sangat. dah la kerja mmg sedia banyak...kadang-kadang drawing diorang sendiri boleh hilang...dah drawing korang hilang pergilah mintak kat Consultant balik semula..ni tak...sub con pulak yang nak sediakan drawing utk korang balik semula...sesuatu request kita tu...Main contractor akan ambil masa tak kurang dari 3 bulan untuk bagi feedback...itupun kadang kadang belum ada jawapan... bayangkanlah lembab tak lembab?? pada koi ini bukan lembab lagi..dah basah kuyup dahhhhh....

Dahla supervisor diorang kat site dah lama berenti....dapat yg baru pulak yag fresh grad...semuanya tak tau pun..alamak haiii....apa ntah. Konsultan pun tak berani bunyi kat main kontraktor kalau ada salah silap dr main contractor kerana main contractor pada masa yang sama adalah developer. Paham tak?? okeh...macam ni...contohla....ini contoh saja  tau...Developer ni dapat satu projek dr kerajaan. koi bagi contoh majlis daerah la....Majlis minta bukak tender utk lantik satu kontraktor yang akan membina pondok bas di setiap taman dalam kawasan A. tapi ini Pemaju a.k.a developer haloba giler...dia tak bukak tender...dia carik satu kontraktor yang dah nyawa nyawa ikan..yg dah lama takde projek, dia amik share dalam 60% dan bagi owner lesen kontraktor tadi tu 40%.

kemudian, daripada kontraktor utama tadi...lantik pulak banyak2 sub kontraktor kelas F utk buat pondok tunggu bas tadi tu...jadiknya...dengan cara ni pemaju tadi dapat mengaut keuntungan berlipat lipat lipat lipat kali kali ganda. Sebelum bermulanya proses tender kepada kelas F, Pemaju dikehendaki carik perunding utk sediakan lukisan dan technical specs. jadiknya, secara tak langsung...Perunding atau konsultant ni dah duduk bawah main con la...dah jadi macam projek design & build. Sebab tu perunding ni dok diam diam ajer....cakap lebih sikit kang...pemaju tak nak bayar fees lagi susah. Tapi yang susah sub con la...yang bertuah dah tentulah main con yang dipayungi pemaju.

dah tu suka suka hati dia potong payment sub macam kiorang ni...buatla...satu hari nanti kalau Allah nak tarik apa yang dipinjamkan...masa tu korang ingatla balik semula betapa doa orang-orang yang teraniaya ini amat makbul. Bukan koi nak doakan menda yang tak baik utk mereka-mereka ni...api mereka harus diberi tahu bahawa kekayaan dalam dunia ini hanya satu pinjaman. Apabila kita menjadi kaya raya dan berharta...harus kita ingat, ia tak datang 100% dari usaha kita sendirian...ia hanya menjadi kenyataan dengan izin Allah.

Allah menguji orang miskin dengan kemiskinannya....dan orang kaya dengan kekayaannya. Dan untuk mengubat hati koi yang lara ni...koi baca la potongan ayat dari surah Al-Anbiya' ni. Setiap kali koi rasa terbeban dengan kerja, koi akan baca ayat kat bawah ni berulang-ulang kali buat menghilangkan rasa sakit dalam hati. Ayat ni juga dikenali sebagai Doa Nabi Yunus dalam perut ikan paus.






Tuesday, September 18, 2012

Cikgu Rania 2 (Siri 11): Soal hati

Oleh Samsiah Mohd Nor

RANIA tersentak apabila secara tidak sengaja dia terpandangkan satu wajah yang terimbas di dalam video pernikahan Rais-Murni. Sungguhpun video terpasang dan menayangkan peristiwa yang berlaku siang tadi tetapi sebahagian besar ahli keluarganya sibuk berbual-bual sesama sendiri.
Dicapainya alat kawalan jauh lalu diputarkan semula rakaman yang selintas pandang disuluh matanya sebentar tadi.

“Kejap eh...,” ujarnya tanda hormat pada beberapa pasang mata yang menonton rakaman video. Kali kedua melihat, matanya tidak berbohong.

Memang sah! Hati Rania berdetik. Itulah wajah perempuan muda yang dilihat bersama ayah di Pavilion lama dulu. Rupa-rupanya dia hadir pada majlis pernikahan Abang Rais dan Murni. Kenapa aku tak perasan? Fikir Rania dalam keriuhan suara saudara-maranya. Sambil memuat naik beberapa gambar perkahwinan di akaun Facebooknya, dia menjeling ayah yang leka berbual-bual dengan Abang Ridhwan.

Ibunya pula membelek-belek hadiah yang baru dibuka Rais. Murni diam bersimpuh di sisi Abang Rais. Sesekali Kak Rindu dilihat bercakap-cakap dengan Murni.
Rania bersyukur kerana seluruh ahli keluarganya dapat menerima Murni seadanya.
Cuma sekarang yang mengganggu benaknya ialah perempuan muda dalam rakaman video itu.

Mesti ayah yang jemput dia. Siapa perempuan misteri itu? Fikir Rania lagi namun lamunannya tidak dapat bertahan lama. Suara riuh rendah ahli keluarga menenggelamkan lamunannya. Abang Ridhwan sibuk mengusik menyuruh pasangan pengantin baru masuk bilik. Rais biasa biasa sahaja tetapi Murni tersipu-sipu.
Puan Sri Zalia menjeling menyampah.

Pengantin baru apa! Dah ditebuk tupai pun! Wanita itu mencela di dalam hati.
Macam mana Abang Rais akan lalui malam ini? Fikir Rania. Setakat ini yang tahu tentang Murni hanya ahli keluarga terdekat kecuali Abang Ridhwan dan Abang Iskandar. Puan Sri Zalia berkali-kali berpesan pada Kak Rindu supaya menyimpan rahsia itu. Nasib baik Kak Rindu dapat menerima Murni tanpa banyak kerenah.
Mula-mula Kak Rindu agak terkejut apabila dimaklumkan ibunya tapi apabila disedarkan oleh Rania tentang status ‘duda’ yang disandang Rais, Kak Rindu terdiam sejenak.

“Tak apalah mama, kalau Rais suka!” ujar Kak Rindu semasa dimaklumkan oleh Puan Sri Zalia tentang cerita sebenar di sebalik pernikahan Rais. Rania ingat peristiwa itu kerana dia ada bersama mereka sewaktu emaknya pecahkan rahsia Murni. Oleh sebab tidak banyak yang membantah, Puan Sri Zalia akhirnya diam dan akur menerima ketentuan takdir. Nasib baik perut Murni tidak ketara besarnya maka situasinya dapatlah disorokkan.

Namun perasaan tidak suka ibunya pada Murni tidak semudah itu hilang. Melihat air muka emaknya pun Rania tahu. Tapi bagaimana pula kalau ibu tahu tentang rahsia ayah? Rania bersoal jawab sendiri. Tapi persoalan itu mati begitu sahaja apabila Ridhwan menyakatnya pula. Terkebil-kebil Rania apabila topik cerita sudah berubah. Nama Ummar Qayyum pula yang disebut-sebut. Puan Sri Zalia paling seronok membentangkan perancangannya menjelang pernikahan Rania bersama Ummar Qayyum.

“Kali ni biarlah betul-betul jadi ya Ren, jangan macam yang sudah-sudah!” Tak puas-puas Ridhwan menggiat.

“Tak apalah juga banding dengan abang yang langsung tak pernah jadi pun!” sanggah Rania balik.

“Abang kan kalau dah suka jadi terus. Tak ada bertunang-tunang pun, terus saja nikah,” kata Ridhwan.

Jauh di sudut hati tergerak juga impian untuk memiliki keluarga sendiri. Dia sudah pun berfikir dan merancang ke arah tersebut cuma perancangan itu masih berlakar dalam fikiran.

“Ren pun macam tu juga, nanti terus nikah saja.” Rania bersetuju dengan pandangan Ridhwan.

“Mana boleh. Ren punya kena buat betul-betul,” sampuk Puan Sri Zalia. Dia sudah merancang macam-macam.

“Mama, kan Ren dengan Qayyum dah cakap hari tu. Kami nak simple sangat,” tekan Rania.

Puan Sri Zalia terdiam. Dia malas bergaduh sebab masih penat. Lebih dari itu, majlis tersebut akan menjadi urusannya. Tahulah dia bagaimana untuk dikendalikan.

“Buat simple macam hari ni okey juga apa!” tambah Ridhwan. Kemudian, tidak semena-mena dia mengusik Rais. Terkebil-kebil Rais dibuatnya.

“Kau ni apa kena Rais? Dari tadi abang tengok ketat saja muka.”

“Abang Rais penatlah Abang Ridhwan,” Rania tolong jawab. Dia sedar mood Rais masih tidak menentu. Adakalanya dia boleh bergelak tawa tapi ada ketikanya Rais akan mendiamkan diri. Sejak peristiwa penangkapan kes khalwat dulu, Rais bagaikan tidak berpijak di bumi nyata. Dia lebih banyak membawa halnya sendiri.
Mudah-mudahan masa akan merawat luka Rais, doa Rania.

Murni yang duduk tidak jauh darinya sudah beberapa kali menguap. Hendak minta diri segan barangkali, fikir Rania. Kak Rindu membantu Iskandar mengangkat anak-anak mereka yang sudah pun terlentuk di ruang tamu. Ayah juga sudah minta diri untuk masuk ke bilik. Yang masih ada di ruang tamu besar ialah emak, Rais, Murni dan Ridhwan yang duduk di sebelahnya. Cuba diintai apa yang ditaip Rania tapi segera dihalang Rania.

“Janganlah sibuk nak tengok FB orang.”

“Mesej dengan Abang Qayyum eh.”

