Tuesday, May 28, 2013

Saya sudah.....

Alhamdulillah...koi dah selamat bersalin anak ketiga pd 25 mei hari tepat jam 6 petang. Koi dah keluar wad, tapi baby masih dalam jagaan hospital. kenapa? koi pun tak paham sgt kenapa??? koi belum berpeluang susukan si kecik tu. tak boleh nak direct bf sbb byk sgt wayar la..tiub la...kat badan..cucuk kt tgn..masuk mulut. kesian si kecik koi. Skang koi tgh struggle ngepam susu yg belum nak ada ni.

miss u my new boy!

Friday, May 17, 2013

Tahlil kat Opis

masing-masing tunjuk skill memasukkan telur dalam uncang

Petang karang lepas Asar bos ada buat tahlil sikit kat opis. Dah lama niat nak buat tahlil, sejak pindah dari Danga tahun lepas lagi dah nak buat tahlilnya..skang barulah tercapai hasrat dan cita-citanya.

Bos tempah katering je untuk makan-makan, goodie bag kak efa buat. Koi buatkan telur rebus jer untuk memenuhkan goodie bag. Takde apalah nak buat dalam keadaan koi yang tak berapa sihat ni. Mood susah nak mari. hari tu teringin nak makan agar-agar sirap, last2 strip agar-agar tu tersadai dalam kabinet dapur.

pagi tadi baru kelam kabut rebus telur dan masukkan dalam uncang tu. Mana taknya asik ada halangan jer nak pergi beli telur, padahal dua papan je. sudahnya malam tadi en Husband beli kan 7-11 aje. Pukul 2.30pagi bawak balik telur dua papan. Koi bangun subuh barulah sibuk nak basuh dan rebus telur2 tu.

esok lusa koi hapdet lagi kisah tahlil petang ni ek..

Thursday, May 16, 2013

Dapat hadiah cinonet..!


koi suka bila tengok dalam peti surat ada surat. Tak sabar sabar tgk surat apa..bila tgk bil Astro, Bil IWK, Bil TM..buat tak tahu je. Tunggu En Suami yang bawak masuk hahaha...

Semalam dapat hadiah dr Enchanteur...kiut sesangat. EDT dalam botol 1.8ml. Bolehla buat bekal dalam beg tangan.

Tuesday, May 14, 2013

Cikgu Rania 2 (Siri 44): Ada buaya di sungai bergelora

Oleh Samsiah Mohd Nor
Murni hampiri Ros Ilyani seusai menyalami tangan Puan Sri Zalia. Ros Ilyani peluk tubuh Murni. Hatinya berasa walang mengenangkan nasib Murni. Sebaik berhadapan dengan Rais, Murni hanya anggukkan kepala tanda hormat. Tidak tergamak rasanya untuk menyalami apatah lagi mencium tangan lelaki yang telah dia usulkan sebuah perceraian.
Semalam, dia meminta Ros Ilyani sampaikan tetapi pagi tadi, entah mengapa ringan saja mulutnya menyampaikan sendiri apa yang terpendam akhir-akhir ini. Ternyata Rais terkejut tetapi sepatah kata pun tidak terkeluar daripada mulut Rais. Kerana cerai itu telah diminta, maka dia harus tahu diri. Dan kini dirinya ibarat sehelai daun yang hampir terlerai dari ranting. Bila-bila masa sahaja akan terlucut haknya sebagai isteri.
“Sampaikan salam Murni pada Kak Ren, mama,” ujar Murni lembut seusai bersalam dengan semua yang ada di situ. Dia mengambil Fahmi dari dukungan Puan Sri Zalia. Beg sederhana miliknya dimasukkan oleh Rais ke dalam kereta, di tempat duduk belakang.

“Sampaikan salam mama pada Nenek Ninda juga ya,” ujar Puan Sri Zalia tatkala tubuh Murni sudah berada dalam kereta.

Tambah hiba hati Puan Sri Zalia melihat Fahmi yang tiba-tiba merengek.
“Lama ke Murni balik?” Masih sempat Puan Sri Zalia bertanya.
“Tak tahulah mama. Terpulang.” Putih mata Murni memandang keluarga Puan Sri Zalia yang masih berdiri di beranda. Kereta sudah bergerak.

“Kasihan Murni!” keluh Ros Ilyani.
“Biarlah dia balik kampung. Itu yang terbaik untuknya. Dia nak mengadu kisah pada Nenek Ninda. Dia tahu Nenek Ninda ada kat sana. Hatinya pedih barangkali,” ujar Puan Sri Zalia sayu mengenangkan Murni.

Mereka masih berdiri memandang ke arah kereta dipandu Pak Mud yang bergerak perlahan membawa Murni bersama Fahmi. Pak Mud diarahkan oleh Puan Sri Zalia supaya menghantar Murni ke perhentian bas kerana dia beriya-iya sangat hendak balik ke Kampung Daun Pisang. Rais mahu menghantar tetapi Murni menolak. Dia bertegas mahu pulang naik bas.

“Saya offer, dia tak nak. Dia kata dia boleh balik sendiri” Rais mempertahankan dirinya. Bimbang kalau-kalau ibunya menyalahkannya pula.

“Patutnya abang hantar saja. Kasihan Ros tengok Murni.” Rasa bersalah melanda Ros Ilyani sejak tadi. Kerana kehadiran akukah yang membuatkan Murni mahu balik ke kampung serta-merta? Fikirnya.

“Macam manalah agaknya tu, dengan beg lagi, kelek si Fahmi pula. Sedih pula mama kenangkan nasib Murni.”
“Mama tak payahlah melankolik sangat. Pandailah Murni jaga dirinya.”
“Kalau dia seorang tak apa abang fikir begitu, ni dengan Fahmi...” Jeling Ros Ilyani pada suaminya.

“Jangan sampai Kak Ninda fikir bukan-bukan pada mama sudah.” Puan Sri Zalia menekap telapak tangan di dada. Bimbang dan risau bermukim.

“Kita dah offer nak hantar ma. Murni yang tak hendak. Takkan kita nak paksa-paksa,” ulang Rais lagi. Bosan kedengarannya.

“Kamu tu pun satu, ambil mudah perkara macam ni.” Bebelan Puan Sri Zalia menyakitkan telinga Rais.

