Tuesday, August 28, 2012

Novel Bersiri - Cikgu Rania 2 (Siri 8): Hati Seputih Salji

Oleh Samsiah Mohd Nor
  
BERITA yang baru disampaikan oleh Ummar Qayyum sangat mengejutkan Rania. Rais ditangkap khalwat bersama Murni di kondominium milik Rais di Bukit Mulia. Rais menghubungi Ummar Qayyum dan memintanya datang segera. Dia juga meminta Ummar Qayyum membawa Rania bersama. Rania yang masih terkejut mengurut dada sebaik sahaja Ummar Qayyum selesai bercerita. Sukar untuk dia menerima berita yang menimpa Rais sekiranya tidak ditenangkan oleh Ummar Qayyum. Jam menunjukkan pukul 3. 45 pagi.
“Jom pergi sekarang Ren. Beritahu mama you dulu,” Ummar Qayyum sudah pun berdiri.

“Nak beritahu macam mana Qayyum. I takut. Mama mesti tak boleh terima. Kasihan mama.”

“Beritahu saja, kita kena cepat ni, Rais tengah tunggu,” desak Ummar Qayyum.

Mahu tidak mahu Rania terpaksa bergerak ke bilik emaknya. Puan Sri Zalia terkebil-kebil sewaktu dikejutkan Rania. Dia membetulkan jurai rambutnya yang jatuh di dahi. Dia memandang ke arah jam di atas meja di sisi katil besar buatan Itali. Hairan dikejutkan Rania pagi-pagi buta begitu.

“Kenapa Ren kejut mama masa ni?” Matanya terkejip-kejip. Dia sudah pun duduk.

Rania di sebelahnya membatu seketika. Di luar suara gerimis hujan kedengaran. Dengan penuh debaran, Rania berterus terang kepada ibunya tentang malang yang menimpa Rais dan Murni.

“Apa?” Mata Puan Sri Zalia sudah terbuntang.

“Mama tenang ya mama,” pujuk Rania.

Ternganga mulut Puan Sri Zalia. “Khalwat?” Dadanya naik turun sedang nafasnya tercungap-cungap. Beberapa kali dia mengucap menahan sesak di dadanya. Rania memeluk seraya mengusap belakang ibunya seketika. Dia sangat belas pada ibunya. Belum sempat ibunya berkata-kata selanjutnya, Rania menambah.

“Ren dengan Qayyum nak ke sana sekarang. Abang Rais tengah tunggu.”

Sebaik berkata demikian, Rania segera keluar dari bilik ibunya lantas mengarahkan Mak Cik Rohaya mengunci pintu dan kemudian menemani sang ibu.

“Mama tengah terkejut. Mak Cik pujuk mama ya! Kami pergi dulu,” pesan Rania.

Dia kemudiannya berbahasa isyarat pada Ummar Qayyum dan mereka bergegas keluar rumah.

“Sejak bila Rais berkawan dengan Murni?” tanya Ummar Qayyum di tengah perjalanan.

“I pun tak tahu. I ingat you tahu,” Rania menggigit hujung-hujung jarinya petanda gelisah.

“I tak tahu Ren. Ini baru I tahu. Ada sekali dua I call Rais tapi dia tak tak cerita pun. Ajak dia keluar minum pun tak pernah sempat. Dia sibuk selalu.”

“Banyak perkara pelik berlaku dalam keluarga I akhir-akhir ni,” luah Rania.

Muka sedih Rania dipandang Ummar Qayyum. Lalu lintas memang lengang ketika itu. Lebih kurang setengah jam perjalanan, mereka sampai di perkarangan kondominium mewah Bukit Mulia. Dari luar rumah, kelihatan kediaman mewah milik Rais terang-benderang. Ummar Qayyum memberi salam.

Di ruang tamu, Rais duduk bersama beberapa orang lelaki termasuk dua orang polis dan beberapa orang lelaki berkopiah. Mereka sedang berbincang. Salah seorang daripada lelaki berkopiah itu seperti mengenali Ummar Qayyum. Dia bersalam dan menggenggam erat tangan Ummar Qayyum seraya menepuk-nepuk bahunya. Rania pula terkejut melihatkan keadaan Rais. Kepalanya berbalut dan terdapat kesan-kesan luka kecil di mukanya. Ringan mulutnya hendak bertanya tetapi melihatkan perbincangan mereka agak serius, Rania membatalkan niatnya. Ummar Qayyum menghampiri Rais yang nampak begitu tertekan. Murni tidak kelihatan. Melihatkan situasi yang tidak mesra itu, Rania tidak berani bertanya. Dia menuju ke salah satu bilik di dalam kondominium itu.

Di atas katil, Murni teresak-esak. Melihat Rania muncul, Murni terus memeluk Rania. Fikiran Rania benar-benar kosong. Berbagai-bagai perasaan melandanya saat itu.

“Kak.” Air mata Murni berjuraian. “Kami tak buat apa-apa pun, kami dianiaya,” rintih Murni sepintas lalu. Esakannya makin ketara sampai Rania berasa rimas. Dia lebih simpati pada abangnya Rais.

Bagaimana Rais boleh terjebak dengan semua ini. Ya Allah, kasihanilah abang Rais!

“Kak...”

“Tenang Murni,” pujuk Rania walaupun hatinya sendiri tidak keruan.

Teringat Rais dengan kepala berbalut dan muka calar-balar. Terkenang pula ibu di rumah. Bagaimanalah keadaan ibu menerima berita yang memalukan itu. Ayah! Oh ayah! Di mana ayah? Kasihan mama.

“Apa yang sebenarnya berlaku Murni?” Setelah esakan Murni kendur, barulah Rania bertanya.

“Murni pun tak tahu kak. Abang Rais hantar makanan pada Murni lambat kali ni. Dia datang pukul 10 lebih dengan kepala berbalut dan muka luka-luka. Dia kata accident. Selalunya lepas hantar makan, sekejap tu Abang Rais pergi. Tapi malam tadi Abang Rais berbaring dan tertidur di sofa. Murni tak sampai hati nak kejut. Murni tertidur dalam bilik lepas makan. Lepas tu dekat dekat pukul 3 pagi ada orang ketuk pintu. Pegawai dari Jabatan Agama Islam dan polis. Mereka kata kami berkhalwat.

Kami tak buat apa-apa pun kak,” suara sedih Murni berlarutan.

Rania buntu. Ketukan di pintu mengejutkan mereka berdua. Ummar Qayyum menampakkan wajahnya. Berderau darah Murni naik ke muka tatkala terpandangkan Ummar Qayyum. Kenapa Abang Qayyum ada bersama? Bila dia balik ke Malaysia? Dia berasa tersangat malu. Kalau boleh dia mahu menyorokkan mukanya di bawah katil. Ummar Qayyum menatapnya hiba buat seketika. Akhirnya dia menangis lalu meluru ke arah Ummar Qayyum lantas dipeluknya lelaki itu. Ummar Qayyum terkejut besar tetapi tidak mampu mengelak. Matanya merenung Rania yang nampak dua kali lebih terkejut menyaksikan peristiwa tersebut. Dicuba lepaskan pelukan Murni tapi kekuatan pelukan Murni menyukarnya untuk meleraikan pautan tersebut. Rania kebingungan. Ummar Qayyum regangkan pelukan Murni. Perempuan muda itu agak terkejut dengan tindakan Ummar Qayyum. Dia mengundur ke belakang seraya menyapu air matanya yang masih mengalir.

“Bila Abang Qayyum balik? Kenapa langsung tak hubungi Murni?” Soalan bertalu-talu daripada Murni tak dijawab Ummar Qayyum malah dia pula yang arahkan Murni supaya mengemaskan barang-barangnya.

“Murni nak dibawa ke mana?” tanya Murni lagi tapi masih tidak disahut Ummar Qayyum.

“Ren, keluar kejap,” arah Ummar Qayyum. Rania akur dan mengekori langkah Ummar Qayyum.

Di ruang tamu, polis dan lelaki-lelaki yang berkopiah sudah tiada. Tinggal Rais seorang dengan wajah murung. Rania dekati abangnya. Digenggam tangan Rais. Rania mendengar Ummar Qayyum berbincang dengan Rais.

“Nasib baik pegawai agama tu kenal you, kalau tidak diseretnya I malam ni juga,” ujar Rais. Dia berasa terhutang budi dengan Ummar Qayyum.

“Ayah you kan ada. Takkan nak dibiarkan you.”

“I tak hendak menyusahkan dia. Dia sibuk sangat,” ujar Rais.

Wajahnya berkerut. Sesekali dia memegang kepalanya yang berbalut. Rania belas melihatkan keadaan Rais.

“Murni dah beritahu pada Ren apa yang berlaku?” Sambil bertanya Rais menjeling ke arah bilik Murni.

“Dah. Dia kata Abang accident. Abang lambat datang semalam dan tertidur di sofa. Dia tak sampai hati kejutkan abang dan kemudian orang datang ketuk pintu,” bisik Rania dengan dada gementar. Kedua-dua lelaki itu berpandangan sejenak.

“Tu saja?” tanya Ummar Qayyum. Pertanyaan itu menyebabkan Rania berasa ada sesuatu yang lebih besar daripada apa yang dia tahu.

“Murni tak beritahu dia pregnant?” tanya Rais.

Rania terkejut. Dia menggeleng. Ummar Qayyum mewakili Rais bercerita sepintas lalu tentang apa yang menimpa Murni kepada Rania.

“Abang Rais jaga Murni sebab dia mengandung. Kalau Abang Rais tak tolong Murni, barangkali Murni dah gugurkan kandungannya,” jelas Ummar Qayyum.

Dia juga baru saja diberitahu oleh Rais sebentar tadi. Dia begitu kagum dan bangga dengan apa yang telah dilakukan oleh Rais.

“Abang, mulianya hati abang,” Rania peluk tubuh abangnya. Matanya bergenang.

Mata Rais bergenang juga. Wajahnya murung. Ditahan sedapat mungkin untuk tidak membiarkan air matanya meleleh. Dia masih keliru dengan apa yang berlaku. Dia tidak mengerti akan mainan takdir yang jatuh padanya kali ini. Hebat dan sangat mencabar keimanannya. Selama ini dia pasrah atas apa yang berlaku pada kehidupannya. Dia pasrah kalau hubungan cinta antara dirinya dengan Ros Ilyani tidak kesampaian. Dia juga pasrah menerima jodohnya bersama Haryati walaupun di akhir cerita, dia sudah tidak boleh sebumbung dengan wanita itu setelah mengetahui apa yang Haryati lakukan terhadap Ros Ilyani. Tapi kini? Mainan takdir apakah yang harus dia hadapi? Dia ikhlas membantu Murni yang sedang dilanda musibah, tapi lihatlah apa yang berlaku kini?

“Aku ikhlas membantunya. Aku memegang amanah daripada Tuhan - mengasihi sesama insan tapi kenapa aku diduga sebegini? Kenapa?” rintih Rais.

Sungguhpun ditahan, setitis air mata Rais jatuh juga. Hiba Rania melihat keadaan abangnya.

“Abang sabarlah...” Jari Rania menyapu air mata yang mengalir di pipi Rais. Hidung Rais kembang kempis menahan pelbagai perasaan.

“You tak usah bimbangkan hal tu Rais, insya-Allah I boleh berbincang dengan kawan I tadi.”

Rais masih berwajah hampa. Wajahnya berkerut mengenangkan situasi yang tidak disangka-sangka yang telah pun menimpanya.

“I hantar Ren dengan Murni balik rumah mak you dulu ya! Nanti I datang balik. Don’t worry brother. I will help you no matter what,” janji Ummar Qayyum lagi.

“Hal Murni abang jangan bimbang. Pandailah Ren selesaikan dengan mama,” sampuk Rania bertujuan melegakan Rais. Dipeluknya Rais dengan penuh kasih sayang sekali lagi. Rania sangat terharu dengan apa yang telah Rais lakukan.
“Abang jaga diri ya,” pesan Rania lagi sebelum pergi.