“Suka oranglah.”

“Bagi abang e-mel Kak Ros,” ujar Ridhwan spontan.

“Kak Ros mana?” tanya Rania balik agak teruja.

“Berapa banyak Kak Ros yang Ren kenal?”

“Maksud abang, Ros Ilyani?” tekan Rania.

Ridhwan angguk.

“Hah! Nak buat apa? Nak mengurat Kak Ros eh!” jerit Rania.

Ridhwan tertawa tetapi Rais pula yang terkejut mendengarnya.

“Masih single lagi rupanya kakak angkat kesayangan Ren tu?”

Bermakna kata-kata yang terungkap dek Ridhwan. Puan Sri Zalia turut berminat mendengarnya.

“Kenapa? Abang Ridhwan berminat ke?”

“Berminat juga,” akui Ridhwan jujur.

“Wow...ini sudah bagus. Mama dengar tu mama,” jerit Rania lagi.

Wajahnya gembira benar sehingga lupa akan kewujudan Rais yang masih terkedu.

“Kalau Ridhwan berkenan pada Ros Ilyani, kecil tapak tangan nyiru mama tadahkan,” kata Puan Sri Zalia yang sama naik. Berseri air mukanya.

“Misi keamanan Abang Ridhwan macam mana pula?” usik Rania.

“Dah sampai masa abang berumah tangga, abang tinggallah...”

“Bagus...bagus! Sambil sambil tu bolehlah Ridhwan uruskan perniagaan ayah.
Sepatutnya anak beranak yang menerajui syarikat keluarga dan bukan orang luar.”
Bersemangat benar Puan Sri Zalia mengusulkan ideanya. Selama ini syarikat milik keluarga mereka diuruskan oleh orang kepercayaan suaminya sementelah dia begitu sibuk dengan urusan kerja yang tidak pernah habis. Gembira benar Puan Sri Zalia mendengar berita itu. Sekali lagi dia memasang angan-angan.

Murni mencuri pandang ke arah Rais. Wajah suaminya itu tidak ceria. Dia pernah mendengar cerita tentang percintaan tak menjadi antara Rais dengan Ros Ilyani.
Sekarang abang Ridhwan pula yang berkenan pada Ros Ilyani, tak pelikkah?
Fikirnya yang lebih banyak bermonolog sendirian. Sungguhpun suasana meriah di rumah banglo mewah itu meraikan pernikahan dia dan Rais tapi dia tetap berasa terpinggir. Dia sunyi dalam kemeriahan tersebut. Dia larut dalam pelbagai perasaan. Dia sedar siapa dirinya apabila berada dalam keluarga besar Tan Sri Razlan.

Dia memerhatikan setiap gerak geri ahli keluarga tersebut. Meskipun ahli keluarga yang lain dapat menerima dirinya seadanya tapi tidak Puan Sri Zalia.
Dia perasan pandangan sinis Puan Sri Zalia padanya sejak dahulu sehingga sekarang tidak pernah berubah walaupun kini dia sudah bergelar isteri kepada Rais dan menjadi menantu di rumah mewah itu. Dia tak pernah lupa. Hingga saat ini, sebelah mata pun Puan Sri Zalia tidak pandang padanya. Kerana itu, dia terpaksa menjaga tingkah lakunya.

Dia tersedar daripada lamunan apabila Rais mencuit bahunya mengajak naik.
Murni mengikut sahaja. Dia diisyaratkan oleh Rais supaya menyalami tangan Puan Sri Zalia. Huluran tangannya disambut tetapi Puan Sri Zalia memandang ke arah lain. Wanita itu masih sibuk berbicara tentang hal Ros Ilyani bersama Rania dengan Ridhwan.

Semasa menaiki anak tangga menuju ke tingkat atas, sekali lagi Rais melemparkan pandangan ke bawah. Ceria wajah Ridhwan bercerita tentang Ros Ilyani membuatkan jiwa raganya berasa tidak menentu. Masuk ke bilik pengantin yang dihias indah, terus direbahkan tubuhnya di atas katil. Murni serba salah.
Dingin hawa di kamar pengantin makin mencengkam jiwa raganya. Dia tidak tahu apa peranan yang perlu dimainkan. Di birai katil dia duduk bersimpuh menunggu arahan. Menyedari Murni duduk tidak jauh darinya, Rais bangkit. Matanya mengantuk benar. Dia masuk ke bilik air dan berwuduk. Selesai solat Isyak, dia keluar bilik dan masuk semula dengan tilam bujang. Dibentangkan agak jauh dari katil pengantin bersaiz king.

“Awak tidurlah kat atas. Saya tidur kat bawah,” ujarnya.

Berderau darah Murni mendengarnya. Tidak cukup dengan emaknya, anaknya juga turut mendera perasaanku. Murni membersihkan diri dan bersolat. Kemudian, dia mencapai sepasang baju tidur miliknya. Baju tidur yang harganya hanyalah dua puluh ringgit sahaja. Sehelai baju tidur kain satin pemberian Rania dipandang sepi. Sudah tentu mahal sebab kainnya halus dan lembut sekali.

Untuk apa baju cantik macam ini! Detik hatinya seraya memandangi Rais yang sudah pun terlena di atas tilam bujang. Bencikah kau pada aku kerana terpaksa mengahwini aku? Kau marah kerana terpaksa menjadi pak sanggup? Kau yang buat keputusan itu bukan aku yang paksa! Detik hatinya lagi.

Dipandang pula baju pemberian Rania. Dia sedar kebaikan Rania terhadap dirinya tetapi hatinya tidak terpujuk dek kebaikan itu. Sehingga saat ini, dia masih menganggap Rania punca segala masalah yang dihadapi. Kalau tidak kerana Rania, sudah tentu dia yang menjadi pilihan Ummar Qayyum dan barangkali sekarang sudah pun berkahwin dengan lelaki itu kalau tidak kerana munculnya Rania.

Dengkur halus Rais kedengaran memecah sunyi. Murni meraba-raba perutnya.
Macam-macam yang ada di fikirannya tapi seketika dinyahkan semua persoalan yang hinggap. Buat apa aku fikir, tahulah mereka apa yang hendak dibuat, putusnya sendiri. Dia membuka pintu bilik. Di bawah suara bising-bising sudah makin sepi. Diintai dari sisi tangga. Yang ada cuma Ridhwan seorang. Dia masuk semula ke bilik. Walaupun penat, tapi dia tidak mampu tidur sungguhpun sejak tadi mulutnya menguap.

Kamar indah yang begitu sejuk dengan alat penyaman udara bertambah sejuk apabila sepi melanda. Bersama sunyi malam, hati Murni turut dicengkam sunyi.
Direbahkan tubuhnya di atas katil. Dia tetap terkenangkan Ummar Qayyum.
Saat-saat indah bersama Ummar Qayyum di kampung tetap segar dalam ingatannya.
Alangkah indahnya saat itu tatkala mereka bertiga riang bersama. Dia, Ummar Qayyum dan Nenek Ninda. Sesekali Ummar Qayyum pulang ke kampung bersama Ashraf Daniel. Semakin gamat dan meriah suasana itu. Kenapa detik-detik indah itu tidak bertahan lama? Kenapa?

Ah! Kalau tidak kerana Rania, cantik sungguh perjalanan hidupku. Nenek Ninda sudah merancangkan pernikahan aku dengan Abang Qayyum bila tiba-tiba Rania muncul. Punah dan hancur harapanku! Setitis air mata Murni jatuh menimpa pipinya. Di atas katil besar, dia berkalih tubuh. Matanya kini menghadap tubuh Rais yang lengkap berselimut. Wajah Rais bersih. Tidurnya lena benar.

Kalau Rais dapat menerimaku dengan sepenuh jiwa raganya, mampukah aku melupakan Ummar Qayyum? Hatinya berdetik demikian. Dapatkah Rais menerimaku?
Dia bersoal jawab sendiri. Sekali lagi dirabanya perut. Dia bangkit dari katil dan mengadap Rais. Di celah-celah cahaya lampu meja, dia perhatikan wajah Rais.

Buat apa kau kahwin dengan aku kalau begini layanan kau? Murni dihanyutkan oleh sehiris perasaan yang pelik. Kerana tidak dapat tidur, dia melayari Internet. Dia membaca komen-komen di Facebooknya. Dapat dikesan, Rania juga masih belum tidur. Masih aktif berinternet.

Sedang memadu kasih di laman maya bersama Qayyumkah perempuan itu? Berlagak baik. Aku benci! Marah benar Murni. Perutnya diraba lagi. Teringat pula perlakuan Ummar Qayyum di kampung dulu. Begitu dia melayanku bila perempuan itu ada bersama? Kutebalkan muka ikut kau balik ke kampung dengan harapan masih ada sisa-sisa harapan untukku tapi ternyata kau benar-benar sudah berubah ya Qayyum. Dia tidak pernah lupa bagaimana Ummar Qayyum merentap tangannya sewaktu
tangan Ummar Qayyum digenggam.

Tak mengapa, ini hari kau! Murni ketap bibirnya. Dia marah tiba-tiba. Sakit hatinya bila mengenang hubungan cinta yang terjalin antara Ummar Qayyum dengan Rania. Dia tutup laptop dan masuk selimut. Dalam susah payah untuk melelapkan mata, di tertidur juga tapi terkejut apabila dibangunkan oleh Rais. Matanya sangat mengantuk. Dia terpinga-pinga.

“Solat Subuh!” arah Rais.