“Saya nak buat apa mama? Dia tak hendak,” tekan Rais lagi.

Puan Sri Zalia tidak terkata. Betul juga apa yang dikatakan Rais. Masakan hendak paksa Murni masuk kereta dan hantar balik kampung. Buat dia terjun dari kereta dalam perjalanan pulang, lagi memburukkan keadaan.

“Tak faham apa dia hendak. Tiba-tiba saja nak bercerai dengan Rais, lepas tu tak sempat-sempat nak balik kampung,” keluh Puan Sri Zalia lagi sebaik sahaja mereka duduk-duduk di ruang tamu sambil minum petang.

“Eloklah dia pergi puan. Banyak buruk daripada baik kalau dia ada di sini,” Makcik Rohaya mencelah sewaktu menghidangkan kek pisang pada tuan rumah sekeluarga.

Puan Sri Zalia menjeling pada Makcik Rohaya.

“Malangnya dia pergi setelah banyak porak-peranda dia tinggalkan di rumah ni. Tengok saja keadaan Ren dengan Qayyum. Dah berpisah jauh jadinya. Kisah minyak pengasih pun hilang lenyap begitu sahaja padahal dialah onarnya!” tambah Makcik Rohaya dengan berani.

Dia kesal sebenarnya. Kesal kerana banyak masalah kecil yang berlaku dalam rumah tersebut menjadi besar disebabkan oleh Murni.

“Tak baik kak cakap macam tu, tak ada bukti Murni yang jadi dalangnya.”
“Satu hari Puan Sri akan percaya. Tuhan akan tunjuk,” jawab Makcik Rohaya dengan yakin dan pergi. Tuan rumah ditinggal terpinga-pinga.

“Mak rasa Murni pergi sebab merajuk,” kata Puan Sri Zalia lama kemudian.
“Saya pun rasa begitu mama. Dia sudah lama merajuk tapi ditahan-tahan. Kali ni, kami berdua ada di sini pula. Dia terus tak selesa kot!” sampuk Ros Ilyani yang dihujani rasa bersalah.

“Tak selesa mengapa?”
“Dia cemburu tengok saya dengan Ros Ilyani,” sahut pula Rais.
“Kenalah biasa-biasakan diri. Namanya pun bermadu,” ujar Puan Sri Zalia sejenak.

Hendak tergelak pula Rais mendengarnya. Bukan main pandai lagi ibunya mengata Murni padahal dia pernah mengalami nasib serupa juga. Masa kena batang hidungnya sendiri dulu, tatkala mendapat tahu dia bermadu dengan wanita berketurunan Filipina, lama mana ibunya memendam rasa pada ayah.

“Kenapa pula kamu tersengih-sengih ni,” jeling Puan Sri Zalia pada Rais.
“Tak ada apa-apalah mama.” Sengaja Rais tidak berterus-terang takut mengguris hati si ibu.

“Kamu pun satu. Mengada-ngada. Depan Murni sengaja bermesra-mesra dengan Ros. Dengan Murni kamu tak buat macam tu!” Sergah Puan Sri Zalia.

“Saya tak cinta, macam mana saya nak bermesra-mesra.”
“Yang kamu kahwin dengan dia buat apa kalau dah tahu tak cinta?”
“Mama kan tahu sebabnya!”
“Tak ada siapa yang paksa kamu!” tempelak ibunya lagi.
“Dahlah mama, yang lepas tak payahlah mama ungkit-ungkit.”

Puan Sri Zalia mendengus. Panjang jelingannya pada Rais. “Semalam semasa dia cakap kat kamu Ros, ada dia cakap dia nak balik kampung?”

“Tak mama. Dia hanya cakap dia nak bercerai. Lepas tu dia pergi. Saya dengan Ren terpinga-pinga sejenak.”

“Esok paginya dia bagi tahu pada saya pula. Saya terkejut juga. Tapi kalau itu yang dia hendak, saya akan bagilah...” Rais berkata selamba.

“Hish, hish kamu ni Rais. Bukan main lagi bercakap tu. Tak sensitif langsung.”
“Dia yang beriya-iya minta. Bukan saya yang suruh.”
“Kamu ceraikan dia?”
“Belum lagi!”

Pening kepala Puan Sri Zalia memikirkan hal anak-anak. Lepas seorang, seorang buat hal.

“Kisah Ren macam mana pula?”
“Yang tu no comment,” sahut Rais.
“Nampak macam Ren dah tekad dengan keputusan dia,” beritahu Ros Ilyani.
“Macam-macam yang berlaku dalam rumah ni. Cerai-berai macam mainan. Mula-mula Ren nak berpisah kemudian Murni. Apa sudah jadi ni?”
“Mama tak payah fikir. Nanti mama pengsan lagi!” nasihat Rais.

Sunyi seketika.
“Kalaulah Ren tekad nak pergi, aduh...sakit jantung mama. Bila tahun pula dia nak balik sini? Hal dia dengan Qayyum macam mana pula?” Nafas Puan Sri Zalia mulai mengah.

“Dia acah saja mama, saja nak gertak Qayyum kot!” ujar Rais mahu menyedapkan hati ibunya.

Puan Sri Zalia diam sahaja.
“Cuti Ren sampai bila mama?”
“Sampai hujung tahunlah. Habis cuti hujung tahun nanti, kalau ikut perancangannya, terus terbang ke Sabah.”

“Qayyum tahu?”
“Nak tahu macam mana? Bercakap pun mama tengok jarang-jarang.”
“Qayyum balik ke sini bila?”
“Bulan Oktober.”

“Barangkali masa tu Ren dah okey kot!”
“Siang malam mama berdoa!”
“Nanti ayah balik, Rais bincang dengan ayah lagi sekali.”

Lega sikit mendengar kata-kata Rais. Jauh di sudut hati, Puan Sri sangat-sangat berharap agar hubungan Rania dan Ummar Qayyum kembali seperti dahulu. Masih adakah cinta antara mereka? Mudah-mudahan awan mendung yang melintasi tasik cinta mereka akan segera berlalu!