Rais kaku di kerusi di ruang tamu. Semangatnya bagaikan hilang. Ummar Qayyum menepuk-nepuk bahu Rais sebelum pergi. Dia mengunci pintu rumah Rais dari luar. Beg beroda bersaiz sederhana milik Murni ditarik Ummar Qayyum. Sepanjang perjalanan, otak Rania ligat berfikir bagaimana untuk memahamkan situasi yang melanda

Rais-Murni kepada ibu. Pening kepalanya memikirkannya. Sesekali Ummar Qayyum melirik pada Rania yang kaku di sebelahnya. Dia tidak pedulikan Murni di belakang. Dia tidak kisahkan Murni. Malah kalau ikutkan hati dia malas mengambil tahu tentang apa yang berlaku pada Murni. Tapi mengenangkan kata-kata Rais semasa mereka bersembang tadi, dia jadi insaf. Kalau Rais boleh mengambil tanggungjawab menjaga Murni yang mengandung, mengapa dia perlu menolak gadis yang sudah dianggap seperti adiknya sendiri itu?

“Aku kutip dia sebab aku tak hendak dia gugurkan kandungannya. Aku jaga dia sebab aku kenangkan kau Qayyum. Kau sahabat aku. Kau pernah beritahu aku dia jaga emak kau masa kau tiga beradik sibuk dengan urusan di kota. Kerana itu aku bantu dia dan sediakan tempat tinggal untuk dia.”

“Kenapa tak beritahu aku? Berkali-kali aku call, boleh saja kau maklumkan pada aku, tapi kenapa kau rahsiakan? Kita boleh sama-sama tolong dia.”

“Dia tak bagi aku beritahu kau atau pun mak kau dan juga abangnya di kampung. Aku kasihankan Murni. Aku jaga maruahnya. Aku dah rancang lepas Murni selamat lahirkan bayi dia, aku nak carikan dia kerja dan biarkan dia mulakan hidup baru tapi ini yang berlaku,” rintihan Rais kekal terngiang-ngiang di telinga Ummar Qayyum.

Bersama rasa kagum pada Rais, dia turut dihantui secuit rasa bersalah atas apa yang menimpa Murni. Mulianya hati kau Rais. Sepatutnya Murni itu menjadi tanggungjawab aku. Rintih Ummar Qayyum di dalam hati. Dia belas mengingatkan Rais. Dia jadi mangsa keadaan. Dia sudah bertekad akan membantu Rais. Apa-apa pun yang berlaku dia tetap akan membantu Rais. Dia menghela nafas seraya mengerling Rania yang nampak sedih.

“Ren, are you okey?”

“I teringat Abang Rais. Kasihan dia.”

“Ini semua salah Murni. Kalau Murni tak susahkan Abang Rais, semua ni tak berlaku,” sampuk Murni yang sejak tadi diam seribu bahasa.

Rania berpandangan bersama Ummar Qayyum. Nasi sudah menjadi bubur. Tiada apa lagi yang hendak dikesalkan. Sekarang Rania sedang memikirkan cara untuk menghadapi ibunya. Ya Allah, mudah-mudahan ibu boleh terima apa yang berlaku ini dengan hati terbuka seperti mana redanya Abang Rais menerima takdir yang tersurat, doa Rania di dalam hati tetapi apabila kereta Mercedez yang dipandu Ummar Qayyum memasuki laman kediaman mewah milik ibu bapanya, hatinya kembali bergetar.

Lampu di beranda hadapan rumah terang benderang. Pintu utama terbuka sebaik sahaja kereta Ummar Qayyum memarkir di laman. Makcik Rohaya sudah berdiri di depan pintu dengan wajah cemasnya.

“Mama kat mana?” tanya Rania.

“Dalam bilik. Puan Sri tengah solat,” ujar Mak Cik Rohaya seraya memandang Murni dengan satu pandangan yang menggusarkan hati Murni.

“Ren, I balik rumah Rais dulu. Kirim salam pada mak you,” pesan Ummar Qayyum lalu memandang Murni pula.

“Sementara waktu Murni duduk di sini dulu. Nanti abang fikir macam mana,” janji Ummar Qayyum.

“Abang, tolong jangan beritahu Nenek Ninda dengan abang Murni kat kampung ya. Murni tak nak mereka risaukan Murni,” pinta Murni. Suaranya sebak.

Ummar Qayyum sekadar mengangguk. Dialihkan pandangan pada Rania. Tanpa mempedulikan Murni, Ummar Qayyum hampiri Rania dan berbisik padanya.

“You take care too ya sayang.”

Sayu hati Rania mendengarnya. Ungkapan itu begitu bermakna setelah sekian lama tidak didengari keluar dari mulut Ummar Qayyum. Murni yang perasan Ummar Qayyum membisikkan sesuatu di telinga Rania menjeling sekilas. Dia tidak suka melihat situasi mesra antara Ummar Qayyum dengan Rania di hadapan mata. Dadanya berombak menahan cemburu. Banyak yang mengganggu dan mengasak mindanya saat itu. Tapi mengenangkan dirinya yang tidak berhala tujuan serta bermasalah, dia telan saja apa yang dilihat. Kerana dirinya umpama sudah jatuh ditimpa tangga, dikawal hatinya yang sedang membara itu.

“Mak Cik bawa Murni naik bilik tetamu kat atas yang sebelah bilik Ren tu ya,” arah Rania apabila menyedari Murni masih tercegat dengan beg pakaiannya. Mak Cik Rohaya akur. Rania mengeluh perlahan. Kereta Ummar Qayyum sudah hilang dari pandangannya. Kasihan Qayyum! Ke hulu hilir pagi-pagi buta begini. Getus hatinya!

Penat menghantar mereka berdua pulang ke rumah masih bersisa, kali ini Ummar Qayyum bergegas pula menuju ke kondominium Rais untuk menemani Rais menyelesaikan masalahnya.

Sewaktu menyusup ke bilik ibunya di tingkat bawah, wanita itu sedang mengaji. Wajah Puan Sri Zalia rusuh. Ini baru kes Murni belum lagi kes ayah! Hati Rania berdetik. Tidak dapat Rania bayangkan bagaimana pula penerimaan ibu kalaulah ibu tahu tentang ayah dengan perempuan muda yang ditemui Rania di Pavilion dulu. Rania sendiri belum pasti status hubungan ayah dan perempuan itu walaupun jauh di sudut hati Rania yakin mereka ada hubungan. Rania menunggu hampir dua puluh minit sebelum ibunya memberi salam. Dihampiri ibu. Puan Sri Zalia mendongak. Rania peluk ibunya dari arah belakang.

“Mama jangan bimbang ya, semua dah selesai,” kata-kata penyejuk daripada Rania melapangkan sedikit jiwa Puan Sri Zalia yang berkocak hebat sejak tadi.

“Apa yang sebenarnya berlaku Ren?” Suara Puan Sri Zalia lemah sekali. Tadi dia sudah penat melepaskan perasaan. Telinga Makcik Rohayalah yang menjadi mangsa sebaik sahaja Rania pergi. Tadi dia memang mengamuk sakan. Dia memang benar-benar marah pada Rais apatah lagi Murni tetapi apabila ditenangkan oleh Mak Cik Rohaya, dia kembali beristighfar.

“Benda dah jadi mama, kita kena redalah.”

“Itu yang mama bimbang dan takutkan selama ini. Dah jadi pun!”

“Percayalah mama, semua yang berlaku ni ada hikmahnya tapi mama percayalah Abang Rais tak bersalah. Kasihan Abang Rais.”

Puan Sri Zalia terkenangkan Rais. Akhir-akhir ini Rais semakin jauh daripada keluarga. Dulu Rais tidak begini tapi selepas perceraiannya dengan Haryati, Rais seperti hilang arah. Alangkah bagusnya kalau Rais berkahwin dengan Ros Ilyani. Mesti hidupnya riang, hati Puan Sri Zalia berdetik.

“Ceritalah pada mama,” ujar Puan Sri Zalia.

Dia masih lagi dalam telekung. Dia bimbang Rais dicekup dengan Murni kerana duduk bersama. “Mereka tak duduk sekali kan?”

“Tak mama. Abang Rais anak mama yang paling baik dan bertanggungjawab. Dia jaga Murni sebab Murni ada masalah tapi Abang Rais tak pernah ambil kesempatan. Nak jadi cerita, semalam Abang Rais accident sebab tu dia tak dapat hantar makanan pada Murni. Kan Ren beritahu mama masalah Murni. Murni risau sebab rasa macam orang intip dia. Jadi Ren hantar mesej pada Abang Rais supaya tengok-tengokkan Murni. Abang Rais hantar makanan pada Murni pukul sepuluh lebih, lepas tu Abang Rais tertidur kat kerusi sebab dia pun tak sihat. Masa tulah orang-orang daripada pejabat agama datang.”

Puan Sri Zalia mengeluh dalam.

“Apa masalah Murni tu?” Baru kali ini Rania mendengar persoalan itu terpacul keluar dari mulut ibunya.

“Mama, sebelum tu, Ren nak beritahu pada mama bahawa Abang Rais tu baik sangat. Hatinya mulia. Abang jumpa Murni masa Murni nak gugurkan kandungannya.”

Mata Puan Sri Zalia tidak berkedip memandang Rania. Dia menunggu cerita seterusnya.

“Abang Rais tolong dia dan pastikan Murni sihat dan berjaga supaya kandungannya juga sihat. Abang Rais dah bantu dan elakkan Murni gugurkan bayi mama.” Penerangan Rania menyebabkan Puan Sri Zalia terjebik.

“Ren bangga ada abang macam Abang Rais. Ren bangga mama tapi nasib tak menyebelahi abang. Namun begitu Ren yakin mesti ada hikmah di sebalik apa yang berlaku ini mama.” Kata-kata semangat daripada anak gadisnya itu sedikit sebanyak menyejukkan hati Puan Sri Zalia.

“Abang kat mana?” Puan Sri Zalia sebak.

“Abang kat kondo dia. Lepas hantar kami tadi, Qayyum balik semula ke sana nak selesaikan masalah abang. Oh ya, Qayyum kirim salam pada mama.”

“Hantar kami?”

“Hantar Ren dengan Murni.”

Berubah air muka Puan Sri Zalia mendengar nama Murni disebut.

“Ren bawa dia balik?”

“Kalau tidak, mana diletakkan dia mama?”

Puan Sri Zalia mendengus. “Kerana dia, anak mama jadi mangsa keadaan.”

“Mama, kan Ren dah cakap tadi. Apa yang berlaku ada hikmahnya, kita tak tahu mama...”

“Mana dia?”

“Ren minta tolong Makcik Rohaya bawa dia ke bilik tamu atas, sebelah bilik Ren.”

“Kalau Ren nak tolong dia, Ren tolonglah tapi jangan bagi mama nampak muka dia. Mama tak suka.”

Rania tersenyum. Sekurang-kurangnya Murni sudah ada tempat di rumah tersebut. Itu sudah cukup baik buat Murni. Tubuh ibunya dipeluk.

“Sekejap ya mama.” Rania keluar dari bilik ibu dan mendail nombor Rais. Kali ini cepat sahaja Rais angkat telefon.

“Abang...Ren dah sampai rumah. Qayyum dalam perjalanan ke sana. Abang macam mana?”

“Macam yang Ren tengok tadilah! Mama macam mana?”

“Mula tadi Mak Cik Rohaya kata mama mengamuk juga, lepas tu dia dah okey dah. Balik tadi Ren slow talk dengan mama. Alhamdulillah dia makin okey.”

“Dia dah jumpa Murni?”

“Dia belum jumpa Murni tapi Ren dah beritahu semua. Memanglah mama tak suka tapi mama kata kalau Ren nak tolong, terpulang cuma jangan bagi dia tengok muka Murni.”