Sungguhpun mengantuk, Murni bangkit dan solat sendiri. Rais yang sudah selesai solat subuh, sambung tidurnya balik. Sekali lagi Murni dibiarkan sendiri.
Matanya mengantuk tetapi dia takut hendak menyambung tidur bimbang tidak terbangun. Apa pula pandangan ahli keluarga Rais kalau aku terlewat bangun? Dia keluar kamar jam 8 pagi. Di tingkat bawah, beberapa orang pekerja wanita sedang asyik berkemas. Barangkali pekerja tambahan yang diupah tuan rumah. Sewaktu dia terkial-kial di ruang tamu, Rania yang sudah siap mandi dan kemas berpakaian menegurnya.

“Dah bangun dah?”

Murni angguk.

“Jom kita sarapan sama-sama.”

Makcik Rohaya sibuk di dapur. Rania mengintai menu sarapan pagi. Nasi lemak dengan sambal bilis di pagi hari memang menyelerakan. Makcik Rohaya ramah melayan Rania. Langsung tidak ditegur Murni yang duduk di sebelah Rania.

“Abang Rais belum bangun Ren?” Soalan itu Makcik Rohaya tanyakan pada Rania.

“Belum bangun Abang Rais?” Rania tanyakan pula pada Murni.

“Lepas subuh dia tidur balik,” sahut Murni.

Sekeliling dapur dipandang Murni. Bersih dan kemas. Dia tidak pasti siapa yang mengemaskan dapur. Sama ada Makcik Rohaya ataupun pekerja-pekerja upahan.

“Mama belum bangun mak cik?”

“Ada, kat belakang. Tengah belek pokok-pokok bunga ros dia.”

“Mama dah makan?”

“Belum. Pergilah ajak mama makan sekali,” arah Makcik Rohaya.

Rania menuju ke arah taman di belakang. Dari pintu dapur, dia melihat ibunya asyik dengan pokok-pokok bunga rosnya.

“Jom sarapan sama-sama mama,” ajak Rania.

“Ren dah bangun?”

“Dah, ramai ramai kat rumah ni, buat apa tidur. Baik join, sarapan sama-sama,” ujar Rania.

“Kak Rindu belum bangun lagi.”

“Murni ada tu. Jom,” beritahu Rania.

“Rais?”

“Tidur.”

Rania masuk beriringan dengan ibunya. Murni senyum pada Puan Sri Zalia tapi tidak diendahkan. Makcik Rohaya menyendukkan nasi lemak ke pinggan. Dituangkan minuman pada Puan Sri Zalia dan Rania tetapi Murni dibiarkan menuang air sendiri.

“Makanlah Murni,” pelawa Rania apabila melihat Murni teragak-agak.

Puan Sri Zalia sibuk bercerita berbagai-bagai dengan Makcik Rohaya. Kisah Ridhwan yang berkenankan Ros Ilyani turut menjadi bahan bualan mereka. Sesekali Murni perasan mereka berdua menyindirnya tapi ditahankan sahaja telinganya.
Masuk kisah Ummar Qayyum dengan Rania, Murni rasa panas punggung. Sesenduk nasi lemak di pinggan terasa payah untuk dihabiskan.

“Cantik sangatlah Ren dengan Qayyum nanti, mak cik tak sabar nak tunggu detik-detik bersejarah tu.”

“Saya nak buat meriah tapi awal awal Ren dah marah. Dia nak ringkas ringkas saja. Nak buat kat rumah,” adu Puan Sri Zalia pada Makcik Rohaya.

“Hiss, mana boleh ringkas-ringkas. Majlis Rais bolehlah ringkas tapi Ren punya kena meriah tau, kena buat kat hotel tau!” Makcik Rohaya mencelah.

“Abang punya pun tak ringkas juga. Dah masuk mama, mana boleh jadi simple walaupun buat kat rumah,” sindir Rania selamba.

“Perkahwinan berlaku sekali sahaja Ren. Apa salahnya kalau buat meriah sikit.
Mama dah carikan hotel lima bintang untuk kahwin Ren nanti,” nasihat Puan Sri Zalia.

“Mama meriah tak semestinya mewah kan?”

“Ren, satu-satunya anak mama yang belum bernikah, mestilah mama nak buat betul-betul...”

“Mama ni, tak payahlah nak kecoh-kecoh. Tenang mama, lagipun baru semalam majlis Abang Rais berlangsung, mama tak penat ke?”

“Abang Rais punya lain.” Panjang bunyi suara Puan Sri Zalia bila disebut ‘lain’. Kemudian dia menjeling pada Murni yang nampak tidak selesa bersama mereka.

“Itu perkahwinan kedua abang. Ren punya yang pertama tau.”

“Betul kata mama tu Ren, apa salahnya kalau buat besar-besaran,” Makcik Rohaya menambah nasi lemak dalam mangkuk tambah.

“Makcik Ninda dah pesan, sambut menantu dia nak buat kat kampung. Jadi kita buatlah kat hotel.”

Rania mendengus. Dia malas hendak bertekak dengan ibunya. Murni yang sejak tadi menjadi pendengar setia tak berani menyampuk pun. Dia sedar siapa dirinya.
Tak masuk senarai untuk membincangkan urusan keluarga itu. Tapi dia berasa hiba setiap kali mendengar nama Ummar Qayyum. Sesuap nasi lemak di pinggan digagahi makan. Selesai, dia bangkit dan membawa pinggan ke sinki di dapur belakang.

“Yang untung orang tu, tak pasal pasal masuk dan duduk dalam dulang emas.”
Jelingan Makcik Rohaya penuh makna. Hatinya panas sahaja setiap kali melihat muka Murni.

Rania menoleh dan merenung Makcik Rohaya. Dia tidak berkenan dengan cara Makcik Rohaya melayan Murni.

“Mak cik, Murni dah jadi sebahagian daripada keluarga kita,” ucap Rania berlapik dan perlahan takut didengari Murni.

“Mak cik tahu Ren tapi mak cik dapat rasa hatinya tak baik. Mak cik dapat rasa dia ada niat serong. Telunjuk lurus kelingking berkait.” Muka Makcik Rohaya selamba.

Puan Sri Zalia diam cuma. Kisah Murni sudah tidak masuk dalam agendanya kini.
Dia lebih memikirkan tentang perkahwinan Rania dengan Ummar Qayyum.

Bunyi benda jatuh di ruangan dapur basah diiringi jeritan Murni mengejutkan mereka bertiga. Rania bergegas ke belakang. Di lantai dapur, tubuh Murni tergolek.

Tuesday, September 11, 2012

Novel Bersiri (Siri 10) - Cikgu Rania 2: Aku di teratak hatimu!

Oleh Samsiah Mohd Nor
     
UMMAR Qayyum benar-benar tergamam dengan tindakan Murni. Direntap tangan Murni. Sakit hatinya. Segera dia beredar dan duduk di ruang tamu. Wajahnya masam mencuka.
“Kurang ajar!” rungutnya. Dada anak muda itu naik turun.

“Lepas makan kita balik ya Ren,” ujarnya semasa mereka makan tengah hari di meja makan.

Nenek Ninda bersama Rania berpandangan. Pelik dengan permintaan Ummar Qayyum. Murni masih di dalam bilik.

“Tadi kata nak balik petang-petang sikit,” ungkit Nenek Ninda.

“Itulah. Murni pun tak berapa sihat. Tunggu petang sikit boleh?” Memikirkan situasi Murni, Rania mengemukakan usul itu.

“Kita balik berdua. Biar saja dia di sini. Emak lama kat sini kan?” tanya Ummar Qayyum pada ibunya pula.

“Mak ingat nak duduk dalam seminggu lagi. Dah pesan pada Bakhtiar.”

“Boleh mak tengokkan Murni?” tanya Ummar Qayyum selamba.

Rania kebingungan. Apa halnya dengan Ummar Qayyum? Mendadak sahaja dia buat keputusan. Atau dia sudah pun berbincang dengan Murni? Rania bersoal jawab sendirian.

“Boleh. Mak tak kisah. Murni nak duduk di sini ke? Kamu dah bincang dengan dia?” tanya Nenek Ninda balik.

“Biar saja dia duduk di sini. Di kampung udara segar, cepat sihat nanti. Kebetulan saya ada hal. Kena balik cepat.”

Alasan yang diberikan Ummar Qayyum mengejutkan Rania. Tadi dia elok saja tapi sekarang nampak macam ada sesuatu yang mengganggu Ummar Qayyum.

“Murni nak ikut balik.” Tiba-tiba Murni muncul. Dia berdiri tercegat tidak jauh dari meja makan. Wajahnya agak pucat. Dia sudah siap bertudung. Suapan Ummar Qayyum terhenti. Melihat Murni menghampiri meja makan, Ummar Qayyum bangun padahal nasi di pinggan masih berbaki. Dia terus ke sinki dan membasuh tangan.

Nenek Ninda yang prihatin dengan kesihatan Murni sibuk bercakap-cakap dengannya. Rania capai pinggan nasi Ummar Qayyum dan membawanya ke sinki. Dia
perasan perubahan sikap Ummar Qayyum. Keputusan Ummar Qayyum untuk tinggalkan Murni di kampung tinggal keputusan sahaja. Murni terlebih dahulu masuk ke perut kereta apabila melihat Ummar Qayyum bersalam-salaman dengan Nenek Ninda. Dia tetap berkeras mahu ikut pulang. Rania kebingungan. Apa sudah jadi? Detiknya
sendiri.

Sepanjang separuh perjalanan pulang, Ummar Qayyum diam sahaja. Soalan yang ditanyakan Murni langsung tidak dijawab oleh Ummar Qayyum. Dia menyampah dengan perempuan itu. Tetapi dengan Rania lain pula layanan Ummar Qayyum. Mesra sekali malah sempat pula bermain mata dengannya. Qayyum marahkan Murni ke? Barangkali ada sesuatu yang aku terlepas pandang? Terfikir Rania.