Murni leka bermain-main dengan Fahmi. Nenek Ninda berlenggang datang dari arah dapur sambil menatang minuman. Satu jag air sirap bercampur air batu nampak menggiurkan sekali. Sepanjang perjalanan tadi, setitis air pun tidak masuk ke kerongkong Murni. Dia hilang haus dan penat. Dia hanya mahu segera sampai di rumah Nenek Ninda. Dia mahu berjumpa dengan nenek Ninda dan mengadu macam-macam. Kali ini biar Nenek Ninda tahu apa yang ditanggung selama ini.
“Minum dulu Murni,” arahnya sambil duduk di sebelah Murni.

Diperhatikan Murni yang menogok sirap dengan gelojoh sekali. Kasihan budak ini, balik kampung naik bas bersama anak kecil. Nasib baik tak ada apa-apa yang tidak diingini berlaku sepanjang perjalanan! Sampai hati si Zalia membiarkan Murni balik sendirian. Tergamak sungguh dia! Inilah kata orang sudah dapat gading bertuah tanduk tidak berguna lagi.

“Rais ada kat rumah?” tanya Nenek Ninda tiba-tiba. Murni angguk.
“Dia pun biarkan saja Murni balik sendiri? Murni diam.
“Sampai hati tengok Murni dengan Fahmi naik bas? Ni anak siapa ni?”

Nenek Ninda angkat Fahmi yang sedang bergolek-golek di tilam. Berderau darah Murni sejenak. Hingga saat itu, Nenek Ninda tidak pernah tahu bahawa Fahmi bukan anak Rais.

“Alah...alah....cian cicit nenek....”
“Bini barunya pun adalah?”
Murni angguk lagi.

“Mereka duduk di mana sebelum ni?”
Murni angkat bahu.
“Murni dengan Rais macam mana?”

Keluhan Murni kedengaran. “Rais tak pernah sayangkan Murni,” katanya dengan yakin.
Dahi Nenek Ninda berkerut.
“Kalau tak sayang, kenapa dia kahwin dengan Murni?

Murni tidak menjawab.
“Kena paksa ke?” tanya Nenek Ninda lagi.

Murni tetap membisu.
“Apa yang Murni rahsiakan daripada nenek ni?” tanya Nenek Ninda tidak semena-mena. “Dia mendera kamu?”

Murni berfikir sejenak. Rais mendera jiwa ragaku. Putih mata Murni menatap mata tua Nenek Ninda.

“Apa kamu bercadang nak buat sekarang Murni?”
“Nenek duduk di sini sampai bila?” soal Murni balik.
“Entahlah. Tengoklah bila Bakhtiar sekeluarga balik dari Amerika.”
“Kalau Murni kata Murni nak duduk di sini dan temankan nenek, nenek nak balik duduk di kampung semula tak?”

Terkejut Nenek Ninda mendengar kata-kata Murni.
“Kan Murni ada suami.”
“Namanya ada suami tapi macam tak ada.”

“Kenapa dengan rumah tangga Murni? Murni tak bahagia?”
“Entahlah. Macam inilah. Macam yang nenek tengok. Bahagia ke Murni kalau Murni balik seorang ke sini?”
“Kamu tak bahagia?”

“Entahlah tapi Murni lebih bahagia duduk di sini daripada sana. Agaknya mereka pun gembira Murni tiada di sana. Seronoklah Rais dapat berkepit dengan buah hati pengarang jantung dia tanpa Murni di sana!”
“Murni marah?”
“Kalau dia bahagia, suka hati dialah nenek.”

Nenek Ninda hilang kata-kata. Sunyi lagi. Nenek Ninda tengok pelepah daun kelapa yang bergoyang-goyang disapa angin dari desa. Hatinya tertanya-tanya tentang situasi Murni.

“Sebenarnya...” kata Murni teragak-agak.

Dahi Nenek Ninda berkerut. Dia menunggu ungkapan Murni yang seterusnya. Melihat air muka Nenek Ninda yang tertanya-tanya, Murni menyambung ayatnya yang tergendala tadi.

“Sebenarnya, Murni dah minta cerai dengan Abang Rais,” kata Murni selamba.
“Cerai? Kenapa?” Terkejut orang tua itu mendengarnya.
“Sebab Murni memang tak cintakan dia. Kami sama-sama tak saling cinta.”
“Tak cinta kenapa kahwin?” tempelak Nenek Ninda.

Pelik pula melihat tingkah laku Murni kali ini. Tiada kelihatan bunga-bunga kesedihan sewaktu dia bercerita tentang rumah tangganya yang berantakan itu.

“Sebab Abang Qayyum pun dah kahwin dengan Rania.”
“Apa kena mengena Qayyum kahwin dengan Ren?” Nenek Ninda berasa aneh. Debaran hati Nenek Ninda kian menjadi-jadi.
“Murni patah hati,” sahut Murni perlahan. Air mukanya hiba amat.

“Sebab itulah Murni kahwin dengan Rais?” Selongkar Nenek Ninda lagi.
“Ya. Tapi Murni tak pernah cintakan Rais. Murni hanya cinta seorang saja dalam hidup Murni.”

Nenek Ninda pandang Murni dengan perasaan yang sukar dimengerti.

“Siapa?” Dalam ragu-ragu Nenek Ninda bertanya. Jauh di sudut hati dia sangat berharap agar jawapan yang bakal diberikan Murni bukan apa yang sedang berlegar di fikirannya.

“Abang Qayyum.”
Nenek Ninda terdiam terus. Aku dah agak! Katanya sendiri. Tidak semena-mena dia berasa takut dan gerun. Berdegup jantung Nenek Ninda seketika. Begitu dalamkah rasa cinta Murni pada Qayyum?

“Qayyum kan dah kahwin.” Nenek Ninda cuba menyedarkan Murni.

“Tapi sekarang dah berpisah pun, Rania pun dah nak berpindah ke Sabah. Eloklah tu seorang di Sweden, seorang di Sabah.”

Rania hendak ke Sabah? Dia tak beritahu pun! Nenek Ninda bermonolog sendiri.

“Nenek pun tak tahu kan? Rania dah tekad nak pindah ke Sabah. Makin jauhlah mereka dipisahkan. Semua yang berlaku dalam rumah tu Murni tahu,” kata Murni bangga sekali.

“Er, berpisah tak bermakna bercerai.”

“Nanti bercerailah tu! Nenek tengok saja,” kata Murni girang.