“Alhamdulillah, sekurang-kurangnya Murni ada tempat tinggal. Kenapalah dari hari tu mama tak buat macam ni. Kalau tak, tak perlulah abang lalui semua ni.”

“Jangan dikesali apa yang dah berlaku abang. Kita patut bersyukur satu masalah dah selesai.”

“Mama kat mana?”

“Kat bilik. Abang nak cakap dengan mama?”

“Tunggu dulu Ren, abang belum bersedia, kirim salam pada mama.”

“Okey bang. Take care.”

Selesai bercakap dengan Rais, Rania masuk semula ke bilik ibunya. Wanita itu masih dalam telekung.

“Abang Rais kirim salam pada mama,” ucap Rania di tebing telinga ibunya. Kedua-dua tangannya merangkul bahu ibu.

“Pergilah tidur Ren, esok nak sekolah.”

Rania angguk. Sudah berpuluh-puluh kali dia menguap.

Matanya sudah berasa berat tapi jiwanya berasa ringan dan lapang dapat meringankan beban masalah Rais dengan Murni.

Sewaktu Puan Sri Zalia berpaling ke arah Rania, kepala anak gadisnya itu sudah terlentuk. Nyenyak sekali tidurnya. Dengkur halusnya kedengaran.

“Anak, sucinya hati kau. Sudah ditikam berkali-kali oleh perempuan bernama Murni itu tapi masih sudi kau membantu budak itu!” Diusapnya kepala Rania.

Terima kasih Tuhan, memberikan aku anak seperti Rania! Sejuk perut aku!

Tuesday, August 21, 2012

Novel Bersiri - Cikgu Rania 2 (Siri 7): Bukan Biduk Berlalu

Oleh Samsiah Mohd Nor
     
PARA pendidik yang mengajar tingkatan tiga menarik nafas lega setelah berakhirnya Peperiksaan Menengah Rendah (PMR). Namun aktiviti-aktiviti selepas PMR yang telah dirancang untuk murid-murid tingkatan tiga tetap dilaksanakan.
Untuk mengelakkan mereka berbuat bising dan mengganggu kelas-kelas yang masih berhadapan dengan peperiksaan, banyak aktiviti mereka dilaksanakan di padang sekolah. Murid-murid tingkatan lima sedang bergelut dengan peperiksaan gerak gempur yang baru saja bermula manakala murid-murid tingkatan empat masih lagi menduduki peperiksaan akhir tahun.

Sungguhpun aktiviti mengajar sudah berkurangan pada musim peperiksaan tetapi kerja-kerja lain masih banyak. Fail-fail panitia termasuk fail meja para guru perlu dikemas kini. Buku-buku latihan murid sepatutnya sudah dipulangkan. Untuk memaklumkan kepada guru tentang saki-baki kerja yang perlu disiapkan, pengetua mengadakan mesyuarat pada jam 2.30 petang.

“Ada empat puluh lima minit sebelum mesyuarat, apa kata kita pergi makan mihun sup Kak Yati dulu, saya lapar ni,” usul Rahah kepada Rania.

Walaupun mereka sebaya tapi Rahah senior dua tahun daripada Rania di sekolah. Dia yang masih solo seperti Rania mudah diserang pedih hulu hati kalau perut kosong.

“Awak dah solat?” tanya Rania kemudian.

“Dah. Kalau nak pergi elok pergi sekarang. Awak dah solat Ren?”

“Dah.”

“Kalau macam tu, jomlah sekarang,” desak Rahah.

Mereka menaiki kereta Rania menghala ke arah Pangsapuri Sutera di belakang sekolah. Di luar pagar Pangsapuri Sutera itulah terletaknya gerai Kak Yati yang berniaga sejak lima belas tahun dulu. Menu jualan Kak Yati banyak tapi mihun sup Kak Yati paling terkenal. Aroma daripada sup daging Kak Yati boleh memancing selera sesiapa sahaja.

Sewaktu mereka sampai, ada beberapa orang murid sekolah yang baru selesai menjamu selera. Mereka menegur kedua-dua guru tersebut sebelum meminta diri untuk pulang.

“Mak bapak bekerja, di sinilah budak-budak tu makan tengah hari,” jelas Kak Yati.

“Eloklah ada gerai Kak Yati ni, bukan budak-budak saja boleh menumpang makan, cikgu pun sama,” Rahah berseloroh.

Sementara menunggu mihun sup, Rahah ambil sepuluh keping keropok lekor.

“Buat alas perut,” kata Rahah sambil mengunyah keropok nipis yang garing itu.

“Kalau dah sepuluh keping bukan namanya alas perut lagi,” gurau Rania.

“Ni untuk kita berdualah,” Rahah tergelak kecil.

Sebuah kereta Porsche Cheyyen berwarna hitam melalui selekoh simpang tiga di penjuru Pangsapuri Sutera. Kenderaan bercermin gelap itu menarik perhatian Rahah. Sambil menjamu selera, dia menjamu mata kerana dia duduk mengadap jalan raya. Dia teruja melihat kenderaan mewah yang melewati matanya lalu akhirnya berhenti di sebelah kereta Rania.

“Wow, kereta dah cantik, aku nak tengok pemandunya,” bisik Rahah kepada Rania yang tengah membelek surat khabar Harian Metro. Mihun sup yang berkepul-kepul asapnya sudah terhidang di depan mata. Rania meletakkan surat khabar di sisi lalu mula menghirup sup.

“Ren, handsomenya mamat tu,” Rahah seakan menjerit kecil tatkala melihat seorang lelaki bertubuh tegap yang baru keluar dari kereta. Lelaki yang bercermin mata hitam itu berseluar jean dikenakan dengan baju-t merah.

“Ren... tengoklah. Handsome gila! Tak pernah nampak pun mamat ni sebelum ni,” mulut Rahah masih bercerita.

Matanya galak mencuri pandang pada lelaki kacak itu. Nampak gayanya lelaki itu menghala ke arah gerai Kak Yati. Rahah sudah tidak menentu.

“Mulut awak tu dah kena cili, sapu sikit,” tegur Rania.

Cepat-cepat Rahah capai tisu dan mengelap sekeliling mulutnya.

Lelaki kacak makin mendekati. Rahah bagai hendak sawan apabila lelaki itu tersenyum padanya seraya memberi salam. Dia menyahut salam lelaki tersebut manakala Rania terus menoleh apabila dia berasakan suara itu seperti biasa didengari.

“Hai Ren,” tegur lelaki itu dengan mesra sekali sebaik sahaja mata Rania memanah matanya.

Dia tersenyum lantas duduk di sebelah Rahah dan mengadap Rania. Bulat mata Rahah merenung Rania. Rania terkulat-kulat sebab terkejut dengan kemunculan Ummar Qayyum.

“Hai.” Dengan perasaan kekok, Rania membalas sapaannya. Perasaannya bercampur-aduk detik itu.

“Boleh join?” tanya Ummar Qayyum. Rania angguk cuma manakala Rahah sudah menggamit tangannya pada Kak Yati.

Ummar Qayyum hanya memesan air bandung tanpa makanan. Rania tidak lupa memperkenalkan Ummar Qayyum pada Rahah. Gadis itu tersipu-sipu apabila ditanya beberapa soalan oleh Ummar Qayyum. Empat keping keropok yang masih bersisa di pinggan tak jadi dimakan oleh Rahah.

“You dari mana Qayyum?” tanya Rania untuk menghilangkan perasaan tidak selesa yang melanda dirinya.

“Dari rumah nak pergi sekolah you. Ingat nak ajak you pergi KL lepas sekolah tapi nampak kereta you melencong ke sini, ikut sajalah.”

“You ni suka buat gempak. Tak boleh call dulu ke sebelum datang?” tegur Rania.

“Ingat nak surprise,”

“Encik Qayyum betul-betul tak nak makan ni?” tanya Rahah yang masih terkejut tapi berbesar hati diperkenalkan kepada lelaki sekacak Ummar Qayyum.

“Mana sempat dia nak makan. Kita kan ada meeting kejap lagi,” sampuk Rania sebelum Ummar Qayyum menjawab.”

“Tak apa. I minum saja, lagipun dia tak bagi I makan,” Ummar Qayyum sengaja menyakat Rania.

“Kejap lagi kita dah nak pergi,” Rania membela diri.

“Eh Ren, tak apa. Sempat. Apa nak kecoh-kecoh!” tegur Rahah.

“I tak suka kita masuk mesyuarat lambat.”

“Sempat. Relakslah.” Rahah yang selalu kalut tiba-tiba boleh berubah jadi setenang itu.

Menyedari dia agak tergopoh-gapah, Rania akhirnya mengalah. Sempat mereka bertiga berbual-bual biasa sebelum kedua-dua orang guru muda itu minta diri untuk balik ke sekolah.

“Jumpa I kat sekolah kejap ya,” pesan Ummar Qayyum sebelum Rania pergi.

Sempat Rania menjeling ke arah kereta Ummar Qayyum. Kereta siapa pula dia bawa ni? Patutlah aku tak perasan, detik hati Rania.

“Siapa mamat handsome gila tu?” Itu soalan pertama yang terpacul keluar dari mulut Rahah sebaik sahaja kereta Rania bergerak menuju ke sekolah.

“Kawan.”

“Kawan saja? Awak ni biar betul. Bukan boyfriend ke? Kekasih ke? Tunang ke?” Bertalu-talu soalan dilontarkan oleh teman sejawatannya itu.

Rania diam.

“Kalau kawan saja, boleh kenalkan pada saya?” Wajah Rahah berseri-seri.

“Kan tadi dah kenalkan.”

“Alah Ren, mengaku sajalah itu kekasih hati awak. Awak ni buat hati saya lebur saja.”

Rania tertawa kecil. Kereta sudah masuk ke perkarangan sekolah. Rania parkir kereta di hadapan kantin. Rahah pura-pura tarik muka.

“Tu ha, kereta kekasih awak kat sebelah tu. Pergilah cepat. Saya cop tempat untuk awak.”

Ummar Qayyum keluar dari kereta dan duduk di bangku di kantin. Ada beberapa orang murid perempuan yang memandang padanya sambil berbisik-bisik sesama sendiri.

“Kenapa datang ke sekolah. Dahlah tak cakap awal-awal. Segan I tahu!” ujar Rania sebaik saja dia mengadap muka Ummar Qayyum.

“Salah ke I datang? I nak kenal sekolah you Ren.”

“Lain kali beritahulah.”

“I call you tak angkat.”

“Mana ada?”

“Nanti you check phone you tu.”

“Kenapa you cari I sampai ke sini?” Rania menjeling. Dia sangat tidak selesa lebih-lebih lagi menyedari banyak mata anak-anak murid yang meneropong ke arah mereka.

“Ada dua sebab. Pertama, kan I cakap I nak ajak you balik kampung.”

“Takkan sekarang?”

“Memanglah tapi sebelum balik nak ajak you pergi KL. Nak beli barang dulu. Kedua, I datang jumpa you kat sini sebab I nak tengok you, I rindu,” ujarnya selamba.

Senyumnya meranum. Merah muka Rania mendengarnya.

“Okey Qayyum, I kena pergi.” Kerana malu, segera Rania bangkit.

“Dah habis meeting karang, call ya,” pesan Ummar Qayyum sebelum Rania pergi.

Rania diam cuma. Dia hanya tunduk dan langsung tidak berani berpaling ke mana-mana kerana dia sedar ada murid-murid yang masih memerhatikan mereka berdua.

Masuk saja ke dalam bilik mesyuarat, Rahah terus menggamitnya. Nasib baik pengetua belum masuk. Suara guru-guru yang sedang berbincang dan berbual sesama mereka melontarkan sedikit rasa gemuruh yang masih bersisa di dadanya. Rahah masih tidak puas hati dan terus mengasaknya dengan pelbagai pertanyaan. Naik rimas Rania dibuatnya.