Sewaktu dia menoleh ke belakang, wajah Murni masam. Perjalanan seterusnya, hanya suara di radio yang menemani mereka. Sampai di rumah lain pula yang menanti Rania. Sebaik sahaja ternampak kelibat Rania, terus diterkam Puan Sri Zalia. Sempat pula dia berbasi-basi dengan Ummar Qayyum dan menyuruhnya duduk di ruang tamu. Menyedari dirinya umpama melukut di tepi gantang, Murni terus membawa diri naik ke tingkat atas. Tangan Rania dipimpin oleh ibu masuk ke bilik.

“Kenapa mama?” tanya Rania sebaik sahaja tubuhnya disorong ibu lalu didudukkan di birai katil.

“Tahu tak? Abang Rais nak kahwin dengan Murni,” ujar Puan Sri Zalia.

“Jadi juga?” Rania melepaskan lelah. Terkejut sebenarnya tetapi dikawal perasaan hati. Berkarung-karung Puan Sri Zalia membebel tapi satu pun tidak masuk di kepala Rania. Buntu untuk memikirkan semua perkara yang datang serentak.

“Ma, Qayyum kat luar seorang. Kasihan dia,” Rania menghentikan penceritaan ibu tentang Rais.

“Hmm pergilah Ren layan Qayyum sekejap. Mama sesak nafas sejak tadi. Eloklah mama berehat sekejap. Panggilkan Makcik Rohaya!” arah Puan Sri Zalia.

“Mama tak nak jumpa Qayyum?” tanya Rania.

“Kirim salam pada Qayyum. Mama pening!” sahutnya yang sudah pun berbaring. Lengan kanannya tersadai di atas dahi dengan kedua-dua mata tertutup.

Selepas memanggil Makcik Rohaya, Rania menghala ke ruang tamu utama. Ummar Qayyum sedang menghirup kopi panas. Rania duduk di sisinya. Diceritakan pada lelaki itu sepintas lalu tentang berita Rais yang baru didengar daripada ibunya. Keluhan Ummar Qayyum kedengaran.

“Kalau Rais perlu kahwin dulu, biarlah. Mungkin itu yang paling balik. Tapi, bila I balik sekali lagi, I harap rancangan kita tak tertangguh lagi ya!” pujuk Ummar Qayyum.

Rania tersenyum. Lapang dadanya kerana Ummar Qayyum banyak tolak ansur. Apabila ditanyakan Rania tentang ‘mood’nya yang tiba-tiba berubah semasa di kampung sebentar tadi, Ummar Qayyum diam sejenak. Dia menghela nafas seraya berfikir. Perlukah dia maklumkan kepada Rania tentang perlakuan tidak senonoh Murni tadi? Ah! Banyak sangat buruk dibandingkan baiknya kalau berita itu sampai kepada Rania. Apa fikiran Rania terhadap Murni? Kalau berita buruk itu disampaikan pula pada Puan Sri Zalia, pasti melenting wanita itu. Mesti akan ditentang habis-habisan hasrat Rais untuk menikahi Murni. Silap haribulan, Murni akan dihalau keluar dari rumah. Ke mana Murni hendak pergi? Dia sudah jatuh, ditimpa tangga pula! Aduhh! Kenangkan hal itu Ummar Qayyum noktahkan keputusan. Biarlah apa yang berlaku jadi rahsia. Biarlah! Detik hatinya meskipun dia sangat membenci akan tindakan dan perlakuan tidak bermoral Murni itu.

“You ni kenapa? Sejak tadi pelik perangai you. Orang tanya tak jawab pula tu,” rungut Rania.

“Tak adalah,” sahut Ummar Qayyum.

Sebelum pulang, banyak yang dipesan pada Rania. Ketara, berat hatinya hendak meninggalkan Rania. Berat lagi rasa hatinya tatkala mahu bertolak pulang ke Sweden. Beberapa kali dia berpesan dan merenung wajah Rania sewaktu mahu menuruni tangga bergerak di pintu imigresen. Rania berdoa dalam hati semoga Ummar Qayyum sentiasa dilindungi Allah walau di mana sahaja dia berada. Namun, dia bersyukur kerana kali ini perginya Ummar Qayyum dihantar mereka sekeluarga di KLIA tidak seperti sebelum ini. Ummar Qayyum pergi berteman rajuk.

Kerana sedih, sepanjang perjalanan pulang, Rania mendiamkan diri. Sungguhpun dia tidak berminat berbual tapi setiap perbualan antara ayah dengan ibu masuk pula ke telinganya. Perbualan mereka kali ini banyak berkisar tentang pernikahan Rais-Murni. Tan Sri Razlan mahu majlis pernikahan itu diadakan secara ringkas atas alasan perkahwinan tersebut merupakan perkahwinan kedua Rais.

Sebulan selepas keberangkatan Ummar Qayyum, majlis pernikahan ringkas antara Rais dengan Murni dilangsungkan. Ridwan dan Kak Rindu sekeluarga turut pulang memeriahkan majlis tersebut. Riuh rendah rumah Tan Sri Razlan bila semuanya berkumpul. Halim bersama Ros Ilyani tidak ketinggalan meraikan pengantin yang sedondon berbaju songket warna merah darah. Walaupun agak terkejut, Ros Ilyani reda menerima berita pernikahan kali kedua Rais. Perkahwinan antara Rais dengan Haryati dulu masih segar dalam ingatan Ros Ilyani, kini sekali lagi Rais bernikah.

“Tahniah! Semoga bahagia dan hendaknya berkekalan,” Ros Ilyani tidak lupa mendoakan kedua-dua pengantin. Rais sekadar tersenyum hambar. Murni menyambut salam Ros Ilyani tetapi mukanya ditundukkan sedikit. Wajahnya tidak ceria.

“Jangan buat muka ketat macam tu kalau orang ucap tahniah,” Puan Sri Zalia beramaran pada Murni.

Murni yang takut-takut menganggukkan kepalanya.

“Kalau orang salam, senyum...,” ajar Puan Sri Zalia lagi. Dia terpaksa bermanis muka setiap kali tetamu menyalaminya. Dalam hati hanya Tuhan yang tahu betapa bosannya dia kerana perlu berlakon. Rais juga nampak tidak selesa.

Siapa suruh kau gatal-gatal nak bernikah dengan kelapa yang dah ditebuk tupai tu? Kata Puan Sri Zalia dalam hati. Dah macam tak ada orang lain padahal apa kurangnya Ros Ilyani tu? Bencinya pada Murni meluap-luap. Rasa belas pada Ros Ilyani makin ketara tatkala dilihat muka Ros Ilyani kelat-kelat bahasa semasa memandang pasangan pengantin. Ini semua laki aku punya pasallah! Kalau dia bertegas sikit, tak akan bernikahnya Rais dengan si Murni itu! Rungutnya lagi.
“Ingat you yang naik pelamin,” usik Halim pada Rania. Sejak datang, dia menemani kakaknya Ros Ilyani.

“Insya-Allah. You doakanlah ya,” sampuk Rania pula.

“I lah yang rugi.”

“You mana pernah rugi Lim. You untung memanjang,” usik Rania sengaja untuk tidak melayan perasaan Halim. Bukan dia tidak faham apa yang cuba disampaikan oleh Halim.

“Senasib I dengan Kak Ros rupanya!”

Rintihan Halim membuatkan Rania serba salah. Teratak hatinya sekarang sudah bulat untuk Ummar Qayyum sahaja. Tiada orang lain lagi. Dia sangat berharap agar Halim reda menerimanya tapi dapatkah Halim berbuat demikian?

“I ingat peluang I masih terbuka Ren,” bisiknya di kala Ros Ilyani sedang berbual dengan Puan Sri Zalia dan Nenek Ninda. Sekejap sahaja Puan Sri Zalia bersama mereka kerana dia terpaksa melayan tetamu yang hadir.

Rania tidak mampu berkata-kata apatah lagi melihat wajah Halim. Dia masih ingat raut wajah Halim semasa dia bersama Ummar Qayyum bertandang ke rumahnya di Janda Baik dulu. Muka lelaki patah hati!

“Tak sangka Ummar Qayyum datang balik,” ucap Halim lama kemudian.

“I pula ingat you lepaskan I sebab nak satukan I dengan Ummar Qayyum balik.” Sengaja Rania cakap lepas.

“Memanglah itu niat I mulanya Ren tapi ternyata I tak mampu membohongi hati sendiri.” Pengakuan Halim menyenakkan dada Rania.

“Halim, kita masih berkawan sampai bila-bila kan?” pujuk Rania lembut.

“I harap begitulah! Sepatutnya I sedar dari dulu bahawa I dengan you memang tak boleh terbang bersama-sama Ren tapi entahlah, hati ni yang tak hendak faham,” rintih Halim lagi.

Rania malas hendak memanjang-manjangkan kisah. Bila sahaja Kak Rindu memanggilnya, segera sahaja dia meminta diri daripada Halim. Halim putih mata melihat kelibat Rania masuk ke dalam rumah. Kerana tiada sesiapa yang hendak dilayan bercakap, dia mendekati Ros Ilyani.

“Tak nak balik lagi?” tanyanya kepada si kakak.

“Kenapa?”

“Jomlah balik.”

“Sekarang?” tanya Ros Ilyani.

“Yalah...”

“Kejaplah, Kak Ros nak jumpa Ren,” sampuk Ros Ilyani dan pergi mencari Rania.

Tinggal Halim seorang. Dia memerhatikan gelagat manusia yang bermacam-macam di rumah Tan Sri Razlan. Melihat wajah Murni yang pucat itu, Halim jadi pelik. Jauh cantik Rania yang sudah berpeluh-peluh mukanya melayan para tetamu kalau hendak dibandingkan dengan Murni yang sudah lengkap bersolek.