Apa kena dengan Murni ini? Mendoakan yang buruk-buruk! Dada Nenek Ninda makin kuat denyutannya.

http://www.hmetro.com.my/articles/CikguRania2_Siri44__Adabuayadisungaibergelora/Article/

Friday, May 10, 2013

Nasik ayam sambal ke?

tadi pegi pesta konvo kat UTM, niat di hati nak makan sup gear box. Tapi cuaca panas tadi macam tak best pulak nak hirup sup panas-panas. So order nasik ayam sambal. sekali yang datang..koi tak tau tang mana yang sambal.

yang ada cuma rasa masin jer...bagus diorang ni..macam tau tau je koi tak boleh makan pedas...so nasik ayam tak sambalnya takde sambal pun. Dahla nasiknya tu digoreng dulu. Walaupun seciput dan tahap kena hempas pinggan dalam Masterchef, tapi harganya 5 hengget tau. 

Mahal sangat kot UTM ni sewa tapak kat peniaga-peniaga ni semua sebab air teh O panas pun berharga RM1.50. huhu...


Berat versus Bulan.

Sajelah waktu rehat ni kan takde kerja..koi pun dah lama tak buat carta-carta, graf graf ni semua..tergatal plak tangan ni...


Ni carta tumbesaran koi yer...apa yang dapat kita lihat dalam carta ini adalah...pertambahan berat badan adalah berkadar terus dengan minggu kandungan. Semakin kandungan berusia..semakin berat ibunya..hehehe..

Tapi kali ni kenaikan tak adalah teruk sangat. Setakat ni berada bawah 10% daripada berat asal. Kiranya masih berada pada tahap terkawal. Koi pun bukan jenis yang suka makan banyak2...bukannya jenis bernafsu besar pun...

Awal2 minggu, badan tak naik sangat sebab masih lagi muntah-muntah dan mabuk. Bermula usia kandungan 4 bulan..jeng jeng jeng..sebulan naik sekilo. Masa tu selera makan dah ada....pulak tu memang tak boleh lapar langsung. Lapar je sakit kepala.

Pastu bila dah masuk 8 bulan ke 9 bulan dah kurang naik dah...dah tak naik sekilo-sekilo dah...sebab masa ni pegerakan usus jadi perlahan. makan pun banyak kena jaga, kena pulak skang koi tgh batuk, buasir, so makanan bergoreng, berlemak dan aiskrim yang sebelum ini setia menjadi pencuci mulut terpaksa dilupakan buat sementara waktu.

Makanan yang berangin pun koi takleh makan sekarang ni..contoh macam nangka, pucuk ubi, labu, pulut...semua tu boleh mendatangkan kesakitan yang amat sangat pada bahagian atas perut. Rasa angin menyucuk-nyucuk gitu.

Orang lain koi tak tahulah cartanya bagaimana...sebab anak no 1 dengan no 2 koi takde masalah kena jaga pemakanan sebab alhamdulillah sihat hingga waktu melahirkan. So berat badan naik naik naik dan terus naik sampai waktu melahirkan.


Menghitung hari :Part 2

Kelmarin bos panggil, bagitahu yang khidmat koi tak lagi diperlukan selepas ni...hmmm....sedih ke koi...susah hati ke koi...ntahla...perasaan bercampur baur. Perancangannya memang nak cari kerja baru after deliver..yelah company pun dah takde projek besar cam dulu..yang ada projek2 kelas F jer. Kelas F bawah RM200k. Tapi bukan senang nak dapat projek RM199k..memang takde pun. Ada yang RM19,000.00...ada yg 20 ribu...ada 50 ribu..5 ribu pun ada. Camne nak bayar gaji koi. Koi pun kadang2 terasa yang koi ni menjadi satu beban kepada bos. Oleh kerana bos dah bersuara dulu, koi takyah la cakap pape lagi kan.

Janjinya koi bersalin bos akan bayar gaji ikut cuti bersalin...okeh...takde hal. Dulu ada projek buat sekolah agama...sekarang dah takde lagi buat sekolah agama tu. Dah taknak buat lagi dah. kenapa taknak buat?? Ntahlah...tak campur plak kenapa tak nak buat lagi dah.

Koi ingat nak start cuti awal sikit dengan keadaan kesihatan koi yang tak berapa sangat ni. Jalan jauh sikit...perut akan rasa sangat sakit. mencucuk-cucuk. Nak mengukur pun dah tak seronok. Kaki kanan koi pulak kalau nak angkat masuk kereta kena bantu dengan tangan. Sendi paha ni rasa sakit sakit bila nak angkat kaki kanan. Betul-betul tak syiok.

Dulu masa anak nombor dua, koi cuti start 11 Ogos..bersalin 19 Ogos. Lebih kurang seminggu la tersadai kat rumah rehat-rehat mengumpul tenaga.

Koi nak start cuti start 20 Mei ni. jangkaan bersalin 31 mei. Kiranya adalah balance 10 hari untuk rehat-rehat kat rumah. Mak koi kata nak datang jaga koi beranak...hehe..kecik tapak tangan, stadium larkin koi tadahkan. Datangla mak...Anakanda mu ini ingin sekali bermanja dengan mu...hahaha...

Thursday, May 9, 2013

Susahkah reply emel 'Terima Kasih'???

Koi ada iklankan untuk jual softcopy Jadual Kadar Harga..tapi bukanlah koi nak berniaga sangat dengan ilmu ni pun..walaupun dulu koi beli juga dengan orang. Adalah 3 kali kot yang betul-betul koi mintak duit sebelum forward file softcopy. Itupun RM10 je utk 3 Kadar Harga. Masa koi beli satu softcpy ada yang RM10..ada RM20.