“Nantilah saya cerita,” kata Rania.

Diam sekejap mulut Rahah apabila kelibat pengetua masuk ke bilik mesyuarat. Rania tidak dapat memberikan sepenuh perhatian kepada taklimat pengetua kerana dibayangi wajah Ummar Qayyum. Bersungguh-sungguh benar Ummar Qayyum kali ini. Hari Ahad semalam, walaupun mereka tidak bertemu tetapi berbelas-belas kali Ummar Qayyum menghubunginya.

Hari ini dia muncul pula di sekolah. Hampir terlepas sudu di tangannya di gerai Kak Yati tadi semasa mendengar suara Ummar Qayyum.

Qayyum, Qayyum, bisik Rania sendiri. Selesai mesyuarat, Rania bergegas pulang ke rumah. Usai solat Asar, terus dicapainya telefon bimbit. Banyak benar panggilan yang tidak berjawab. Selain Ummar Qayyum, ada beberapa panggilan lain dan tidak ketinggalan panggilan daripada Murni. Rania

mendengus. Apa lagi si Murni ini, akhir-akhir ini kerap sangat cuba hubungi aku, detik hatinya. Dia kemudiannya menghubungi nombor Ummar Qayyum.

“Lamanya meeting. Kat sekolah lagi?” tanya Ummar Qayyum.

“Taklah lama mana meetingnya. I drove back first. Solat Asar dulu dan baru call you.”

“Oh! Dah ada kat rumah sekarang?”

“Ya. Sorry, you datang tadi I tak boleh entertain. Ada mesyuarat. Buang masa you saja datang.”

“Siapa kata buang masa? Dengan you tak ada istilah buang masa, Ren.” Ummar Qayyum membuat pembetulan.

“Okey, sorry,” ujar Rania menyedari dia terlepas cakap.

“Bila you free? I Kena bawa you ke kedai sebelum balik kampung jumpa mak hujung minggu ni.”

“Hujung minggu ni?” tanya Rania balik.

“Kan I dah cakap hari tu.”

“Kenapa nak I jumpa mak you?” tanya Rania berbasi-basi padahal dia sudah dapat menduga apa mahunya Ummar Qayyum.

“Ren, please, you tahu kan!”

“No. I don’t,” usik Rania.

“Okey. Emak tunggu kita pasal dia nak jumpa bakal menantu sekali lagi. Banyak yang nak dibincangkan.”

“Oh gitu? Dengan ibu bapa i you dah bincang?”

“Dah, sepintas lalu hari tu masa hari pertama I ke rumah you. Masa you tengah bersiap. Dengan you saja belum. Tu yang I nak ajak bincang.”

“Kenapa tak bincang masa kita dalam perjalanan pergi balik ke Janda Baik baru ni?”

“Sesuai ke masa tu? Dahlah I kacau program orang dan ikut you ke sana. Lagipun masa tu you excited bercerita dengan Halim tentang projek pertaniannya tu kan! Tak sesuailah.”

Rania diam. Kali ini dia tekun mendengar setiap kata-kata yang keluar dari mulut Ummar Qayyum sebab serius nadanya.

“I harap you faham dan mengerti. Dan paling penting I harap you sudi terima I Ren. Kali ini biarlah semuanya dipermudahkan.”

Kata-kata Ummar Qayyum kedengaran ikhlas. Bagi Rania pula, dia tidak tahu apa perasaannya detik itu. Bercampur-aduk. Dia bahagia tapi pada masa yang sama dia takut dan gerun. Pengalaman yang pernah dilalui dulu menyerikkannya. Perhubungan yang sepatutnya berlangsung mudah jadi payah. Berapa kali dia gagal dalam perhubungan yang melibatkan lelaki. Pertama sekali dengan Farhan, putus sebab muncul seorang perempuan yang mendakwa mengandungkan anak Farhan.

Walaupun dia tidak pernah menyintai Farhan tetapi peristiwa itu menyebabkan dia sukar mempercayai lelaki. Kemudian datang pula Ummar Qayyum yang membawa sinar baru dalam hidupnya, malangnya Murni pula bawa cerita berbeza. Dia dianggap perampas kekasih orang. Selepas itu Halim. Hampir mereka disatukan namun Halim tarik diri pada saat-saat mereka hampir diijab kabul. Walaupun agak sedih tapi jauh di sudut hati dia bersyukur kerana Halim tidak pernah dicintai. Dia sayangkan Halim hanya sebagai kawan.

Pada saat itu dia sangat berharap agar Ummar Qayyum kembali semula ke pangkuannya tetapi Ummar Qayyum pergi. Dia ditinggalkan sepi sendiri tanpa sepatah berita pun diutus Ummar Qayyum. Dan kini setelah beberapa bulan menyepi di rantau orang, Ummar Qayyum kembali semula. Kembali dengan satu harapan! Bukankah pelik! Walaupun dia gembira dengan kepulangan Ummar Qayyum tapi terkilan juga hatinya.

“Kenapa diam ni?” Ummar Qayyum cuba menyelami hati Rania.

Rania menelan air liur. Sukar untuk diungkap dengan kata-kata. Itu yang Rania harap dan doakan selama ini. Tapi apabila mudah saja laluan yang Allah berikan kali ini, dia pula berasa semacam.

“Atau you perlukan lebih masa?” Ummar Qayyum memujuk.

“Hari Rabu I free. Kita keluar ya,” kata Rania kemudian.

Suara Rania lembut menusuk ke kalbu Ummar Qayyum. Dia berasa lapang dan lega setelah memberi kata putus kepada Ummar Qayyum.

“Syukur Alhamdulillah,” Ummar Qayyum memanjatkan rasa terima kasihnya.

“Terima kasih Ren, take care,” ujar Ummar Qayyum sebelum talian diputuskan.

Rania bertafakur sejenak. Semoga kali ini tidak ada lagi aral yang melintang. Tiada halangan dari Murni atau Halim lagi. Tolonglah Ya Allah Ya Rabbi, doanya sendiri.

Masuk satu mesej pesanan ringkas. Daripada Murni. Rania pejamkan matanya. Baru saja aku sebut namanya, dia dah hantar mesej! Detiknya seraya membaca mesej daripada Murni.

“Kak tolonglah hubungi saya.”

Rania mendengus. Apa lagi yang kau mahu Murni? Dia meneliti panggilan-panggilan yang tidak berjawab daripada Murni. Banyak sekali. Bukankah dia dijaga oleh Rais? Bukankah dia ditempatkan di kondominium Rais di Bukit Mulia. Dia teringat kali terakhir Rais menghubunginya. Rais merayunya memujuk mama supaya membenarkan Murni tinggal bersama mereka. Kenapa Rais memintanya berbuat demikian? Beranikah aku memberitahu dan memujuk mama?

“Ren saja yang dapat pujuk mama. Ren saja yang dapat melembutkan hati mama,”
Rania teringat-ingat akan kata-kata Abang Raisnya semasa berbual dengannya di telefon dulu. Dulu Rais yang memujuknya, sekarang Murni sendiri yang menghubunginya pula. Ada masalahkah antara mereka berdua? Atau sekarang Rais dah tak kisah Murni lagi? Sambil berfikir, Rania terus meneliti beberapa panggilan Murni yang tidak berjawab di telefonnya. Apa lagi yang Murni hendak? Abang Rais tidak pula menghubunginya.

Dari hari Sabtu panggilan daripada Murni bertubi-tubi. Jauh di sudut hati dia tertanya-tanya juga kalau-kalau Ummar Qayyum mengetahui tentang Rais dan Murni. Sehingga setakat ini kalau Ummar Qayyum bertanya padanya tentang Rais, dia hanya menjawab abangnya itu sibuk. Langsung tidak diberitahu pada Ummar Qayyum tentang hal Rais yang membantu Murni. Lebih baik Ummar Qayyum tidak tahu. Atau, entah-entah Ummar Qayyum tahu tapi sengaja tidak mahu kecoh! Fikirnya tiba-tiba.

Beberapa kali dia merenung nama Murni di skrin dan berfikir sama ada hendak dihubungi atau tidak. Dari petang dia berfikir tapi lepas solat Isyak barulah tergerak hatinya untuk bertanya khabar pada Murni. Namun belum sempat dia menekan nombor Murni, perempuan itu terlebih dahulu menghubunginya.

“Kak Ren, terima kasih kerana angkat,” ujar Murni perlahan tetapi ketara suaranya bernada gembira.

“Maaf Murni. Kak Ren tak sempat nak call balik,” terang Rania.

Datang juga rasa bersalah pada Murni lebih-lebih lagi apabila dikenang rayuan Rais supaya memujuk ibunya membenarkan Murni tinggal bersama. Sehingga kini, dia masih belum berbincang apatah lagi memujuk ibunya. Tidak amanahnya aku! Rania mencerca diri sendiri.

“Tak apa kak. Yang penting sekarang Murni dapat bercakap dengan kakak.”
“Kenapa? Apa masalah Murni?”

“Murni sekarang kat kondo Abang Rais. Abang Rais tak ada. Murni takut. Murni perasan ada orang yang mencurigakan asyik memerhatikan rumah ni. Mungkin orang tu intip Murni.” Suara Murni jelas ketakutan.

“Intip Murni? Siapa?” tanya Rania.

“Murni tak tahu tapi Murni syak orang yang aniaya Murni.”

“Orang yang aniaya Murni? Siapa yang aniaya Murni?” tanya Rania yang tidak tahu kedudukan dan cerita sebenar.

Itulah hakikat yang sebenarnya. Dia tidak tahu apa yang berlaku pada Murni sebab tidak diberitahu dengan panjang lebar oleh Rais. Yang dinyatakan Rais hanyalah Murni sedang menghadapi masalah dan ditumpangkan di kondominiumnya. Itu sahaja!

“Panjang ceritanya kak. Murni cuba hubungi Abang Rais tapi tak dapat.”

“Sejak bila Murni tak dapat hubungi Abang Rais?”

“Semalam Abang Rais datang hantar makanan tapi hari ni Abang Rais langsung tak muncul.”

Risau juga Rania mendengar cerita Murni. Apa sebenarnya yang berlaku? Bagaimana Abang Rais boleh terlibat sekali? Fikir Rania dengan pelbagai hipotesis.

“Boleh tak Kak Ren datang ke sini?”

“Datang ke sana? Bila?”

“Sekarang.”

“Sekarang? Ni dah malam Murni. Esok Kak Ren sekolah.”

“Murni takut kak. Murni telefon Abang Rais pun tak berangkat-angkat.”

“Tak apalah Murni. Biar Kak Ren call abang. Murni duduk diam-diam kat situ. Jangan buka pintu kalau ada siapa-siapa ketuk. Nanti Kak Ren fikir macam mana,” janji Rania.

Sesudah itu, beberapa kali cuba didail nombor telefon Rais tapi hampa. Abang ini pun satu, waktu macam ini selalu tak angkat telefon. Jam sudah pun menunjukkan pukul 9 lebih. Takkan aku nak pergi sana? Kalau aku pergi sana pun, apa yang boleh aku buat?

Kerana gagal menghubungi Rais, Rania menghantar mesej pesanan ringkas memaklumkan pada Rais tentang situasi Murni. Perasaan bimbang tetap menyelubungi Rania.

Kasihan pula Murni, sudahlah duduk seorang diri. Wajarkah aku memaklumkan Ummar Qayyum? Detik hatinya pula. Puas berfikir begitu begini, akhirnya Rania mengambil keputusan berterus-terang dengan ibunya. Terbelalak mata Puan Sri Zalia mendengar cerita bahawa Rais menumpangkan Murni di kondominiumnya di Bukit Mulia. Tambah terkejut apabila mendengar rancangan Rania untuk pergi melihat Murni.

“Jangan. Cukuplah Abang Rais seorang jadi bodoh. Ren tak usah,” bentak Puan Sri Zalia.