Ah! Hati, terima takdir yang sudah tersurat, bisiknya sendiri. Ros Ilyani datang bersama Rania. Mereka berbicara seketika sebelum Halim bersama Ros Ilyani minta diri untuk pulang. Ros Ilyani dipeluk Rania.

“Nanti kita jumpa lagi ya Kak Ros,” bisik Rania dan tidak lupa memberikan bunga telur kepada kakak angkat kesayangannya itu. Sesudah itu dia menghampiri ibu dengan Nenek Ninda dengan dua gelas minuman.

“Mama dengan mak cik dah makan belum?” tanya Rania.

“Kejap kejap lagi Ren,” sampuk Nenek Ninda. “Mak cik pun bukannya nak balik dah,” katanya lagi.

“Mama?”

“Mama tunggu dulu, tak boleh nak makan lagi,” kata Puan Sri Zalia. “Ren dah makan?”

“Kejap lagi ma, nak makan lauk pengantin,” Rania berisyarat sambil menjeling pada pasangan pengantin yang sedang makan beradab.

“Jangan lambat lambat nanti masuk angin,” pesan ibunya. Rania angguk dan kembali sibuk memantau perjalanan majlis tersebut. Walaupun majlis itu sudah dipertanggungjawabkan sepenuhnya pada pihak tertentu tapi Rania suka melakukan kerja-kerja sedemikian.

“Masih tak sihat si Murni tu.” Nenek Ninda yang prihatin berbisik pada Puan Sri Zalia sewaktu tetamu mulai berkurangan. Sungguhpun agak terkejut dengan berita pernikahan Murni dan Rais tapi Nenek Ninda begitu gembira.

“Mana nak sihatnya, err...” Puan Sri Zalia mendengus. Ikutkan sakit hatinya mahu sahaja dia membocorkan rahsia sebenar Murni tetapi apabila terkenangkan kata-kata Rania dia membatalkan niat.

Tak baik mengaibkan orang mama. Kalau kita tutup aib orang, Allah akan tutup aib kita. Pesanan Rania bergema tiba-tiba.

“Kenapa?” tanya Nenek Ninda tatkala dilihat Puan Sri Zalia serba salah.

“Kebelakangan ni dia selalu tak sihat.”

“Sakit apa?”

“Penat kot.”

“Kan Murni dah tak kerja.”

“Budak-budak sekarang kak, lembik! Tak macam kita dulu.”

“Hah, yalah, tapi masa dia duduk dengan kakak di kampung dulu dia cergas saja.”

Puan Sri Zalia mati kutu hendak menjawab.

“Tapi masa datang sebulan lepas dengan Ren dan Qayyum dia tak sihat juga,” Nenek Ninda imbas kembali kedatangan mereka bertiga tempoh waktu.

Puan Sri Zalia diam lagi.

“Kenapa tak dilangsungkan serentak saja perkahwinan Rais dengan Murni, Zalia?” tanya Nenek Ninda kemudianya. “Ren dengan Qayyum yang datang berbincang hari tu, alih-alih yang bernikah si Rais dengan Murni pula!” Nenek Ninda yang tidak tahu apa-apa tergelak kecil.

“Biarlah mereka berdua dulu. Lagipun Rais hendak majlis ringkas. Inikan kali kedua dia berkahwin.”

“Ya tak ya juga. Murni pun anak yatim piatu. Nak berlebih-lebih kasihankan pula abangnya.”

“Abangnya dah serahkan pada kami untuk uruskan. Jadi, pandai-pandai kamilah kak,” ujar Puan Sri Zalia.

“Baguslah kalau begitu. Senang hati kakak. Tak adalah Murni terumbang-ambing sendirian di Kuala Lumpur ni. Kakak pun dah duduk di rumah Bakhtiar semenjak Qayyum tak ada kat sini. Kasihan juga Murni,” Nenek Ninda menyampaikan apa yang terkandung di hati.

Sesungguhnya dia berasa sangat bersyukur mendengar berita pernikahan Rais-Murni. Rania datang menyaingi mereka. Mukanya berpeluh-peluh.

“Anak-anak Kak Rindu mana Ren?” tanya Puan Sri Zalia. Sibuk dengan tetamu, terlepas pandang pula pada cucu-cucu yang sesekali pulang ke Malaysia.

“Kakak tengah tidurkan lepas bagi mereka makan.”

“Abang Is dengan Abang Ridwan?”

“Ada kat dalam. Tengah tersadai kepenatan depan TV,” sahut Rania.

Melihat suaminya menggamit tangan, Puan Sri Zalia minta diri dan bergegas menuju ke arah suaminya. Rania berbual pula dengan Nenek Ninda. Beberapa soalan daripada Nenek Ninda terpaksa dijawab bertapis. Ada ketikanya dia terpaksa berbohong apabila Nenek Ninda bertanyakan tentang hubungan Rais dengan Murni.

“Tak pernah pula mak cik tahu mereka berkawan. Masa Murni balik kampung dengan Ren dan Qayyum hari tu Rais tak ikut sekali?”

“Alah mak cik, Abang Rais tu bukan suka kecoh-kecoh, inikan kali kedua dia kahwin.”

“Murni pun langsung tak bercerita masa balik hari tu.”

“Dia kan tak berapa sihat sejak hari tu.”

Nenek Ninda minta diri apabila Bakhtiar sekeluarga sudah bersalam-salaman dengan tuan rumah. Sebelum pergi Nenek Ninda peluk erat tubuh Murni. Pipi Murni dicium kiri kanan.

“Jaga diri baik-baik. Sekarang dah jadi isteri orang,” pesan Nenek Ninda. Murni menangis mendengarnya. Hiba hatinya dipesan begitu. Sewaktu abangnya sekeluarga bertemunya sebelum balik, dia biasa-biasa sahaja. Wajah kakak iparnya tidak dipandang pun. Tingkah lakunya disedari pula oleh Puan Sri Zalia.

“Apa pasal pelik saja perangai si Murni tu? Mama tengok semacam saja dia dengan kakak iparnya,” risik Puan Sri Zalia.

“Dia penatlah mama, seharian melayan tetamu.”

“Apa pula dia? Kita yang penat. Dia bergambar-gambar saja.”

“Mama dah makan belum?” tanya Rania sengaja mengubah topik perbualan.

“Belum. Mana ada selera nak makan dah kelam-kabut begini.”

“Mama pergi makan dulu ya,” ujar Rania. Tetamu sudah pulang semuanya. Yang tinggal hanya saudara-mara terdekat sahaja. Rania mengambil kesempatan menghantar gambar-gambar perkahwinan Rais-Murni kepada Ummar Qayyum. Sekejap sahaja dia mendapat balasan mesej pesanan ringkas daripada Ummar Qayyum.

“How I wish I ada kat sana. Bukan nak tengok pasangan mempelai tapi nak jumpa bakal pengantin I.”

Rania senyum sendirian membacanya. Dia lalu membalas mesej pesanan Ummar Qayyum.

“Giliran kita pun tak lama lagi. Looking forward to see you Qayyum tapi tadi I dengar mama borak dengan emak you. Mungkin tak sempat buat hujung tahun,”
“Pulak!.

“Mungkin bulan Febuari tahun depan.”

“Alahai...”

“Tak ada beza pun,” balas Rania.

Seketika kemudian Ummar Qayyum menghubunginya melalui telefon. “Susahlah nak hantar mesej panjang-panjang. Penat jari. Call lagi senang,” ujarnya seusai salam diucap.

“You memang jenis tak sabar,” usik Rania.

“Siapa kata?” Kalau I tak sabar, tak dapatlah I berangan nak kahwin dengan you Ren.”

“Kenapa cakap macam tu?”

“Hanya orang yang sabar saja yang boleh dapat you,” usik Ummar Qayyum disambut gelak kecil Rania.

“Tahu tak apa.”

“You dah baca kiriman mesej untuk you kat FB Ren?” tanya Ummar Qayyum kemudiannya.

“Dah lama tak online, tak sempat. Kenapa?”

“Siapa FF tu? Peminat? Semacam saja dia tulis.”

“Entah, tak kenal, tapi selalulah dia hantar.”

“Tapi dia selalu hantar mesej ayat bunga-bunga kat you.”

“Ha’a!”

“I nak suruh dia berhenti hantar ayat bunga-bunga macam tu,” ujar Ummar Qayyum.

“Eh, biarlah,” sanggah Rania.

“I tak suka Ren.”

“Bagus apa ayat-ayat dia tu, mencambahkan minda kreatif I.”

“Ren, I nak suruh dia berhenti meng’ayat’ tunangan I,” ujar Ummar Qayyum. Rania tergelak kecil.

“I nak beritahu dia, I sudah berada di teratak hati you,” sambung Ummar Qayyum lagi.

“Wah, you pun dah pandai meng’ayat’ I,” usik Rania seraya matikan topik perbincangan tersebut. Malam itu, sewaktu sanak-saudara berkumpul sambil membuka hadiah perkahwinan Rais dan Murni, Rania membuka akaun Facebooknya. Terus dibaca kiriman mesej daripada FF:

“Ren, di manakah kembang hatimu mekar kini? Di langit biru memutih awan atau di laut syahdu berteman bayu. Izinkan aku mengintai teratak hatimu.”

Wahh, indahnya madah yang tertulis, patutlah Qayyum dah cemburu dan dah pandai guna ayat teratak teratak, getus Rania dalam hati. Ingin sahaja dia tertawa kalau tidak kerana di sekelilingnya penuh sanak-saudara. Ah biar saja Qayyum cemburu. Aku suka dia cemburu, detik hati kecilnya lagi.