Lepas tu...ada juga yang koi bagi nombor akaun GAZA la...nombor akaun orang-orang yang memerlukan bantuan...tapi lepas koi forwardkan softcopy tu..senyap. Koi tak tahu diorang ni dapatke? tak dapat ker? tapi kalau tak dapat bukak dah bising2 suruh forward dalam bentuk pdf pulak. Lepas dah fwd dalam bentuk pdf tu senyap...takde pun cakap dah dapat buka ke? tak dapat lagi ke...

ada sekali tu...budak tu tanya harga berapa untuk dapatkan softcopy ni? koi tanya dulu...4 softcopy ni RM 10 boleh? dia jawab "eleh kat scribd boleh download free la"..la pulak. tadi tanya...bila koi jawab dia jawab gitu pulak. macam2 ragam manusia ni kann....

tapi sekarang ni...bila diorang tanya-tanya koi forward ajer tanpa banyak soal...cuma bila kita dah forward tu, bila dah dapat...cakaplah..."tq kak. dah dapat". Sepotong ayat tu dah cukup buat koi gembira kerana dapat membantu mereka yang memerlukan. Diorang emel tanya pagi...petangnya koi dah forward. Tapi bila dah forward, senyap terus. Koi ni tertanya-tanya...dapat bukak ke tak sebab softcopy tu koi dah compress untuk muatkan dalam satu emel. kalau tak, satu file satu emel. Tapi koi anggapkan dapatlah tu...bila dah dapat..ucap "fuhhh...nasib baik dapat"

Menghitung hari...

Skang koi sedang menghitung hari-hari untuk melahirkan anakanda yang ke tiga ni...hmm..berdebar-debar pulak rasanya. Paling tak sanggup bila ingat-ingat balik kesakitan masa kena jahit tu....adesss...baru teringat je dah nyilu dulu...belum jahit lagi ni.

minggu ni dah masuk minggu ke 37...tgh buat apa agaknya dia kat dalam tu...? Dari sehari ke sehari nak gi scan tak pergi-pergi jugak. Yelah takkan nak pergi sorang-sorang. Nak jugak bawak en. Suami koi itu..tapi nampaknya beliau sangat sibuk sejak bertukar profesion ni. So, niat nak menyecan tu belum lah tertunai.



Kalau scan kat KK Taman U tu memang tiap kali datang dia akan scan. tapi maklumlah scan kat klinik kerajaan...bukannya doktor tu nak layan kita sangat. Lagi pulak monitor scan dia tu gelap ajer...kadang2 apa yg doktor tu tunjuk aku tak nampak apa-apa pun..."okeh, yang berkelip2 tu jantung dia yer...baby sihat...tumbesaran seimbang''...tapi koi blur pasal tak nampak apa-apa yg berkelip pun kat screen monitor tu. 

Bila koi cakap kat doktor saya batuk...pastu doktor akan cakap.. " You kena jaga makan & minum, no ice, no makanan bergoreng, jgn makan kacang, minum air lebih sikit"

Bila koi cakap koi ada buasir disebabkan tekanan batuk berpanjangan ni... "You kena jaga makan & minum, no ice, no makanan bergoreng, jgn makan kacang, minum air lebih sikit, no spicy"

Tiap kali pun benda yang sama..last-last dah malas nak ulang bgtau lagi. Sampai hari yang koi tak tahan, koi pergi klinik luar mengadu pasal buasir yang makin teruk menjelang hari melahirkan ni....Doktor check...Kita tak boleh bagi ubat makan, tapi akan bagi ubat sapu dan tolong apply dengan penuh disiplin. Lepas dua minggu koi sapu ubat tu pada buasir ni...alhamdulillah...dah surut sikit bengkak dan gatal-gatal ni...barulah koi ada mood nak hapdet blog hari ni..

Ubat batuk pun dia tak bagi, dia suruh sedut nebulizer jer utk cairkan kahak. Doktor bagi ubat utk alahan sebab dia kata batuk ni disebabkan alahan dalam hidung. Dan pantang larangnya lebih banyak lagi...takleh caffein, takleh seafood, takleh terdedah kpd habuk, dll. Dia kata tak tau alahan kepada apa so kena pantang lebih sikit bab makan minum ni...Buah-buahan memang elok untuk kesihatan tapi buat masa sekarang boleh makan jambu batu sahaja, dan jgn makan dengan asam boi. Yang bermusim dan berasid perlu dijauhkan. Adeh..belum bersalin dah kena pantang macam. Tapi nak buat camne...buatnya sampai bersalin batuk tak hilang2...mau terbarai jahitan kat bawah tu.



Tuesday, May 7, 2013

Cikgu Rania 2 (Siri 43): Angin dingin dari belantara

Oleh Samsiah Mohd Nor
“Dah agak lama kita tak balik rumah mama. Jomlah kita balik,” Ros Ilyani mengemukakan isi hatinya pada Rais. Selama mereka berkahwin, boleh dibilang dengan jari berapa kali mereka telah bermalam di rumah ibu bapa Rais.
Selebihnya, mereka hanya singgah tanpa bermalam.

Rais lebih selesa berada di rumah sendiri. Ros Ilyani sedar akan situasi itu, tetapi sebagai menantu, datang juga rasa bersalah di hatinya. Wajah isteri dipandang penuh kasih sayang.

“Nak balik kenapa?” Soalan bodoh tertanya dek Rais.
“Oh, nak sebab? Okey, sebab pertama itu rumah keluarga abang. Sebab kedua, emak dan ayah abang masih ada dan wajar kita menziarahi mereka. Ketiga, Ros nak jumpa Ren. Ros nak berkongsi masalah yang sedang Ren hadapi sekarang. Sebab keempat...”

“Cukup...cukup...” Rais tersengih macam kerang busuk. Sebenarnya dia lebih suka mereka hidup berjauhan daripada keluarganya kerana di rumah ibu bapanya ada Murni.

Murni yang masih lagi memegang status isteri yang sah. Isteri yang telah dinikahi lebih awal daripada Ros Ilyani. Dan Murni juga merupakan isteri pertamanya. Ah...Murni! Walaupun katanya dia tidak kisah bila Rais mahu berpoligami tapi jauh di sudut hatinya, siapa yang tahu, fikir Rais.

“Boleh ke Ros berhadapan dengan Murni?” Rais menguji Ros Ilyani.
“Masalahnya Ros atau abang? Boleh ke abang berhadapan dengan kami berdua?” tanya Ros Ilyani balik.

“Abang okey saja. Abang bimbangkan Ros.”
“Apa maksud abang ta­nya macam tu?”

“Abang tanya saja.”
“Sebab status Ros sebagai isteri kedua?”

“Bukan sebab Ros tapi sebab abang kenal siapa Ros. Abang kenal isteri abang ni lama sebelum abang kahwin dengan dia, abang bimbang kalau-kalau Ros tak sampai hati nak berdepan dengan Murni.”