“Mama, kasihan dia. Dahlah duduk seorang, takut pula!”

“Kenapa pula Ren yang nak pergi tengok dia? Nak pergi menyembah dia? Dia tu dah beruntung diberi tempat tinggal oleh Rais. Biar dia uruskan diri dia sendiri.” Meradang benar Puan Sri Zalia mendengar cerita tentang Murni.

“Mama, dia tengah ketakutan ma.”

“Ren, Ren tahu tak sekarang pukul berapa? Ren ingat senang-senang mama nak
bagi Ren pergi? Jauh perjalanan nak ke sana. Dia elok-elok kat sana Ren pula nak redah Kuala Lumpur malam-malam macam ni. Tak payah! Mak tak izinkan!”

“Entah apalah masalahnya mama. Abang Rais pun tak jawab panggilannya. Kasihan dia ma. Ren pergi dengan Qayyum ya!”

“Ren tak boleh fikir ke? Entah-entah Abang Rais pun agaknya dah bosan dengan perempuan tu, sebab tu dia tak jawab telefon. Dah. Jangan rayu-rayu mama lagi. Tak usah pergi!” putus Puan Sri Zalia.

Dia tinggalkan Rania sendirian di ruang tamu.

Rania tiada pilihan. Dia duduk sahaja di rumah. Beberapa mesej pesanan ringkas daripada Ummar Qayyum dipandang sepi sahaja. Ringan sahaja jarinya mahu menghantar mesej pesanan ringkas kepada Ummar Qayyum menyatakan tentang kemelut yang melanda Murni tapi akhirnya dibatalkan niat itu. Dia tidak sedar pukul berapa dia tertidur di sofa di ruang tamu tetapi dia terkejut apabila telefonnya berdering jam 3.14 pagi. Rania menenyeh-nenyehkan matanya.

“Tiga pagi, siapa yang telefon ni?” Dicapainya telefon yang terus-terusan berbunyi.

“Ummar Qayyum?” Terkejut juga tatkala dia melihat nama Ummar Qayyum di skrin telefon pada jam 3.14 pagi.

“Qayyum, apa hal?”

“Ren you bersiap sekarang ya. I am on my way to fetch you.”

Berderau darah Rania mendengarnya. Segera dia melompat dari sofa. “Kenapa Qayyum?”

Tuesday, August 14, 2012

Cikgu Rania 2 (Siri 6): Kerana manisnya jambu

Oleh Samsiah Mohd Nor
  
TAN Sri Razlan sudah berada di dalam kereta menunggu isteri. Dia berbual kosong dengan Pak Mud. Pemandu rasminya iaitu Raja Jaziman bercuti jadi pada hari itu Pak Mudlah yang menggantikan tempat pemandu rasminya. Sesekali Tan Sri Razlan mengerling isterinya yang masih berpesan berbagai-bagai kepada Rania.
“Orang perempuan Pak Mud. Nak ke mana-mana, tengoklah tu. Berpesan macam nak pergi sebulan padahal malam karang balik,” rungut Tan Sri Razlan.

Pelbagai buku yang diletakkan dalam kotak yang terletak di antara dua tempat duduk belakang dibeleknya. Dicapai sebuah yang bertajuk “Who Moved My Cheese?”
tulisan Dr Spencer Johnson lalu dibelek sepintas lalu.

“Hati-hati bawa kereta ya Ren. Kirim salam mama pada Kak Ros,” tidak habis lagi butir bicara Puan Sri Zalia sungguhpun separuh tubuhnya sudah masuk ke dalam kereta.

“Ya ma,” sahut Rania. Sewaktu giliran bapanya berpesan, Rania terkedu seketika. Dia terkenang peristiwa melihat bapanya bersama perempuan muda di Pavilion tapi segera dikuis ingatan yang tidak mahu diingat itu. Aku tak mahu menyemakkan fikiran aku! Tak mahu! Laungnya di dalam hati.

Rania pula cepat-cepat membersihkan diri sebaik sahaja ibu bapanya berangkat.
Dia bersiap ala kadar sahaja. Sungguhpun bersolek ringkas tetapi dia tetap cantik dipandang. Mata Makcik Rohaya tak puas tatap dan selalu melekat di wajah putih bersih Rania setiap kali Rania berbual dengannya. Ada mesej pesanan ringkas masuk ke dalam telefon Rania tapi tidak diendahkan.

Seketika kemudian terdengar bunyi loceng di pintu pagar. Makcik Rohaya menerpa ke depan manakala Rania masih di dapur membancuh Milo untuk dirinya. Sekeping roti Rania capai lalu disapukan mentega kacang di atasnya. Baru saja dia mahu menyuapkan roti yang sudah dilipat dua masuk ke mulut, salam seseorang mengejutkannya. Rania berpaling. Ummar Qayyum tersenyum menggoda. Di sebelahnya Makcik Rohaya tersenyum simpul.

“Qayyum datang Ren,” ujar Makcik Rohaya. Dia pula yang lebih teruja.

Roti di tangan tak jadi disuap ke mulut malah anak gadis itu mendadak berdiri kerana terkejut.

Ummar Qayyum merapatinya.

“Suka datang mengejut begini,” rungut Rania.

“I hantar mesej you tak baca?” bisik Ummar Qayyum.

Rania rasa Ummar Qayyum berdiri begitu dekat dengan dirinya. Jantung Rania berdegup kencang. Kerana kurang selesa dengan debaran yang melanda, Rania menjarakkan dirinya dengan lelaki itu.

“Tak nak ajak I bersarapan sama ke?” tanya Ummar Qayyum menyedari tindakan Rania.

Di atas meja ada mi goreng, roti dan juga kuih donat.

“Eh...duduklah. I pun baru nak sarapan,” sapa Rania dan duduk di kerusi lain.

Tanpa segan silu, Ummar Qayyum duduk di sebelah Rania. Makcik Rohaya dengan sukarela membancuh Nescafe setelah bertanya pada anak muda itu minuman kesukaannya.

“Pukul berapa you nak pergi?” tanya Ummar Qayyum.

“Pergi mana?” tanya Rania kehairanan.

“Kan you ada program pagi ni.”

“Memang. Tapi bukan program dengan you,”

“I tahulah you ada program dengan Halim. Nak ke Janda Baik tengok kebun jambu Halim kan? Pagi-pagi lagi I dah datang takut kena tinggal.”

Rania terkesima. Terkebil-kebil dia memandangi Ummar Qayyum. Dia masih terkejut sebenarnya. Akhir-akhir ini Ummar Qayyum suka sangat buat kejutan.
Balik ke Malaysia secara mengejut. Pagi-pagi buta muncul di rumahnya mengejut juga.

“I nak ikut tak kiralah you ajak atau tidak,” sahut Ummar Qayyum selamba.

Mi goreng yang digoreng Makcik Rohaya dimakan dengan berselera sekali. Kembang hati Makcik Rohaya melihatnya.

“You nak ikut?” Rania inginkan kepastian. Walaupun dia suka tetapi tidak ditunjukkan.

“Mestilah. Takkan I nak lepaskan you pergi seorang. Lagipun I suka makan jambu. Jambu yang ditanam Halim mesti sedap kan?” giat Ummar Qayyum. “Mi goreng mak cik pun sedap,” puji Ummar Qayyum membuatkan Makcik Rohaya tersenyum simpul.

“Elok sangat Qayyum ikut,” sampuk Makcik Rohaya.

“Tulah mak cik. Ren nak pergi tak pelawa saya pun, saya buat muka tak malu saja.”

Pengakuan Ummar Qayyum membuatkan Makcik Rohaya tergelak kecil. Rania tolong sendukkan mi ke pinggan Ummar Qayyum tatkala melihat anak muda itu menarik mangkuk besar mi menghala ke arah pinggannya.

“Terima kasih, I suka,” bisik Ummar Qayyum.

“Suka? Suka apa?”

“Suka you layan I makan,”

Rania buat-buat tak dengar. Tapi dia bahagia dengan cara Ummar Qayyum itu.
Lelaki itu pandai mengambil hati dalam pada dia berlawak. Melihat jam sudah pun melewati pukul 9 pagi, Rania mengajak Ummar Qayyum bergerak.

“Halim tahu tak Qayyum ikut Ren?” bisik Makcik Rohaya sebelum Ren masuk ke kereta.

“Tak ma kcik. Dia ni main belasah saja. Datang suka-suka hati,” balas Rania, berbisik juga.

Ummar Qayyum yang mendengar perbualan mereka senyum sekilas. Dia bahagia sebenarnya. Bahagia kerana kedatangannya yang tidak diundang itu diterima Rania. Bimbang juga dia kalau-kalau Rania tidak berkenan dengan caranya itu.

“Kalau mak cik, mak cik suka!” Goda Makcik Rohaya.

Ummar Qayyum tersengih mendengar jawapan Makcik Rohaya. Bahagia benar Makcik Rohaya melihat pasangan teruna dara itu berkereta bersama-sama. Bagai pinang dibelah dua. Bujang dengan dara. Sama cantik sama padan. Aduhai, mudah-mudahan adalah jodoh mereka, doa Makcik Rohaya sebaik sahaja kereta dipandu Ummar Qayyum bergerak keluar pagar.

Sepanjang perjalanan, Ummar Qayyum tidak henti-henti mengusik Rania. Gadis itu ternyata telah banyak berubah dan lebih terbuka. Senyumnya sentiasa ranum di bibir. Ummar Qayyum dibintangi selautan bahagia. Sebenarnya sebelum pulang ke Malaysia, dia sudah banyak mengatur rancangan, cuma semua rancangan itu belum terlaksana sahaja. Pertama, dia mahu membeli sesuatu untuk Rania, kedua membawa anak gadis itu berjumpa ibu. Hajat hatinya hendak membawa Rania ke rumah Bakhtiar sahaja tetapi emak mendesaknya membawa Rania di kampung.

Lepas ini barangkali rancangan boleh diteruskan, fikir Ummar Qayyum. Telefon Rania berdering tiba-tiba.

“Assalamualaikum Kak Ros,” sapa Rania kepada pemanggil.

“Waalaikumusalam. Ren kat mana?”

“Dalam perjalanan. Dah dekat dah Kak Ros.”

“Okey..okey...” sahut Ros Ilyani riang. “Drive baik-baik tau,” ujarnya lagi seraya menggamit tangan pada Halim yang berlari-lari anak menghala ke arahnya.

“Rania dah nak sampai,” kata Ros Ilyani pada adiknya.

Halim membetulkan pakaiannya dan menyikat rambut supaya kelihatan kemas. Sejak pagi dia menanti. Menunggu kedatangan Rania ibarat menunggu pengantin yang mahu bertandang. Itulah yang dirasakan oleh Halim saat itu.

“Kalau Ren tengok buah-buah jambu kau yang besar dan gebu ni, mesti dia seronok. Datang sekali lagi dia akan bawa rombongan murid-murid sekolah ke sini. Tak silap akak, sekolah Ren sekarang ada subjek Pertanian. Bolehlah kau beri sedikit ilmu pada cikgu sekolah Ren tu Lim,” jelas Ros Ilyani.

Di bahagian belakang, pokok-pokok buah jambu batu milik Halim agak luas. Dari jauh nampak memutih buah-buah jambu yang dibungkus dengan plastik. Dua orang pekerja Indonesia iaitu Parjo dan Tarmizi yang digaji Halim tekun membajai pokok-pokok jambu fasa kedua yang berusia enam bulan. Melihat adiknya yang masih mempersiapkan diri, Ros Ilyani menegur.

“Kau ni kacak lagi Lim,” puji Ros ilyani.

Halim tersenyum.

“Kau tak nak kahwin lagi?”

Halim mengeluh berat. “Buat masa ni saya tak mahu fikir hal tu kak.”

“Kalau kau kahwin, adalah tempat kau nak bermanja.”