Wednesday, September 5, 2012

Berbuku di Hati

dah lama koi tak menulis kat dalam blog koi ni..ada takde pun takat copy -paste novel Cikgu Rania dari Metro Oline jer...sibuk yang teramat sangat!.Apa taknya..dah kena gegar untuk siapkan projek sekolah agama dan futsal ni...futsal ada masa lagi 2 minggu. Sekolah agama pulak ada masa lagi 1 bulan. Memang susah hati jugak la nak aturkan semua kerja dan barang2 kat site. Ditambah dengan hai yg merusuh ini...rasa macam dah tak tertanggung lagi dah beban ni..

Koi rasa macam dah kurang gembira bekerja di sini apabila melihat kejadian kejadian di sekeliling...yg begitu..yg begini...fitnah berserakan...caci maki berterbangan...umpat nista..hasutan...dah seakan menjadi halwa telinga pulak. Aidunlaikit!!

Koi rindukan suasana yang dulu-dulu tu...tapi kita takkan senantiasa dapat apa yang kita impikan dalam hidup kita. Satu demi satu dugaan yang datang untuk mereka dan koi sebagai pemerhati hanya mampu melihat. Apapun koi harap...walaupun keadaan tidak akan jadi seperti sediakala...asalkan tidak terputus silaturrahim itu...memadailah.

Okeh..lupakan episod duka nestapa. Koi kena berhempas pulas lepas ni...Cuma kadang tu terasa sangat penatnya sampai letak kepala sedar sedar dah pagi. Mana tak penat...koi buat sebutharga..koi carik harga barang..koi riki barang kat hardware...koi nak cari subcon..koi nak buat bajet...koi nak buat paperwork...semuanya koi. Macam nak mintak kakitangan extra...hahah dah macam tuhan kaplamyenge la pulak nnt kalau ada byk tangan. Maksud koi sebenarnya nak minta extra staff la yg boleh buat kerja purchasing tanpa arahan sepenuhnya.

Koi rasa susah hati sgt ni...site tu nak kena siap premix dalam masa kurang 1 bulan ni...mau tak rusuh. banyak lagi nak kena buat tu..kerja pagar...repair longkang...parking kereta guru, parking basikal murid, tempat menunggu, laluan berbumbung, banyak lagi yang nak dibuat ni...dah seminggu budak2 kat site minta barang koi asik lupa je. bila budak2 order koi tulis kat buku..esoknya buku tu koi tak sempat nak bukak pun sebab esoknya sibuk dgn site futsal pulak. Okay, esok pagi2 nak kena order pintu untuk Pump Room, Suction Tank, Batu aggeregate, batu angin, simen lagi 50 beg, tiletrim, pagar chain link. Okeh sesapa yg terbaca sebelum kul 12 tengahhari 5hb sept 2012, tolong ingatkan saya di talian 0197793897 untuk order barang2 ni semua.

Meeting dgn main contractor last week memang menyakitkan hati. tapi apa nak buaat, dah kita amik sub dengan dorang, terpaksalah tterima hakikat yang kita ni pecacai. tukang angkat najis diorang. Kalaulah kome dapat siapkan sekolah seperti yg dorang nak...tapi bila dtang bab payment dorang nak main tarik tali pusat...koi nak bakor sekolah tu...mula mula koi nak telepon boboiboi halilintar...koi nak suruh dia bakor sekolah tu pakai keris petir dia...pastu suruh pulak boboiboi taufan tiup semua abu abu dan habuk2 hasil pembakaran tu. hahahaha....lepas tu..koi nak panggil Raksasa tidur...koi nak suruh dia masukkan staf staf main cont yg kerek kerek tu dalam buih buih mimpi,....agak agak kerek dia tak hilang...koi nak panggil gopal pulak...nak suruh gopal jadikan staf yg kerek tapi tak tahu apa apa tu jadik kuih koci mak timah... hahahahahaha...lepastu..tapak sekolah tu akan aku dirikan sebuah kapal angkasa adudu siap dgn kokotiam Tok Abah.
#kuat juga pengaruh katun kepada mak bapak rupanya..


ni kena cadangkan bos buat solat Hajat berjemaah ni...Mudah mudahan Allah lapangkan jalan untuk kami siapkan projek ni..Insyaaallah..

Tuesday, September 4, 2012

Cikgu Rania 2 (Siri 9): Cincin berlian tersarung sudah!

Oleh Samsiah Mohd Nor
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
“TAKKAN Rais nak dikahwinkan dengan Murni? Tak masuk akal langsung,” bentak Puan Sri Zalia.
Mukanya berkerut. Dia memicit-micit kepalanya.

“Apa yang tak masuk akalnya?” soal Tan Sri Razlan balik. Suaranya tenang. Berbeza benar dengan nada suara Puan Sri Zalia.

“Memang tak masuk akal pun! Nak dinikahkan Rais dengan Murni!” Suara Puan Sri Zalia kian meninggi. Jelingannya pula makin panjang. Murni yang duduk di penjuru tangga tingkat tersentak mendengar suara nyaring Puan Sri Zalia. Dia yang mencuri-curi dengar perbualan suami isteri itu kecut perut dibuatnya.

“Tak ada kena mengena Rais dengan si Murni. Kenapa pula Rais yang kena kahwin?” Puan Sri Zalia memang tak puas hati.

“Awak tak dengar apa kata Rais?”

“Saya dengar. Tapi kita kan emak bapak dia. Kita boleh halang.”

Tan Sri Razlan merenung tajam ke arah muka isterinya. Dia tidak suka isterinya terlalu mengongkong kehidupan anak-anak. Melihat renungan suaminya, Puan Sri yang sedang berdiri duduk mendadak. Dia diam sejenak. Makcik Rohaya yang sedang mengutip piring dan cawan bekas makan petang tidak berani angkat muka. Selesai meletakkan cawan dan piring kotor di atas dulang, dia cepat-cepat berlalu ke dapur.

“Kita ikut keputusan Rais.” Suara tegas Tan Sri Razlan mendominasi suasana sepi di banglo tersebut. Kali ini Puan Sri Zalia diam tidak berkutik. Dalam hati, hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa menggelegaknya jiwa dan raga. Apabila Rais sampai di rumah setengah jam selepas itu, dia terus dipanggil mengadap ayahnya. Rania juga kebetulan baru pulang dari sekolah. Melihat keadaan yang agak tegang, Rania hampiri ibunya. Sempat pula Puan Sri Zalia berbisik padanya tentang peristiwa yang berlaku sebentar tadi. Walaupun agak terkejut, Rania lebih simpati dan belas melihatkan keadaan Rais yang kebingungan.

“Rais tak payah fikirkan apa-apa. Ayah dah selesaikan semua masalah. Rais tak perlu turun naik mahkamah. Qayyum pun dah tolong. Semua dalam kawalan. Cuma sekarang ayah nak tanya pada Rais betul ke Rais nak kahwin dengan Murni seperti yang Rais kata?”

“Kalau itu yang terbaik untuk semua, Rais ikut saja.”

“Siapa kata untuk kebaikan semua? Tak ada! Rais tak payah ikut! Kalau Rais tak hendak kahwin tak ada siapa yang paksa. Bukan Rais yang bertanggungjawab pun,” cepat saja Puan Puan Sri Zalia menyampuk. Rais jadi serba salah mendengar kata-kata ibunya.

“Ayah serahkan pada Rais untuk buat keputusan.” Putus Tan Sri Razlan.

Rais angguk. “Saya hanya nak bantu Murni. Dari awal itu niat saya,” tekan Rais.

“Ayah faham. Ada banyak cara kalau Rais nak bantu dia. Tapi Rais tak perlu kahwin dengan dia kalau Rais tak mahu.”

Rais tekun mendengar.

“Kalau Rais setuju, ayah nak masukkan Murni ke Sekolah Sinar Harapan,” usul sang ayah. Rais terkejut mendengarnya.

“Cadangan ayah yang terbaik Rais. Kita hantar saja Murni ke sana,” Puan Sri Zalia terus bersetuju.

“Berikan Rais sikit masa ayah. Biar Rais fikir bagaimana.”

“Tak payah fikir-fikir Rais. Kau jangan jadi pak sanggup. Kau tak ada kena mengena dengan masalah Murni,” hasut Puan Sri Zalia.

Tan Sri Razlan kurang berkenan dengan cara isterinya. Dia mendengus lagi.

“Ayah bagi masa pada kamu. Tapi jangan lama-lama Rais.” Putus Tan Sri Razlan.
Terbeliak mata Puan Sri Zalia mendengarnya tapi melihat wajah serius sang suami dia tidak berani berbunyi. Sejak hari itu, perasaan marahnya pada Murni makin menjadi-jadi. Setiap kali terlihat kelibat Murni turun ke bawah, dia akan menyindir sesuka hatinya. Puas menyindir dia melarikan diri ke dalam bilik.

Menyampah dia melihat muka budak perempuan yang tidak sedar diuntung itu.
Murni pula tidak berani berlama-lama menunjukkan muka di dapur Selesai makan, segera dia membawa diri ke biliknya. Dia berkurung di kamar dan melayari Internet. Penat berInternet, dia membaca pula bahan bacaan seperti novel dan majalah yang dibeli Rania. Sunggupun berasa selamat di rumah mewah itu tapi hati Murni sedih dan berduka.

“Daripada ayah fikirkan masalah si Murni tu lebih baik dia uruskan hal Ren dengan Qayyum,” bebel Puan Sri Zalia keesokan harinya.

Dia memang tidak berpuas hati dengan keputusan yang dibuat oleh suaminya.
Setiap hari hal Rais dan Murni menjadi topik hangat yang diperkatakan.