“Kenapa pula Ros nak rasa begitu? Abang kan dah cerita pada Ros tentang kisah di sebalik pernikahan abang dengan Murni dulu? Ros dah faham dan insya-Allah Ros boleh hadapi Murni dengan tenang. Tak ada apa yang perlu dikhuatiri.”
Rais memaut tubuh isterinya dengan penuh kasih sayang.

“...dan abang bimbang juga kalau-kalau Murni yang mung­kin tak dapat bersemuka dengan isteri abang ni...”
“Kenapa?”

Keluhan Rais terdengar lagi. Seingatnya, sepanjang bergelar isteri, Murni tidak pernah mendapat layanan sebagai seorang isteri. Murni tidak pernah dicintai malah tidak pernah mendapat tempat di hatinya. Murni mengandung setelah diperkosa oleh lelaki yang tidak bertanggungjawab. Dia menjadi pak sang­gup dan mengahwini Murni semata-mata untuk menyelamatkan kandungan Murni yang hampir digugurkan.

Perkahwinan mereka hanyalah untuk menutup aib Murni. Dan Murni ibarat boneka di rumah itu. Tidak berperanan! Di rumah ibu bapanya, Murni dan anak­nya diberikan perlindungan. Malah mengikut perjanjian awal, Murni mahu diceraikan sebaik sahaja dia selamat melahirkan anak di rumah ibu bapanya. Namun, setelah dipujuk oleh ibunya, Murni tidak jadi diceraikan malah Murni dengan rela hati mengizinkan Rais untuk me­ngahwini Ros Ilyani.

“Sebab Murni tidak pernah mendapat layanan macam Ros,” kata Rais lama kemudian. “Abang tak pernah anggap dia macam isteri. Abang takut dia tak boleh terima dan tergugat melihat kemesraan kita,” tutur Rais tenang.

Ros Ilyani garu kepalanya yang tiba-tiba berasa gatal.
“Habis, sampai bila kita nak lari daripada dia?”

Betul juga apa yang dikatakan oleh Ros Ilyani. Rais ang­kat bahu.
“Hendak tak hendak dia terpaksa terima juga,” luah Rais setelah berfikir lama.

Kemudian, dia menghubungi ibunya memaklumkan bahawa mereka mahu pulang menziarahi keluarga.

“Eloklah kamu berdua balik. Mama harap kamu berdua boleh nasihatkan adik kamu si Ren ni, mama dah tak kuasa.” Bebelan ibunya kedengaran serius di telefon.
“Kenapa dengan Ren, mama?

“Baliklah, nanti mama cerita,” kata Puan Sri Zalia. Sampai sahaja anak menantunya di rumah petang itu, terus dia berpenglipur lara. Sudah lama dia menunggu masa untuk berkongsi masalah Rania dengan mereka.

“Mula-mula dia kata nak berpisah dengan Qayyum. Masa dia cerita, mama terkejut sampai pengsan,” luah Puan Sri Zalia dengan penuh perasaan.

“Lepas tu masa Qayyum nak balik Sweden, tergamak dia tak hantar Qayyum kat KLIA. Mama tak terkata. Sakit hati mama. Belum habis hal tu, ayah pula bagi tahu mama yang Ren nak pindah balik ke Sabah. Silap hari, mati terkejut mama dibuatnya!”

“Sabar ya mama,” pujuk Ros Ilyani sungguhpun mereka suami isteri juga terkejut mendengar pelbagai berita di luar sangka tentang Rania.
“Kenapa Ren jadi macam tu? Apa masalah dia dengan Qayyum?” Rais tidak faham.

“Kamu tanyalah adik kamu sendiri. Lepas dia keguguran tu, perangainya makin menjadi-jadi. Tak boleh silap sikit, asyik Qayyum jadi mangsanya. Mama tak faham. Mama memang tak reti,” kata Puan Sri Zalia sambil melemparkan pandangan ke tingkat atas - ke arah bilik Rania.

“Ayah kata apa?” tanya Rais lagi.
“Ayah kamu pun serupa. Dua kali lima dengan Ren. Dia izinkan Ren nak balik ke Sabah. Itu yang mama angin satu badan.” Puan Sri Zalia mendengus. Mukanya masam tanda tidak puas hati.

“Kalau Ren dah pindah sana, makin susahlah hal dia dengan Qayyum. Dahlah sekarang seorang kat sini, seorang lagi kat Sweden...nak dijauhkan lagi sampai ke hujung pedalaman,” leteran Puan Sri Zalia berterusan.

Anak menantu memberi peluang untuknya mengadu nasib. Mereka jadi pendengar setia.

“Tolonglah nasihatkan adik kamu tu!” rintih Puan Sri Zalia akhirnya.
Rais dan Ros Ilyani diam sahaja. Sunyi menguasai suasana. Namun seketika kemudian, suara tangisan Fahmi memecah sepi. Lama juga si kecil itu melalak sebelum Puan Sri Zalia memanggil Makcik Rohaya.

“Fahmi menangis dalam bilik tu,” ujarnya pada Makcik Rohaya. “Maknya tak ada,” beritahunya pada orang berdua itu pula.
“Murni ke mana mama?” tanya Ros Ilyani.

“Dia keluar tadi.”
“Keluar ke mana?” sambung Rais pula. Jarang sekali Murni keluar bersendirian selama ini. Sudah pandai tinggalkan anak ke Murni? Hati Rais berdetak.

“Entah. Katanya ada hal,” sahut Puan Sri Zalia acuh tak acuh. Kebelakangan ini dia tidak kisahkan sangat Murni atau siapa-siapa kerana tumpuannya lebih kepada masalah Rania dan masalah kedegilan anak bongsunya itu.

“Kamu tidur di sini tak?” tanya Puan Sri Zalia.
Rais dengan Ros Ilyani saling berpandangan.
“Boleh kan mama?” tanya Ros Ilyani.

“Apa tak boleh pula. Bilik banyak.”
“Bukan masalah bilik! Ni ha Ros ni, takut sangat Murni kecil hati,” luah Rais mewakili Ros Ilyani.

Puan Sri Zalia diam sejenak sebelum berkata, “Tak ada apa-apalah Murni tu rasa mama. Perkara dah lepas pun. Dia pun dah tak kisah. Dia sedar diri dan tahu diuntung,” kata Puan Sri Zalia dan pergi.