“Saya nak bermanja dengan pokok-pokok jambu saya ni.” Kebun pokok jambu yang saujana mata memandang, dipandang Halim.

“Kamu patah hati dengan Ren sampai terus tak nak kahwin?”

Halim diam. Air mukanya berubah.

“Salah kamu Lim. Kamu yang putuskan hubungan dengan Ren padahal kamu dah hampir bernikah dengan dia.”

Halim duduk di bangku kayu. Dia merenung jauh.

“Memang saya putuskan tapi saya ada alasan kuat kak. Ren nak kahwin dengan saya atas banyak sebab. Sebab kasihan, sebab tak sampai hati nak tolak cinta saya, sebab merajuk dengan Ummar Qayyum, sebab campur tangan Murni, sebab nak majukan saya, nak motivate saya, sebab sayangkan akak tapi malangnya saya tak jumpa satu faktor kuat dari Ren.”

“Sebab dia tak sayangkan kau?”

“Dia sayang tapi tak cinta. Dia cintakan Ummar Qayyum.”

“Sudahnya semua melepas. Kau di sini dengan buah jambu kau. Ummar Qayyum di Sweden dan Ren terkontang-kanting bersendirian di Kuala Lumpur.”

Halim mengeluh lagi.

“Kalau Ren cintakan saya, tak semudah itu dia menerima keputusan saya untuk tidak berkahwin dengan dia.” Halim membuat kesimpulan sendiri.

Ros Ilyani sedar akan hakikat itu. Memang dia sendiri tidak menafikan betapa mudahnya Rania menerima keputusan Halim tapi malangnya cinta antara Rania dengan Ummar Qayyum juga tidak kesampaian.

“Tiada cintanya buat saya menyebabkan saya tak sanggup nak kahwin dengan Ren,”
Halim merenung jauh.

“Sabar sajalah Lim. Kalau ada rezeki jodoh kau dengan Ren, bertemu juga,”
pujuk Ros Ilyani.

Halim diam saja tapi jauh di sudut hati perasaan kasih sayang dan cinta pada Rania tak pernah berubah. Kalau Rania boleh memandangnya sama seperti Ummar Qayyum, besar tapak tangan, nyiru ditadahkan.

“Eh kereta siapa tu?” ujar Ros Illyani.

Panjang leher Halim meninjau. Berkerut dahinya melihat sebuah kereta Mercedez memasuki lorong rumah mereka. Kak Ros turun tangga rumah apabila kenderaan bercermin gelap itu berhenti di hadapan beranda. Senyum Ros Ilyani mekar sebaik sahaja melihat muka Rania tapi sebaik saja tubuh tegap Ummar Qayyum keluar dari kereta, wajah Halim berubah serta-merta. Dengan segak dan senyum menawan, Ummar Qayyum menghampiri Ros Illyani dengan Halim. Tangan Halim dijabat erat manakala dia tunduk tanda hormat pada Ros Ilyani. Ros Ilyani bersama Rania naik ke rumah manakala Halim bersama Ummar Qayyum bersembang di beranda hadapan.

“Bila Qayyum balik?” soalan pertama ditanya Ros Ilyani pada Rania.

“Hari Rabu dia sampai Malaysia,” sahut Rania. Dia berdiri di tepi jendela seraya melemparkan pandangan pada kebun jambu di belakang.

“Ren ajak dia ke sini?”

“Taklah, dia datang sendiri pagi tadi kat rumah Ren. Dia kata nak ikut,” Rania berterus-terang.

“Kenapa Ren tak cakap Qayyum ikut?” tanya Ros Ilyani.

Terkilan rasanya melihat wajah Halim yang terkulat-kulat sebaik sahaja terpandangkan Ummar Qayyum. Belum sempat Rania menjawab, Halim muncul bersama Ummar Qayyum. Halim mengajak Rania melawat kebun jambunya. Mereka bertiga menghala ke belakang manakala Tarmizi bersama Parjo membantu Ros Ilyani menghidupkan api untuk membakar ikan dan pari.

Rania terpesona melihat kebun buah jambu milik Halim yang rendang tapi lebat buahnya. Halim dengan senang hati menunjuk cara penjagaan buah jambu. Dia menjelaskan kepada tetamu tentang penggunaan baja yang dibuat sendiri.
Anak-anak ikan yang dibeli dipasar dijadikan baja organik semula jadi.
Anak-anak ikan itu terlebih dahulu diperap dengan air sehingga reput. Air rendaman ikan itu kemudiannya dicampur air dan disiram ke pokok-pokok jambu.
Hasilnya, buah-buah jambu bukan sahaja lebat buahnya bahkan manis rasanya.

“Sedapnya. Lembut tapi rangup,” pujian Rania menyebabkan hidung Halim kembang kempis.

Ummar Qayyum turut memuji keenakan buah jambu Halim.

“Boleh komersialkan tanaman ni Halim. You ada cara you sendiri menghasilkan buah yang sangat sedap ini. Idea ni boleh dikongsi dengan Fama. Barangkali mereka pun tak tahu teknik yang you gunakan,” Ummar Qayyum memberikan buah fikiran.

“Lepas ni, saya ingat nak tanam buah anggur pula. Saya dah dihubungi oleh pihak Jabatan Pertanian Janda Baik. Mereka tawarkan saya anak-anak pokok anggur jenis Isabella, Alfonso Lavelle dan IAC. Pokok-pokok anggur tu boleh ditanam di kawasan beriklim sederhana macam negara kita.”

“Boleh hidup ke anggur Lim?” tanya Rania dengan penuh minat.

“Apa pula tak boleh. Di Sungai Siput, projek ni dah berjaya pun. Bukan setakat hidup malah anggur Sungai Siput dah dikomersialkan pun. Tu yang buat aku makin bersemangat.”

“Wah bagusnya projek kau Lim,” pujian Rania makin memekarkan senyum di bibir Halim.

“Kalau tak kerana kau Ren, aku tak sampai ke tahap ini. Kau yang memotivasikan aku, memberikan semangat sehingga aku bangkit.” Renungan Halim dikerling Ummar Qayyum. Lelaki kacak itu tidak selesa melihat cara Halim merenung Rania. Dia cemburu lebih-lebih lagi melihatkan ketrampilan Halim.

Keringat yang menitik dari tubuh Halim yang berkulit sawo matang itu menampakkan fizikalnya yang gagah dan bertenaga. Dulu fizikal Halim tidak begitu. Wajahnya yang berahang besar pula mempamerkan wajah jantan. Kini, Halim yang ada di hadapannya jauh berbeza.

“Kau yang berusaha dengan titik peluh kau sendiri Lim,” Rania membalas.

“Tapi kau di belakang aku, meniupkan obor semangat. Tanpa kau tak mampu aku walaupun untuk bertatih,” bantah Halim.

“Aku kagum dengan kau Lim. Sahabatku yang berhati waja.” Senyum Halim makin kembang.

“Samalah. Aku pun kagum dengan cikgu Rania kita ni,” usik Halim pula.

Ummar Qayyum buat muka. Bosan pula dia mendengar orang berdua itu saling memuji. Dia rasa terasing di antara mereka berdua. Hendak menyampuk tidak tahu celah mana boleh masuk. Sudahnya telinganya menahan sahaja apa yang didengar.

“Tengoklah kebun jambu kau tu, terhibur aku. Belum lagi tengok kebun anggur.
Rasa macam nak pindah dan duduk kat sini,” ungkapan Rania kali ini mengejutkan Ummar Qayyum. Terkebil-kebil dia seketika.

“Kecil tapak tangan nyiru aku tadahkan Ren, lagi bersemangat aku kalau kau ada di sini,” sampuk Halim pantas.

Ummar Qayyum berdehem. Suara Ros Ilyani memanggil mereka menghentikan perbualan rancak Halim dan Rania.

“Kak Ros dah ajak makan, jom Ren, Qayyum,” Halim mempelawa.

Nasib baik Kak Ros panggil, kalau tidak makin panjang pula gurau senda orang berdua ini, leter Ummar Qayyum dalam hati. Hatinya yang mulai membengkak, makin terasa tatkala menyaksikan Halim bersama Rania bergandingan menuju ke pondok di pinggir kebun tempat Ros Ilyani bersama dua orang pekerja menyiapkan makan tengah hari.

Mereka duduk bersila di atas tikar. Rania diapit oleh Halim di sebelah kiri manakala Ummar Qayyum duduk di sebelah kanan. Bermacam lauk-pauk diletakkan di atas dulang besar. Semangkuk ikan patin masak tempoyak nampak begitu menyelerakan. Ada macam-macam ulam seperti pucuk jambu gajus, kacang botol dan petai. Tarmizi membawa beberapa kepingan ikan pari yang baru dibakar bersama air cecah.

“Sedapnya,” Rania sudah pun menyendukkan nasi ke pinggannya. Ummar Qayyum menarik isi pari lalu diletakkan di pinggan Rania. Halim tidak mahu kalah. Dia sendukkan air asam lalu dituang di atas ikan pari yang masih berasap.

“You nak ikan patin bahagian mana Ren?” tanya Ummar Qayyum. Dia sudah pun memegang sudu dan merancang hendak menyendukkan ikan patin ke pinggan Rania.

“Mana-mana pun boleh,” kata Rania. Mendengar itu, cepat saja Halim ambil senduk yang lebih besar lalu dikaupnya ekor ikan patin lantas terus diletakkan di pinggan Rania. Terkejut Ummar Qayyum dibuatnya.

“Hah, bahagian ekor ni sedap. Ni patin Sungai Pahang, Ren bukan patin sangkar,” ujar Halim tanpa rasa bersalah.

“Besarnya. Tak habis ni. Pari bakar lagi.”

“Kalau you tak habis kita kongsi berdua ya,” pintas Ummar Qayyum pula.

Dia mencungkil isi ikan patin dan diasingkan dengan tulang. Bahagian isi yang masih bertulang dipindahkan ke pinggannya. Puas rasa hatinya melihat muka kelat Halim. Bingung Ros Ilyani menyaksikan telatah dua orang lelaki dewasa yang seperti budak-budak itu. Dia tahu baik Halim mahupun Ummar Qayyum kedua-duanya mahu memenangi hati Rania.

“Makan banyak-banyak patin tu Qayyum. You takkan jumpa spesis ikan ni di Sweden,” usik Halim melihat Ummar Qayyum sibuk mengasingkan isi ikan pari untuk Rania.

“Betul tu. Tak jumpanya ikan patin. Ikan pari ni pun sedap,” sampuk Rania. Dia begitu asyik mencecah pari dengan air asam. Berpeluh-peluh mukanya penangan cili padi kampung. Ummar Qayyum capai tisu lalu disapu peluh yang menitik di hidung Rania.

“Makan macam budak,” usik Ummar Qayyum.

Rania tersenyum diusik begitu. Dia memang suka pedas walaupun tidak tahan dengan pedas cili kampung.

“Bapak ibu ini suami isteri gitu?” tanya Tarmizi. Dia senang melihat kemesraan pasangan muda yang sama cantik itu.

“Belum lagi tapi bakal menjadi isteri saya,” sahut Ummar Qayyum segera.

Merah muka Rania mendengarnya sedang air muka Halim berubah. Dia tunduk saja.
Ros Ilyani sedar kecewa yang melanda Halim.

“Bakal isterinya cantik bangat,” pujian Tarmizi melebarkan senyum Ummar Qayyum. Dia bangga mendengar pujian Tarmizi terhadap Rania.

“Sama ganteng dengan bapak!” sampuk Parjo pula.

Pujian Parjo tidak pula membuatkan Ummar Qayyum kembang hati. Dia sekadar senyum sekilas. Halim semakin menundukkan mukanya. Mendadak dia sedar akan dirinya. Perasaan rendah diri membelenggunya tiba-tiba. Ah Ren, manakan sama aku dengan kau. Kau boleh terbang dengan Qayyum. Enggang beriring enggang, manakan seiring dengan pipit kecil umpama aku.