“Ada ke patut ayah suruh Abang Rais fikirkan hal itu. Tak masuk akal betul.
Kalau Kak Rindu tahu, mesti dia pun marah,” bebelnya tanpa jemu. Telinga Rania pula seperti kena sumbat mendengar bebelan ibunya yang tidak tahu berhenti.
Bukan dia tidak fikirkan hal dirinya dengan Ummar Qayyum tapi buat sementara waktu ini masalah Rais-Murni lebih meruncing. Belas juga kenangkan nasib Murni.

Di rumah ibunya, Murni seperti burung dalam sangkar. Buat sementara waktu Murni tidak dibenarkan bebas di rumah tersebut. Waktu makan saja dia dibenarkan turun ke dapur. Waktu lain dia dinasihatkan berada di dalam biliknya sahaja. Makcik Rohaya yang dipertanggungjawabkan menjaga Murni semasa Murni berada di rumah tersebut. Sesekali Makcik Rohaya membebel juga.

“Tuah badan budak tu berjumpa keluarga yang baik macam keluarga Ren. Sudah sapu arang ke muka orang, masih dilayan macam tuan puteri,” rungut Makcik Rohaya. Dia memang tidak pernah suka pada Murni. Sejak Murni memfitnah dan menghuruharakan perhubungan antara Rania dengan Qayyum suatu ketika dulu, budak bernama Murni itu tidak pernah ada tempat di hati Makcik Rohaya.

“Hari ini kita tolong dia, nanti lagi banyak Allah tolong kita mak cik,” Rania kurang gemar dengan cara Makcik Rohaya melayan Murni.

“Mak cik tahu tapi mak cik tak boleh nak pujuk hati mak cik supaya suka pada dia,” juih Makcik Rohaya. “Pasal dia, rancangan Qayyum dengan Ren tertangguh lagi. Kata hari tu nak pergi jumpa emak Qayyum kat kampung Qayyum. Jadi tak?”

“Mama suruh pergi juga. Petang esok Ren nak ke Alamanda dengan Qayyum. Tak jadi nak ke KL. “

“Tak kisahlah mana-mana. Yang penting jadik balik kampung Qayyum. Jangan sebab si Murni, tergendalah segala rancangan yang dah Ren atur,” ujar Makcik Rohaya.

Ummar Qayyum tiba di rumah itu seperti yang dijanjikan. Puan Sri Zalia tidak banyak bercakap dibandingkan dengan hari-hari sebelumnya. Namun demikian, sebelum pasangan uda dan dara itu beredar, sempat pula dia berpesan pada Ummar Qayyum supaya mempengaruhi Rais agar tidak bernikah dengan Murni.

Ummar Qayyum tertawa kecil mendengar permintaan wanita itu.

“Mama tengah stres, jangan ambil hati sangat ya,” pesan Rania. Serba salah rasanya apabila mendengar ibu berpesan berbagai-bagai pada Ummar Qayyum.

“I tak risau mama you stres, jangan you stres dah,” ujar Ummar Qayyum dengan wajah cukup ceria. Kereta yang dipandu sudah membelok menuju ke ruangan parkir di pusat beli-belah Alamanda.

“Mama tu bukan apa, terlalu memikirkan tentang Abang Rais.”

“Sekarang ni kita lupakan seketika kisah Rais dan Murni ya! I nak kita fikirkan tentang kita okey,” kata Ummar Qayyum sewaktu beriringan dengan Rania menuju ke sebuah kedai emas.

Dalam hati dia berdoa agar rancangan yang sudah diatur tidak terhalang lagi.
Sebaik sahaja mereka masuk ke kedai emas Habib Jewels, anak muda itu berterus-terang pada Rania tentang niatnya untuk membelikan sebentuk cincin dan mahu Rania sendiri memilihnya.

“Kan cincin hari tu dah ada,” bantah Rania.

“I nak kita mulakan yang baru. Semua yang baru termasuk cincin.”

“Membazir Qayyum.”

“Mana membazirnya. Yang tu jadi hak you juga.”

Malas bertekak hal remeh-remeh begitu, Rania ikut cakap Ummar Qayyum.
Sebentuk cincin berlian berharga lima belas ribu sudah tersarung di jari manis Rania. Jurujual muda yang melayan mereka menelan air liur melihatnya. Ummar Qayyum tersenyum megah. Cincin tersebut kemudiannya ditenggekkan semula di dalam kotak.

“I dah lamar you secara tak langsung ni,” usik Ummar Qayyum.

Rania tidak terucap. Hakikatnya dia suka sesuatu yang ringkas begitu. Tidak perlulah macam drama-drama Melayu yang mana si teruna sampai perlu berlutut sambil memegang bunga untuk melamar gadis idaman mereka. Kesederhanaan itu lebih indah.

“Untungnya kakak dapat cincin semahal ini,” puji jurujual bertahi lalat di hidung.

“Silap tu. Saya yang untung dapat beli cincin untuk dia. Bukan senang dia nak terima,” sampuk Ummar Qayyum. Terkejut jurujual itu mendengarnya. Rania tersipu. Sehinggalah kedua-dua pasangan itu beredar, jurujual itu masih terkebil-kebil memerhati sehingga hilang kelibat mereka.

“I dah cakap pada mak kita jumpa hujung minggu ni, harap tak tergendala lagi.”
Terang Ummar Qayyum semasa mereka makan di Restoren Garden.

“Tak keterlaluan ke masa Abang Rais ada masalah dengan Murni kita fikirkan hal kita?” tanya Rania.

“I terfikir juga tapi takkan nak tangguh lagi.”

“Kasihan abang Rais,” rintih Rania.

“Agak-agak apa keputusan Rais?”

“Hati I berat mengatakan Abang Rais akan nikah dengan Murni sebab baby tu.”

“Dia tak perlu buat sampai begitu.”

“Itulah, tapi tak tahulah kenapa Abang Rais buat keputusan macam ni...,”
rungut Rania.

Ummar Qayyum mendengus, “You boleh terima Murni?”

“Kenapa tanya macam tu?”

“Well, setelah apa yang Murni buat pada you. I tak terkejut kalau you marah pada dia.”

“Entahlah Qayyum. Kalau ikut memanglah marah tapi sampai ke mana marah tu? I kenang kata-kata Abang Rais. Ingat kebaikan yang pernah Murni buat.”

Ummar Qayyum tersenyum. Dia bahagia mendengar kata-kata Rania. “Hati you mulia. Itu sebab I sayang you.”

Rania bertentang mata dengan Ummar Qayyum. Dia cuba mencari sesuatu di mata Ummar Qayyum. Ketara kejujuran bertakhta di mata lelaki yang sejak dulu memikat hatinya. Dia tersenyum.

Hujung minggu tiba. Rania sudah bersiap. Dia masuk ke bilik Murni lalu dimakluminya bahawa dia bersama Ummar Qayyum hendak ke Kampung Daun Pisang.

“Nak balik kampung? Nenek Ninda ada kat kampung ke?” Murni teruja mendengarnya.

Rania angguk.

“Murni nak ikut. Dah lama Murni tak jumpa nenek,” kata Murni tanpa disangka-sangka.

Terkejut Rania mendengarnya. “Murni kan mengandung. Murni kata Murni tak hendak orang tahu.”

“Tak nampak pun kak. Murni nak balik. Murni rindu nak jumpa nenek,” Rengek Murni. Kalut Rania dibuatnya.

“Tolonglah kak. Murni nak balik sangat jumpa nenek.”

“Lebih baik Murni rehat saja kat rumah. Murni kan berbadan dua.”

“Tolonglah kak,” rayu Murni lagi. Pujukan Murni dengan alasan sudah lama tidak berjumpa Nenek Ninda mencairkan hati Rania. Dia turun ke bawah dan memberitahu Ummar Qayyum tentang hasrat Murni. Tercengang Ummar Qayyum mendengarnya.

“Ren, kita nak jumpa mak untuk bincangkan hal kita, sesuai ke nak bawa dia?”

“Bukan setiap masa Murni dengan kita Qayyum. Masa dia tak ada dengan kita, kita bincanglah dengan emak,” pujuk Rania.

Ummar Qayyum geleng kepala namun akhirnya dia mengalah. Apabila hal itu dimaklumkan kepada Puan Sri Zalia, terkedu wanita tersebut.

“Apa lagi kejutan yang Ren nak bagi pada mama ni. Cukup cukuplah tu,” bebel Puan Sri Zalia. Dadanya diurut. Makcik Rohaya berpandangan dengannya.

“Mama, kami balik hari. Bukan tidur kat sana pun.”

“Kamu berdua ni dah kena manderem agaknya, sampai mengalah begitu sekali?”
tuduh Puan Sri Zalia.

“Janganlah mama percaya pada benda-benda karut macam tu. Kalau tak betul dah jadi fitnah ma,” bidas Rania.

“Mama tak faham,” Puan Sri Zalia terduduk. Naik angin dibuatnya. “ Yang dia tu, tak habis- habis nak menyibuk.”

Marah Puan Sri Zalia tapi pandai pula Rania mengubah topik dan buat-buat kalut. Buah tangan yang dikirimi ibu kepada Nenek Ninda sudah berada di tangan Rania. Segera pula diarahkan Murni masuk ke dalam kereta dan berisyarat kepada Ummar Qayyum supaya segera beredar.

Sungguhpun marah, Puan Sri Zalia mati kutu. Kebiasaannya dia akan hantar Rania di depan pintu tapi pada hari tersebut, tak kuasa dia hendak menghantar kerana ternampak kelibat Murni tercongok di tempat duduk belakang.