Dia datang balik dengan sepiring ubi rebus berserta kelapa parut yang bergaul garam.
“Sedapnya ubi kayu,” kata Ros Ilyani. Lupa sekejap kisah Murni.
“Kopi kat dapur Ros,” kata Puan Sri Zalia.

Ros Ilyani tahu apa maksud yang mahu disampaikan oleh ibu mertuanya. Dia lantas bergerak ke dapur lalu mengelek dulang yang di atasnya terletak teko berisi kopi panas berserta beberapa biji cawan. Dihidangkan di atas meja kopi.

“Lamanya tak makan ubi,” luah Ros Ilyani seraya menyumbat ubi rebus yang sudah dicecah kelapa parut ke dalam mulut. Rais bersama Puan Sri Zalia tidak ketinggalan menjamu selera.
“Mama mengidam nak makan ubi rebus, tu yang suruh Makcik Rohaya beli ubi pagi tadi,” jelas Puan Sri Zalia.

Sedang enak menjamu selera dengan hidangan petang, loceng depan rumah bergema. Makcik Rohaya yang sedang mendukung Fahmi mahu membuka pintu tetapi ditahan oleh Rais.
“Biar saya buka mak cik.” Rais berjalan laju menuju pintu.

Sebaik sahaja pintu terbuka, Murni berdiri tercegat di hadapannya. Mereka berpandangan seketika. Rais tidak tahu bagaimana hendak menegur Murni. Sebuah senyuman nipis dihadiahkan oleh Murni. Rais membalasnya. Dada Murni berdebar-debar tatkala terpandangkan Ros Ilyani yang sedang berbual mesra dengan Puan Sri Zalia.

“Murni dah balik? Hah, jom makan sekali. Ubi panas ni sedap.” Puan Sri Zalia menoleh ke arah Murni.

Murni serba-salah. Selama ini dia berasa seperti orang asing dalam kalangan keluarga itu. Dengan munculnya Ros Ilyani, perasaan terasing itu makin dirasai. Nampak pula tangan sasa Rais digalang pada bahu Ros Ilyani, cepat-cepat dia alihkan pandangan.

“Murni ke mana tadi?” tanya Puan Sri Zalia sebaik sahaja Murni duduk menyaingi mereka.
“Er...Murni jumpa kawan.”

Puan Sri Zalia angkat mukanya daripada cawan kopi yang sedang dipegang.
“Kawan mana?”
“Kawan sama-sama kerja dulu,” helah Murni.

Sebenarnya dia berjumpa dengan bibik Indonesia di pekan Kajang. Dia mahu meminta tolong pembantu asing itu untuk mendapatkan bekalan minyak pengasih yang diperlukan. Dia berasa tidak selamat berjumpa bibik tersebut di belakang rumah. Dapat dirasakan dirinya dicurigai akhir-akhir ini.

Puan Sri Zalia terdiam. Ros Ilyani mulai berasa tidak selesa melihatkan keadaan Murni yang serba-salah. Mendengar suara tangisan Fahmi, Murni ambil kesempatan minta diri.
“Ros pun nak masuk solat dulu.”
“Kita berjemaah ya Ros,” ujar Rais.

“Bila nak bincang dengan Ren?” tanya Puan Sri Zalia bila mereka berdua sudah bangkit.
“Lepas makan malam nanti, bolehlah bincang,” kata Rais.
Lapang Puan Sri Zalia mendengarnya. Dia kembali menikmati ubi kayu rebus dicecah kelapa parut.

***

Mereka solat Asar berjemaah bersama-sama. Selesai membaca doa, Ros Ilyani mencium tangan suaminya lantas Rais pula mengucup dahi si isteri.
“Sepatutnya Murni boleh berjemaah bersama-sama kita,” ujar Ros Ilyani yang masih dalam telekung.
“Kan abang dah cakap tadi...kan betul!”

“Apa?”
“Abang kenal hati budi Ros. Ros tak sampai hati kan? Rasa bersalah?”
Keluhan Ros Ilyani terdengar.

“Jangan lupa bang. Murni pun isteri abang juga tau! Sebelum Ros hadir dan jadi isteri abang, dia dulu jadi suri hati abang,” usik Ros Ilyani.

Rais mengeluh payah. “Namanya isteri tetapi hakikatnya Murni tak pernah jadi isteri abang pun. Abang kan dah cerita pada Ros, abang tak pernah tidur pun dengan Murni.”

“Kasihan juga pada Murni kan bang. Hidupnya...errr...apa agaknya perasaan dia tengok kita tadi,” Ros Ilyani tertanya-tanya. Nurani­nya sebagai wanita agak tersentuh melihat keadaan Murni. Umurnya masih muda tetapi dugaan yang dilalui tidak sepadan usia.

“Lagi kasihan pada kita. Hidup kita lagi tragis sebelum disatukan. Sejak dulu, kita suka sama suka sejak tapi hanya sekarang Tuhan satukan kita.”

“Yalah, dulukan abang tergila-gilakan Haryati...,” sindir Ros Ilyani dengan senyum mengejek. Dia masih ingat betapa sakit dan pedihnya hati apabila mendengar khabar bahawa Rais akan ditunangkan dengan Haryati, yang juga kawannya masa bersekolah dulu.

Kemudian mereka berdua dinikahkan. Selepas itu, Rais mendapat tahu cerita sebenar tentang Haryati. Betapa Haryati sanggup mereka cerita semata-mata untuk berkahwin dengan Rais. Namun, tipu muslihat Haryati pecah juga akhirnya dan impaknya rumah tangga mereka berantakan apabila kebenaran terungkai.

“Yang lepas tu lepaslah Ros, abang tak suka Ros ungkit-ungkit sejarah silam,” ujar Rais lama kemudian.
“Itu hakikatnya bang. Ja­ngan sesekali abang nafikan.”

“Abang tak nafikan cuma abang tak suka kisah lama digali kembali. Tak mendatangkan manfaat pada kita. Lagipun abang baru dapat kehidupan yang selama ini abang inginkan. Kehidupan dengan Ros. Noktah okey!”
“Tapi abang jangan lupa, Murni juga sebahagian daripada kehidupan abang hari ini,” peringatan daripada Ros Ilyani membuatkan Rais tersentak.