“Lama Qayyum bercuti?” tanya Ros Ilyani sengaja menukar tajuk perbualan.

Dia perasan suapan Halim semakin perlahan. Jauh hatikah Halim?

“Insya-Allah sebulan saya di sini Kak Ros.”

“Ada apa-apa ke balik ke Malaysia ni?” tanya Ros Ilyani berbasi-basi.

“Saja balik. Lama tak tengok mak.”

Halim diam terus. Nasinya masih bersisa tapi dia sudah hilang selera. Dia angkat pinggan menuju ke pintu arah dapur. Pinggan Rania pula diangkat Ummar Qayyum.

“Eh tak apa. I boleh buat sendiri.” Pinggannya mahu dicapai semula tapi sudah direbut Ummar Qayyum.

“You tolong Kak Ros kemas,” dia mengenyitkan matanya pada Rania.

Selesai berkemas, mereka naik ke rumah dan mengerjakan solat berjemaah bersama-sama diimamkan Halim.

“Selepas ni you kena ikut I balik kampung I pula ya,” bisik Ummar Qayyum pada Rania semasa mereka minum petang di beranda.

“Buat apa balik kampung you?”

“Jumpa mak.”

“Kan mak you dah duduk dengan abang you.”

“Sebab nak jumpa bakal menantu, mak balik kampung dan nak jumpa you kat kampung,” cerita Ummar Qayyum.

Kampung Daun Pisang mengingatkan Rania pada Murni. Telefon Rania berdering.
Terkejut Rania sebaik saja melihat nama Murni di skrin telefon. Macam tahu-tahu saja Murni ni! Detik Rania. Dia teragak-agak untuk menjawab. Nasib baik deringannya tidak lama. Bila diteliti, baru Rania perasan ada berbelas-belas panggilan tidak berjawab daripada Murni.

Kenapa banyak kali Murni telefon? Fikir Rania.

“Kita cari tarikh dan masa yang sesuai ya!” kata Ummar Qayyum lagi.

Rania angguk cuma. Halim yang berdiri di celahan pintu bilik memandang putih mata. Jiwanya hiba!

Thursday, August 9, 2012

Cikgu Rania 2 (Siri 5): Lepaskan semalam

RUMAH Tan Sri Razlan meriah. Seisi keluarga gembira dengan kedatangan Ummar Qayyum. Puan Sri Zalia yang paling riang. Tan Sri Razlan pula tidak habis-habis berbual-bual mesra dengan Ummar Qayyum.
Kerana masih terkejut dan gementar menerima kehadiran Ummar Qayyum yang tiba-tiba itu, Rania menenangkan dirinya dengan cara sendiri. Dia membantu mak cik Rohaya di dapur.

“Tak ada apa nak dibuat di dapur Ren, mak cik boleh buat seorang.” Mak cik Rohaya lebih suka Rania melayan Ummar Qayyum di ruang hadapan bersama ibu bapanya.

“Ren...” Rania tergagap-gagap. Sebenarnya dia mati punca. Macam-macam perasaan melanda dirinya saat itu. Malu, gementar, bahagia dan macam-macam perasaan lagi.

“Kenapa? Terkejut Qayyum datang tiba-tiba?” tanya mak cik Rohaya.

“Ya mak cik. Ren tengah sedih kat taman seorang diri, tiba-tiba dia muncul. Ren macam tak percaya.”

“Ren gembira?” Duga mak cik Rohaya.

Rania tidak menafikannya. Melihat matanya yang bersinar-sinar itu, mak cik Rohaya dapat menduga apa yang ada di kalbu anak gadis nan jelita itu.

“Ren ingat pesan mak cik kan?” bisik mak cik Rohaya.

Cawan berjenama Noritake yang sedang disusun di atas dulang dipegang dengan teliti. Mak cik Rohaya tahu barangan mewah itu mahal harganya. Beberapa bulan gajinya pun tidak mampu dibeli satu set hidangan kopi dengan jenama tersebut.

“Ren ingat mak cik,” sahut Rania perlahan.

“Kalau Qayyum muncul lagi, jangan lepaskan dia...” bisik mak cik Rohaya.

“Ya mak cik. Ren ingat pesan mak cik. Ren terharu, Ren terkejut. Ren rasa macam mimpi bila Qayyum muncul tapi Ren bahagia sangat. Insya-Allah, Ren jaga hubungan ni...”

Perasaan yang dirasakan diluahkan pada mak cik Rohaya tanpa rasa malu. Dia sudah serik memendam rasa. Dia sudah penat menjaga hati orang lain sedang hati sendiri luka berdarah dan kesannya diri sendiri yang merana.

Dulu, kerana Murni, dia rela mengorbankan cinta dan memberi ruang untuk Murni dan Ummar Qayyum menjalin hubungan seperti mana yang didakwa Murni. Tapi hairannya, mengapa mereka tidak juga bersatu apabila aku telah menarik diri?
Murni akhirnya menjadi warga Kuala Lumpur manakala Ummar Qayyum membawa diri ke Sweden.

Perkahwinan aku dengan Halim juga tidak menjadi. Semua berantakan gara-gara Murni. Tapi aku tetap bersyukur apabila Halim membatalkan perkahwinan pada saat-saat akhir. Kalau tidak? Aduhai, tidak tahulah bagaimana perkahwinan aku dengan Halim kalau aku terus dibayangi Qayyum.

Pemergian Ummar Qayyum dulu barangkali menyedarkan dirinya. Apabila Ummar Qayyum menyepi diri, dia jadi sedih dan berduka lara. Tiada ucapan selamat Hari Jadi daripada Ummar Qayyum juga membuatnya makan hati. Sekarang Ummar Qayyum sudah kembali. Dia berharap masih ada sinar dalam hubungan mereka yang sentiasa diuji itu. Dan Murni? Ah persetankan perempuan itu. Cukuplah apa yang telah dilakukan selama ini. Aku tidak akan bertolak-ansur dengan perempuan itu lagi.

“Mak cik berdoa setiap masa untuk Ren,” suara hati mak cik Rohaya menjentik lamunan Rania kembali ke alam realiti.

“Terima kasih mak cik.” Rania peluk mak cik Rohaya. Air mata gembiranya bergenang.

“Eh kenapa ni?” muncul Puan Sri Zalia di ambang pintu dapur.

Rania lepaskan pelukan. Disapunya setitis air mata yang jatuh di birai pipi.
Mak cik Rohaya memberi isyarat pada Puan Sri Zalia.

“Qayyum nak ajak Ren keluar tu, pergilah bersiap,” arah Puan Sri Zalia.

Mendengar kata ibunya, Rania angguk dan pergi.

“Kenapa dengan Ren?” tanya Puan Sri Zalia pada mak cik Rohaya.

“Dia gembira dan terharu sebab Ummar Qayyum datang balik.”

Puan Sri Zalia tersenyum besar. Ada kepuasan tergambar di wajahnya. “
Alhamdulillah ...syukur pada Allah. Mudah-mudahan kali ini Allah perkenan dan permudah.”

“Ya Puan Sri. Saya tengok Ren pun dah banyak berubah. Dulu dia macam keliru tapi sekarang ni dia dah ada keyakinan. Nampak dia gembira sangat.”

Puan Sri Zalia setuju dengan kata-kata mak cik Rohaya. Sementara menunggu Rania bersiap, Puan Sri Zalia sengaja menduga hati Ummar Qayyum. Terkebil-kebil anak muda itu apabila diusik oleh pasangan suami isteri itu.

“Ren mungkin pernah buat silap pada Qayyum tapi auntie harap Qayyum tak ambil hati. Banyak sangat dugaan yang melanda kamu berdua dulu. Ren pun stres juga masa tu. Tapi sekarang Ren dah stabil. Kalau Qayyum ada apa-apa rancangan cakap saja pada kami. Kami sokong seratus peratus,” janji Puan Sri Zalia.

Sambil menghirup kopi panas, Tan Sri Razlan membiarkan isterinya mengumpan Ummar Qayyum.

“Saya faham auntie. Saya pergi dulu pun sebab nak bagi ruang pada Ren.
Insya-Allah kalau Ren dah okey, saya tak ada halangan.”

Lapang dada suami isteri itu mendengarnya. Sebaik sahaja Rania selesai bersiap, Puan Sri Zalia menyuruh mereka beredar segera. Tertarik sungguh Puan Sri Zalia dengan tingkah laku Ummar Qayyum. Ketara dia seorang lelaki budiman. Setiap tutur kata dan tingkah lakunya tertib. Tan Sri Razlan dan Puan Sri Zalia berkenan sungguh dengan ketertiban Ummar Qayyum. Dia bukan sahaja kacak bahkan begitu merendah diri. Selain itu dia setia dan pandai mengambil hati.

“Nasib baik dia tak cari pengganti Ren, bimbang juga saya. Dahlah Qayyum ni kacak bergaya. Bujang dan kaya pula. Jentik jari berderet-deret perempuan menunggu.”

Puan Sri Zalia meluahkan isi hatinya.

“Kalau jodoh mereka ada, Insya-Allah tak ke mana.”

“Mudah-mudahan begitulah hendaknya. Saya berdebar-debar ni bang.”

“Hari tu awak kata nak kenalkan Rania pada anak Datin Latifah. Dah tak jadi?”
seloroh Tan Sri Razlan.

“Itu pelan B.” Jeling Puan Sri Zalia. “Pelan A dah okey tak payahlah abang nak sindir-sindir saya.”

Tan Sri Razlan tersengih sinis mendengar jawapan isterinya.

“Nak jumpa lelaki macam Ummar Qayyum tu susah bang. Abang tengok cara dia layan anak kita. Bukan main tertib lagi. Nak banding dengan si Rais tu jauhlah,”
komen Puan Sri Zalia sebaik kereta Mercedez yang dipandu Ummar Qayyum beredar.

“Tak salah memuji Ummar Qayyum tapi tak baik mengeji orang lain. Rais tu kan anak awak juga.”

“Memang dia anak saya tapi saya geram dia sanggup mengenepikan kita sebab nak bela si Murni tu.”

“Dahlah, bila dia balik nanti awak bercakap elok-elok dengan dia,” pujuk Tan Sri Razlan.

Mendengar itu, Puan Sri Zalia diam saja. Kereta yang dipandu Ummar Qayyum bergerak dengan kelajuan 60km/j apabila mendekati Tol Sungai Besi. Sepanjang perjalanan, Ummar Qayyum berhati-hati dalam tutur katanya. Dia tidak mahu tersilap cakap atau Rania tersalah faham. Mengenali Rania, ada tikanya dia jadi risau tidak menentu.

Rania sukar ditafsir walaupun hakikatnya dia seorang yang bendul dan berterus-terang. Ummar Qayyum tidak mahu perkara seperti dulu berulang kembali. Seboleh-bolehnya dia mahu menjaga hati Rania dengan sebaik mungkin.

“Kita nak ke mana?” tanya Rania.

“You nak ke mana?” tanya Ummar Qayyum balik.

“You yang ajak I, you fikirlah.”

“I tak kisah mana-mana Ren. Yang penting I ada bersama you.”

Merah muka Rania mendengarnya. Datang rasa malu apabila mengenangkan sikap buruknya pada Ummar Qayyum semasa mereka bersama-sama dulu. Suka-suka hati batalkan temu janji, moody, sukar diajak berbincang dan banyak lagi kerenahnya.
Dia pun kurang pasti mengapa dia banyak ragam apabila bersama Ummar Qayyum. Ada masalah di sekolah, Ummar Qayyum jadi mangsa. Mendengar cerita Murni, dia terpedaya dan sekali lagi Ummar Qayyum didera. Aduhai! Apa yang aku tak buat pada Ummar Qayyum?

“Jadi ke mana kita?”

“Kita jalan-jalan di KLCC boleh?”