“Baik-baik memandu Qayyum,” pesannya sebelum masuk ke kamar. Sepanjang perjalanan, Ummar Qayyum tidak banyak berbual-bual dengan Rania. Dia tidak selesa dengan adanya Murni bersama mereka. Rania pula, pada setiap masa asyik bertanya itu dan ini kepada Murni. Sampai di rumah Nenek Ninda, Murni dahulu yang keluar dan menerkam Nenek Ninda. Mereka berdakapan agak lama.

“Tak tahu pula nenek yang Murni ikut sekali, Murni sihat?” tanya Nenek Ninda ramah.

“Sihat nenek. Murni balik sebab rindukan nenek.”

“Makin berisi nenek tengok. Seronok jadi orang Kuala Lumpur ya?”

Murni sekadar tersenyum. Rania didakap erat oleh Nenek Ninda seusai tangan wanita itu disalam. Nenek Ninda melahirkan rasa gembira kerana Rania sudi menumpangkan Murni bersama.

“Baguslah berbaik-baik begini. Buang yang keruh ambil yang jernih,” kias Nenek Ninda dipandang sepi oleh Ummar Qayyum.

Dia tetap kurang selesa dengan kehadiran Murni. Ummar Qayyum memantau kawasan rumah Nenek Ninda yang kemas dan rapi kerana dijaga oleh orang kampung yang diupah ibunya. Murni ke dapur membancuh teh O manakala Rania menggoreng keropok. Ummar Qayyum senang melihat Rania tidak kekok melakukan kerja-kerja di dapur. Sewaktu Murni masuk ke biliknya, Ummar Qayyum ambil kesempatan berbincang sepintas lalu dengan ibunya tentang rancangannya bersama Rania.
Dikeluarkan cincin yang indah bergemerlapan lalu ditunjukkan pada ibu.

“Cantiknya. Padanlah dengan Ren,” puji Nenek Ninda.

“Kamu tak hendak bertunang?” tanya Nenek Ninda.

“Kami nak langsung sekaligus mak. Ren pun dah malas nak bertunang-tunang.”

“Tak nak merisik dan bertunang, buat apa beli cincin?” Nenek Ninda pandang Ummar Qayyum bergantian dengan Rania.

“Cincin ni tandanya saya dah ikat Ren. Kami rancang bila saya balik sekali lagi hujung tahun nanti, kami terus nikah,” jelas Ummar Qayyum.

“Apa salahnya ikat dengan adat sikit,” tegur Nenek Ninda.

Rania diam cuma. Nenek Ninda capai cincin yang bertenggek di atas kotak kecil yang cantik.

Tangannya menarik tangan Rania. Perlahan-lahan disarungkan cincin indah gemerlapan itu ke jari Rania.

Hampir menitik air mata Rania detik itu. Saat indah itu sempat pula dirakam Ummar Qayyum melalui telefon bimbitnya.

“Tak mengapalah kalau kamu berdua tak mahu merisik dan bertunang, emak sarungkan saja,” ujar Nenek Ninda.

Sewaktu Rania bersama Nenek Ninda sudah turun ke kebun di belakang rumah, Murni hampiri Ummar Qayyum sebelum sempat lelaki itu menyaingi Rania dan Nenek Ninda.

“Abang, Murni nak cakap sikit,” Murni memintas laluan Ummar Qayyum membuatkan lelaki itu tersentak. Di bawah, Rania masih leka berbual dengan Nenek Ninda.

“Abang nak turun kat bawah.”

“Murni nak cakap dengan abang.”

“Tak manis kita berdua kat atas. Kalau nak bercakap, kita turun kat bawah saing emak dengan Rania.”

“Abang dah tak macam abang yang Murni pernah kenal dulu. Abang dah banyak berubah.”

Tuduh Murni tanpa mempedulikan kata-kata Ummar Qayyum.

“Apa Murni cakap ni? Abang, Kak Ren dan Murni dah lalui macam-macam.Abang harap semua yang berlaku makin mematangkan Murni.”

“Apa yang berlaku pada Murni sikit sebanyak berpunca daripada abang,” tuduh Murni lagi menyebabkan Ummar Qayyum sedikit tersinggung.

“Boleh tak Murni jangan keruhkan situasi. Tadi kat rumah Kak Ren apa yang Murni janji? Murni kata nak ikut sebab nak jumpa nenek kan?” Ummar Qayyum mengingatkan Murni.

Murni merengus.

“Kak Ren dah begitu baik pada Murni. Murni tak kasihan pada Kak Ren?”

“Habis siapa yang nak kasihankan Murni bang? Dalam keadaan Murni macam ni siapa yang malang? Siapa? Kak Ren anak orang kaya. Dia dapat semua. Murni ni?”
Murni tinggikan suara. Matanya bergenang.

“Apa yang Murni nak sebenarnya? Kak Ren dah banyak berkorban untuk Murni tahu?”

“Abang hanya nampak pengorbanan Kak Ren? Pengorbanan Murni jaga mak abang bertahun-tahun tu apa? Abang tak sedar?” bentak Murni.

Ummar Qayyum mendengus. Dia menggelengkan kepalanya. Kerana marah dan kecewa dengan sikap Murni yang masih tidak matang, Ummar Qayyum pergi. Dia menyaingi ibu bersama Rania di belakang rumah.

Sejuk hati Ummar Qayyum melihat kemesraan antara ibu dengan Rania. Murni mengintai dari tingkap dapur. Hatinya bertambah sakit melihat gurau senda Ummar Qayyum dengan Rania. Dia berasa sedih dan terasing. Dalam bumi Tuhan yang maha luas ini, tidak ada tempat untuk dirinya. Seolah-olah bumi tercipta hanya untuk Rania. Semua orang nampak kebaikan Rania termasuk Ummar Qayyum. Dan kini lelaki itu, sebelah mata pun tidak pandang padanya. Murni intai Ummar Qayyum di sebalik tingkap dapur. Ternampak olehnya cincin berlian yang bergemerlapan di jari manis Rania. Hatinya makin hangat. Hidungnya kembang kempis menahan amarah yang bergelodak. Dia yakin cincin itu baru sahaja tersarung di jari Rania di rumah Nenek Ninda. Sudah ada ikatan antara mereka rupanya! Rasa marahnya berselang seli dengan rasa hiba yang teramat sangat.

Alangkah beruntungnya sesiapa yang dapat menikahi Ummar Qayyum. Dia sangat sempurna di mata Murni. Rupa paras Ummar Qayyum yang kacak. Kaya lagi bergaya dan paling penting dia bertanggungjawab dan baik hati. Spontan, dia teringat akan Ammar Zulkarnain. Lelaki durjana yang telah merosakkan dirinya. Lelaki itu sangat dibencinya. Dia meludah ke sinki. Lelaki sial! Seranahnya sedang air mata sudah bergenang. Seperti langit dengan bumi untuk dibandingkan dengan Ummar Qayyum.

“Murni,” terdengar laungan Nenek Ninda dari bawah. Murni terkejut. Segera diseka air mata lalu menjengah dari tingkap atas.

“Jerang nasi dulu ya Murni,” arah Nenek Ninda. Dia perasan Ummar Qayyum langsung tidak menoleh padanya.

“Tak apa nenek, biar Ren yang jerang nasi,” Rania lantas bangkit. Dia teringatkan Murni yang berbadan dua.

“Hiss tak apa Ren, Murni tu dah biasa kat sini. Dia boleh buat,” tegah Nenek Ninda.

Murni tersinggung dengan kata-kata Nenek Ninda. Aku ni umpama babu di rumah ini. Dari dulu sampai sekarang.

“Ren, lepas ni you tak boleh panggil nenek tau. You kena panggil mak I mak...,” tegur Ummar Qayyum. Nenek Ninda tersenyum mesra.

“Panggil nenek pun apa salahnya, sekadar panggilan.”

“Nanti orang ingat saya ni pak saudaranya pula mak,” ujar Ummar Qayyum.

Gurau senda mereka masih terdengar dek Murni. Hatinya makin pedih lebih-lebih lebih lagi melihatkan kemesraan antara Nenek Ninda dengan Rania.

“Bergembiralah kau Rania, ini hari kau,” rintih Murni seraya membasuh beras.

Sebaik saja periuk nasi ditenggek, tiba-tiba dia berasa mual yang teramat sangat. Murni terduduk dan berusaha menahan gelodak yang menendang-nendang dari dalam perut. Lega seketika tapi kemudian rasa mual itu menjelma kembali dan berulang-ulang. Dia bergegas ke bilik air dan muntah. Kepalanya berpinar-pinar.
Sebelum tumbang, sempat tangannya berpaut pada palang pintu. Dia menjerit memanggil nama Nenek Ninda.

Sebaik sahaja tersedar, wajah Rania yang dilihat dulu. Murni meminta air suam. Tekaknya masih berasa loya. Ummar Qayyum bersama Nenek Ninda muncul kemudian. Nenek Ninda duduk di sisi Murni. Kepala Murni diusap lembut.

“Murni tak sihat ke?” Nenek Ninda pandang sayu muka Murni. Belas berelung di hati Nenek Ninda.

“Murni sakit?” tanya Nenek Ninda lagi. Murni serba salah. Murni masih mual-mual. Nenek Ninda pegang dahi Murni. “Kalau Murni tak sihat, biar nenek dengan Ren masak. Murni berehatlah ya,” ujar Nenek Ninda dan keluar. Ummar Qayyum dipanggil Murni.

“Abang tolong unjukkan tuala tu,” arah Murni. Semasa Ummar Qayyum meletakkan tuala yang dipinta Murni di tepi katil, tanpa diduga, Murni tarik lalu menggenggam tangan Ummar Qayyum.

Klik! Klik!

Post Terhangat