“Jadi?”
“Ros berkongsi abang de­ngan Murni.”
“Apa maksud Ros?”

“Abang tak boleh nafikan hak Murni.”
“Ros, jiwa abang tak pernah kahwin dengan Murni selama ini.”
“Ros rasa bersalah. Ros rasa macam perampas yang tak tahu nak berterima kasih! Ros simpati pada Murni.”

“Ros...tolonglah...boleh tak kita tak bercakap tentang ni!”
“Entahlah abang...”
“Tu sebab abang berat hati nak balik. Bukan sebab abang tak ingat mama dan ayah tapi ini yang abang bimbangkan, hati Ros dah berbelah bagi begini. “ Telekung di tubuh Ros Ilyani dibuka Rais.

“Ros dapat rasa kekecewaan Murni. Ros pernah duduk di tempat Murni bila abang kahwin dengan Haryati dulu. Pedihnya hanya Tuhan yang tahu. Malah, Ros rasa apa yang Murni rasakan lebih lagi sebab kami bermadu!”

Wajah isteri yang disayangi ditatap Rais. Kebaikan Ros Ilyani sebenarnya menjadi faktor kekuatan cintanya untuk bertahan dan kian utuh dari hari ke hari. Tapi kebaikan Ros Ilyani juga boleh berubah menjadi ancaman.

“Kalau Ros nak tahu, abang tak pernah rasa sebahagia ini sepanjang bergelar suami. Bersama Ros, barulah abang benar-benar menikmati keindahan sebuah perkahwinan...”
“...cuma Ros tak mahu kebahagiaan yang kita nikmati atas kepedihan dan kedukaan yang dilalui oleh insan lain.”

“Apa yang Ros nak abang buat?”
“Layan Murni seperti mana abang layan Ros!”
“Permintaan Ros keterlaluan.” Rais tidak bersetuju lalu bangkit. Dia menarik sejadah yang dihampar tadi lalu dilipat dan dimasukkan ke raknya kembali.
“Abang tak berminat nak bincang hal ni,” ucapnya de­ngan wajah sebu.

Ros Ilyani melipat telekungnya lalu diletakkan di birai katil.
“Abang nak turun,” kata Rais dan kemudian pergi.

Ros Ilyani bersendirian di kamar. Salahkah permintaanku tadi? Soalnya tidak mengerti. Aku tidak mahu menjadi manusia tamak yang diibaratkan sebagai kacang lupakan kulit. Bukan mudah untuk seorang isteri mengizinkan suaminya bernikah lain tapi Murni izinkan. Tidak salah rasanya untuk aku meminta Rais memberikan apa yang berhak Murni peroleh sebagai seorang isteri yang sah! Tegasnya di dalam hati. Kerana kesunyian bersendirian, Ros Ilyani mengetuk pintu bilik Rania. Bukan kepalang gembiranya Rania melihat Ros Ilyani tercegat di hadapan pintu bilik. Berulang kali kakak iparnya itu dipeluk dan dicium di pipi kiri dan kanan.

“Mana abang Rais?” tanya Rania kemudian.
“Dah turun dulu.”
“Tak jumpa Ren pun.”
“Dia merajuk dengan akak kot,” akui Ros Ilyani.

“Kenapa?”
“Sebab akak minta dia layan Murni baik sikit...”
“Apa masalahnya Kak Ros?”
“Tak ada masalah pun cuma akak rasa tak sedap hati. Akak isteri kedua. Murni isteri pertama tapi Murni tak dapat hak sebagai isteri...”

“Kak Ros kan tahu sebab Abang Rais kahwin dengan Murni kan?”
Ros Ilyani malas memanjangkan hal tersebut. Kerana itu dia menukar cerita. Dia lebih berminat mengetahui tentang masalah yang dihadapi oleh Rania. Dengan Ros Ilyani, Rania selesa berkongsi cerita. Tentang masalah yang dibawa oleh Murni turut disampaikan pada Ros Ilyani.

“Banyak perkara pelik berlaku akhir-akhir ni Kak Ros. Ren dah tak percaya pada Murni lagi. Makcik Rohaya pun perasan benda-benda pelik tu. Kalau Abang Rais tak boleh nak terima Murni pun, Ren faham. Cuma, mama saja yang macam tak percaya. Mama tuduh Ren macam-macam. Mama kata Ren silap pandanglah, salah fahamlah, sedih Ren.”

“Yang Kak Ros tak faham, apa kena-mengena semua yang berlaku ni dengan Qayyum sampai Ren nak berpisah dengan dia? Sebab Ren keguguran ke?”

“Ren rasa antara kami tak ada persefahaman. Ren cuba juga tapi tak upaya.”
“Ren tak boleh buat keputusan terburu-buru. Bagi ruang masa pada kalian berdua,” nasihat Ros Ilyani tulus.

Dia masih ingat semasa di hospital tempoh bulan, kemelut rumah tangga Qayyum dan Rania sudah terbelah, cuma dia tidak sangka belahnya kian melebar.
“Susah Ren nak cerita kak.”
“Ren dah tak sayang dan tak cinta pada Qayyum lagi?” Korek Ros Ilyani.

Rania tidak terjawab. Ketukan di pintu kamar mengganggu perbualan mereka.
Tombol pintu terpulas dari luar. Murni mempamerkan wajahnya.

“Boleh Murni masuk kak?” tanya Murni sopan sekali. Rania terkejut tapi sempat pula berpandangan dengan Ros Ilyani.
“Masuklah Murni,” pelawa Ros Ilyani.

Dia senyum pada Murni. Murni berjalan perlahan-lahan menghampiri mereka lalu duduk di sofa sebaik disuruh Ros Ilyani. Rania berasa berdebar. Apa tujuan perempuan ini datang ke bilik aku?
“Murni nak cakap dengan Kak Ros, boleh?” ujar Murni.
“Murni nak cakap apa?” tanya Ros Ilyani balik.

“Mungkin Kak Ros boleh sampaikan pada Abang Rais apa yang Murni nak cakapkan ni.”
“Apa dia Murni?”
Murni tunduk seketika sebelum bicaranya disambung. “Murni nak minta cerai dengan Abang Rais.”

Lazada

Post Terhangat