“Ke bulan pun I sanggup dengan you Ren,” giat Ummar Qayyum.

Rania senyum sekilas. Sambil memandu, Ummar Qayyum tak jemu-jemu menoleh orang di sebelahnya.

“Kenapa diam saja?” tanya Ummar Qayyum. Dia sedar Rania banyak berfikir.

“I masih terkejut dan tak percaya,” ujar Rania.

“Sebab I balik Malaysia?”

Rania angguk.

“Tak suka I balik?” Duga Ummar Qayyum.

“I suka you balik Qayyum tapi...”

“Apa Ren...?”

“I rasa bersalah dan malu pada you. I banyak buat perkara yang melukakan hati kita berdua.”

“Tak apalah. Lagipun I yakin you ada alasan konkrit kenapa you buat macam tu kan?”

Rania diam. Tatapan sekilas daripada Ummar Qayyum mendebarkan hatinya. Dia tidak sanggup bertentang mata dengan Ummar Qayyum lagi. Saat mata mereka bertaut di taman depan rumah tadi masih lagi menggoncang hatinya.

“Sebab you berhati mulia. You berhati emas. You lebih pentingkan perasaan orang lain daripada diri sendiri,” puji Ummar Qayyum.

“...tapi I mendera jiwa dan raga you.”

“Jiwa you tak terdera?” pantas Ummar Qayyum membalas.

Rania diam. Matanya berasa berat. Hanya Tuhan yang tahu betapa terderanya aku Qayyum tiap kali mengingati kau, rintih Rania sendiri.

“I berharap lepas ni kita belajar dari pengalaman lepas.”

“You tak marah pada I Qayyum,”

“I tak pernah marah pada gadis yang I sayang, yang I cinta sepenuh jiwa raga.”

Sesak jiwa Rania mendengarnya. “Habis kenapa you pergi? Kenapa tinggalkan I masa I sangat-sangat perlukan you?” Ungkitan Rania mengejutkan Ummar Qayyum.

“You kan dah hampir-hampir nak kahwin dengan Halim. I tak sanggup nak berada di Malaysia. Tengok you kahwin dengan orang lain. I cemburu pada Halim. Merana I masa tu,” Ummar Qayyum meluahkan pula perasaannya.

“Kan I tak jadi kahwin dengan Halim.”

“I tahu. Nasib baik Halim putuskan, kalau tak dah jadi isteri orang you sekarang ni,” usik Ummar Qayyum tapi wajah Rania kelat. Dia memendam perasaan.

“Tapi you pergi juga. Bila Abang Rais beritahu you nak ke Sweden, I tak tentu arah. I call you tapi dengan selamba you kata nak berhijrah.”

“Habis you nak I buat apa Ren? Walaupun I sayang you separuh mati, I tak akan paksa you. You tengah keliru. Baru putus ikatan dengan Halim pula. I tak nak menambahkan bebanan yang you tanggung. I bebaskan you seketika supaya you tahu apa yang you nak dalam hidup. Biar you tentukan sendiri. Kalau you dah buat keputusan untuk hidup dengan I, baru I akan jadi sebahagian daripada hidup you.”

Penjelasan Ummar Qayyum membuatkan Rania terdiam sejenak.

“I tunggu you,” kata Rania lama kemudian.

“You tunggu kat mana?”

“I tunggu you datang rumah sebelum you berlepas. I sangat harap you datang tapi Abang Rais marah dengan I. Dia kata memang salah I bila you pergi.” Rania menundukkan mukanya. Dia berasa begitu bersalah dan malunya datang bertalu-talu.

“Yang lepas biar lepas ya! Mulai sekarang kita pandang depan,” pujuk Ummar Qayyum.

Melalui Jalan Tun Razak, lalu lintas agak sesak dengan kenderaan bertali arus.
Ummar Qayyum mengambil peluang menatap wajah Rania dari sisi. Gadis itu begitu cantik walaupun dia jarang tersenyum. Sejak kali pertama bertemu Rania, hatinya tertarik dan dia yakin tidak ada sesuatu pun yang dapat menggoyahnya.

Telefon Rania berbunyi. Nama Halim tertera di skrin. Ummar Qayyum menjeling semasa mendengar Rania menyebut nama Halim. Entah mengapa dia berasa cemburu.
Dia memperlahankan bunyi radio. Suara mesra Halim dapat didengarinya dari telefon bimbit Rania.

“Kau di mana Ren?”

“Dalam kereta, kenapa?”

“Aku rindu!” gurau Halim.

“Kau jangan mengada-ngada Lim. Dalam Facebook pun kau cakap macam tu sampai anak-anak murid aku dah pandai mengusik,” Rania menegurnya.

Ummar Qayyum pasang telinga. Wah! Bukan main mesra lagi Halim dengan Rania.
Dadanya berdebar-debar. Cemburunya makin memuncak.

“Tak boleh ke aku tulis macam tu?”

“Cantik muka kau! Kau dah malukan aku bila kau batalkan perkahwinan kita, alih-alih tulis macam tu,” gurau Rania selamba tanpa mempedulikan Ummar Qayyum yang diam memasang telinga.

“Entahlah Ren, aku pun tak tahu kenapa aku buat macam tu! Menyesal pula!”
seloroh Halim diikuti gelak tawa Rania.

“Bila nak datang sini? Buah-buah jambu aku ni menunggu kau,” tanya Halim bila tawa Rania mulai reda.

“Memang nak datang. Tunggu masa saja Lim.”

“Esok Jumaat. Lusa Sabtu. Sabtu bolehlah datang. Buah jambu tengah rangup ni,”

“Sabtu?” Rania berfikir sejenak. Tidak ada apa-apa aktiviti di sekolah seingatnya. Ayah dengan mama ada program masing-masing. Elok sangat kalau aku pergi tapi? Ummar Qayyum? Dia berfikir sejenak. Kalaulah Ummar Qayyum ada rancangan nak ajak aku ke mana-mana hujung minggu ini, bagaimana pula? Angannya sendiri.

“Boleh?” Suara Halim bergema. “Jomlah Ren. Kak Ros dah rancang nak masak best best,” Halim memujuk terus.

Ummar Qayyum berasa berdebar-debar. Mendengar Rania menyebut hari Sabtu, dia makin gelisah. Halim ajak Rania berjumpa pada hari Sabtu ke? Aku baru nak rancang dia dah buat program. Kacaulah Halim ni! Getus hatinya.

“Okeylah...hari Sabtu Insya-Allah,” sahut Rania separuh hati.

“Datang tau...” tekan Halim.

“Insya-Allah...,” sahut Rania. Dia tertawa menyedari Halim seperti tidak percaya kata-katanya.

“Mesti datang,” Halim bertegas sebelum telefon dimatikan.

“Ada program hari Sabtu?” tanya pula Ummar Qayyum sebaik sahaja Rania habis bercakap dengan Halim.

Sambil memandu, sesekali Ummar Qayyum melirik pada anak gadis yang sejuk matanya memandang.

“Ya.”

“Program apa?” Laju sahaja soalan itu terpacul keluar dari mulut Ummar Qayyum.
Dia hendak tahu aktiviti Rania lebih-lebih lagi setelah Rania selesai berbicara dengan Halim. Dia tidak mahu lagi memendam perasaan seperti dulu. Tidak rela terlepas peluang keemasan yang sudah tersedia di hadapan mata.

“Halim ajak I pergi ke rumahnya. Halim dah jadi petani moden sekarang. Dia usahakan tanaman jambu batu di belakang rumah.”

“Interesting. Mesti jambu Halim sedapkan?” Ummar Qayyum tidak tahu mengapa dia perlu berkata begitu. Cemburu barangkali!

Rania merenungnya pelik. “Mana I tahu. I belum pernah rasa.”

“Oh ya ke? Sorry.” Ummar Qayyum malu sendiri. “ Errr...Halim dah sihat?” Ummar Qayyum sengaja bertanya begitu untuk menyembunyi relung-relung cemburu yang makin banyak menghampiri.

“Alhamdulillah. Halim dah makin sihat. Bukan saja tubuh badannya makin cergas tapi mindanya juga makin terbuka. Dia tak macam dulu lagi. Sekarang dia lebih bersemangat dan pandang jauh ke depan,” cerita Rania sungguh-sungguh.

Makin bengkak hati Ummar Qayyum mendengarnya. Tadi, dia perasan, Rania bukan main seronok bercakap dengan Halim di telefon. Kali ini, sebut saja nama Halim, wajah Rania berseri-seri. Senyumnya melebar. Wajahnya bercahaya. Ketara dia gembira setiap kali bercerita tentang Halim. Bercakap dengan aku biasa-biasa saja. Bermakna sangatkah Halim pada Rania? Ummar Qayyum menjeling pada Rania sekali lagi.

“Selalu jumpa Halim?” korek Ummar Qayyum.

“Kadang-kadang jumpa.”

“Bila last sekali jumpa dia?” Dada Ummar Qayyum sedikit berombak mendengar pengakuan Rania.

Rania berfikir sejenak. Matanya melirik ke kiri dan ke kanan cuba mengingati tarikh akhir dia bertemu dengan Halim. “ Ehm, masa hari jadi I. Halim dengan Kak Ros datang rumah celebrate my birthday.” Rania berterus-terang.

“Owh!”

“Rapat you dengan Halim ya Ren,” sinis nada suara Ummar Qayyum walaupun dia cuba berlagak tenang.

“Dia kawan baik yang I dah kenal lama. Bukan setakat ingat hari jadi I bahkan susah-susah datang ke rumah untuk meraikannya,” kata Rania.

Tiba-tiba Rania teringat betapa seksanya dia menunggu sebaris ucap selamat daripada Ummar Qayyum tapi hampa. Sunyi membelenggu.

“Sampai hati you, tak ucap pun pada I masa hari ulang tahun I!”

Akhirnya terlontar juga ayat itu daripada mulut Rania setelah agak lama masing-masing menyepi.

“I hantar,” sahut Ummar Qayyum tanpa memandang muka Rania.

“Mana ada?”

“Ada.”

“I tak jumpa pun.”

“Jumpa nama Arjuna Nilakandi?” tanya Ummar Qayyum.

Dia tidak mahu bersembunyi di sebalik nama itu lagi. Dia mahu Rania tahu bahawa dia tidak pernah lupa dan selalu ingat malah ingatannya pada Rania tak pernah padam selama mereka berjauhan.

Rania terkesima. Nama Arjuna Nilakandi memang ada. Dia ingat nama itu sebab keunikannya.

“Jumpa tak nama tu?” tanya Ummar Qayyum sekali lagi.

“Jumpa.”

“Apa Arjuna Nilakandi tulis?”

“I tak ingat.”

“Dia tanya khabar you. Dia doa untuk you. Dia ucap selamat ulang tahun buat you juga,” jelas Ummar Qayyum.

“You ke Arjuna Nilakandi?” tanya Rania. Dia terbatuk-batuk kecil.

Ummar Qayyum senyum sekilas.

“Mana I tahu you guna nama macam tu!” Rania seperti hendak menangis. Terharu pun ada.

“Tak apa Ren. Sekurang-kurangnya sekarang you tahu I tak pernah lupa pada you.”

Rania tersandar di kerusi. Dalam terkejut dia berasa gembira.

Ummar Qayyum membiarkan Rania bersendiri seketika. Malah dia sendiri perlukan masa untuk berfikir. Nyata, banyak yang dia terlepas pandang. Begitu juga Rania. Kekeliruan bersarang di kepala mereka kerana kurangnya komunikasi.

Ummar Qayyum tidak mahu perkara itu berterusan. Biarlah pengalaman lepas menjadi guru. Kini, otaknya ligat berfikir. Dia tidak mahu lagi mensia-siakan peluang yang ada. Dia berfikir terus.

Hari Sabtu ini aku yang akan bersama Rania! Tekadnya.

Klik! Klik!

Post Terhangat